Iklan
Jan 17, 2012
Ombak Rindu vs Lagenda Budak Setan
Persamaannya, kedua-duanya adalah filem yang diadaptasikan daripada novel cinta. Kedua-duanya aku sudah tonton di laptop aku sahaja. Kedua-duanya ada Lisa Surihani. Kedua-duanya ada kisah cinta yang sungguh romantik. Kedua-duanya ada kisah lelaki baran, pukul perempuan tanpa usul periksa dan tiada sebab munasabah. Ada kisah lelaki menyesal, tetapi menyesal kemudian tiada gunanya.
Tidak samanya, novel Budak Setan aku baca sejak dari buku pertama masa zaman sekolah di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk.. sambil dengar bunyi ombak (bukan ombak rindu) memukul pantai musim tengkujuh. Buku pinjam yang dipaskan dari satu tangan ke satu tangan. Tahun 1999, ketika zaman stesen bas puduraya masih menjadi tempat bas-bas ke pantai timur, aku yang sudah bergaji sendiri membeli novel Lagenda Budak Setan di salah satu kedai buku di situ. Sayangnya, ada beberapa muka surat kosong, tiada sebarang cetakan. Novel itu bagaimanapun tetap menjadi antara novel kesayangan sebagaimana Ahadiat Akashah menjadi pengarang kegemaran.
Novel Ombak Rindu, aku tidak pernah dengar pun tentangnya sehinggalah ketika Lisa Surihani sedang shooting di Langkawi, dan dia sering menguar-uarkannya di facebook. Aku tidak kenal Fauziah Ashari sebagaimana aku cam Ahadiat Akashah. Aku juga tidak pernah baca novel-novel dia. Dan paling penting aku tidak pernah baca novel Ombak Rindu.
Maka dengan itu, apabila aku menonton Lagenda Budak Setan, aku sangat tidak berpuas hati dengan filem adaptasi itu. Bagi aku sebuah novel yang cukup menarik seperti itu, kenapa bila difilemkan menjadi tidak lagi menarik. Kemudiannya aku faham, novel itu panjang, ceritanya berzaman dari zaman sekolah hingga zaman bercinta, berkahwin, bercerai, sehingga mati. Untuk sebuah filem yang hanya dua jam setengah, bila dicedok sebahagian, dibuang sebahagian, tiada yg menarik lagi.
Sedang Ombak Rindu, aku tidak baca novelnya, aku tidak tahu cerita sebenarnya. Dan walaupun aku tidaklah puas hati sangat dengan filemnya (mungkin terpengaruh dengan review kurang merangsang di mana-mana), aku tetap suka dengan ceritanya. Bagi aku keromantikan Izzah dengan Harris lebih menjadi berbanding gurau senda Ayu dengan Kasyah. Dialognya lebih berkesan dan banyak, sedang filem Lagenda Budak Setan banyak bunyi lagu latar dari dialog.
Ok, kesimpulannya aku tengok Ombak Rindu malam tadi, dan aku tidur bermimpikan Harris. Hahahaha.....
Jan 10, 2012
Cucur Labu vs Pengat Labu
Bismillahirrahmanirrahim....
Dulu masa kecik, masa susah kitaorang, makanan masa senggang seperti petang-petang hari perut lapar minta diisi sebab hujan sedang mencurah-curah, dan kegiatan luar terhenti selain mandi hujan, ialah lempeng nyor, atau ubi keledek atau ubi kayu rebus, ataupun jemput bilis (cucur bilis). Masa tu aku kecik lagi, mek pun belum banyak dapat idea masak-masak. Apa yang mak ajar masak, begitu dan itulah yang kami ikut. Tidak ada tolak tambah. Atau pun apa yang mak masak, yang itulah akan menjunam ke dalam perut kami.
Sekarang, zaman canggih manggih ni, ada macam-macam idea nak mempelbagaikan masakan. Memang sah-sah tak ikut resepi dan cara mak dah. Kecuali masak lemak sayur, yang itu tak boleh lawan masakan mak. Tak ikut cara mak, macam menderhakalah jawabnya. Tak sedap! Hahaha...
Baru-baru ni, aku beli labu kuning (pumpkin) kat Pasar Marang, semata-mata nak cuba buat Pumpkin Pie. Aku berminat dan suka pai-pai ni, tapi tak reti sangat nak buat. Kekadang jadi, adakalanya hancus. Tu, pumpkin pie tu, aku buat pie crust tak jadi... tak boleh nak diangkat, koyak rabak. Last attempt, cuba ikut cara David Miller buat Apple Pie masa dia lawan Sheetal untuk masuk finale Masterchef US Season 1. Hehe... ada bagusnya juga aku tak jemu tengok rancangan tu. Hasilnya.... boleh la, for a first timer doing Pumpkin Pie. Mak kata sedap. Hehe...
