Iklan

Mar 29, 2009

Sakitnya saat cuba untuk menidakkan perasaan dan melupakan kenangan

Bismillahirrahmanirrahim...

Saat ini menyakitkan
Waktu ini luka dan pedih

Saat dan waktu ini
cuba untuk tidak mengendahkan
cuba untuk tidak mengambil peduli
cuba untuk meniti hari
menipu diri

Jiwa bergurindam
berdendang lagu kepedihan
melayan sejuta pertanyaan
yang tidak berjawapan

Hati bergelodak
berlagu bahasa resah
gelisah menahan sesak dan sebak
diwaktu yang payah

Dan sendu pun berlagu sayu
Hilang ditelan perasaan
Di hari-hari
Yang terus berlalu...

Mar 26, 2009

Hmmm...

Bismillahirrahmanirrahim...

Malam ini tidak lagi seperti malam-malam sebulan yang lalu. Malam ini aku mengadap laptop dengan hati kosong. Aku online YM. Aku online kt Google chat. Aku nak online kt facebook, tp tidak jadi. Kerana aku rasa facebook kurang sesuai untuk orang seperti aku.

Aku jenguk blog kawan-kawan. Tak ramai yang update plak. YM aku menyepi. Google chat pun senyap sunyi. Aku bosan lagi. Aku rasa mengantuk pada jam 23:28pm. Tadi aku sempat buat puding honey dew. Aku makan nasi goreng yang mak buat. Aku bakar roti untuk Aisya.

Eh.. puding aku dah letak dlm peti sejuk belum?? Alamak! Jap ek.
.
.
.
:D. Mak dah letak. Nampaknya aku kena cari cara untuk hiburkan hati aku.

Apa aku nak buat yer???

Mar 25, 2009

Pokok naga (i)

Bismillahirrahmanirrahim...

Pernah tengok bunga pokok naga? Eh.. tau buah naga? Alaaa... mat saleh panggil 'dragon fruit' tu. Ada warna putih dan ada warna merah keunguan yang warnanya sangat terang sehinggakan dulu2 aku ingat warna merah itu disebabkan buah naga yang berwarna putih itu dicelupkan ke dalam pewarna merah untuk bagi cantik. Masa itu aku duk kt Pandan Jaya, dan aku selalu nampak buah naga ni dijual kat pasar malam oleh peniaga cina. Masa tu tak reti lagi makan buah-buah naga ni. Tak tahu khasiatnya. Naif lagi kata orang.

Alaa.. itu sekitar tahun 2000 hingga 2003 dulu. Masa buah naga tu tak glamor lagi. Tak ada lagi juice buah naga atau pulp ker, atau pati ker aper ke. Belum dikomersialkan lagi.

Haa..sekarang buah naga dah glamor. Satu Malaysia dah tahu kebaikan buah naga. Buah naga dah jadi merah kerana malu menahan bangga tersipu-sipu. Huh? Yer ker? Tu yang wujud buah naga merah tu. Tapi, ini serius, buah naga merah lebih sedap dan mahal dari buah naga yang warna putih. Dua pupu aku tanam atas berekar-ekar tanah dia dan aku dapat makan buah naga free!! Hehe...

Ayah aku sempat mengambil batang pokok naga tu di rumah sepupu dia (mak dua pupu aku tu la). Dan cik tanam pada tiga tiang kayu di belakang rumah. Dah lama. Hinggakan aku pernah suruh cik tebang jer pokok tu sebab aku rasa ianya takkan berbunga. Hahaha.. mujur cik tak tebang. Sebab... sekarang ia sedang berbunga! Yeeeeeee!!!


Pada 11hb. Mac. Kecik lagi.


Ini gambar pada hari jumaat lepas iaitu 9 hari selepas gambar di atas.


Ini gambar petang semalam. Diambil ketika aku baru pulang dari kerja sekitar jam 6 petang.


Inilah bunga pertama yang baru kembang pagi ini. Cepat kan. Bunga pokok ini membesar. Dalam sebulan jer. Tapi nak tunggu berbunga tu, rasanya hampir 2 tahun kot. Lama giler.

Ok. Nanti aku akan update hingga pokok itu keluarkan buah, dan sehingga buah itu masuk ke mulut ini. Nyum! Nyum!

P/s : Kalau busu baca ni, mesti dia jeles. Hahaha... aku memang nak buat dia jeles pun!

Mar 24, 2009

Aku rasa

Bismillahirrahmanirrahim...

