Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum
Selalu aku biasa sahaja. Bulan kelahiran bukannya bulan yang penting sangat. Ianya sama sahaja dengan bulan-bulan yang lain. Bezanya cuma satu, Aisya akan beria-ria bertanya tarikh kelahiran aku, untuk mengingatkan diri dia sendiri. Selalunya, dia akan buat kad. Itu sahaja.
Yang lain-lain adalah biasa sebab aku bukannya rajin sangat hendak melayan orang berniaga. SMS masuk agak banyak dengan tawaran diskaun disana sini sempena bulan kelahiran. The Body Shop tawar 25% diskaun, Penny Pang Optometrics juga tawar diskaun yang tak tahu berapa peratus. Mydin Mall dan Watson nak bagi point lebih kalau berbelanja dengan sekian-sekian amaun. Herbaline tawar potongan sebanyak umur yang dicapai daripada harga asal. Satu pun aku tak kisah. Sebab aku sedia maklum, mesti ada terms and conditions yang kadang-kadang buat kita berbelanja lebih.
Bulan ini untuk tahun ini adalah bulan sakit. Tak, bukan aku yang sakit. Poket boss yang sakit, dan ianya memberi kesan kepada pejabat aku. Sebenarnya, bagi kami di syarikat kecil ini, kesan ini baru terasa. Almaklumlah, kami disini hanya ada beberapa orang sahaja. Overhead tidak terlalu tinggi. Sedang beberapa syarikat arkitek dan jurutera yang kami bekerjasama, semenjak awal tahun lagi sudah merasa peritnya. Ada gaji dibayar separuh-separuh, ada gaji yang tertunggak beberapa bulan, boss jual pejabat yang disewakan lepas satu, satu. Malah sampai juga ke telinga aku cerita seorang isteri menyerang boss suaminya yang seorang engineer kerana sudah 3 bulan suaminya tidak dibayar gaji. Mana lagi hendak mengadu kalau rumah yang baru diduduki perlu dibayar, kereta juga, lampin dan susu anak-anak lagi.
Aku belum sampai ke tahan itu. In sya allah, aku berdoa sungguh supaya rezeki untuk kami di pejabat ini masih ada. Kerja masih sangat banyak, dan projek-projek yang aku jaga masih berjalan. Tapi duit, sangat perlahan. Macam kata seorang kawan arkitek, boss-boss kita kat mana sangat hendak berhutang. Orang kerja kerajaan, tak perlu risau. Boss-boss mereka pun dibayar gaji dan elaun, tanpa perlu fikir kat mana nak cekau duit. Huh!
Dalam keadaan begini (ekonomi yang teruk!), aku tiba-tiba terfikir banyak benda. Sungguhlah, baru aku sedar, aku sebelum ini tak pernah risau pasal duit. Bukan sebab duit senang, tapi sebab aku hidup hanya seadanya. Orang kata, ukur baju dibadan sendiri. Aku tak rasa aku bermewah sebab aku bukan jenis yang begitu. Makan malam diluar, jarang sangat sebab kat Terengganu ni tak banyak pilihan untuk makan diluar. Setakat nasi goreng atau tomyam atau ikan bakar, kadangkala yang dibuat sendiri lebih sedap. Berjalan-jalan dihujung minggu, aku selalunya tak sempat sangat sebab masa aku akan dihabiskan dengan mengemas rumah, berus bilik air, masak-masak, menonton movie beramai-ramai di tv, berkebun sesekali, basuh kereta kalau rajin, dan macam-macam. Membeli barang dapur, aku bawa mak dan adik membeli belah selalunya sebulan sekali, dan kami akan bayar sedikit seorang. Misalnya RM300, seorang bayar RM100.
Membeli pakaian? Oh... seperti makanan juga, pakaian pun tak banyak pilihan di Terengganu ini. Kalau aku, memang aku tak tahu nak tuju ke mana untuk beli blause yang cantik-cantik. Baik pula aku sekadar jenguk monitor, window shopping secara online. Lagi banyak pilihan dan cantik pula.Cuma aku tak berani sangat beli online sebab kekadang baju yang dibeli tak selesa dipakai.
Semalam seorang kawan menegur di fb, bercerita kesusahan di pejabatnya yang merupakan kontraktor kelas A, tapi dah agak lama tak ada projek baru. Dia berpesan kalau ada kekosongan jawatan kerani di mana-mana tolong maklumkan pada dia. Boss dia sekarang sudah membayar gaji per hari dan meminta hanya seorang sahaja yang berkerja dalam seminggu. Nampaknya keperitan ini sudah semakin merebak.
Nampaknya aku kena fikirkan hal ini dengan serius. Aku tak ada suami, ada seorang anak yang sepenuhnya aku tanggung sendiri dan tahun hadapan akan masuk tingkatan satu. Mungkin ada yang kata tak perlu risau, sebab setakat ini kami masih dibayar gaji penuh. Ahh... cuba masuk dalam kasut aku, rasa sendiri kerisauannya sebelum banyak cakap!
Iklan
Oct 28, 2014
Oct 19, 2014
Bulan Kelahiran (1)
Bismillahirrahmanirrahim
Oktober
Aku tak tunggu
Aku tak hairan
tapi aku suka juga
terima ucapan
selamat hari lahir
ramai-ramai di mukabuku
walaupun mungkin
mereka hanya ingat sebab
mukabuku mengingatkan
Oktober
kad selalunya dari Aisya
hadiah pun
hanya dari dia
alhamdulillah
Oktober
aku ada kenal
dua orang tarikh lahirnya sama
13 oktober
tahunnya beza
dua-duanya lelaki
dua-duanya dipanggil man
seorang di Pulau Pinang
seorang di Terengganu
rajin, suka menolong, baik hatinya
Oktober
kali ini
bulan perit
kesan ekonomi
baru tersedar dan terasa
dan kena rancang segala
semula
Oktober
banyak hal berlaku
banyak cerita disitu
Subhanallahwalhamdulillah
Walailahaillallah Allahuakbar
Subscribe to:
Posts (Atom)