Iklan

Oct 29, 2008

Terapi untuk membahagiakan diri sendiri II

Hehe.. Ada sambungan. Tak pernah terfikir nak buat sambungan apa-apapun sebenarnya. Akan tetapi ianya benar sama sekali. Selagi ada tekanan dari dalam (perasaan yang tidak terluah atau memendam rasa), selagi itulah terapi untuk meredakan tekanan itu perlu. Lebih-lebih lagi, sekiranya tekanan itu terasa sangat memberi kesan kepada emosi dan kehidupan seharian khususnya. Jadi apa yang aku buat pada minggu lepas ialah, bertemu kawan lama yang sehati sejiwa (aku rasa la). Berborak dan lepak seketika pada waktu yang singkat itu sudah mengcukupi untuk menghilangkan serba-sedikit kecelaruan. Termasuk juga mendengar dan menerima nasihat yang boleh difikirkan dengan lebih mendalam.

Menghabiskan duit lagi, dengan membeli 3 biji novel di Kinokuniya, KLCC. Dua buku hasil Hlovate dan sebuah lagi, buku yang dah lama dicari (tak jumpa di KT) karangan Shamsiah Mohd Noor, Tangisan Bulan Madu 4. Aku pernah ceritakan tentang buku-buku yang sangat hendak aku jadikan koleksi disini. Tapi, bila aku check balik blog ini, tak jumpa!

Kemudian, aku sambar pula kamera Sony DSC-T2 di sebuah kedai Sony di KLCC itu. Puas hati untuk seketika bila kehendak diri sendiri dipenuhi. Kehendak yer, bukan keperluan. Aku ingin berjumpa kawan lagi, tetapi cerita duka mula mengiringi langkah aku selepas itu. Cerita duka yang memberikan aku suatu persepsi sendiri tentang lelaki. Cerita duka yang bertindih dengan terapi tekanan aku. Dan apabila begitu, terapi itu kuranglah keberkesanannya.

Sekarang, aku kembali ke rutin biasa. Sebolehnya aku cuba mengelakkan diriku daripada berfikir banyak. Untuk itu, aku kembali menyibukkan diri dengan kerja. Dengan kawan-kawan yang sedia ada. Dengan ratu hati yang sentiasa menghiburkan ketika duka. Dan dengan novel-novel dan kamera baru!.. ;D

Oct 21, 2008

Kenapa aku ada blog.

A blog (a contraction of the term "Web log") is a Web site, usually maintained by an individual with regular entries of commentary, descriptions of events, or other material such as graphics or video. Sila rujuk Wikipedia yer.. untuk penerangan yang lebih terperinci. Disini bukan kamus penerangan tentang apa itu 'blog', cuma aku ingin bercerita kenapa aku ada blog.

Sebenarnya aku tak reti pun ber'blog' ni. Aku mula mereka blog aku sendiri pada 19hb Ogos last year, dengan entry pertama lirik lagu 'Listen to your heart'. Orang yang mengajar aku membuat blog ini ialah Ain (thanks to Ain Camelia!). Ketika itu, tajuk blog ini juga adalah 'Listen To Your Heart' dengan website address, listen2yourheart.blogspot.com. Kenapa aku taksub pada lagu itu pada masa itu, kerana ketika itu aku dalam kebuntuan. Mendengar kepada apa kata hati mungkin pilihan terbaik pada ketika itu. Aku terikut-ikut dengan kata-kata seorang kawan, 'Aku buat apa yang aku suka'. Walaupun aku kurang bersetuju dengan pernyataan itu, tetapi betul! Bila kita berbuat apa yang kita suka, kita akan rasa gembira. Dan bila kita berbuat sebaliknya daripada kata hati kita, kita mungkin kurang gembira. Itu pendapat aku berkenaan kata-kata kawan aku itu.

Kebenarannya, bila kita berbuat apa yang kita suka, mungkin ianya membawa maksud kita tidak perlu fikirkan dan ambil peduli perasaan dan pendapat orang lain. Kegembiraan yang kita rasakan itu, mungkin seketika cuma. Kemudian, mungkin penyesalan atau sakit hati, atau kecewa, akan kita rasa. Ini pendapat aku pula tentang kenapa aku kurang bersetuju dengan pernyataan kawan aku itu.