Malam ini aku rasa bosan.
Aku rasa perut tidak selesa.
Aku rasa tidak tahu hendak berbuat apa.
Aku rasa pinggang aku banyak lemak menggeleber.
Aku rasa baju tidur budak bersaiz 11-12 yrs yang aku pakai agak kecik dari biasa.
Aku rasa cam gemuk jadi aku terus naik atas penimbang, 46kg jer.
Aku rasa rambut aku cam sangat lembut (ewaahhh!)
Aku rasa bosan lagi.
Aku rasa ada nyamuk gigit, jadi aku buka kipas.
Aku rasa sejuk tadi, jadi aku tutup kipas.
Aku rasa sejuk semula, jadi aku tutup semula la kipas tu.
Aku rasa bosan dengan Facebook yang membosankan jadi aku logout.
Aku rasa hidup ini tiada keadilan (tiba-tiba jer ni).
Aku rasa cam awal lagi untuk aku tidur.
Aku rasa bosan jadi aku perlu tidur.

Selamat malam dunia fana. Selamat malam bulan yang indah. Selamat malam bintang yang bersinar. Selamat malam pungguk yang merindu. Selamat malam.

Lapar dan birthday wish

Bismillahirrahmanirrahim...

Aku lapar. Malam tadi tak makan nasi. Lunch semalam pun kul 12.30 tengahari. Pas lunch tu, tak makan-makan sampai petang. Malam tadi, lepas kalerkan rambut, mandi dan solat magrib terus bersambung ke isyak (sebab solat magrib dipenghujung waktu!), dan mengajar Aisya yang sedang membuat correction pada kertas soalan exam dia tu, perut menyanyi lagu keroncong.

Jenguk ke dapur, lauk tidak menarik. Potong kek dalam peti semangkuk kecil, dan kononnya nak bakar roti. Tapi Aisya datang menyibuk. 'Mama, maggi yang cik masak tadi ada dok lagi?'. Laa.. ada lagi ker? Aku jenguk kuali. Okay, cukup untuk aku dan Aisya. Tak perlu bakar roti. Jadinya, dinner aku dengan kek dan maggi jer yang di'share'kan dengan Aisya.

Pagi ini. Aku lapar. Perut aku dah mula menyanyi-nyanyi. Lagu pun sudah sumbang barangkali.

Oh ya. Aku tiba-tiba teringat. Hari ini besday Zeela. Salah seorang blogger yang aku ikut perkembangannya sejak awal blog ini direkacipta.

Happy birthday Zeela. Alamak, sori! Akak tak tahu plak yang ke-berapa. Hehe.. Rasa-rasanya sekitar 24 hingga 26 kot. Tul tak? Eh.. pandai-pandai jer aku berteka-teki di blog sendiri. Hahaha... Semoga panjang umur dan murah rezeki (common wish!).

Mar 23, 2009

My new way to release tension

Bismillahirrahmanirrahim...

Aku pernah bercerita tentang cara yang aku buat to release my stress. Cuma semenjak aku merekacipta blog ini, aku tak pernah lagi berbuat sesuatu seperti yang pernah aku lakukan dulu-dulu untuk melegakan stress. Sebenarnya cara itu sangat berkesan. Cuma mungkin, akan timbul sedikit penyesalan selepas itu sekiranya hasilnya tidak memuaskan hati.

Cara itu ialah dengan memotong rambut pendek-pendek. Ya. Aku pernah berbuat demikian beberapa kali sepanjang hidup aku. Yang pertama aku ingat ketika belajar di USM, Penang dulu. Daripada rambut yang panjang hanya lepas sedikit daripada bahu, aku potong pendek seperti... alaa.. aper nama heroin citer 'Ghost' tu? Yang kahwin ngan orang muda tu? Dah terbayang muka dia ni, tapi lupa nama dia. Alaa.. tahu-tahu sendiri la ek. Aku potong pendek gaya dia dalam citer 'Ghost' tu la. Dan aku sangat berpuas hati sebab amoi cina tu potong sangat cantik. Masa tu tensen blaja..biasa la. Hehe..

Ok. Yang aku ingat lagi, sekitar awal 00-an. :D. Masa tu rambut memang panjang jugak la. Rasanya dah bawah dada sikit. Pun potong pendek stail heroin 'Ghost' tu. Tapi sangat tidak berpuas hati sebab awek melayu tu potong tak cantik. Terlebih pendek. Walaupun rasa ringan kejap kepala daripada stress, tetap ada sedikit perasaan menyesal.

Aku rasa awal tahun lepas pun aku potong rambut juga kerana stress. Memang lega rasanya. Mujur rambut cepat panjang.

