Iklan

Jun 30, 2014

Dah Ramadhan dah!

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Selamat berpuasa semua. Dah hari kedua kita berpuasa yer. Cepat benar masa bergerak zaman sekarang ni kan. Rasanya baru saja lagi aku beraya dengan baju kurung Vietnam.. eh! Hahaha.. sebenarnya baju kurung bling-bling yang dua helai aku beli kat Vietnam tahun lepas, dan pakai masa raya tu, baru hari ini aku ulang pakai untuk kali kedua. Nampak sangat aku tak suka pakai kan. Bukan sayang tau. Tapi memang aku kekadang kalau sayang satu satu baju tu, pun aku jarang pakai. Mungkin juga sayang tu sebenarnya nak tutup kecewa dengan ketidakselesaan baju yang kononnya disayangi itu. Faham tak apa aku cuba terangkan ini?


Tapi, baju kurung Vietnam ni, aku tak sayang sangat pun. Bling-bling ni semua, really not me. Bukan setakat baju, tudung pun. Sebab utama aku tak ulang pakai baju kurung ni, kainnya yang entah apa-apa. Kain susun yang besarnya muat untuk orang saiz xl padahal baju kurung tu saiz s. Aku pakai hari ini pun selepas dah berapa bulan dah mak aku buka dan jahit semula kain ni. Sayang juga tengok baju ni tergantung tak terusik. Sepasang lagi, selamat berlipat elok dalam almari entah apa cerita. Hehe...


Sempena Ramadhan, aku dah selamat pindah pejabat. Puasa tahun ini bermula di tempat baru, bangunan lama betul-betul depan masjid terapung. Tak jauh pun sebenarnya dari pejabat lama aku. Kami kena pindah sebab pejabat lama telah dijual oleh pemiliknya dan pemilik baru mungkin nak guna tempat tu. Perasaan? Walaupun bangunan ni dah agak lama berbanding bangunan pejabat dulu, rasa gembira berpindah ke tempat baru tu tetap ada. Memang kelam kabut dengan segala fail dan dokumen bagai kan. Tapi seronok pula menyusun atur semula segalanya di tempat baru. Yang pasti, dengan berpindah, banyak betul dokumen dan drawing yang dibuang juga. Terlalu banyak, hinggakan aku tak sanggup nak tolong kemas sangat. Kalau aku tolong, teruk jadinya sebab aku suka baca semula apa yang hendak dibuang. Kalau aku tolong, sebulan aku rasa tak siap-siaplah kami berkemas. Makanya aku kemas bahagian aku sahaja. Hehe...


Banyak hal pula yang macam terkumpul dan tertolak ke bulan ini untuk diselesaikan. Hal-hal personal seperti menjahit baju sendiri, dan hal-hal kerja termasuk kerja luar yang bagaikan rezeki tersepak tetapi memerlukan pengorbanan masa, yang memang selama ini aku memang susah nak korbankan. Mungkin bagaimanapun ianya boleh tutup semula duit yang keluar untuk tayar kereta yang kena ganti pagi tadi, dua biji. Dan rancangnya, dekat nak raya nanti la kot (bila dapat gaji lagi.. hahaha) untuk dua biji yang belakang pula. Dah namanya pakai kereta, dah 4 tahun plak tu, jangan pula nak bersungut nak kena tukar tayar kan. Kalau tak nak tukar tayar mahal-mahal, engkau jalan kaki jer pergi kerja. Kan.


Macamanapun cerita aku, orang lain aku pasti ada macam-macam lagi cerita. Cerita suka, duka juga. Sama-samalah kita berdoa, semoga Allah permudahkan urusan kita semua. 


 


Jun 12, 2014

Hujan, Alhamdulillah...

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...



Alhamdulillah
lebatnya hujan yang sedang mencurah di luar
bagai beribu tempayan sedang ditonggengkan dari langit sana
licin segala debu dijalanan
pokok-pokok pun melintuk liuk bersorakan
sedapnya bermandi hujan

aku mampu mengintai ikut celah tingkap
bagai anak dara mengendap anak teruna 
terliur pada sejuk yang tersebar
tertarik pada lopak yang makin membesar

 teringat mak kata
beberapa hari lepas
ada orang tadah air hujan yang jatuh pada hari pertama
selepas kemarau panjang
kononnya boleh dijadikan ubat
untuk macam-macam penyakit

mak!
hujan yang pertama tu,
berpenyakit mungkin
kumpul segala debu yang lama berterbangan
yang bersatu dalam udara panas
ish.

Ya Allah, 
bersama hujan ini,
semoga turun sekali rahmatMu
keatas kami
amin.
 


 


Kurma dan Ramadhan!

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Bulan ramadhan akan menjelang lebih kurang 2 minggu sahaja lagi. Semalam aku tengok bulan di langit dah hampir penuh, cantik mencerlang di langit petang. Dalam 2, 3 hari lagi penuhlah bulan itu. Aku main agak sahaja tarikh bulan islam sebab malas membelek kalendar. Bulan orang putih pun aku jarang ingat berapa haribulan kalau tak mengadap pc dan menjeling tarikh di sudut monitor. Kurang makan kismis aku ni, selalu lupa!