And then, ada balance labu yang dah direbus itu, berhari jugak dalam fridge. Masa nak buat cucur jagung, teringat kat labu itu. Makanya, jadi la cucur labu campur jagung. Aku sebenarnya reka jer. Aku agak kalau pisang orang boleh buat cucur pisang, takkan labu tak boleh kan. Lagi pula labu tu, lebih kurang macam ubi jugak isinya. Kan ubi kita boleh kuih goreng-goreng, seperti getuk-getuk goreng, cek mek molek, dan macam-macam lagi. Jadi, aku lenyekkan sajer labu yang dah direbus tu. Campurkan dengan gandum, sebiji telur, bawang besar dicincang, kebetulan ada jagung yang dah dibuang empulurnya, aku campur jer semua. Masukkan sedikit garam. Gaul semua secukupnya, goreng dalam minyak panas terendam. Done!
Kemudian baru-baru ketika berkunjung ke rumah mak saudara, dia menjamu kami dengan pengat labu. First time juga aku makan pengat labu. Aku, kalau bab-bab pengat-pengat ni sebenarnya kurang minat. Sebab manis kan. Tapi aku nak cuba jugak pengat labu ni. Eh.. rupa-rupanya sedap la pulak.
‘Nanti kita cuba buat la mak, pengat labu’, sempat aku sarankan kat mak.
‘Buat jemput (cucur) labu pun sedap’, sampuk mak saudara aku.
Laaa... aku ingatkan akulah orang pertama reka buat cucur labu. Rupa-rupanya orang lain dah biasa buat. Hahahaha.....
P/s : First time buat entri atas permintaan... eh, tipu.. dulu-dulu, pernah buat entri ini atas permintaan juga.. hehe..
Jan 8, 2012
Tulisan Tangan Menggambarkan Peribadi Penulis?
Benarkah tulisan tangan menggambarkan peribadi si penulis? Aku rasa, bukan sepenuhnya benar, tetapi serba sedikit ia boleh memberi penjelasan tentang si pemilik tulisan tangan.
Biasanya tulisan tangan budak sekolah rendah, buruk dan kucar kacir. Almaklumlah, baru pandai menulis dan mengeja. Sedikit demi sedikit, tulisan yang sebutir-sebutir mula bersambung kerana mengejar masa, cikgu nak padamkan papan hitam, kena tulis laju-laju nanti tak sempat dan terpaksa pinjam buku kawan. Tu pun kalau kawan sempat salin apa yang cikgu tulis. Tulisan tangan Aisya agak baik pada pandangan aku walaupun kekadang ada besar, adakalanya kecik sampai nak baca pun susah. Last year atau last two year, dia dapat hadiah sebab tulisan cantik.
Tulisan tangan yang paling aku kagum ialah tulisan kakak yang aku panggil mek. Dia satu-satunya kakak yang aku ada, dan dia banyak menjadi contoh pada kami adik beradik. Dia kidal, tetapi dia juga boleh menulis dengan tangan kanan. Cerita mak, suatu ketika mek sakit tangan kiri, jadi dia terpaksa menulis dengan tangan kanan. Yang tambah hebatnya mek, walaupun tangan kiri dia dah baik dan boleh menulis, dia tetap sesekali menggunakan tangan kanannya untuk menulis. Dan yang lagi bestnya, tulisan tangan mek (both right and left hand) cantik! Kemas dan bersambung-sambung, sedari sekolah rendah lagi! Tulisan jawi dia pun dia cantik! Bila dia idola, maka aku selalu nak tiru tulisan tangan dia.
Satu kelebihan yang juga boleh menjadi kekurangan aku pula, aku pandai meniru tulisan orang lain. Pantang sahaja tengok tulisan kawan-kawan cantik, mesti ada rasa teringin nak tiru tulisan diaorang. Orang kata, tulisan tangan berubah-ubah maknanya tidak tetap pendirian. Tapi aku ada stail sendiri. Walaupun sesekali aku suka ubah tulisan tangan, mengikut tulisan tangan kawan-kawan aku, stail sendiri itu tetap tidak berubah.
Jadi, bila aku ubah layout and background blog ni beberapa hari lepas, yang paling aku nak tukarkan adalah font type. Aku tak suka font yang default seperti Times New Roman dan Arial. Contoh, untuk surat rasmi atau any document, kenapa nak kena guna font tu? Menjadi suatu kesalahan ke kalau tukar rupa bentuk font tu? Persoalan itu pernah bermain-main lama dalam fikiran aku, kerana tiada siapa berani memberi jawapan yang tepat dan berani untuk mengubah jenis font. Sehinggalah aku tengok ada dokumen rasmi yang dihantar oleh arkitek, menggunakan font Tahoma. Lepas tu, aku jadi berani untuk tidak lagi menggunakan font Times New Roman dan Arial. Aku sebenarnya tertarik nak guna font yang seakan-akan handwriting aku, tapi takut susah nak dibaca.Okay, dah panjang cerita punya cerita yang terperap dalam draft berhari-hari. Kesimpulannya, kamu simpulkan sendiri.. okay atau tidak rupa baru blog ini. (Tak sabar nak taip penamat dan publish!). :D