Haaa... kali ini aku jumpa cara baru. Aku sebenarnya rasa nak potong rambut. Tapi, aku rasa sayang. Nantilah. Biar panjang skit lagi baru aku potong. Kali ini, untuk melegakan stress... taraaa.. aku warnakan rambut!!! Hahaha...

Akhirnya berjaya juga. Sebenarnya dah agak lama beli pewarna rambut tu. Tapi takut nak buat sendiri bila baca instruction yang macam-macam tu. Cam menakutkan jer. Kena test kat belakang telinga untuk 48 jam la. Takut alergik la. Mungkin sensitif untuk kulit kepala yang gatal-gatal la. Aku hairan, kenapalah dia letak instruction dan warning yang agak menggerunkan sebegitu.

Malam ini, kerana agak stress, dan tangisan yang tertahan, aku kalerkan jugak rambut aku tanpa mempedulikan warning-warning yang menakutkan itu. Dan hasilnya, aku tidaklah menyesal walaupun tidaklah terlalu puas hati dengan hasilnya. Bau wangi, nampaklah perubahan kaler di puncak kepala, tetapi kurang jelas di bahagian hujung.

Well. Ok la tu. At least, my stress is quite release without cutting my hair short.

Tangisan yang tertahan

Bismillahirrahmanirrahim...

Sebenarnya dalam beberapa hari ni, ada rasa sesuatu melekat dikerongkong. Sesuatu yang sangat tidak sedap rasanya. Ya, rasa hendak menangis. Kerana mengenangkan sesuatu, ataupun terkenangkan sesuatu. Hajat yang tidak kesampaian barangkali.

Agaknya kalau mati dalam keadaan sekarang, mahu mati celik agaknya...

Ishh.. apa tetiba cakap pasal mati ni! Tukar topik. Tukar topik.

Aku terasa dengan sesuatu sebenarnya. Terasa sangat. Dan aku tidak tahu kepada siapa hendak aku luahkan. Kerana aku tahu, kekadang orang mungkin dah bosan dengar masalah yang sama dari kita, ataupun adakalanya kita merasakan tiada orang lain yang lebih memahami. Yang mempersendakanpun mungkin ada. Yer la, kerana mereka tidak memahami. Jadinya kita pendam rasa pahit itu sendiri.

Kerana itulah ada waktu-waktunya seperti ketika memandu seorang diri, kita sangat terasa hendak menangis. Tapi kita tahan air mata. Kerana rasa tak nak membazirkan air mata itu. Akibatkan, air mata itu membeku dalam dada, melekat di kerongkong. Dan kerananya kita kekadang rasa sesak nafas akibat saluran pernafasan yang jadi sempit.

Tangisan sebenarnya luahan perasaan, bukannya penunjuk kelemahan. Tetapi, itulah. Kekadang ego juga. Tetap ditahan air mata, walaupun di dalam dada perasaan membengkam!

Mar 19, 2009

Sometimes 'sign' is just enough.

Bismillahirrahmanirrahim...



Video ini telah di'post'kan sebentar tadi tanpa apa-apa komen atau ulasan. Bagaimanapun selepas menunjukkan kepada Nur dan Ain video ini, aku baru perasan yang perlu membuat sedikit ulasan supaya orang menontonnya.

Ya. Awalnya ianya sedikit memboring. Mungkin anda tertanya-tanya, 'Apa ni?, 'Lembap la..' dan macam-macam la komen akan keluar dari mulut anda dan kawan-kawan anda (sekiranya anda tengok beramai-ramai macam menonton bola sepak atau AF7).

Bagaimanapun ianya berakhir dengan sesuatu yang pasti membuatkan anda akan tersenyum. Sesuatu yang sangat manis (so sweet!). Touching maybe. Meleleh air liur (hmm... tidak mungkin). Meleleh air mata (anda terlalu emotional!). Muka anda biasa jer (tiada perasaan.. hey! pandai2 jer!).

Apapun perasaan anda atau reaksi anda, terserah kepada anda. Tiada sebarang komen untuk reaksi anda itu kerana hanya anda dan orang-orang yang faham perasaan anda sahaja yang tahu.

Tetapi, betul. Kadangkala, petanda atau petunjuk sahaja sudah mencukupi untuk kita mengerti.

Mar 18, 2009

Hari ini keadaan jiwa tidak tenteram

Bismillahirrahmanirrahim...

Keadaan jiwa atau 'mood' sangat kurang menarik. Ianya boleh digambarkan seperti telah berlaku gangguan emosi di awal pagi ketika sesampainya aku dipejabat seterusnya mengakibatkan gangguan emosi sepanjang hari. Seterusnya ditambah pula perencah-perencah yang menambahkan lagi 'suasana hati' itu.