Ok, berbalik kepada topik asal. Pada mulanya, aku jadikan blog aku tempat aku meluahkan perasaan. Kekadang juga, aku siap taipkan alamat blog aku dekat status ym aku. Semata-mata kerana aku ingin seseorang yang membuatkan aku terasa, tahu apa yang aku rasa. Tapi, lama-lama aku bosan. Lama juga la aku tidak layan blog ini. Sehinggalah suatu hari, aku terbuka blog Sarah. Ketika itu, aku hendak mencari ayat 'Al-Ikhlas' kalau tak silap aku. Dan blog itu terus menjadi 'penggalak dalam diam' untuk aku meneruskan penulisan di blog aku.

Aku tukar tajuk blog aku, tukar alamat web site dan updatekan apa-apa yang patut. Sebenarnya aku ingin menulis tentang topik yang sering kami bincangkan dipejabat. Biasanya, bila ada waktu terluang, ada sajer topik yang menjadi perbincangan kami. Tentang penagih dadah misalnya (aku pernah tulis tentang ini). Tentang bercinta dengan suami orang, bekerja makan gaji dan bisnes, apa erti cinta yang sebenar-benarnya, dan macam-macamlah. Tetapi, terkadang aku masih menjadikan ruang ini untuk aku meluahkan apa yang aku rasakan. Tak salahkan? Ianya sedikit melegakan diri sendiri.

Sampai bila agaknya yer aku meneruskan kerja menulis blog ini.. Aku sendiri tidak tahu, kerana..

Que Sera Sera..
Whatever will be, will be..
The future not ours to see..
Que sera sera..What will be, will be..

Oct 20, 2008

Terapi untuk membahagiakan diri sendiri

Aku rasa setiap orang punya cara mereka yang tersendiri untuk menggembirakan diri sendiri. Lebih-lebih apabila diri dilanda 'depressed', atau tertekan yang teramat dengan kehidupan atau sesuatu yang telah berlaku. Ya, aku akui. Aku dalam keadaan tersebut. Sekejap aku 'ok jer', tapi dalam waktu yang terdekat, aku boleh menangis. Dalam waktu yang lain pula, aku boleh ketawa melayan orang-orang disekelilingku. Anyway, Alhamdulillah aku masih boleh mengawal diri. Aku masih ingat Tuhan dan ini semua ujian untuk aku.

Ianya bermula pada hari Jumaat yang lepas, pada hari aku melepaskan tangisku yang agak panjang sehingga Aisya turut menangis bersama aku (hanya kerana melihat mama menangis tanpa mengetahui dan memahami kenapa) dan pada hari aku menonton vcd filem 'Sepi'. Terapi aku bermula dengan pergi jogging bersama Aisya. Sebenarnya sudah lama sangat aku tidak pergi jogging dengan Aisya. Hampir sejam kami jogging di taman berdekatan balai bomba. Kemudian kami ke Giant, makan malam (sekitar jam 6.45 petang) di The Chicken Rice Shop. Menu kami, nasi ayam untuk Aisya dan mee kari untuk aku. Pai Tee regular (4 pieces), aku makan 3 dan Aisya makan 1. Aku tak sangka dia akan makan pai tee tu selepas aku suruh dia cuba sikit. Aisya susah hendak makan sayur, dan isi pai thee itu ialah sayur. Bila dia kata sedap, aku rasa menyesal pulak sebab dah menghabiskan 3 pieces.

Selesai makan, kami turun untuk pulang memandangkan waktu maghrib yang semakin sedikit. Tetapi, kaki aku panjang sahaja langkahnya ke kedai spek mata yang terdapat di tingkat bawah Giant itu. Memilih dan mencuba beberapa frame, akhirnya aku jumpa yang sesuai. Tanpa berfikir panjang, aku membuat bayaran deposit. Itu terapi kedua. Selepas itu, aku rasa tekanan perasaan aku turun ke paras 70 daripada paras 90 (10 daripada 100 sudah hilang selepas jogging). Sebenarnya sudah lama aku teringin membuat spek mata baru, tetapi memandangkan tiada kepentingan (sejak awal 2007 sehingga semalam, aku telah membuat dua spek mata yang jarang aku pakai kerana lebih biasa memakai contact lense) aku telah menangguhkannya dulu. Semalam, spek mata baru siap dan hari ini, the new me! :D


