Iklan

Aug 14, 2014

Lontar belakang? (#throwback)

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum penghuni alam semesta yang sementara,

Hampir habis seminggu aku yang kelam kelibut. Hari ini aku dapatlah berehat sedikit, melunjurkan kaki atas cpu bawah meja sambil mencari bahan bacaan dalam internet. Tapi, bosan. Eh, sekejap lagi ada kontraktor nak datang. Aduh... malasnya nak melayan. Melihat seorang blogger terkenal membuat perubahan BESAR pada blognya, dengan membuang hampir 90% entri yang dirasakan tidak berfaedah, dan meninggalkan hanya 180 entri, aku terpanggil untuk menjenguk sejarah blog sendiri. Hehe...


Sedar tak sedar, dah 7 tahun rupanya aku berblogging. Tapi entri aku tak banyak pun. Ada yang aku rasa OK, banyak juga yang KO. Entri Mac 11, 2008. Selepas 6 tahun, apa yang berlaku?


Dah setahun rasanya tok wan dah sakit-sakit tua. Berjalannya, kena pimpin. Sembahyang sambil duduk. Makan minum kena hidang. Berak kencing, berlampin. Tapi tok wan masih sihat minda. Masih ingat segala. Tok wan sekarang, selepas sering dicuci mindanya oleh cucu-cucu, sudah semakin kurang bersungut, mengharap seterusnya kecewa. Lebih-lebih lagi pada anak lelaki yang jarang menjenguk pulang. Lumrah anak lelaki, kahwin dengan orang luar (bukan negeri sendiri), kampung halaman dan orang tua sudah menjadi bukan keutamaan. Kerja, anak isteri dan keluarga isteri (mertua dan ipar duai) lebih diberikan kepentingan.


Aku perasan, mak aku sebagai kakak sulong selalu juga tersentuh hati apabila adik dia yang dulu masa kecil dikelek ke sana ke mari, tak sudi jenguk ke rumah barang sekejap apabila balik kampung. Mujur adik bongsu mak, agak lancang mulutnya tak berlapik. Aku rasa kadangkala orang begitu lebih senang meluahkan kemarahan dan ketidakpuasan hati bagi pihak semua orang, daripada sering memendam rasa.


Dan begitulah kehidupan berjalan, kita telan rasa dan ajar hati terima seadanya. Hidup pun jadi tenang bila kita tak letakkan harapan.

Aug 6, 2014

Syawal 1435H

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...

Salam aidilfitri semua. Aku tengah pulun baca unread entry yang hampir seratus dalam feedly aku. Jenguk blog kawan-kawan, yang masih berupdate walaupun raya. Aku? Cuti seminggu, seminggu juga la tak jenguk feedly atau mana-mana blog. Komputer hanya aku jenguk apabila anakanda buka untuk ulang tengok mana-mana movie. Tumpang tengok sekejap. Raya tahun ini, aku niat untuk meriahkan raya anakanda yang seorang. Maka aku layan dia berjalan dari hari pertama Syawal hingga hari ke empat. Biasanya? Hehe... biasanya raya pertama pergi rumah saudara-mara sebelah mak di kampung sebelah, raya kedua pergi rumah saudara-mara sebelah ayah di kampung kami. Dua hari jer raya kami. Tahun ni, tambah lagi 2 hari. Lagi pula, tahun ni baju raya Aisya terlebih banyak! Apapun, jom bercerita sambil layan gambar. Moh!


Masjid Terapung @ Masjid Tengku Tengah Zaharah, di Kuala Ibai, Terengganu. Gambar sebelum Ramadhan ketika menunggu anakanda habis kelas tusyen.