Arahan kerja yang berulang-ulang. Boss yang kurang memahami. Menyebabkan aku melayan soalan-soalan boss dengan jawapan yang sangat tidak memberangsangkan, dengan muka yang masam kelat. Anyway, dalam perasaan yang tidak menentu itu, sempat juga menyiapkan beberapa perkara (berkaitan kerja semestinya!). Dah berada di tempat kerja, dan waktu kerja, takkan perkara itu berkaitan kain baju dan pinggan mangkuk pulak kan. Hehe..

Sehingga malam ini, 'keadaan jiwa' masih kurang menghangatkan. Keluar ke klinik gigi dengan Aisya juga, hanya untuk berhenti seketika di hadapan klinik gigi yang gelap dan tutup. Diaorang ni nak berniaga ker tak??? (Pinjam ayat Nur!). Jadinya, cuba mencari 'suasana hati' yang lebih tenteram dengan melencong ke Giant. Cadangannya untuk membeli selipar kerana selipar NYC merah kesayangan telah putus. Dah beberapa minggu kalau nak keluar ke mana-mana yang tidak rasmi (ke pasar dan pantai misalnya) terpaksa pakai high heel yang dah lusuh. Cadangan itu berjaya dilaksanakan dengan membeli selipar Nona (kot) berharga RM20.00 sahaja. ;D

At least, dengan menjalankan urusan pembelian itu (eceehhh.. cam order bahan binaan jer, mujur tak hutang! Hahaha..), sedikit 'keadaan jiwa' yang kurang tenteram itu telah berkurang. Well, shopping is the best cure for stress is it? At least, it's work for me!

Aisya dah lena, dan mama mengadap blog.. Hmm..

*Rujuk online dictionary, mood ialah keadaan jiwa atau suasana hati.

Mar 15, 2009

Bingkisan untuk seorang sahabat (Dari list draft bertarikh asal 15 Mac 2009)

Bismillahirrahmanirrahim...

Sahabat,
Hari ini hujan. Semalam pun hujan. Sekejap lebat sangat hinggakan tak nampak kereta di hadapan ketika di jalanraya. Sebentar lagi pulak, dah teduh atau tinggal renyai-renyai sahaja. Aku kerisauan di pejabat. 'Macamana nak pergi ni'. Hati juga gelisah.

Sejak semalam hati tidak begitu tenang. Berpusing-pusing di dalam Giant, bertemankan sekecil yang riang menolak troli kosong, tidak tahu apa yang hendak dibeli. Cadar dan comforter, mahal sangat. Budget tak cukup. Nak beli pinggan mangkuk, terlalu common. Periuk belanga, sama juga. Mesti berlambak-lambak yang kamu dapat. Aku hendak cari yang lain dari yang lain. Yang orang lain tidak terfikir untuk berikan. Yang tidak luak walaupun berzaman. Yang berguna hingga akhir waktu. Buntu, akhirnya aku dan Aisya meninggalkan troli kosong dan melangkah keluar dari Giant.

Kami ke bandar, membeli lipstik Loreal yang sedang murah di Watson. Sebatang lipstik dan sebotol air mineral, kami kemudiannya ke kedai buku. Sebenarnya di dalam kereta terdapat sebuah buku motivasi karangan Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni 'Motivasi Menjadi Wanita Paling Bahagia'. Buku yang dibeli ketika mengunjungi pesta buku antarabangsa awal tahun lepas itu dibaca ketika menunggu Aisya menghabiskan tusyennya (beberapa minggu yang lepas). Dimukasurat pertama buku tersebut terdapat ruangan untuk mengisi nama penerima buku (bertulis 'Hadiah untuk ...') dan pemberi buku (Daripada....). Itulah yang memberikan aku inspirasi untuk membelikan buku sebagai hadiah untuk kamu. Terfikir juga betapa sesuai buku itu dijadikan hadiah, tetapi buku sudah agak lama dan lusuh. Kerana itu kami ke kedai buku Pustaka Seri Intan.

Lama juga aku menilik buku-buku motivasi yang agak banyak disitu. Dan sekali lagi aku jadi buntu bila berhadapan dengan banyaknya buku berkaitan perkahwinan. Dan akhirnya kedua-dua buku yang aku hadiahkan kepadamu itulah yang menjadi pilihan. Maaf, hanya itu yang aku rasa terbaik daripada aku buat masa ini. Aku tidak tahu kamu suka membaca atau tidak. Aku tidak tahu kamu akan membaca atau tidak. Aku sebenarnya tertarik kepada tajuk buku itu, dan aku pasti kamu juga. Serba sedikit pasti membuatkan kamu akan membeleknya bila punya waktu nanti.