Terapi ke-3, Duan tolong buat. Aku perhabiskan duit membuat 'tinted' untuk kereta kancil aku. Sesuatu yang pernah aku fikirkan tetapi seperti spek mata baru juga, tiada dalam senarai yang penting. Hari ini selepas menghadirkan diri melihat klien membuat 'audit' pemeriksaan kerja-kerja arkitek (kemasan) di kolam renang, aku menyerahkan kunci kereta kepada Duan dan duit sebanyak RM200. Sementara aku dengan Nur (dengan kereta Nur) ke rumah boss untuk menyelesaikan beberapa kerja, Duan membawa kereta aku untuk pasang 'tinted' di kedai kawan dia. Jam 1 tengahari, kami sampai serentak di tempat parking pejabat kami. Yess.. terapi ke-3 berjalan lancar. Tahap 'depression' aku turun ke paras 50.

Ada lagi beberapa perkara yang hendak aku lakukan (dalam perancangan) dalam masa terdekat ini sebagai terapi diri sendiri. Mengubat hati yang kecewa! Memulihkan semangat yang semakin mengewap ini. Aku tahu, biarpun aku nampak 'ok'... dalaman aku still 'ok jer'. Aku cuba ajar diri untuk sentiasa redha dengan apa sahaja yang berlaku. Aku sentiasa cuba ingatkan diri bahawa setiap apa yang terjadi, ada sebab musababnya yang mungkin kita tidak tahu.

Oct 17, 2008

Sepi

Hari ini aku menonton filem di 'Sepi' dirumah, bersama Aisya. Cd yang dah lama dibeli itu, baru hari ini aku punya waktu untuk menonton. Best citer tu. Sama best seperti citer 'Cinta'. Cuma markah untuk citer 'Sepi' aku bagi lebih sikit dari citer 'Cinta'. Sesuai pula citer tu dengan mood aku hari ini yang aku rasakan sangat sepi. Semua dirumah ada seperti biasa, tapi aku rasa perasaan aku sangat sepi. Seolah-olah aku tidak punya sesiapa. Sendiri. Seorang.

Oct 16, 2008

Aku 'ok jer'.

Hari ini pagi aku bermula dengan 'ok jer' dari rumah. Rutin biasa mulai bangun pagi hingga sampai ke pejabat. Tetapi, beberapa minit sahaja selepas memanaskan kerusi, aku menerima panggilan telefon daripada site supervisor yang terus merosakkan mood aku untuk sepanjang hari ini. Bila 'ok jer', bererti perasaan aku kurang stabil. Yang memahami, akan tahu aku dalam keadaan mengawal diri sendiri. Bila ada sedikit situasi yang tidak berapa bagus, zuppp.. secara automatik, perasaan aku sudah tidak terkawal. Memang supervisor tu kena marah dengan aku di pagi hari ini. Menambah pula kepada situasi yang tidak menyenangkan itu, boss pula menelefon bertanyakan tentang surat rayuan kepada klien yang perlu aku buat. "Awak buat dulu, nanti saya sain". Aduhh.. Mudahnya dia memberi arahan. Yes... I know he's the boss. Dia boleh memberi arahan apa sahaja sebab dia boss. Tetapi, aku sangat tidak suka apabila arahan itu cuma melalui telefon di mana aku tidak dapat menerangkan secara terperinci apa yang perlu aku lakukan.

Kemudian, boss masuk pejabat. Masa tu, aku dah fikir dah, apa aku nak cakap sekiranya dia bertanya tentang surat rayuan tu. Memang aku nak marah ajer boss aku masa tu. Bukan marah kerana boss berbuat salah. Tidak. Cuma melemparkan rasa tidak puas hati yang sudah lama terpendam. Aku pernah berbuat demikian kepada x-boss aku dulu-dulu. Dan biasanya cara itu berjaya merapatkan lagi hubungan aku dengan boss. Dia lebih hormatkan kita sebagaimana kita yang terlebih-lebih hormatkan dia selama kita menjadi orang bawahan dia. Hehe..

Sahabat,
Perasaan itu tidak pernah hilang,
Ia masih ada biarpun di lubuk hati yang terdalam,
Ia masih bernafas,
Biarpun ruangnya sempit dan sesak,
Jangan dekati aku,
Jika kau tidak punya niat apa-apa,
Aku bimbang,
Perasaan itu kembali bercambah..
Dan derita pasti mendatangi aku
Lagi....

