Iklan

Jan 31, 2012

Penutup Januari 2012

Bismillahirrahmanirrahim....

Cepat sungguh masa berlalu. Sedar-sedar dah dipenghujung bulan pertama dua ribu dua belas. Esok dah masuk bulan ke dua. Tak sempat kononnya nak membanyakkan entri bulan ini. Hanya sembilan entri dan ada dua draf yang tak siap-siap. :P

Sebelum masuk February, aku nak buat entri ringkas tentang perjalanan bulan Januari aku. :D

1. Semalam telefon rumah tiba-tiba langsung tak ada line. Dah tukar kabel, tukar telefon dengan telefon lama, buat direct line, pun langsung tak ada bunyi. Internet (streamyx) ok jer, tak ada masalah. Akhirnya telefon tm, buat report kerosakan.


2. Sejak astro dipotong penghujung Disember lepas, dan Januari berjalan tanpa siaran astro di rumah, kami (semua ahli keluarga yang tinggal dirumah) sudah jarang lepak depan tv di atas. Biasanya tengok tv di dapur sahaja sambil makan malam. Kalau ada drama, sehingga habis drama jam 10, baru naik ke atas. Itu pun terus masuk bilik. Aisya buat kerja sekolah di mana sahaja mama berada. Di dapur atau di dalam bilik. Sesekali ayah menguasai lembek depan tv di atas sambil menonton Hindustan malam khamis di tv2 atau mega movie hari jumaat, ditemani emak seorang.


3. Bil elektrik bulan Januari tidak sampai RM40! Alhamdulillah. :D


4. Sesekali pada hari Jumaat, aku kembali melayan cd-cd lama cerita Hindi, dan juga cd Yoga, Aerobic dan Let’s Get Dance with Paula Abdul di tv di ruang tamu di depan. Ruang itu kembali bernyawa semenjak keputusan astro. Hehehe... Atau layan cerita-cerita baru di computer sahaja, sambil makan jajan dengan Aisya.


5. Laptop rosak (lagi!)... Dah kali yang berapa ntah. Kali ini berkemungkinan sebab motherboard rosak, kata cik. Sebab, skrin blackout terus walaupun lampu power menyala. :( Duit lagi!!


6. Baju Tunas Puteri, lengkap dengan seluar hitam dan tudung hitam, semua sekali habis hampir RM70 di hujung-hujung bulan. Walaupun seronok sebab tengok Aisya bersemangat, nampaknya bulan ini memang banyak sungguh habis untuk persekolahan dia (berbanding masa dia di Tahap 1).


7. Dalam duit banyak habis untuk bulan pertama persekolahan Aisya, sempat lagi mencelah bawa Aisya gi KL masa CNY baru-baru ini, jalan-jalan ke I-City Shah Alam, Butterfly Park dan Planetarium Negara. Sungguh ni, kalau jalan-jalan KL (guna kereta adik of course) dan tidak shopping sakan, tidak banyak sangat ongkos yang dikeluarkan. Petrol campur tol untuk pergi dan balik KL - K.TRG, lebih kurang RM200.00 sekiranya menggunakan Persona. Ya, aku lebih yakin dengan keupayaan sendiri memandu berbanding menggunakan pemandu (bas) sejak banyak sangat kes kemalangan melibatkan bas ekspress.


8. Aku dalam proses meninggikan kesabaran untuk beberapa perkara yang selalunya membuatkan aku naik hot, seperti Aisya berat mulut menyahut apabila dipanggil dan kelakuan sesetengah pemandu kereta atau penunggang motosikal dijalan raya yang kekadang mengundang amarah yang bukan sedikit.


9. Sempat mengunjungi SPA Herbaline membuat facial pada harga promosi iaitu RM38.00, setelah bertahun tidak melakukan facial! Sebenarnya dah lama usha, tempat itu dekat sahaja dengan pejabat, tapi tak pergi-pergi juga. Inipun gara-gara mek yang bercerita betapa bagusnya perkhidmatan yang diberikan (dia ke sana atas ajakan kawan-kawannya), maka aku bergegas mengambil peluang itu.


