Iklan

Sep 2, 2008

Second day of Ramadhan 1429H

Seperti biasa, sahur bangun jam 4.45 pagi. Minum air 3 mug (satu mug milo + 2 mug air masak), biskut fibre 2 keping, pil-pil yang kena telan, dan kemudian back to sleep. Tinggalkan mak, ayah dan adik mengadap nasi panas dengan lauk yang dimasak sebelum berbuka semalam. Jam 6.30 pagi bangun solat subuh, mandi dengan Icha (Dania Aisya.. :D) dan bersiap untuk hantar Icha ke tadika dan terus ke pejabat. Petang ini, memandangkan bulan puasa boss bagi balik awal (jam 3.30 petang), boleh pergi ambik Icha kat tadika dan balik rumah, masak. Menu apa yer, untuk berbuka hari ini.. ermm..

Sebenarnya aku sedang cuba mengingati kembali novel-novel lama yang pernah aku baca masa di universiti dan sekolah dulu. Novel-novel yang sangat meninggalkan kesan dan menyentuh perasaan. Ini adalah kesinambungan daripada ketidakpuasan hati kepada penamat cerita 'Tangisan Bulan Madu' yang disiarkan di RTM baru-baru ini. Drama yang diadaptasikan daripada novel Shamsiah Mohd Nor itu, memang menjadi drama wajib tonton pada aku baru-baru ini. Kebetulan pula novel itu daripada yang pertama, sehingga buka 3 telah kumiliki. Buku yang pertama seingat-ingat aku, aku baca masa sekolah dulu. Sekitar tahun 1992 - 1993 ketika di tingkatan 4 atau 5 dan menginap di asrama Sekolah Menengah Agama (atas) Sultan Zainal Abidin. Buku itu kepunyaan kawan aku, dan kami ramai-ramai di dorm yang sama menunggu giliran dengan sabar, untuk membaca buku tersebut. Sekitar tahun 1999-2000, aku telah membeli buku itu (cetakan yang keberapa entah) dengan duit gaji sendiri ketika bekerja di Kuala Lumpur. Aku ingat lagi, buku itu aku beli di sebuah kedai buku di stesen bas pudu. Buku yang ke-2 dan ke-3 juga aku beli di Kuala Lumpur, tapi sudah lupa di mana. Akan tetapi buku ke-4 tak beli! Ketika aku mendapat tahu, buku Tangisan Bulan Madu 4 keluar di pasaran, aku sedang sibuk barangkali, jadi aku bertangguh-tangguh untuk membelinya. Dan sekarang, memandangkan aku tidak berpuas hati dengan penamat drama itu, aku tercari-cari semula buku yang ke-4 tu! Kat mana aku nak cari. Salah satu kedai buku yang terbesar di terengganu ini telah aku terjah ketika awal siri itu disiarkan, tetapi tidak berjumpa. Aku terfikir pula untuk mencari di internet. Sambil tu, sempat jugalah mengingat-ingat kembali novel-novel lama yang pernah aku baca, dan sudah lama ingin kukumpul untuk dijadikan koleksi.

Antara yang masih aku ingat, novel Ombak Bukan Biru dan pengarangnya Fatimah Busu. Aku dah lupa langsung apa ceritanya, tetapi aku masih ingat ceritanya yang sangat menyentuh perasaan dengan ayat-ayatnya yang sungguh puitis. Aku tahu novel itu novel lama (aku baca buku itu pada tahun 1996). Teman seasrama (Mek Ta - orang Kelantan) yang mengambil jurusan pendidikan sastera (seingat-ingat aku la), meminjam buku itu daripada library USM untuk pembelajaran dia. Dan aku (yang sememangnya hantu novel!) terus mengambil kesempatan meminjam buku itu dari dia, dan membacanya. Daripada novel itulah aku baru tahu negeri kelantan digelar 'tanah serendah sekebun bunga'.

Dan, aku masih ingat lagi novel-novel yang aku pinjam di library itu. Antaranya yang sangat aku suka, novel-novel Arena Wati seperti Kuntum Tulip Biru, Sakura Mengorak Kelopak dan Bunga Dari Kuburan. Aduhai, aku teringin sangat untuk membaca lagi novel-novel itu. Tetapi, di mana aku nak cari yer... ermm..

Banyak lagi novel-novel lama yang teringin aku kumpul kembali, termasuk buku cerita mek (kakak aku) yang aku ulang-ulang baca semenjak aku pandai membaca sehingga buku-buku itu hilang dipinjam oleh sepupu-sepupu aku. Memang, aku membesar dicelah-celah timbunan buku-buku cerita mek yang banyak itu. Aku membesar dengan angan, impian dan harapan yang aku perolehi daripada buku-buku itu. Salahkah aku....

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...