Oct 14, 2008

Que Sera Sera

Lagu 'Que Sera Sera' rasanya ramai yang tahu. Tadi selepas sembahyang maghrib, aku duduk di atas katil di sebelah Aisya sambil melipat dan menyusun pakaian untuk disimpan di dalam almari. Dia menulis sesuatu di atas kertas yang dipegangnya sambil menyanyi. Rupa-rupanya lagu yang dia nyanyikan adalah lagu 'Que Sera Sera'. Kali ini lebih jelas sebutan dia daripada apabila dia nyanyi lagu 'Baa Baa Black Sheep'. Kalau dengar dia nyanyi lagu tu, aku langsung tak tahu apa dia sebut. Dah la aku memang tak belajar lagu-lagu omputih masa kecik2 dulu. Yang aku tahu, tu la ;Twinkle Twinkle Little Star', 'London Bridge', 'Row Your Boat', dan beberapa lagi. Tak banyak la. Lagipun aku sekolah dulu kat kampung jer. Tak belajar lagu-lagu omputih ni. Aku juga tidak pergi sekolah tadika. Umur 7 tahun, terus masuk darjah satu.

Dulu mak ayah aku orang susah. Ayah kerja jual ikan kering (ikan masin). Kadang-kadang dia ikut kawan-kawan dia turun ke laut. Semua adik beradik aku dari abang sehingga ke busu tak ada yang pergi sekolah tadika. Tapi, alhamdulillah..kami boleh dikatakan agak berjaya di dalam pelajaran, terutama mek dan busu. Adik beradik kami seramai 6 orang selang bunga (begitulah aku dengar orang kampung beri gelaran). Maksudnya, berselang seli lelaki dan perempuan.

Aisya mungkin akan menyanyi lagu itu (Que Sera Sera) ketika persembahan akhir tahun nanti. Aku tidak berapa pasti kerana dia sering berkata nanti naik pentas, dia akan jadi little girl. Dia tahu apa itu naik pentas kerana tahun lepas untuk persembahan akhir tahun tadika dia, dia ada naik pentas membuat persembahan. Nyanyi lagu 'Matahari'. Untuk tahun ini, masih belum ada maklumat yang diberikan oleh guru dia tentang persembahan akhir tahun.

Jadi apabila aku dengar dia nyanyi lagu itu, aku kena cari lirik yang sebenar supaya aku boleh mengajar dia sebutan yang betul. Akupun buka komputer, cari di internet. Buka youtube, taip 'Que Sera Sera with lyric'. Lepas tu, nyanyi dengan Aisya. Hehe..

Oct 13, 2008

Happy birthday to myself.

Ucapan yang paling seronok dan menyentuh perasaan pada hari ini, ialah daripada Dania Aisya. Pagi-pagi lagi selepas dia siap berpakaian untuk ke tadika, dia menjerit di dapur memberitahu nenek dan tokki dia, 'Hari ini hari jadi mama!'. Semalam aku ada memberitahu dia, esok hari jadi mama. Tak sangka pula dia masih ingat. Dia breakfast dulu di dapur dengan nasi lemak sementara aku bersiap. Biasa la, perempuan. Lambat sikit kalau tang bersiap hendak ke mana-mana. Hehe.. Jam 7.45, aku dah bersiap dan memandu ke pejabat dengan Aisya di sebelah. Seperti biasa, selepas dia menekan punat radio dan memainkan kaset kegemaran dia, menyarungkan cermin mata hitamnya kerana silau matahari (perjalanan kami menuju ke arah matahari naik) dia hanya memandang keluar tingkap kereta. Diam tidak bersuara, kecuali sekiranya aku bertanya sesuatu. Sesampainya kami di hadapan tadika dia, dia berpaling dan bertanya (seperti biasa).
'Mama, saper yang ambik Nia hari ni?'
'Tokki la'
'Alaa.. bila mama nak ambik Nia?'
'Nanti kalau tokki lambat balik kerja, mama ambik yer'
'Ok la..'
'Nanti kita pegi makan kek yer'
'Ok!'
Selepas kiss kiri, kanan pipi aku, dagu dan dahi, dia membuka pintu kereta, dan seperti biasa aku bersuara,
'Daa! Assalamualaikumm..'
'Waalaikumussalam'..
Sebelum menutup pintu kereta dia berkata, 'Happy birthday mama!'. Aku tersenyum.
'I love u sayang!', aku sempat menjerit sebelum dum pintu kereta ditutup. Aku mendengar perlahan (kerana pintu kereta dah tertutup), dia menjerit 'I love u too' dan melambai. Aku membalas lambaian itu, dan bergerak menuju ke pejabat apabila sudah pasti dia sudah masuk ke dalam tadika. Aisya betul-betul menceriakan hari aku. Ucapan happy birthday daripada seorang budak yang berumur 5 tahun dan tidak benar-benar faham apa itu birthday itu, benar-benar menyentuh hatiku.