Seperti yang pernah diceritakan, dalam malas-malas aku nak buat biskut raya, terhasil juga 8 jenis biskut! Dalam gambar ni, ada 6 jenis.. lagi dua tak konon nk salut coklat la bagi cantik sikit (biskut samperit pandan) tapi sampai ke sudah terbiar dalam balang. Biskut makmur, sampai kesudah tak berbedak. Haishh.. malas itu masih ada. Oh.. bekas biskut raya rumah kami, saja kami beli stail gitu, kasi klasik sikit. Dah 3 tahun rasanya kami guna bekas tu. Balang-balang kaca, kami isi dengan kerepek-kerepek dan kekacang. (Eh.. tahun ni tak ada kacang!) Biskut putih yang ada coklat cip sebiji tu, aku kasi nama biskut mata terjojol. Asalnya biskut bunga cina, tapi sebab si Aisya terlebih pukul telur, maka adunan jadi lembik dan bila dibakar hilang habis kelopak-kelopak bunga. Jadi, untuk selamatkan keadaan, aku gentel-gentel kasi bulat, tekan coklat cip kat atas. Jadilah sebijik macam mata yang terjojol terkeluar dari soket mata. Hahaha...

Tahun ni, semua kerepek ditaja oleh adik lelaki aku yang dua kali ke Kuala Lumpur sepanjang Ramadhan, ikut kawan dia yang isterinya bekerja di Kelang. Sekali pergi, diborongnya kerepek macam-macam jenis kat kilang mana ntah. Kali kedua, pun dibawa balik kerepek. Dan baju raya dia sendiri. Raya tahun ni, pertama kali dia beli baju melayu yang sepasang, berharga lebih seratus, selepas dah bertahun la jugak dia tak beli baju melayu. Raya sakan dia tahun ni!

Sila.. sila... kat rumah kami, hanya air mineral sahaja dihidangkan. Hahaha.. Seperti tahun lepas, kami tak hidang air-air segera (air berkarbonat) kepada tetamu, walaupun yang datang budak-budak kecil hanya nak minta duit raya. Mak tak suka hidang air bergas ni kat tetamu, jadi kalau tahun-tahun dulu, selepas syawal ada berbotol-botol lagi air bergas dan bertahan berbulan-bulan sebab kami memang kurang gemar. Mulai tahun lepas, setiap kali tetamu datang, kami akan hidang air sunquick, kembali seperti masa dulu-dulu. 



Tahun ni, pertama kali selepas berpuluh tahun, kami ambil gambar ramai-ramai sekeluarga. Itupun ada alasan kukuh iaitu Qasyrina (berbaju labuh biru dalam gambar) nak buat kerja sekolah yang cikgu dia suruh, dengan menggunakan gambar keluarga. Kali terakhir kami mengambil gambar yang ada semua adik beradik dengan mak dan ayah (masa tu) ialah pada tahun 1982! Berpuluh-puluh tahun dulu! Bila dah besar, masing-masing dah macam malu nak bergambar beramai-ramai, walaupun selalu berkumpul bila raya. Gambar di atas, adalah semua cucu mak dan ayah. Sebelas orang semuanya, daripada 5 orang ibu. Adik lelaki aku belum kahwin. Tapi sebenarnya gambar tahun ni pun tak lengkap juga, masa kumpul ramai-ramai dengan ayah yang berbaju buruk balik daripada padang rumput, adik lelaki tak ada. Kemudian bila adik dah balik, ayah pula masuk mandi. Haishh...
Biasalah, selepas 4 hari bergelumang dengan rendang, ketupat, tapai pulut, nasi dagang, nasi minyak, nasi impit, dan macam-macam lagi hidangan raya, hari ke 5 dah mula teringin makanan segera. Kfc pun tak per walaupun selama ni jarang sangat mengidam kfc. McD, memang tak dah lama jenguk. Dulu tak der la boikot sangat, tapi memang jarang makan sebab ianya unhealthy food. Lagi-lagi hindarkan bila baca kes Jamie Oliver vs McD. Konon nak pi kfc, tapi terpandang kedai Papa Chop Mama Grill dekat depan istana Badariah. Makan spagheti lah, best jugak. Tup tup, itulah yang dapat. Aku gelarkan ia, spaghetti ala mee goreng bolehlah kan. Siap bertimun dan bertelur mata bagai. Ada seketul roti bulat yang tak tahu motif wujudnya. Sos bolognese, siap dibubuh telur juga. Langsung tak sedap! Patutlah tak ramai orang dah kat kedai tu, tak macam dulu-dulu. Aisya makan fish and chip, yang mana ikannya agak berminyak dan agak kehitaman, aku agak digoreng dalam minyak yang dah digoreng macam-macam. No more lainkali dah untuk kedai ini.

