Malam semalam merupakan malam nisfu syaaban. Alhamdulillah, solat sunat nisfu syaaban dan 3 kali bacaan Yasin selamat disempurnakan. Semoga Tuhan memanjangkan umur, dilimpahkan rezeki yang halal dan dikuatkan iman. Semalam juga cuti sekolah bermula. Banyak kenduri kahwin yang perlu dihadiri. Perkara biasa apabila cuti sekolah bermula. Ramai yang mengambil kesempatan untuk mengadakan kenduri kahwin. Dan untuk aku, nampaknya Tuhan masih tidak mengingini dan membenarkan perkara tersebut berlaku dalam tempoh yang terdekat ini. Aku pasrah. Biarlah.
Dua minggu lagi, ramadhan akan menjelang tiba. Dan pada mata seorang aku, sudah terbayang-bayang ramadhan yang telah berlalu pada tahun-tahun sebelum ini. Ramadhan ketika aku bergelar seorang isteri dan bakal ibu (pada masa itu kandunganku berusia 8 bulan). Ketika itu tahun 2002 (tahun pertama aku bergelar seorang isteri) dan aku sempat merasa berpuasa, berbuka puasa, bersahur dan berhari raya dirumah keluarga mertua. Oppsss.. terlalu banyak kenangan yang cuba aku lupakan, mungkin kerana aku tidak mahu bersedih mengenangkan kenangan yang pernah membahagiakan itu.
Ramadhan tahun 2003, of course ramadhan yang paling menggembirakan disamping permata hatiku, biarpun terselit peristiwa yang paling memeritkan dan meninggalkan kesan sepanjang hayatku. Dania pada masa ini, sudah boleh berdiri jatuh. Adakalanya ketika aku bangun untuk bersahur, dia akan turut terjaga apabila dirasakan sudah tiada siapa disisi menemaninya tidur. Dia akan menangis, dan aku atau ayah, yang mana sudah habis makan dahulu, akan cepat-cepat meluru mendapatkannya. Selepas itu, dia susah untuk tidur semula dan adakalanya, dia baru tertidur semula ketika aku sudah bersiap-siap untuk pergi kerja.
Ramadhan 2004, masih seperti ramadhan pada tahun sebelumnya. Cuma, Dania ketika itu sudah pandai bangun sendiri dan mencari di mana mama dia. Tup, tup, dia sudah tercegat di lorong yang menuju ke dapur. Tahun 2005, aku berpuasa di skudai, johor. Kembali bergelar pelajar, pada masa yang sama pekerja separuh masa di Secret Recepi. Seperti biasa (seperti ketika tinggal membujang di kuala lumpur beberapa tahun sebelumnya), aku jarang bersahur dan biasanya cuma bangun untuk minum air sahaja. Bagaimanapun, kerana galakan secara tidak langsung sahabat serumah (adik Aishah) yang rajin bangun bersahur, maka rajin jugaklah aku join dia dan azza, makan sambil menonton video cd.
2006, ramadhanku sebagai penganggur lepasan sarjana (hehe..). Dania pada masa ini adakalanya bersahur bersama-sama aku, mak, ayah dan cik (adik aku). Memandangkan ketika itu aku tidak bekerja, maka aku banyak menghabiskan masa dengan mengaji al-quran (sudah lupa samada aku sempat mengkhatamkannya atau tidak pada tahun tersebut), dan pada ramadhan tersebut juga, aku sempat belajar menjahit 'tikam leher' dan menjahit manik pada baju kurung Dania.
Ramadhan tahun lepas, aku sudah berkerja di sini dan projek terbesar syarikat ini sedang rancak berjalan. Banyak undangan berbuka puasa dengan supplier yang aku hadiri, dan hubungan aku dengan seseorang juga sangat baik ketika itu, biarpun banyak juga dugaan-dugaan yang menguji kesabaran berlaku. Dania sedang bersekolah tadika dan dia biasanya tidur lena ketika kami sekeluarga sedang bersahur. Kemudian, bangun pagi seperti biasa (jam 6.30 pagi), mengejutkan aku yang baru sahaja terlena kembali selepas solat subuh. Bayangkan...
Pastinya ramadhan yang bakal menjelang ini, aku mengharapkan yang baik-baik sahaja. Dan berikut ialah senarainya.. hehe..
1. Perbanyakkan ibadat dan membaca al-quran (kalau boleh biar khatam!)
2. Mengurangkan pembaziran (biasanya yang ini berjaya, sebab aku dan keluargaku memang jarang makan banyak)
3. Mengajar dania dan mak mengaji quran, Insyaallah.
4. Mengurangkan persediaan untuk menyambut raya (untuk Dania sahaja tak ape sebab dia masih budak kecik) contoh baju raya dah cukup dengan yang ada, dan kek dan biskut tak payah buat, cukup dengan yang adik (suri) dah tempah.
5. Memasak sendiri! Aku dah jarang masak sekarang sejak sibuk dengan tender ni. Dah lama aku tidak membuat puding, dan kek yang terakhir aku buat ialah kek strawberi selepas balik dari cameron highland pertengahan bulan lepas.
Okay, cukuplah dulu senarai perkara perancangan untuk ramadhan tahun ini. Nanti akan ada pula perancangan untuk menyambut hari raya yang sederhana.. hehe..
Anak kecil main api
ReplyDeleteTerbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang
Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap diarus zaman
Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ketangan yang lain
Peribumi merintih sendiri
Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang
Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri
Kita sudah tiada masa
Majulah dengan maha perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayukan gagah dinusantara
Pesal tetiba jadi patriotik ni ek.. ooo.. Bulan Kemerdekaan..ok. Boleh diterima. Hehe..
ReplyDelete