Iklan

Jan 3, 2009

Musim angin kuat sudah tiba.

Bismillahirrahmanirrahim...

Sebaik melangkah ke tahun baru, musim angin kuat juga bermula disini. Angin bertiup kencang hampir sepanjang hari, dan Aisya hampir berbungkus selimut setiap kali melepak depan tv. Tiada aktiviti lain yang boleh dilakukan kecuali menonton. Aku tidak membawa dia keluar untuk hujung minggu ini kerana melakukan persiapan terakhir sebelum persekolahan dia yang bermula esok. Aku tidak mahu nanti ada sahaja yang tertinggal walaupun cuma sehelai sapu tangan. Tadi aku telah menjahit lencana sekolah dia pada baju kurung sekolahnya. Kemudian, petang tadi kesemua baju dan kain sekolah sebanyak 3 pasang telah siap aku gosok licin. Kasut telah sedia, dan beg telah diisi dengan kotak pensil, pensil mewarna dan beberapa biji buku tulis.

Cuaca yang sejuk ini agak membimbangkan aku tentang bangun awal di pagi hari. Walaupun aku tahu Aisya bukan jenis yang liat untuk bangun awal dan mandi, ataupun sememangnya budak-budak seusia itu memang senang untuk bangun awal, tapi aku tetap risau memikirkan air mandian yang sejuk. Entah-entah, esok aku kena menjerang secerek air untuk dicampur ke dalam air mandian dia di dalam besen besar sebagaimana memandikan dia ketika dia masih bayi dulu. Harap-harap tidak la.


Kalau dulu ketika aku masih kecil, apa yang sangat membimbangkan pada musim ini ialah pokok-pokok kelapa sekitar rumah yang mungkin tumbang menimpa rumah. Bunyi angin kuat itu sangat menakutkan sehinggakan adakalanya tidur pun boleh terjaga. Pernah sekali sekeping bumbung rumah tercabut akibat angin kuat. Dengan bunyi yang kuat mengejutkan seluruh ahli rumah kerana bumbung itu tidak terbang, hanya terangkat ke sebelahnya. Maka, esok pagi kami semua sudah boleh melihat langit dari dalam rumah. Pokok kelapa yang banyak di sekitar rumah juga tidak pernah menimpa rumah. Walaupun banyak juga yang tumbang, tidaklah sampai menimpa rumah kerana jaraknya yang agak jauh. Dan kerana bimbangkan hal itu juga, ayah telah menebang hampir kesemua pokok-pokok kelapa yang dekat dan ada kemungkinan untuk tumbang ke rumah kami atau rumah-rumah jiran. Sekarang masih ada beberapa batang pokok kelapa di sekitar rumah dengan ketinggian yang tidak begitu dibimbangkan.


Yang seronoknya musim ini pula, budak-budak mula menangkap pepatung untuk di buat umpan memancing ikan di baruh. Caranya, dengan mematahkan seranting pokok yang rendang, pokok senduduk misalnya, dan perlahan mendekati pepatung yang hinggap di mana-mana dan 'Pap!'. Ataupun, dengan mengikat plastik di hujung sebatang kayu dalam lebih kurang sedepa panjangnya, kemudian memerangkap pepatung di dalam plastik itu. Tapi, itu dulu-dulu. Ketika aku masih budak. Ketika ramai penduduk kampung masih menanam padi, dan musim ini pastinya pokok padi sedang hidup subur menghijau. Dan angin kuat mencipta gelombang yang dipermukaan pokok padi yang terbentang luas.

Kekadang aku merasakan Aisya rugi kerana tidak dapat merasakan semua pengalaman itu. Sekarang pokok padi sudah tidak banyak. Kerana sudah makin ramai yang lebih mampu membeli beras. Jadi aku sendiri tidak dapat membawa dia berjalan-jalan di atas permatang sawah padi. Apa yang boleh aku buat, bercerita dengan dia. Tentang apa sahaja. Tentang angin, tentang sawah, tentang pepatung, ikan dan, tentang semuanya disini...

Gambar 1 : Gambar budak kecil dengan Dania Aisya dan sepupunya Qasyrina sebagai model ketika kedua-duanya sedang sibuk mencari nenek sehingga ke rumah jiran.

Gambar 2 : Gambar ke-2 di 'snap' oleh Dania Aisya di hadapan rumah jiran kami.

Jan 2, 2009

Sesekali layan movie best jugak.

Bismillahirrahmanirrahim...

Aku rasa aku sudah lama meninggalkan aktiviti menonton filem samada melalui vcd dan dvd. Apatah lagi menonton di panggung. Aku rasa mungkin ada sekitar 6 atau 7 tahun yang lepas kali terakhir aku masuk panggung wayang. Dan kali terakhir itu adalah di
klcc, menonton seorang diri dan filem yang sudah aku lupa.