Semperna bulan kemerdekaan, aku letak jugalah sekeping gambar bunga kebangsaan ni yer. Tapi versi merah jampu terang. Cantik. Gambar diambil dekat Masjid Khalifah, di Jalan Pusara, yang aku singgah ketika hendak ke kenduri kahwin seorang teman. Bunga raya, sentiasa cantik pada mata aku. Klasik dan ada tarikan tersendiri. Semestinya yang warna merah terang lebih cantik dan klasik. Ingat lagi masa aku budak-budak, di depan rumah jiran yang aku panggil mok long, dekat dengan pintu ke telaga yang dipagari zink, ada sebatang pokok bunga raya yang tingginya melepasi kepala, batangnya sebesar.. hmm, sebesar lebih kurang 4 inci diameter, dan ianya selalu berbunga! Ianya macam pokok kelapa, batangnya kosong sahaja hingga ke atas baru ada dahan berselirat dengan daun-daun dan bunga-bunga. Itu pokok bunga raya yang paling aku ingat! Sekarang, tempat itu didirikan bangunan kedai. Tak ada lagi pokok bunga raya pujaan hati dan telaga tempat bermain.

Apa-apapun hidup mesti diteruskan. Nak boikot, boikotlah, tapi tanggungjawab tergalas jangan pula diabaikan. Jangan berdegar-degar berpung pang pok pek, tapi asap dihembus dari mulut tak putus-putus. Eh.. k, bye.

Jul 20, 2014

Dua Tempat Berbeza, Penghayatan Berbeza

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Rumah Anak-Anak Yatim, Darul Falah, Bukit Payung.

Hari kedua Ramadhan yang lalu, aku menghadiri satu mesyuarat bagi membincangkan satu projek di rumah anak-anak yatim tersebut. Memandangkan semua orangpun ada kerja masing-masing, maka mesyuarat itu berlangsung selepas waktu pejabat. Sekitar 5.30 petang, di dalam pejabat tuan pengerusi PERKASA, Tuan Haji Yusof yang sangat aku segani. Tua-tua tuan haji itu, dia nampaknya seorang yang banyak pengetahuan dan pengalaman. Baik, tapi tegas ada. Agaknya sebab itulah kot dia sesuai menjadi pengetua asrama anak-anak yatim itu, mengendali kira-kira 200 orang remaja bermacam ragam.

Sebenarnya semenjak aku terlibat dengan satu projek diaorang, barulah aku berpeluang menjejakkan kaki ke asrama anak-anak yatim itu, yang sebenarnya juga adalah hanya lebih kurang 5 minit memandu dari rumah aku. Tak jauh pun! Aku tahu kewujudan asrama itu semenjak dari sekolah rendah lagi. Sebab, seorang kawan sedarjah merupakan anak yatim, dan ketika nak naik ke tingkatan satu, cikgu-cikgu duk sibuk tanya samada dia nak ke Perkaya atau Darul Falah. Tapi dia tak pergi pun mana-mana. Kemudian masa di tingkatan satu di SMADG, seorang kawan perempuan bernama Faizah tinggal di Darul Falah, tapi aku tetap tak pernah jenguk Darul Falah! Lagi pula, masa tu bukannya senang hendak ke sana ke mari. Harapkan bas sahaja, bukan macam budak-budak sekolah zaman sekarang yang merempit ke sekolah.

Perkara pertama yang aku perasan apabila budak-budak perempuan disitu menyerbu untuk bersalaman dengan aku yang sedang berjalan ke bilik mesyuarat, ialah pakaian diaorang! Kalah aku woi! Cantik-cantik pakaian yang diaorang pakai. Tapi aku tahu, sesetengah anak-anak yatim di mana-mana asrama atau rumah anak yatim memang agak mewah dari segi pakaian dan makan minum. Rakyat malaysia pemurah!

