Iklan

Feb 14, 2011

Kegigihan itu lagi.

Suatu ketika dahulu, saya pernah gigih untuk perkara yang sama. Setiap petang bermandi keringat secara alam maya. Membanting tulang yang banyak kerat tanpa kenal erti putus asa. Hujan dan panas sudah tidak memberi apa-apa makna. Ribut dan petir sahaja yang sedikit menggugat jiwa.



Gigih sungguh, dan akhirnya penat lelah titik peluh yang mengalir berbayar dengan kejayaan, iaitu mendapat apa yang diinginkan. Berbaloi dan hati puas,



Cerita itu disini.




Sekarang... ianya hendak dibesarkan begini.




Nampak tidak disitu bahawa saya memerlukan empat juta syiling dan seramai 7 jiran lagi.



Sebut pasal jiran, sedih juga rasa. Jiran istimewa itu sudah tiada di senarai kejiranan. T___T

Feb 13, 2011

Kebiasaan itu adalah permulaan kepada sesuatu

Setiap hari pada jam enam petang, seorang kanak-kanak perempuan pasti menjadi pengunjung tetap kolam yang tenang itu. Kata orang, kolam yang tenang jangan disangka tiada gelora. Begitulah ibaratnya kolam itu, setenang-tenangnya, banyak keluarga ikan yang menghuni dasarnya. Beranak-pinak dan bersilih ganti menjadi mangsa pemancing terlarang. Maka disitulah si kanak-kanak itu menghabiskan waktu petangnya membaling roti putih sebagai makanan percuma.



Kiranya, ikan-ikan sudah kenal tuan punya cebisan roti putih yang mengenyangkan perut mereka setiap petang. Agak-agak jam berapa berapa, maka berduyung-duyung dan berbondong-bondonglah mereka timbul ke permukaan mencari kelibat si kanak-kanak pemurah hati.



Petang yang indah itu, kala matahari mula samar di ufuk barat, timbullah ikan-ikan itu di tempat yang selalunya. Melingas-lingas mencari bayang si pemberi rezeki. Tiada. Tidak sehingga ke waktu-waktu seterusnya, hingga matahari mengucapkan selamat malam dan ikan-ikan itu terpaksa berenang ke dasar, menahan lapar dan tertanya-tanya. Kemanakah gerangannya kamu wahai si comel? Tidak muncul pada hari ini, sedang kami mula rindukan roti putih kamu. Kami sudah biasa begitu, dan hari ini kamu pecahkan kebiasaan kami. Sampainya hati kamu. Tidurlah mereka dengan perut yang kosong, perasaan yang rindu dan hati yang berduka.



Sedangkan kanak-kanak itu kebetulannya barangkali ada hal yang perlu disudahi. Misalnya tiba-tiba emaknya meminta tolong dia menjaga adiknya pada petang itu kerana si emak perlu menolong jiranan membuat persiapan kenduri. Misalnya kerja sekolahnya terlalu banyak sehinggakan belum siap-siap lagi di petang yang permai itu. Atau barangkali juga dia telah pergi, dan tidak akan kembali lagi, tanpa dia sedari bahawa sepeninggalannya, ada yang berduka dan ternanti-nanti.


Sedih juga kan.

Feb 12, 2011

Hari yang tidak sepanas biasa

Biasanya hari panas yang amat dengan langit terang membiru dan paginya sejuk dengan kabus tebal. Keadaan yang membuatkan perlu berhati-hati memilih pakaian untuk ke pejabat kerana jika tersilap pilih baju kononnya untuk menahan sejuk di pagi hari tetapi bila tengahari terkial-kial menahan panas. Ya, itu sekiranya keluar dari pejabat. Mujurlah untuk sementara waktu ini, kerja luar adalah sangat dan hampir tiada.

Bagaimanapun hari ini bermula dengan cuaca kurang menyenangkan tetapi alhamdulillah, perlu sentiasa bersyukur juga, angin sejuk bertiup agak kencang untuk mengeringkan kain jemuran. Langit tidak secerah biasa, kerana dilindungi awan-awan gelap bertompokan.

Bacaan novel tidak lancar lagi kerana terganggu oleh kerja yang memerlukan perhatian. Rela dalam paksa boleh diibaratkan. Tetapi kerana mahu menjaga persahabatan dan reputasi juga, maka diteruskan. Kerjanya tidak susah pada saya, dan memang saya suka. Cuma apabila memakan masa dihujung minggu begini yang kurang saya gemari. Saya luahkan semua rasa. Biar sahabat tahu, dan tidak saya hipokrit.

Permisi dulu, perlu tumpukan sebentar pada microsoft excel kerana sudah terbayang-bayang kerja yang belum siap itu. :)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...