Hari terus berjalan seperti biasa. Aku sebenarnya sejak semalam lagi, asyik memikirkan pasal meeting yang akan diadakan hari ini. Pening juga memikirkan kerja ni. Tapi, kerana Aisya, aku semacam happy jer dan fikir yang senang-senang saja. Orang suruh panggil meeting, aku pun panggil la meeting. Aku sms kepada semua yang berkenaan dan prepare apa yang patut. Memang agak sibuk hari ini sehingga aku tidak sempat blogging dan membaca blog 'Sarah'! (Everyday, aku dah jadi semacam wajib mengadap blog dia). Meeting berjalan lancar jam 3 petang, dan betul juga tindakan aku. Tak perlu pening-pening fikir pasal meeting. Biasanya aku ada satu cara untuk menghilangkan takut dan tension untuk masuk meeting. Caranya, dengan menetapkan di fikiran bahawa meeting itu walaupun macamana hebat sekalipun, tetap akan habis. Sekurang-kurangnya masa yang diambil cuma 2 hingga 3 jam. Selepas itu, selesai! Hehe... Tapi, of cos la kan, kena la prepare serba sedikit yang perlu.

Ok la.. nak pergi makan. Tadi makan kek dan mushroom soup jer kat secret recipe. Dengan Aisya dan mak. Thanks pada sesiapa yang ingat birthday aku, dan yang wish aku. Semoga wishing korang Dia perkenankan. Aminn...

Oct 12, 2008

Alhamdulillah.

Syukur ke hadrat Ilahi. Seindah bunga-bunga itu, begitulah aku pada hari ini. Sedikit kerisauan yang bertapak dalam diri semenjak bulan terakhir sebelum Ramadhan yang lalu, telah hilang. Biarpun masih ada yang perlu aku fikirkan, sekurang-kurangnya ia memberi sedikit kelegaan.

Tadi juga, ketika aku di klinik semasa sedang menunggu giliran, aku melihat dua orang wanita masuk ke klinik itu. Kedua-duanya menuju ke tempat farmasi di hadapan aku. Klinik itu kecil dan sempit sahaja. Ianya memanjang ke belakang dengan satu ruang yang kecil disediakan tempat duduk yang memanjang ke belakang, dan satu bahagian lagi adalah bilik rawatan, farmasi, stor dan tempat pendaftaran. Ketika aku masuk, ramai orang sedang menunggu. Dan nombor giliran aku ialah 16. Beberapa minit selepas aku melabuhkan punggung di kerusi di bahagian hadapan farmasi, orang yang ke 11 dipanggil masuk.

Berbalik kepada cerita dua orang wanita tadi. Kedua-duanya memakai baju kurung moden yang aku agak mungkin baju raya diaorang. Kenapa aku membuat andaian sebegitu kerana aku tengok ramai yang berjalan ke sana-sana di sekitar pejabat dan kedai makan selepas hari raya yang baru berlalu memakai baju yang kelihatannya masih baru dan tidak lusuh. Seorang daripada wanita itu bertubuh sederhana, bercakap dikaunter farmasi. Mungkin hendak mengambil ubat tanpa bertemu doktor. Dan yang menarik perhatian aku adalah wanita yang seorang lagi. Kalau dilihat dari sisi, dia adalah wanita biasa bertubuh besar (boleh dikategorikan sebagai obes). Cuma aku agak terkejut apabila dia berpusing. Tubuhnya sangat besar dan lebar, dan kelihatannya kepala dan kakinya seolah tidak sepadan dengan tubuh yang sebesar itu. Pada ketika itu, datang keinsafan ke dalam diri aku. Betapa aku lalai dan leka sejak akhir-akhir ini kerana ujian Tuhan yang bertimpa-timpa. Sedangkan aku masih boleh ke sana ke mari dengan selesa. Betapa aku terlupa dengan nikmat yang Tuhan kurnia, kerana dugaan yang sedikit cuma.

