Terpaku pada lagu ini,
menusuk jiwa
dalam.
Bismillahirrahmanirrahim...
Dari rumah ke pejabat, aku akan melalui Kg. Bukit, Kg. Belukar Jambu dan Kg. Laut. Jaraknya, aku tak reti nak agak, tapi kalau tak ada kereta slow di hadapan (yang dipandu nak tak nak) dan traffic light kebetulan semua hijau, dalam 10 minit aku dah sampai ke destinasi. Ulang alik jalan itu, dari dulu lagi (termasuk semasa 4 tahun di pejabat terdahulu), aku sudah serba sedikit boleh hafal apa sahaja yg berlaku di jalan itu. Contohnya, gerai goreng pisang yang bertukar tempat ke seberang jalan, kedai keperluan binatang peliharaan di hadapan nursery bunga yang tiba-tiba bergantungan fixed bike di hadapan kedai, daripada semak samun menjadi terang dan akhirnya siap sebuah rumah mesra rakyat, satu persatu petak sawah ditambung dengan tanah, orang gila yang sama yang sekejap aku nampak di kampung lain, kemudiannya di kampung lain pula dan macam-macam lagi.
Bercerita tentang orang kurang siuman, apa yang selalunya anda fikir bila ternampak orang sebegitu yang biasanya orang panggil orang gila itu? Ataupun tak fikir apa-apa?
Aku tak adalah nak fikir sangat pun. Tetapi kekadang, seperti ketika berhenti di traffic light ketika lampu merah, aku akan berfikir macam-macam tentang apa yang aku lihat.
Di laluan itu, ada seorang lelaki, kurang siuman (orang kampung panggil, orang gila). Jarang berbaju, biasanya hanya berseluar pendek dengan sehelai kain samada batik atau pelikat (tak pasti sebab kotor sangat) disangkutkan dibahu, dan berkaki ayam. Dia tinggi, kurus dan berkulit gelap. Sesekali aku terserempak dengan dia jauh dari tempat biasanya (sekitar Kg. Laut), atas jalan tar, berkaki ayam ditengah hari buta. Kuat sungguh.
Ketika di traffic light Tok Molor, lampu merah, aku berhenti menunggu giliran dan terpandang dia di tepi jalan. Biasa, dengan selempang dibahu dan berkaki ayam. Lama aku tengok dia berjalan, dan aku terfikir. Siapakah dia sebenarnya? Kenapa dia jadi begitu agaknya? Dulu dia berkerja sebagai apa? Kalaulah dia orang yang aku kenal (rapat), bagaimana agaknya perasaan aku melihat dia begitu? Terkejut, sedih atau jijik?
Adakah tekanan dalam hidupnya terlalu kuat untuk dia hadapi, sehingga dia menjadi gila, atau dia yang tidak kuat untuk menghadapi tekanan hidup? Ataupun, mungkin juga dia jadi begitu akibat kemalangan, kecelakaan. Kenapa pula keluarga membiarkan dia begitu? Ataupun dia sudah tiada keluarga?
Sungguh, macam-macam andaian yang menjengah difikiran aku. Siap boleh dikarangkan lagi menjadi telenovela. Hahaha... Biasanya, begitulah kalau aku ternampak orang kurang siuman. Perkara pertama yang aku fikirkan, Kenapa mereka jadi begitu?
Dikampung aku (dekat dengan rumah) ada seorang makcik, yang sudah kurang siuman jadinya. Aku kenal (agak rapat) dengan dia sebelum dia begitu. Dia baik, pandai mengaji, ramah dengan jiran tetangga. Macam-macam andaian orang kampung apabila dia jadi begitu, ada yang kata kena buatan orang (madu dia), arwah suami dia sendiri, tekanan dan lain-lain. Dia sakit, lama, sebelum akhirnya menjadi 'tidak betul' lagi. Kerap merayau (disekitar kampung), bermulut lancang, dan mengganggu majlis orang. Aku kasihan pada dia, sungguh kasihan. Dalam keadaannya begitu, dia masih pandai mengaji Quran. Kekadang aku terfikir, entah apakah yang berada di fikirannya, ataupun kosong semata-mata? Ataupun, dia sebenarnya sudah malas untuk berfikir tentang apa-apa, yang mengundang nestapa sahaja dalam hidupnya?
Update (06022012):
Tadi pagi ketika ke bank, dengan kawan sepejabat, kami nampak seorang lelaki 'kurang siuman' tidur di ruang kecil (semuat tubuhnya sahaja dengan kaki sedikit merengkok) di kaki lima deretan kedai disitu. Berseluar slack dan baju hitam berkolar. Rambut kusut masai.
'Agaknya dia muflis kot. Dan ditinggalkan isterinya, ataupun mungkin dia bujang terlajak. Dan dia tidak kuat seperti Ahmad Durrah, maka jadilah dia begitu', hati aku sempat mereka cerita.
Tamat.