Iklan

Dec 15, 2014

Besar-Besaran Sungguh

Bismillahirrahmanirrahim...

... macam nak raya, kata adik aku yang bakal bergelar suami orang.

'tak, ini lebih daripada nak raya!' sambung dia semula.

Aku dengan mak hanya gelak. Tapi sungguh, aku sendiri rasa untuk kali ini persiapan untuk berkenduri adalah sangat melebih-lebih. Padahal kenduri kononnya nak buat kecil sahaja, dengan jemputan sekitar 300 orang sahaja.

Tapi aku faham kenapa. Kami suka buat kenduri, menjamu orang makan-makan dirumah. Tapi dah lama sungguh tak buat. Seingat aku kali terakhir buat makan-makan adalah awal tahun lepas, sempena sambutan hari lahir Aisya yang ke 11. Itupun kami buat jamuan kecil sahaja dirumah untuk sekitar 40 orang tetamu, dan doa selamat dibuat disurau sahaja. Kami membungkus makanan untuk 30 orang dan ayah bawa ke surau. Pulut kuning dengan rendang ayam.

Jamuan dirumah biasanya dibuat pada bulan Ramadhan. Tapi itupun lama sungguh kami tak buat. Kenduri kahwin paling akhir dirumah kami ialah 8 tahun lepas, iaitu tahun 2006! Ini mungkin kenduri kahwin terakhir kat rumah ini. Hehe.. mungkin. Tempoh selepas menetap tarikh kenduri hingga ke hari besarnya, tak lama. Memang kami macam kelam kabut, sebab macam banyak sangat benda nak kena buat. Rumah nak dicat baru. Ada bahagian dinding yang perlu diganti. Adik lelaki nak tukar bilik dengan adik perempuan. Perabot bilik, kena ubah tempat. Almari kat dapur, yang buruk, tukar baru. Siling semua dicat baru.

Diluar rumah pula banyak pula ceritanya. Pokok naga yang di bahagian depan, yang dah teruk dijangkiti penyakit apa ntah, perlu dibuang. Kayu-kayu yang banyak bertambun-tambun yang boleh dipakai lagi, dikumpul. Yang hendak dijadikan kayu api untuk gulai kenduri nanti, dikumpul. Yang dah dimakan anai, yang reja-reja, aku jadi tukang bakarnya. Dah la pokok manggis tepi rumah sedang berpucuk baru, daun lama habis luruh. Selang sehari dah penuh daun kering di bawah pokok. Tin-tin, bekas plastik, kaca, besi-besi, dah berapa kali kami kumpul bakar, buang dan jual.

Tukang bakar sampah, again, akulah. Siap berpesan kat mak lagi sebelum pergi kerja, nanti biar aku yang bakar sampah dan kayu-kayu. Aku suka sangat kerja tu. Rasa puas hati kalau dapat nyalakan api dan tengok maraknya yang merah kuning!

Sejak bulan lepas lagi, setiap hujung minggu adalah hari bergotong royong. Seronok! Tapi letihnya usah dicakap. Bab-bab hantaran, belum siap apa pun lagi. Mak dah naik bimbang. Beli bunga-bunga, kat situlah dia duduk. Dalam plastik bawah katil. Tak sempat nak buat apa! Tambah lagi aku tengah banyak kerja. Hujung-hujung tahun ni la tiba-tiba itu nak ditender, ini nak ditender. Nak menyelit-nyelit cuti pun tak berapa nak sempat.


Bagaimanapun aku yakin, bila tiba masanya, semua akan siap dan meriah. Moga dipermudahkan. Amin.   


2 comments:

  1. Aminnn....

    Seronok kalau gotong royong dengan kekuarga...penat tapi meriah.

    Aku dah lama takde suasana mcm tu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang seronok. Antara yg bestnya bila macam-macam jumpa barang yg byk nostalgia! Hahaha...

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...