Tuhan, aku tidak layak untuk meminta-minta lebih daripada apa yang Engkau berikan. Aku tahu Engkau memberikan dugaan dan cubaan kepada hamba-Mu hanya yang termampu mereka tanggungi. Ampunkan aku Ya Tuhan.. Amin..

Oct 11, 2008

Petang yang indah.

Petang ini sangat indah. Langit terang benderang dan biru sekali. Awan di sana sini bertompok-tompok putih seperti kapas. Kalau dulu, ketika di apartment permai indah pada tahun sekitar tahun 1997 sehingga 1999, aku terasa cukup gelisah sekali sekiranya hanya terperuk dirumah pada hari-hari yang indah seperti hari ini. Sayang sekali hari yang cerah itu tidak dinikmati sepuasnya. Lantas sekiranya 'housemates' tidak mahu menemani atau ada kelas, aku seperti biasa akan keluar sendirian. Sekiranya malas, hanya berjalan-jalan di taman di bawah. Dan kalau rajin, aku akan berjalan ke tasik harapan, atau keluar ke shopping complex bukit jambul, ataupun mengajak Shah menyedut udara nyaman di atas bukit dalam USM. Pemandangan di sana tidak pernah aku lupakan sehingga hari ini. Sungguh cantik.

Hari ini, aku masih dirumah. Terperuk di rumah. Hari ini sedikit aman kerana Aisya langsung tidak menyusahkan mama dia. Hanya pagi tadi sekejap aku kena pujuk dan layan dia yang tiba-tiba sakit gigi selepas makan nasi lemak. Sebutir nasi telah masuk ke celah gigi dia yang berlubang. Selepas aku buang nasi itu, gosok gigi dia, mandikan dia (pujuk la tu!), dan menyapu minyak angin ke pipi dia, dia menonton Pinggu di dapur sementara aku menggoreng meehoon. Selepas makan, aku mengemas bilik dan barang dia yang bersepah. Pada masa itulah dia terjumpa semula plastesin yang tersorok di dalam kotak di bawah almari laci dia. Jadi selepas itu, dia melayan plastesin itu sehingga langsung tidak mengganggu aku yang sempat melayan internet, dan memasak di dapur. Sehinggalah petang ni, sepupu-sepupu dia datang, dan sekarang aku membiarkan dia bermain diluar.

Dan aku pula sebenarnya, masih ada sesuatu yang bermain-main difikiran. Mencari-cari masa yang sesuai untuk berbicara dengan mak. Terfikir-fikir apakah keputusan terbaik yang perlu aku lakukan. Tertanya-tanya, pada siapakah aku boleh meminta nasihat yang terbaik. Dan, sekejap lagi mak mengajak aku ke rumah tokwan. Pergi jer la, mana tahu dalam kereta nanti aku boleh bercerita dengan mak..

Oct 7, 2008

Perasaan.

Aku dibangunkan pada jam 6.20pagi dengan panggilan telefon daripada seorang kawan yang tidak dapat tidur. Cahaya mataharipun pada waktu itu sudah membolos masuk melalui langsir yang memang sengaja tidak ditarik. Sekarang musim cepat cerah. Jam 6 pagi sudah seperti jam 7. Selepas bercakap seketika dengan suara yang segar bugar sebab dah cerah, aku memeluk Aisya disebelah. Mengusik-ngusik pipinya yang licin sambil memanggil perlahan. "Aisya, bangun. Dan pagi, bangun pergi sekolah." Dia langsung tidak bergerak. Sungguh nyenyak. "Bangun mandi dengan mama". Pun tiada tindakbalas. Jadinya, aku tinggalkan dia meneruskan tidurnya. Seperti biasa, selepas mandi, dia dah terjaga dan menangis sendiri di tempat tidur. Aku pujuk, dan jam 7.30 pagi kami dah bersiap.

Sepanjang perjalanan ke tempat kerja selepas menghantar Aisya ke tadika, aku terfikir perkara semalam. Memang aku dah meluahkan kepada beberapa kawan apa yang terbuku dihati. Tetapi, aku masih terasa bagaikan ada sesuatu masih tersekat di kerongkong. Aku berfikir macam-macam. Apa yang perlu aku buat. Kenapa semua ini berlaku kepada aku. Untuk apa aku ke tempat kerja sedangkan aku tidak ada 'mood' langsung untuk membuat kerja. Aku rasa seperti robot pun ada. Seperti patung bernyawa pun iya. Aku terfikir-fikir adakah aku hampir gila. Ataupun adakah aku perlu berjumpa dengan pakar psikologi. Sakit jiwa ke aku.

