Iklan

Aug 11, 2008

Kenangan.

Apabila terdengar lagu ini (Gadis Misteri oleh Amy search yang di'download' oleh Wan di pc aku), aku teringat balik zaman sekolah aku dulu-dulu, sekitar tahun 1989 sehingga 1991, di sebuah sekolah agama jauh di jalan kuala berang. Semestilah pada masa itu aku rasa sekolah itu sungguh jauh (hampir sejam dengan bas sekolah yang hampir setiap 10 minit berhenti mengambil penumpang!), kerana punggungku hampir sengal dalam sejuk cuaca pagi membonceng motor ayah apabila tertinggal bas sekolah.

Pada masa itu, ketika dalam perjalanan pergi dan balik dari sekolah, telinga aku akan dihidangkan dengan lagu-lagu rock zaman itu. Dan kebiasaanya lagu-lagu yang menjadi pilihan pemandu bas ialah lagu Search, Wings dan Ella. Sambil mendengar lagu-lagu itu, mataku pula dihidangkan dengan pemandangan sepanjang jalan yang berbukit, kawasan sawah padi, rumah-rumah kampung yang penuh dengan pelbagai jenis bunga di halaman, sehinggakan aku boleh hafal rumah-rumah dan pokok-pokok yang ada selama 3 tahun berulang-alik melalui jalan yang sama itu. Dan yang paling aku gemari ialah melihat matahari naik sekiranya kebetulan bas sekolah datang lebih awal (kebiasaanya ialah pada jam 6.20 pagi dan sekiranya aku terlewat walaupun seminit, aku akan ditinggalkan. Rumah aku selang tiga buah rumah daripada jalan raya) sekitar pukul 6.15 pagi dan aku akan sampai awal ke sekolah (hampir 7 pagi), kerana ramai yang ditinggalkan oleh bas sekolah. Jadi aku akan berkesempatan melihat matahari yang seperti bebolah api merah naik di celah-celah bukit dan pokok-pokok yang nampak kekelabuan. Pemandangan itu sungguh mengagumkan dan apabila aku meninggalkan sekolah tersebut kerana dapat melanjutkan pelajaran le tingkatan 4 di sekolah yang lebih baik di kawasan bandar, aku tidak lagi dapat melihat semua itu...

Dan sekarang pada Ogos 2008, semuanya itu telah berubah. Biarpun bangunan dan tempat aku berdiri menikmati cahaya matahari naik di waktu pagi itu masih ada, pemandangannya tidak lagi sama. Semakin banyak bangunan didirikan, dan hutan dan bukit juga semakin berkurangan.

Manusia juga berubah, biarpun wajah dan orangnya masih orang yang sama...

Aug 4, 2008

Hari yang malang dan suram

Terasa. Berjauh hati. Aku menangis teruk jugak hari ini. Betapa aku berkecil hati. Perkara-perkara yang berlaku ini membuat aku membuat pelbagai andaian. Aku hanya diperlukan ketika mereka memerlukan. Dan apabila, aku tidak lagi diperlukan, aku akan dibuang jauh-jauh. Tidak lagi dipeduli, apa lagi hendak mencariku. Salahkah andaianku? Atau salahkah aku kerana membuat andaian? Sedangkan, mereka yang tidak mahu aku membuat andaian-andaian itu, sepatutnya berterus-terang akan apa sebenarnya yang berlaku. Aku cuma manusia biasa, yang tidak mampu mentafsir secara total, tetapi hanya mampu menduga. Mampu berfikir dan merekacipta pelbagai andaian dan perkara, tetapi tidak akan mengetahui perkara yang sebenarnya sekiranya tidak diberitahu jawapannya!

Dan aku menangis lagi hari ini. Kerana kecil hati. Kerana berjauh hati. Dengan beribu soalan yang tiada jawapannya bermain diminda. Apa salah aku? Dimana salahku? Sewenang-wenangnya aku tidak dipedulikan lagi, seolah-olah aku manusia yang tiada hati dan perasaan.

Ogos..

Sudah lebih daripada setengah tahun berlalu bagi tahun 2008. Ogos sudah menjengah tiba. Cepat betul masa berlalu. Terfikir juga, apa yang telah berlaku sepanjang awal tahun ni. Kerja, kerja, kerja. Aku sedar, kekadang orang yang melihat, atau yang mendengar (apabila aku bercerita), pelik dengan aku yang berkerja selalunya sampai ke malam hari (biasanya, setiap pukul 9 malam aku pastikan aku sudah berada dirumah melayan dania, atau menonton tv). Tapi, kalau aku balik awal ke rumah, aku rasa bosan. Aku akan melayan rasa letih, dan mungkin tertidur! Aku rasa aku membuang masa. Jadi kerana itu, aku menghabiskan masa di pejabat (sekarang aku banyak kerja sangat!) sehingga jam 8 hingga 8.30 mlm. Kadangkala, bila dah sampai rumah, dah mandi, makan dan rehat sekejap, aku akan kembali segar dan bertenaga, dan seterusnya akan meneruskan kerja sehingga jam 1 pagi. Tidur, dan esoknya rutin yang sama akan bermula lagi sehinggalah kerja-kerja yang sedang membebani ini siap sepenuhnya.

Selepas itu, aku akan boleh relaks sedikit dalam kerja seharian. Menjenguk site, discuss dengan site supervisor, mengambil dania pada waktu petang dan membawa makan aiskrim sebagai upah menjadi 'good girl', dan ke taman permainan. Dan perancangannya, lepas siap kerja-kerja mengisi tender ni, aku nak pergi kuala lumpur, last shopping before ramadhan dan raya!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...