Malam esok nisfu syaaban, kan. Harap-harap aku ingat tentang ini esok. Lagipun niatnya nak puasa esok, buat teman anak dara yang sedang menghabiskan ganti puasa. Itulah, aku ajak puasa awal-awal dulu, banyak saja alasannya. Sekarang, dah kesuntukan masa gini, tak payahlah nak bermalas-malasan lagi anakanda yer.


Sabtu, rancangannya nak buat sedikit kenduri tahlil. Tapi buat di surau sahaja, bungkus makanan siap-siap dan diagihkan selepas siap tahlil. Di rumah, hanya panggil saudara mara untuk makan-makan. Kami jarang sangat buat makan-makan ni. Sesekali buat seronok juga. Menu makan kali ini, sama seperti bulan Januari lepas, ketika buat sedikit doa selamat. Tahlil malam, orang tak makan banyak. Tak nak buat yang renyah-renyah dan menyusahkan. Pulut kuning dengan rendang ayam! Dan kurma! Sebab dah dekat nak ramadhan kan.


Oh ya. Mulai ramadhan ni, aku berniat nak belajar makan kurma. Biar aku mampu makan kurma banyak-banyak. Aku tahu kurma ni makanan sunnah yang sangat elok dan banyak khasiatnya, tapi aku ni jenis yang kurang makan benda-benda manis. Kalau makan kurma, sebelah pun dah susah aku nak telan. Sama dengan kismis yang manis tu pun. Susah benor nak tertelan dek tekak aku yang satu ni. Kek buah yang banyak kismis tu, sekadar nak rasa bolehlah bagi kat aku. Tapi kalau buah anggur, hijau terutama, sambil memandu kereta boleh habis seplastik tu aku bedal. Suka sangat!


Aku tak nak taip pun kelebihan kurma, banyak sangat kat internet. Google jer.

Sekitar tahun 80-an dulu, di Sek Keb Tok Dir, Kuala Terengganu, ada sebatang pokok kurma dalam taman sekolah. Aku tak ingat dah guru mana yang tanam, atau tukang kebun mana. Tapi aku masih taman itu. Taman disebelah pintu masuk utama ke sekolah itu, agak luas dengan banyak pokok-pokok bunga di tanam. Hampir dengan pagar itulah pokok kurma itu di tanam. Bertahun pokok tu di situ, tidak berbuah walaupun sekali dan perubahan demi perubahan berlaku di sekolah itu. Akhirnya taman pun dah ke mana, pokok kurma pun ditebang.

Sekarang, sesekali bila teringat, aku akan bagitau Aisya, 'dulu kat situ, pernah ada pokok kurma'.

Jun 10, 2014

Perubahan Seorang Kawan

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Dia, jauh bezanya dengan aku. Bagai langit dengan bumi mungkin. Tapi entah bagaimana, dalam perbezaan kami yang ketara, kami menjadi sangat rapat. Lama, sejak lama dulu. 1994, ketika matrikulasi satu di Taiping, Perak.

Dia pandai bersosial, bijak orangnya, cergas dan yang paling aku kagumi, dia seorang yang tahu apa yang dia mahukan. Jauh sangat dengan aku yang pemalu memanjang, tak pandai bergaul sangat, dan selalu kabur dengan arah tujuan.

Mungkin kami sama dalam satu hal sahaja, musik. Aku minat musik, dan dia pandai main alat musik. Hehe...

Memang kami jarang berhubung sekarang, tapi kami sentiasa boleh bercerita seperti dulu-dulu bila kami sesekali bertegur sapa di yahoo massenger atau facebook. Satu-satunya kawan aku yang masih begitu dengan aku. Dengan orang lain, aku tak tahu sebab aku seolah-olah invisible sahaja di kalangan kawan-kawan yang lain.

Sekitar tahun lepas kami berbual di ym, dan dia khabarkan niatnya untuk bertudung. Semestinya aku gembira, tapi dari jauh sajer la. Kalau dekat, sah-sah aku suruh dia cuba macam-macam jenis tudung untuk sesuaikan dengan muka dia. Hahaha...

Dan baru tadi aku tengok dia letakkan gambar dia yang mulai berhijab di facebook. Gembiranya, rasa nak menitis air mata. Gembiranya, tuhan sahaja yang tahu. Dalam pada sebak itu, sempat aku terfikir. Aku, apa perubahan yang aku buat untuk diri sendiri? Dalam tahun-tahun kebelakangan ini? Padahal diri bukan sempurna mana. Tapi, aku tahu aku mencuba. Banyak hal aku cuba. Cuba jadi hamba-Nya yang lebih baik. Cuma aku perlu lebih kuat mencuba. Jangan macam tahi ayam!


  Amin.


Jun 9, 2014

Adik

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum



"Alang, adik tak suka la tak ada papa, tak ada mama, tak ada abang".
Itu kata-kata adik semasa aku bukakan pintu kereta belakang balik daripada menghantar kakak tusyen di sekolah. Kasihan betul dekat budak manja anak kesayangan papanya ini.