Ketika aku turun untuk bersarapan tadi, aku terasa perut aku sebu. Aku rasa seperti tidak berpijak ke tanah, bagaikan berjalan diawang-awangan. Aku rasa darah seperti tidak lagi bergerak ke dengan lancar. Aku rasa macam nak pengsan. Kenapa dengan aku ni. Sekejap lagi aku ada meeting yang perlu dihadiri. Adusshhhh....

Oct 5, 2008

Hikmah yang tersembunyi.

Hari ini hari pertama kembali bekerja selepas seminggu bercuti (termasuk cuti raya). Dan hari ini hari ke-5 Syawal. Nampaknya masih ramai lagi yang menyambung cuti pada hari ini. Tempat parking di bawah masih banyak kosong, biarpun kedai mamak penuh dengan pengunjung pagi tadi. Aku dan kawan-kawan di sini juga tidak dapat memulakan beberapa kerja yang diberikan oleh boss di awal pagi tadi, kerana syarikat lain yang kami kena hubungi hanya akan memulakan kerja pada esok hari. Aku pasti hari ini juga, jalan-jalan utama ke Kuala Lumpur akan sesak seperti semalam. Semalam, aku telah tersekat dalam kesesakan yang aku rasa pasti lebih dari 5km. Bayangkan (kepada yang biasa dengan jalan kuala berang sahaja..hehe), dari Kuala Berang hingga ke Ajil, kereta bergerak dalam gear satu atau dua sahaja. Kereta bersusun dan ada yang berhenti ditepi jalan kerana tidak tahan panas. Barangkali, perkara itu adalah biasa kepada warga kota yang kembali ke tempat di mana mereka mencari rezeki. Aku sudah 5 tahun menjadi penghuni tetap disini. Aku pernah merasakan semua itu. Dan mungkinkah aku akan kembali merasakannya?

Sepanjang raya yang bermula 1 syawal sehingga semalam 4 syawal, internet di rumah mengalami masalah. Jadi, aku tidak berpeluang untuk 'blogging', juga melayan blog-blog yang aku suka. Hari ini, aku seperti membalas dendam pula. Melayari internet sejak pagi tadi! Satu kerja pun aku tidak buat. Sebab paling utama, of cos lah sebab aku tidak dapat menghubungi sesiapa. Semua masih bercuti!

Hari raya puasa tahun ini biasa-biasa saja. Aku menjadi tukang masak untuk memasak kerutuk ayam kampung, rendang daging dan nasi beriani pada hari raya pertama. Raya ke-2, seperti biasa mak masak nasi dagang. Aku cuma tolong mak masak kuahnya sahaja, gulai ikan tongkol. Hari ke-3, mak rebus ketupat nasi segera pada malam sebelumnya dan pagi itu aku buat kuah kacang. Pagi ke-4 aku masak nasi goreng ajer, sebab nasi sejuk semalam banyak sangat di dalam periuk. Dan pagi tadi aku sempat masak sambal untuk nasi lemak yang mak masak, sehinggakan aku terlambat ke tempat. Jam 8.20 aku masih dirumah, dan boss sudah telefon bertanya jam berapa aku akan sampai ke pejabat. Aduuihhh... apa lagi, memecut la kancil aku ke pejabat, dan 8.40 pagi aku sudah mengadap boss. Hehe...

Raya tahun ni, tak best. Aku tak berapa sihat, kena selsema. Berjangkit dengan anak saudara yang kecik-kecik lagi tu! Aku juga tidak tahu, kenapa aku tidak berapa lena tidur. Hampir setiap jam aku terjaga sehingga subuh. Dan pada Syawal ke-4, aku dapat pula berita yang sangat mengejutkan, melegakan juga barangkali, menyakitkan juga iya, membuatkan Syawal tahun ini paling teruk sepanjang umur hidup aku, membuatkan aku terasa ingin menangis tapi kenapa tiada tangisan yang keluar? Kenapa tiada air mata yang menitis? Membuatkan aku berfikir panjang apa yang perlu aku lakukan, apa hikmat disebalik semua ini...sehingga hari ini, saat ini.....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...