Iklan

Jan 17, 2012

Ombak Rindu vs Lagenda Budak Setan

Bismillahirrahmanirrahim...


Persamaannya, kedua-duanya adalah filem yang diadaptasikan daripada novel cinta. Kedua-duanya aku sudah tonton di laptop aku sahaja. Kedua-duanya ada Lisa Surihani. Kedua-duanya ada kisah cinta yang sungguh romantik. Kedua-duanya ada kisah lelaki baran, pukul perempuan tanpa usul periksa dan tiada sebab munasabah. Ada kisah lelaki menyesal, tetapi menyesal kemudian tiada gunanya.

Tidak samanya, novel Budak Setan aku baca sejak dari buku pertama masa zaman sekolah di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk.. sambil dengar bunyi ombak (bukan ombak rindu) memukul pantai musim tengkujuh. Buku pinjam yang dipaskan dari satu tangan ke satu tangan. Tahun 1999, ketika zaman stesen bas puduraya masih menjadi tempat bas-bas ke pantai timur, aku yang sudah bergaji sendiri membeli novel Lagenda Budak Setan di salah satu kedai buku di situ. Sayangnya, ada beberapa muka surat kosong, tiada sebarang cetakan. Novel itu bagaimanapun tetap menjadi antara novel kesayangan sebagaimana Ahadiat Akashah menjadi pengarang kegemaran.

Novel Ombak Rindu, aku tidak pernah dengar pun tentangnya sehinggalah ketika Lisa Surihani sedang shooting di Langkawi, dan dia sering menguar-uarkannya di facebook. Aku tidak kenal Fauziah Ashari sebagaimana aku cam Ahadiat Akashah. Aku juga tidak pernah baca novel-novel dia. Dan paling penting aku tidak pernah baca novel Ombak Rindu.

Maka dengan itu, apabila aku menonton Lagenda Budak Setan, aku sangat tidak berpuas hati dengan filem adaptasi itu. Bagi aku sebuah novel yang cukup menarik seperti itu, kenapa bila difilemkan menjadi tidak lagi menarik. Kemudiannya aku faham, novel itu panjang, ceritanya berzaman dari zaman sekolah hingga zaman bercinta, berkahwin, bercerai, sehingga mati. Untuk sebuah filem yang hanya dua jam setengah, bila dicedok sebahagian, dibuang sebahagian, tiada yg menarik lagi.

Sedang Ombak Rindu, aku tidak baca novelnya, aku tidak tahu cerita sebenarnya. Dan walaupun aku tidaklah puas hati sangat dengan filemnya (mungkin terpengaruh dengan review kurang merangsang di mana-mana), aku tetap suka dengan ceritanya. Bagi aku keromantikan Izzah dengan Harris lebih menjadi berbanding gurau senda Ayu dengan Kasyah. Dialognya lebih berkesan dan banyak, sedang filem Lagenda Budak Setan banyak bunyi lagu latar dari dialog.

Ok, kesimpulannya aku tengok Ombak Rindu malam tadi, dan aku tidur bermimpikan Harris. Hahahaha.....

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...