"Tak per, lusa mama balik la. Lepas tu mama pergi ambil abang dekat rumah tokki abah. Jumaat ni papa pula balik ".
Aku cuba memujuk.

"Alang, ada bintang!". Adik dongak ke langit yang diterangi bulan separuh penuh dan bintang bertaburan di sana sini. Aku jeling baby yang masih dalam kereta di sebelah kerusi pemandu. Takut-takut dia menangis sebab masih tak buka pintu untuk dia. Nampaknya dia tenang sahaja, sambil memandang kami yang berdiri dibelakang kereta.

"Jom masuk". Aku tarik tangan adik, ajak masuk. Lalu di sebelah kiri kereta, aku bukakan pintu untuk baby. Dan baby terus keluar dan berlari ke belakang kereta, dongak ke langit tengok bulan dan bintang.

"Cantiknya!". Hehehe... baby dah terbiasa begitu sebenarnya. Dia pula memang bukan penakut. Dah jadi kebiasaan, balik dari hantar dan ambil kakak dari kelas tusyen, dia akan ikut aku mendongak ke langit tengok bulan dan bintang. Kekadang aku nak terus masuk, tapi dia pula yang lebih-lebih hendak juga berlama sedikit tengok bulan bintang.

Adik ikut sekali, tapi dia pegang tangan aku. Tak lama pun, dia dah ajak masuk. Adik, memang penakut sangat.

Tadi petang, dia dah tanya tokki...

"Malam ni, adik nak tidur dengan siapa?".

Adik. Adik.

Adik (baju merah) dengan baby.






Jun 2, 2014

Review of Anthem by Hlovate (Cerita aku tentang Anthem)

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Review la sangat kononnya. Padahal aku sendiri tak pernah belajar dan baca pun tentang macamana nak buat review. Ada jer jumpa cara-cara nak buat review buku atau filem kalau google, tapi tu la... nak baca cerita skima begitu, aku tak berapa nak rajin. Hehe...


Buku Anthem tu dah lama adik aku beli. Last year masa pesta buku kat pwtc tu kot. Nak baca, tapi kononnya kena baca dulu novel-novel dia sebelum Anthem sebab ada watak dalam tu, yang wataknya ada dalam buku-buku sebelum tu. Tapi sebenarnya memang hampir kesemua novel-novel dia, dan novel Noor Suraya pun mesti watak-watak diaorang ada kaitan dari satu novel ke satu novel. Macam aku sebut kat Goodreads, aku bayangkan Hlovate dah ada carta organisasi macam mind mapping untuk watak-watak tu, dan kaitan antara satu dengan yang lain. Aku bayangkan lagi, dia buat cloud untuk watak-watak yang berkait dan rangka jalan cerita. Orang ini begini ceritanya, orang itu begitu cerita.


Daripada novel-novel Hlovate juga, aku rasa beliau seorang yang berpengetahuan luas dan minat musik. Asyik-asyik bercerita pasal musik, dan remaja hilang arah mencari jalan pulang, hingga ada waktunya aku naik bosan baca novel beliau. Versus, rasanya aku baca tak habispun.


Tapi Anthem sangat berlainan. Masih cerita remaja hilang arah mencari jalan pulang, juga musik, pembawaan cerita tentang Dash sangat mengasyikkan. Baca novel ni, banyak benda boleh belajar. Itu yang paling penting. Hlovate bukan sahaja berkongsi cerita tentang Nur Dania Dashrin, tetapi berkongsi banyak sangat pengetahuan. Sehinggakan aku rasa nak baca cerita ni, kena duduk depan pc atau kena ada smartphone kat sebelah yang boleh google tentang macam-macam yang dia sebutkan kat dalam tu. Juga boleh buka Youtube, cari dan dengar lagu-lagu yang dia sebut.


Kalau setakat lagu main syair to naheen atau zindagi ek safar ek suhana, aku memang tahu dan ingat sikit-sikit. Itu lagu dari cerita hindi kegemaran ayah masa dia muda-muda dulu. Tapi bila dia sebut lagu yang aku tak tahu, aku jadi tak puas hati. Kena cari juga kat youtube. Sampai begitu penangan Anthem kali ini. Belum lagi dengan banyak percakapan dalam english, german, hindi dan macam-macam. Hinggakan secara tiba-tiba aku teringin fasih dalam bahasa hindi. Duk layan citer Hindi dari kecil, tapi tak reti-reti juga nak cakap hindi. Well, practice make perfect orang kata. Kalau duk hari-hari cakap bahasa teganu, mana nak reti cakap hindi. Faham tu boleh sikit-sikit.


Untuk buku Hlovate yang ini, aku kasi 4.8 bintang. Kat Goodreads tak boleh bagi ada point gitu, jadi aku letak jer 5 bintang. 0.2 bintang lagi sebenarnya untuk editornya, sebab ada kesilapan ejaan atau perkataan yang diulang, yang aku rasa jarang jumpa sebelum ni dalam buku Hlovate. Untuk peminat buku-buku bukan cinta, aku sangat syorkan buku ini. Bacalah dan hayatilah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...