Hujan kat luar tu, dari petang tadi tak berhenti-henti. Ianya bukannya lebat sangat. Tapi, bunyinya seperti akan berpanjangan sepanjang malam. Kalau dulu-dulu, masa aku masih di sekolah rendah, hujan sebegini menjadi kerisauan kepada mak dan ayah. Kami adik beradik, mana tahu risau lagi masa tu. Yang kami tahu, bila air banyak disekeliling rumah, kami seronok bermain air. Apa yang mak dan ayah risaukan, kalau hujan sepanjang malam, esok pagi mesti air akan naik. Banjir la maksudnya tu.
Rumah kami berdekatan dengan sawah padi. Dibelakang rumah, sawah padi terbentang luas. Tanah sawah itu semestinya lebih rendah dari rumah kami. Akan tetapi, kekadang bila hujan lebat turun dalam tempoh yang agak lama, air yang naik di kawasan sawah padi itu akan turut melimpah ke kawasan rumah ini. Mula-mula hanya kawasan belakang rumah yang luas akan dipenuhi air. Lama-lama air akan naik sehingga ke bawah rumah. Sedikit demi sedikit menenggelamkan tapak tiang rumah. Ada beberapa kali aku ingat, air naik sehingga menenggelamkan anak tangga kayu yang pertama. Banjir yang paling besar, aku dah lupa tahun berapa, menenggelamkan 2 atau 3 anak tangga. Dan pada masa itu, mak dan ayah sudah beria-ria hendak menghantar kami adik beradik ke pusat perpindahan mangsa banjir (masa tu, Sek. Ren. Atas Tol) sekiranya banjir tidak surut keesokkan harinya. Mujur esoknya banjir semakin surut, dan kami tidak dipindahkan. Jadi ada peluang main air sekeliling rumah!
Sekarang dah masuk musim tengkujuh di sini. Hujan juga semakin hari semakin kerap datangnya. Aku suka musim ini. Aku suka tengok kawasan sawah padi itu bertukar menjadi tasik sementara. Aku suka merasa angin sejuk yang mendinginkan suasana. Aku suka juga memandu dalam hujan lebat di kawasan kampung, dan sesekali kena meredah air yang melimpah ke jalan raya. Seronoknya!
Biasanya aku banyak ajer idea untuk menulis bila tiba musim hujan. Idea mencurah-curah seperti hujan yang lebat itulah. Kalau masa kecik-kecik dulu, aku akan menulis dalam buku-buku tulis yang tak sempat habis digunakan kerana dah habis silibus. Kekadang, lirik lagu pun jadi, selain sajak dan cerpen yang tak pernah habis ceritanya. Hingga sekarang, ada lagi beberapa biji buku yang belum dihapuskan terkandung karya-karya lama itu. Haa...kalau dah baca, nak tergelak pun ada, idea pun ada jugak. Hehe...
Biasanya juga, pada musim tengkujuh seperti inilah aku akan menggeledah semula buku-buka dan majalah-majalah lama. Bila tidak boleh membuat aktiviti luar pada hujung minggu, otak akan berputar ligat memikirkan apa yang boleh dibuat di dalam rumah. So, itulah. Membelek semula buku-buku, novel-novel, majalah-majalah. Niat asalnya hendak menyusun semula,dan membuang apa yang sudah tidak perlu. Tapi, seperti biasa aku ni kalau jumpa ajer bahan bacaan walaupun secebis kertas surat khabar di dalam timbunan sampah, mesti serba sedikit hendak tahu apa isi kandungannya. Masa yang sepatutnya 1 jam dah bertambah ke 2 jam. Apatah lagi kalau buku-buku yang banyak itu! Aduhh.. dah terlebih panjang rasanya entri kali ni. Idea banyak lagi ni.. sambung lagi la ek. Daa..
No comments:
Post a Comment