Iklan

Jun 12, 2014

Kurma dan Ramadhan!

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Bulan ramadhan akan menjelang lebih kurang 2 minggu sahaja lagi. Semalam aku tengok bulan di langit dah hampir penuh, cantik mencerlang di langit petang. Dalam 2, 3 hari lagi penuhlah bulan itu. Aku main agak sahaja tarikh bulan islam sebab malas membelek kalendar. Bulan orang putih pun aku jarang ingat berapa haribulan kalau tak mengadap pc dan menjeling tarikh di sudut monitor. Kurang makan kismis aku ni, selalu lupa!


Malam esok nisfu syaaban, kan. Harap-harap aku ingat tentang ini esok. Lagipun niatnya nak puasa esok, buat teman anak dara yang sedang menghabiskan ganti puasa. Itulah, aku ajak puasa awal-awal dulu, banyak saja alasannya. Sekarang, dah kesuntukan masa gini, tak payahlah nak bermalas-malasan lagi anakanda yer.


Sabtu, rancangannya nak buat sedikit kenduri tahlil. Tapi buat di surau sahaja, bungkus makanan siap-siap dan diagihkan selepas siap tahlil. Di rumah, hanya panggil saudara mara untuk makan-makan. Kami jarang sangat buat makan-makan ni. Sesekali buat seronok juga. Menu makan kali ini, sama seperti bulan Januari lepas, ketika buat sedikit doa selamat. Tahlil malam, orang tak makan banyak. Tak nak buat yang renyah-renyah dan menyusahkan. Pulut kuning dengan rendang ayam! Dan kurma! Sebab dah dekat nak ramadhan kan.


Oh ya. Mulai ramadhan ni, aku berniat nak belajar makan kurma. Biar aku mampu makan kurma banyak-banyak. Aku tahu kurma ni makanan sunnah yang sangat elok dan banyak khasiatnya, tapi aku ni jenis yang kurang makan benda-benda manis. Kalau makan kurma, sebelah pun dah susah aku nak telan. Sama dengan kismis yang manis tu pun. Susah benor nak tertelan dek tekak aku yang satu ni. Kek buah yang banyak kismis tu, sekadar nak rasa bolehlah bagi kat aku. Tapi kalau buah anggur, hijau terutama, sambil memandu kereta boleh habis seplastik tu aku bedal. Suka sangat!


Aku tak nak taip pun kelebihan kurma, banyak sangat kat internet. Google jer.

Sekitar tahun 80-an dulu, di Sek Keb Tok Dir, Kuala Terengganu, ada sebatang pokok kurma dalam taman sekolah. Aku tak ingat dah guru mana yang tanam, atau tukang kebun mana. Tapi aku masih taman itu. Taman disebelah pintu masuk utama ke sekolah itu, agak luas dengan banyak pokok-pokok bunga di tanam. Hampir dengan pagar itulah pokok kurma itu di tanam. Bertahun pokok tu di situ, tidak berbuah walaupun sekali dan perubahan demi perubahan berlaku di sekolah itu. Akhirnya taman pun dah ke mana, pokok kurma pun ditebang.

Sekarang, sesekali bila teringat, aku akan bagitau Aisya, 'dulu kat situ, pernah ada pokok kurma'.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...