10. Dah agak lama aku rasa kain yang aku pakai ketat di pinggang. Aku duk fikirkan kain itu sudah lama, mengecut barangkali (langsung tidak memikirkan kemungkinan pinggang aku yang semakin naik ukur lilitnya), sebab aku jenis yang sangat susah nak baik berat badan. Ha.. ambik kau! Malam tadi naik penimbang, berat dah hampir mencecah 50kg! Sungguh, masih tidak percaya pada mata, dengan berkata alat penimbang itu selalu tak betul. Pagi-pagi naik penimbang lagi, dan kali ini kena akur. Berat dah naik!!! T___T


Ok.. itu sahaja penamat cerita Januari ini.

Jan 18, 2012

Aku berdebar

Satu

Baru mendapat berita kawan sepejabat terlibat dengan kemalangan, yang mengakibatkan 4 orang maut. Alhamdulillah, umurnya masih panjang walaupun keretanya teruk juga. Dia sms aku tadi, beritahu dia accident, dan aku tidak dapat menahan diri daripada terus mendail nombor dia. Katanya, baru selesai buat report di balai polis, dan baru mahu pulang sejak petang tadi. Mesti dia letih sangat, dan terkejut semestinya. Aku berdebar mendengar ceritanya, apatah lagi dia sendiri. Ya Allah, tenangkan hati sahabatku itu.


Dua

Aku sedang melayan karya Ramlee Awang Murshid, bertajuk Ungu Karmila. Pertama kali aku membaca novel seram sebegitu, pertama kali juga novel karyanya. Novel yang dipinjam di public library 2 minggu lepas. Bukan bosan dengan novel cinta, cuma sekadar mencuba genre baru. Kalau boleh 'masuk' dengan aku, lainkali boleh cuba lagi. Setakat hampir 150 mukasurat ini, ada debaran terasa. Seram sejuk juga ada. Sesekali macam tidak mahu meneruskan, tetapi rasa ingin tahu kesudahannya, mengatasi rasa takut. Ada hampir 400 mukasurat lagi untuk habis.


Cukup catatan ringkas malam ini. Titik.

Words on Wednesday

Bismillahirrahmanirrahim....

Semangat masuk pejabat hari ini. Dalam baju kurung kain kapas, berbunga-bunga kecil warna merah samar latar putih.

Sebab...

Hari ini boss tidak akan seharian di pejabat, kalau masuk pun mungkin sekejap sahaja. Pagi. Aku boleh membuat kerja (dan relaks) dengan senang lenang. :D


Oh, jap jap. Nak isi borang cuti. Ahad ni nak cuti. Cuti pertama untuk tahun 2012.
.
.
.
Siap. Jumpa satu blog ini, ralit membaca entri-entri pendek yang sangat pendek, tetapi setiap perkataan ada maksudnya. Sedap pulak membacanya. Oh, rupa-rupanya Nizamsani ni blogger terkenal. Aku jer yang tidak kenal. Ada waktu-waktunya aku rasa seperti katak dalam bilik air di rumah, memang luas berganda dari bawah tempurung, tapi antara dinding-dinding yang sama, empat segi. Sesekali keluar, disepak atau dikais penyapu.


Rancangnya nak naik ke KL, tapi teringat mungkin Aisya ada exam dalam tempoh terdekat. Biasanya awal tahun ada exam atau test. Tanya dia. 'Tak tahu, cikgu tak cakap apa-apapun'. Internet kat depan mata setiap hari. Aku surf, cari jadual exam sekolah rendah tahun 2012. Jumpa ini. Aku dah tanda siap-siap pada kalendar baru atas meja. Boleh pergi KL, TOV atau Ujian Pengesanan bermula 29 haribulan. Sempat lagi buat study week sebelum ujian.


Takut. Aku masih penakut seperti kata Yuna. Maka aku layan lagu ini hari ini.





Titik
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...