Sebenarnya...
Saya sangat terasa. Jauh disudut hati saya. Saya sangat berjauh hati. Siapalah sangat saya ini kan. Saya tahu saya bukanlah cantik sangat. Cantik pun tidak, apatah lagi cantik sangat. Gelap, dan bukannya cerah macam anak jepun yang comel, mata sepet, hidung penyet, dan rambut pendek hitam pekat (masih dikategorikan comel sebab kulit putih melepak). Saya rendah, bukannya tinggi lampai macam tiang lampu yang berjalan secara kucing (catwalk) di atas pentas peragaan. Saya pun bukannya muda lagi macam gadis-gadis remaja 20-an yg tidak tahu masih gadis ataupun tidak itu.
Saya sedar, saya tidak punya apa-apa. Bukannya orang kaya yg ada harta berjuta. Yang ada cuma Si Kancil saya yg masih sudi membawa saya ke sana ke mari. Buatan Malaysia sahaja, bukan buatan hebat dari Jepun. Saya cuma seorang pekerja biasa. Bekerja pula cuma dengan syarikat yang hidup segan, mati pun segan ini. Ya, saya bukannya bekerja dengan kerajaan yang menjamin masa depan, yg tidak pasti bagaimana lagi walau untuk sesiapa sekalipun. Bukan juga kerja glamour seperti artis atau berkerjaya hebat seperti doktor yg selalu sibuk itu tapi bergaji lebat itu. Gaji saya ciput sahaja, cukup-cukup untuk makan pakai saya dua beranak dan untuk sesekali pergi bercuti. Tidak mungkin mengcukupi untuk bermewah dengan orang ketiga.
Saya tidak akan bertanya jika mereka tidak mahu bercerita. Saya tidak mahu mengandaikan yg bukan-bukan sebab saya rasa ianya tidak elok dan mungkin Tuhan tidak suka. Saya berteka-teki dengan persoalan yang tiada jawapannya disebalik semua kiasan dan isyarat yg diberikan, dan saya tidak kisah kerana saya tidak mahu mengambil kisah.
Saya cuma manusia biasa. Punya sekeping hati walaupun mungkin hati itu sudah sering dicampak-campak, dipijak-pijak. Saya tidak tahu hati saya bersih atau kotor akibat sering tidak dihargai sebab pada saya hanya Tuhan yg tahu hati saya bagaimana.
Tetapi sungguh. Saya sangat terasa. Saya tertanya-tanya kenapa Tuhan tidak memberi peluang untuk saya bahagia seperti mereka, walaupun saya tidak tahu mereka bahagia ataupun tidak. Saya tertanya-tanya kenapa Tuhan memudahkan jalan untuk mereka, sedangkan untuk saya semuanya susah dan berliku. Dan sungguh, saya tertanya-tanya dimana dan apakah salah saya hingga hati dan perasaan saya seolah-olah tidak wujud lagi pada mereka.
Saya jadi malu. Malu pada orang sekeliling yg tidak tahu apa-apa. Saya rasa tersindir. Pada ungkapan biasa tapi entah kenapa saya rasa berbisa. Saya berasa sedih. Pada sesuatu yg saya tidak tahu apa dan tidak faham kenapa. Saya rasa hendak meluahkan segala yg terbuku didada, kemarahan yg membekam dirasa, tetapi tidak tahu dimana dan bagaimana.
Jadi, inilah. Dan beginilah.
tabahkan hati.........
ReplyDelete