Ok, petang hari kedua Ramadhan, selepas habis perbincangan, tuan haji menjemput kami semua berbuka puasa sekali di sana. Awalnya aku dan seorang lagi menolak, dengan alasan yang tak berapa nak kukuh. Tapi ketika seorang pekerja asrama itu datang bertanya tuan haji, berapa orang tetamu lagi yang perlu dia hidang, tuan haji kira termasuk kami. Maka, kami dah segan nak menolak lagi.

Jam 7, kami dijemput masuk ke dewan makan, meja VIP kononnya sebab sekali dengan seorang dato' yang menaja hidangan berbuka puasa hari itu. Dato' bekas wakil rakyat itu datang sekali dengan isteri dan dua anaknya. Meja panjang itu berada di bahagian hadapan dewan dengan meja anak-anak yatim di susun berbaris-baris di kiri dan kanan dewan untuk lelaki dan perempuan. Sementara menunggu waktu berbuka kami diajak berzikir bersama-sama ustaz di situ, yang memegang mikrofon. Makanannya biasa sahaja, nasi putih berlaukkan gulai daging, ayam goreng kosong, sayur campur goreng, telur masin, tembikai dan ada sejenis agar-agar. Air pula ada kopi panas dan milo ais. Selepas berbuka, berderu-deru semuanya beransur ke surau asrama dan aku terus pulang. Terasa sungguh terisi sekali acara berbuka tadi.



Hotel 3 bintang kot, Kuala Terengganu

Dah lama sungguh aku tak berbuka puasa di hotel. Sebab, aku malas nak pergi walaupun ada sahaja kontraktor yang mengajak setiap tahun apabila ramadhan. Tapi minggu lepas, bila aku dah tak tahu nak makan apa, selera tak berapa nak ada, aku terima jemputan kontraktor dengan rela. Lagipun, aku nak bawa Aisya sekali, nak bagi dia rasa berbuka di hotel.

Hotel tu, tak adalah besar mana. Usianya pun baru sahaja lagi. Aku sampai sekitar jam 6.45 petang. Wakil dari pihak klien dah tercongok di kerusi luar, bertiga. Tapi wakil kontraktor tak ternampak pula di mana-mana. Kami lepak dulu di kerusi kayu bermeja bulat yang disediakan di sebelah kiri anjung hotel. Di sebelah kanan anjung, rupanya tempat open kitchen, berasap-asap dapur diaorang tengah bakar kambing.

Jam 7.15, baru kami masuk dan mencari meja. Masa itu orang dah ramai duk sibuk ambil makanan dah. Ramai juga rupanya orang berbuka puasa di hotel itu. Meja-meja makan bulat di susun agak rapat, penuh di ruang lobi, dan aku nampak kaunter reception kecil sahaja di satu sudut. Bunyi orang menyanyi berkumandang, dan di satu sudut, ada band rupa-rupanya tengah buat persembahan live! Kononnya nak bagi happening la kot, tapi pada aku, tak sesuai sebab bulan ramadhan dan orang nak berbuka puasa la! Yang ko nak memekak waktu-waktu nak maghrib ni apekehal!

Jam 7.25 waktu berbuka, azan maghrib pun tak berapa jelas, padahal masjid dekat sangat kat luar nun. Aku tengok masing-masing pandang sana sini nak tengok orang lain dah makan tak lagi. Dan diaorang terus menyanyi sambil kitaorang makan. Yang makan sedikit, sedikitlah. Yang banyak menimbun-nimbun atas meja pun ada. Yang membazir pun banyak. Tak kira haji, hajjah, atau sesiapa saja, berebut mengambil makanan. Aku makan sikit, sebab perut aku kecil. Tak boleh nak tampung makanan banyak-banyak. Aisya pun tak banyak makannya. Jam 8.00 malam, kitaorang beredar untuk pulang, mengejar waktu maghrib yang semakin ke penghujungnya.  Dan aku teringat-ingat roh ramadhan yang terasa tiada di situ.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...