Iklan

Apr 7, 2015

Terima Kasih Kawan

Bismillahirrahmanirrahim

Sedar atau tidak, seseorang yang pernah muncul dalam hidup kita sebenarnya serba sedikit ada mengajar kita tentang kehidupan atau mungkin pernah mempengaruhi kita dalam sesuatu hal. Mungkin juga pernah memberi kita suatu pandangan yang berbeza tentang kehidupan. Seseorang itu mungkin misalnya isteri cikgu sekolah anak kita, jiran sebelah rumah sewa semasa kita pernah menyewa disuatu tempat, kawan serumah yang tidak 'sebulu' semasa kita menyewa beberapa bulan dirumah sewa sementara, dan mungkin juga abang jual burger di gerai burger yang selalu kita singgah!


Aku, ada semua kisahnya. Cuma ada yang aku suka nak ingat, dan ada yang aku malas nak ingat. Ada juga yang memang hendak aku lupakan. Akan tetapi bila difikir-fikirkan semula, ianya sebenarnya banyak memberikan aku pengajaran dalam hidup. Malah, pengalaman itulah yang menjadikan aku seperti sekarang, kurang emosi. Hahahaha..


Sedar tak sedar, dah 5 tahun aku bekerja di pejabat sekarang. Dan tahun ke enam aku di sini, mereka yang aku kenal semenjak aku pertama kali melangkah kaki ke pejabat ini, sudah meninggalkan aku keseorangan dengan kerja yang menimbun dan boss yang cerewet. Tapi, hey, boss mana yang tidak cerewet? Memandangkan aku dah berada di bawah ramai boss sejak tahun 1999 lagi, maka aku tak hairan sangat dengan tabiat seorang lelaki atau perempuan yang bergelar boss ni. Apa ada hal orang kata. Mereka pun manusia juga.


5 Tahun bersama, bila difikir-fikirkan banyak benda aku dipengaruhi mereka. Benda yang baik-baik, sebab mereka orang baik-baik. Alhamdulillah. Walaupun lima tahun itu kami tidak rapat sangat (seperti berkongsi hal peribadi atau berkawan diluar pejabat), sungguh aku rasa banyak perubahan berlaku pada aku biarpun bukannya 100% disebabkan mereka, sepanjang persahabatan kami. Di sini, aku belajar dengar bacaan quran dan ceramah-ceramah agama di youtube. Kami berkongsi ketawa dengar celoteh Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Kazim, ustaz yang selalu nyanyi lagu hindi tu, dan lain-lain. Kami bersama-sama mengagumi bacaan quran qari-qariah dari serata dunia. Kami berkongsi doa-doa yang baik untuk amalan. Berpakat print dan tampal untuk ingatan. Kami sama-sama mengamalkan gaya hidup sihat, seperti saling mengingatkan untuk bangun setelah lama duduk dikerusi mengadap pc dan tidak terus menghenyak punggung dikerusi selepas makan tengahari yang banyak. Saling mengingatkan untuk solat di awal waktu. Dan macam-macam lagi.


Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.

Cuma sayangnya seorang demi seorang (mereka bertiga) telah berhenti kerja sejak akhir tahun lepas. Ketidakpuasan hati dengan boss yang lama mereka pendam akhirnya tidak tertahan. Bab itu, aku tidak setuju sangat dengan mereka. Dan kerana itu aku masih di sini. Meladani hidup seadanya. Bersyukur dan berterima kasih.


Bila difikir-fkirkan, hidup kita ini banyak dipengaruhi oleh persekitaran kita dan dengan siapa kita bergaul. Bukan aku nak kata kawan-kawan yang pernah aku kenal jahat, tetapi aku sendiri manusia yang lemah sangat. Tak cukup kuat mempengaruhi dan lebih banyak dipengaruhi. Bagaimanapun, masing-masing ada bahagian mereka yang menjadi pengajaran. Ada sesuatu yang boleh difikirkan dan dipelajari. Tentang meladani hidup. Kerana, hidup ini tidak selalunya mudah. 





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...