Aku tahu ramai yang suka menonton di panggung wayang. Setiap kali ada cerita menarik, pasti penuh panggung-panggung wayang di mana-mana. Tapi, perasaan aku pula sangat berlainan. Setiap kali cerita berakhir, dan penonton-penonton mula mengangkat punggung, membetulkan sendi-sendi yang lenguh, dan melangkah keluar dari panggung yang gelap itu, setiap kali itulah aku terasa seolah-olah 'haa.. dah pukul 9?' atau 'hah.. dah lewat?' dan 'Cepatnya masa!'. Aku rasa seolah-olah aku telah membazirkan waktu yang sebegitu lama, biarpun aku sudah maklum, satu tayangan paling lama mengambil masa 3 jam. Itu untuk cerita hindi kerana aku pernah menonton cerita hindi di pawagam. Kalau cerita melayu atau english, biasanya 2 hingga 2 1/2 jam. Kerana itulah aku tidak lagi menonton mana-mana movie di pawagam biarpun ada teman-teman yang mengajak. Aku lebih selesa menonton dirumah, seorang diri ataupun bersama kawan-kawan memainkan vcd atau dvd , kemudian boleh menelentang, meniarap, mengubah posisi setiap setengah jam, atau menghentikan seketika (pause) tayangan apabila 'panggilan alam' memanggil.



Vcd atau dvd terakhir pula yang aku tonton, filem 'Sepi'. 2 kali. Hehe.. Tu pun, masih rasa nak tengok lagi. Selepas itu, mungkin terlalu banyak perkara yang perlu aku uruskan, atau aku sendiri tersepong dalam menguruskan waktu terluang untuk diri sendiri. Aku tahu, ada waktu-waktunya menonton ini memberikan kepada kita sedikit rasa seronok, rasa puas. Dan kerana itulah, tadi aku menonton cerita 'The Chronicles of Narnia - Prince Caspian' selepas beberapa hari yang lalu aku menonton 'The Chronicles of Narnia : The lion, the witch and the wardrobe'.



Seronok pula menghabiskan waktu begitu. Mencari masa antara rutin harian dihujung minggu. Bersandar pada kerusi malas, memeluk Aisya di atas riba, menarik selimut melawan kesejukan akibat hujan yang tidak berhenti sejak semalam, dan tanpa gangguan! Sambil itu di sisi kami, setabung kerepek-kerepak pisang dan ubi menjadi hidangan. Kami menonton hanya di komputer. Cik telah menyimpan beberapa buat filem di dalam satu folder di dalam pc itu.

Jadi, begitulah hujung minggu aku berlalu di hari ke-2 2009 ini. Mudah, dan tidak memenatkan malah aku rasa tenang.

Jan 1, 2009

Selamat Tahun Baru dan Selamat Hari Jadi Dania Aisya


Bismillahirrahmanirrahim..


Hari ini permulaan tahun baru 2009. Hari ini juga hari pendaftaran Dania Aisya bagi memasuki darjah 1 di sekolah yang berhampiran. Jaraknya hanya mungkin 2 minit sahaja dari rumah dengan motosikal. Letaknya di kampung sebelah. Kesemua kami 6 beradik memulakan persekolahan di situ dari darjah 1 sehingga darjah 6. Kalau dulu kami semua berbasikal ke sekolah, dan ada sekekali jalan kaki sahaja kerana malas hendak menunggu kakak atau abang yang pulang lewat sedikit. Tapi, pada zaman sekarang, aku tidak rasa yang aku cukup berani hendak membenarkan Aisya berbasikal ke sekolah. Macam-macam kes sekarang yang kita dengar di mana-mana, yang melibatkan budak sekolah, yang juga sangat susah untuk kita dengar sekitar 80-an dulu. Dan kerana itu, aku pasti kali ini pemergian Aisya ke sekolah akan dihantar samada oleh aku atau ayah, dan pulangnya pula berjemput samada oleh ayah atau cik atau kak long.

Permulaan hari pembukaan tahun ini bermula dengan baik apabila segalanya berjalan dengan lancar. Selepas pendaftaran, ke bank, kemudian ke klinik gigi, singgah di Avon dan kemudian singgah lagi membeli nasi beriani sebelum tiba dirumah. Makan sebelum pergi ke pejabat kerana lapar. Awal pagi tadi makan roti bakar jer sekeping. Masuk opis ketika jam tepat 12 tengahari.

Hari ini juga, hari jadi Aisya yang ke-6. Semalam dah beli hadiah. Hadiah biasa jer tahun ni. Ingat nak beli teddy bear besar, tapi mahal sangat. Rasa cam membazir plak. Silap tak beli masa pergi Ayer Hitam baru ni. Rasanya ada nampak yang murah dan besar. Tak per la, lain tahun boleh beli. Yang penting, ahad ni dia akan memulakan persekolahan dan petang ni aku nak pergi beli kek untuk dia. Dia pun lupa tu hari ini hari jadi dia. Dia langsung tidak menyebutnya tadi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...