Iklan

Jan 22, 2015

Kalau Dah Rezeki dan Dipermudahkan-Nya

Bismillahirrahmanirrahim

Tak, aku tak nak biarkan blog ini terus bersawang banyak-banyak. Atau terus hidup segan, mati tak mahu. Tak kisahlah walaupun aku bercerita cerita lama. Cerita yang sudah hampir 3 minggu berlalu. Cerita tentang kenduri sambut menantu dirumah aku 3hb. Januari yang lepas.


Untuk kenduri itu, ayah sembelih seekor anak lembu milik sendiri. Itu niat ayah dah lama dah. Ayah dan mak kata tak nak buat besar-besaran. Panggil saudara-mara dan jiran tetangga terdekat sahaja. Anggaran ayah dalam 300 orang. Malah kad yang adik aku design sendiri, dan aku tolong print itu, tak cukup pun 300. Kurang lebih kurang 20 kot. Cukuplah lauk sekawah ayam masak merah dengan gulai daging dua kawah. Ayah anggar anak lembu betina itu cukup bagi daging untuk dua kawah gulai.


Masalah, masa nak mengedarkan surat jemputan tu, memang sedap sungguh mak ayah menjemput orang. Tak ada kad pun, jadi jer. Saudara mara pula, hampir 2 kampung tu, semuanya saudara mara. Tak menjemputkan, takut orang terasa hati. Aku dan adik aku dah berdebar sebenarnya. Lauk untuk 300 orang, tapi kalau yang datang 150 orang sekelamin, darab dua dah jadi 300. Campur yang datang satu keluarga, anak beranak 4,5 orang. Lagi 150 orang tu! Masa nak beli pinggan kertas tu la, aku dok congak-congak dengan adik nak beli banyak mana. Kitaorang berpakat kena beli 600 keping. Tapi rancang dengan ayah, dengan selambanya ayah kata, nak buat apa banyak2? Lauk kita untuk 300 orang jer. Kitaorang pun dah naik konfius campur risau mikir lauk tak cukup. Aku ambil jalan tengah, beli 500 sahaja.


Sehari sebelum kenduri, macam biasalah, orang kampung datang menolong apa-apa yang patut. Kalau orang kelantan, dia panggil bekwoh. Siang bawang yang banyak-banyak itu, yang telah diorder oleh tukang masak yang ayah tempah awal-awal khas untuk memasak gulai daging. Siang dan basuh ayam, kemudian ayam-ayam itu digoreng siap-siap. Potong nangka dan rebus siap-siap. Rebus juga kacang hijau untuk dibuat bubur. Kupas dan potong ubi kentang. Mesin bawang-bawang sehingga berair mata nangis esak-esak. Dan macam-macam lagi kerja hingga aku sakit tumit. Dah 2 hari sakit tumit hingga tak boleh tidur. T___T

Malam itu ketika aku dan adik kepenatan tapi terpaksa menyiapkan 'pelamin' atau tempat duduk menantu, adik aku yang baru kahwin itu beritahu berita yang agak merisaukan. Rombongan pengantin perempuan mungkin sebanyak 20 buah kereta, yang mana sekiranya purata 3 orang satu kereta, kira-kira 60 orang ramainya. Alamak! Macamana kalau tak cukup lauk esok ni! Tapi mak ayah tak diberitahu, diaorang dah tidur dan kami juga tak nak diaorang bimbang. 


Lembu disembelih keesokkan paginya. Jadi daging adalah sangat segar. Masa tengah kelam kabut masak sayur nangka, masak bubur kacang, masak ayam masak merah, buat sambal belacan, buat acar timun, rupa-rupanya lembu yang disembelih banyak sungguh isinya. Lauk gulai daging yang perancangan awalnya 2 kawah sahaja, bertambah satu kawah lagi! Semua bawang-bawang dan perencah, licin digunakan tak ada sedikitpun pembaziran. Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah! Tetamu ramai sungguh. Dari jam 11 tengahari hingga sekitar 3 petang memang tak putus kunjungan tetamu. Lauk cukup dan sedap! Semua orang puji, walaupun lengkuas tak bubuh! Hahahaha.. Aku sedar itupun keesokkan hari ketika mengemas dapur, ternampak seplastik lengkuas yang telah elok dikikis kulitnya. Dan baru teringat memang malam aku mengisar bawang besar, bawang merah, bawang putih dan halia, lengkuas aku tak mesin pun! Pagi nak masak tu, aku yang tukang mengeluarkan semua bahan-bahan itu ke tempat memasak dan tak ada pula yang minta lengkuas! Hahaha...


Alhamdulillah. Gulai daging yang sedap itu, cukup juga untuk diagih-agihkan kepada saudara-mara yang menolong. Memang rezeki dari tuhan yang langsung kami tak terfikir dan tak terduga. Kami sekeluarga gembira sangat dengan kenduri ini walaupun penatnya letak kepala atas bantal jer terus lena. Kenduri besar dalam keluarga ini, yang paling menjadi dan diingati.


Rezeki. Kepada para tamu. Kepada mak ayah. Kepada kami. Alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...