Kesilapan dalam perkahwinan. Sesuatu yang semua orang hendak elakkan dalam kehidupan ini ialah membuat kesilapan, dalam apa saja. Tetapi kita tidak akan sedar sesuatu itu silap atau tidak selagi kita tidak berbuat kesilapan. Yer la, ibarat kata pepatah, 'Sudah terhantuk, baru terngadah'. Ketika itu, kita cuma ada 2 pilihan iaitu belajar dari kesilapan dengan menilik diri sendiri ataupun ego, dan mengulangi kesilapan yang sama.

Petua-petua menjadi isteri solehah. (Maaf kalau silap, aku sendiri lupa tajuk buku itu). Barangkali ianya tidak perlu, kerana adakalanya kita menganggap kita sudah tahu. Tapi, percayalah. Suatu hari nanti, ada suatu masa kita mungkin memerlukannya.
Cuma pastikan masa itu bukannya masa yang sudah terlewat.

Sahabat,
Hidup ini tidak selalu cerah. Mendung mungkin muncul dimana-mana. Hidup dimana-mana pun masih tetap di bawah langit yang sama. Bahagia, ada dalam genggaman kita. Jika kita mahu, berbahagialah kita. Jika kita fikir susahnya untuk bahagia, maka sukarlah hasilnya. Itu juga peringatan untuk diri sendiri. Tiada yang sempurna di mana-mana.

Oh ya. Aku suka melihat seri pengantin dan bahagia di wajahmu.
Selamat Pengantin Baru.
Semoga bahagia mengiringi hidupmu hingga ke syurga.

Mar 12, 2009

Aku 'amnesia' ker?

Bismillahirrahmanirrahim...

Sudah sekitar 15 tahun masa itu berlalu. Satu masa yang cukup panjang. Satu masa yang punya banyak peristiwa, yang manis-manis diselang-selikan dengan yang pahit-pahit, kelat, tawar dan hambar. Bolehkah kita mengenang semua peristiwa itu, yang manis-manis itu? Mungkin kalau yang pahit, pernah kita niat untuk meluputkan terus dari ingatan. Tapi, bolehkah?

Malam ini aku seolah-olah terjaga dari lena yang sangat panjang. Aku sangat terkejut sebenarnya. Puncanya hanya daripada komen yang ditinggalkan oleh seorang kawan di facebook ke atas gambar kawannya. Bila aku klick pada gambar itu, aku terkejut kerana aku rasa aku kenal semua yang ada disitu, malahan pernah berada di kalangan mereka. Aku cuba mengingati bagaimana aku kenal mereka.

Soalan-soalan yang bermain di fikiran aku masa tu ialah;
1. Diaorg satu 'course' ke dengan aku dulu? Kalau se'course', adakah diaorg juga major yang sama dengan aku? Aduhh.. kenapa aku langsung tak ingat!

2. Diaorg juga pelajar matrikulasi USM ker? Ataupun lepasan STPM, atau dari politeknik ?

3. Bagaimana rapat aku dengan diaorang dulu? Kenapa aku rasa seolah-olah aku pernah sangat rapat dengan diaorang dulu?

4. Diaorg kenal aku ke tak?

5. Last question is 'am i amnesia' to certain cases?'

Aku tak tahu untuk menjawab soalan-soalan itu. Aku juga tidak tahu siapa yang boleh memberikan jawapan kepada soalan-soalan itu. Aku cuba menenangkan diri sendiri dengan memujuk fikiran. Kerana aku tiba-tiba teringat, aku cuba untuk melupakan banyak perkara. Dan kenangan-kenangan manis itu turut aku terlupakan. Untuk membina hidup baru, aku lupakan kenangan yang tertinggal dibelakang. Aku lupakan segala-galanya. Kerana itu aku seolah-olah 'amnesia'.

Aku cuma ingat, aku pernah belajar di USM, Penang. Mengambil jurusan Housing, Building & Planning majoring in Construction Management sebagaimana tercatat dalam curriculum vitae. Kemudian, aku bekerja selama 4 tahun di Kuala Lumpur. Banyak kenangan pahit yang aku kumpul disitu. Kerana itu, aku cuba melupakan segala-galanya, pulang ke Kuala Terengganu dan memulakan hidup baru. Aku lupakan segalanya tentang masa lalu, termasuk tentang kawan-kawan dan kenangan manis.

Aku lahir semula di Kuala Terengganu, pada 1 Januari 2003, serentak dengan hembusan nafas seorang Dania Aisya, dan ingatan dan kenangan aku bermula dari situ...

Mar 11, 2009

Mandi bunga.

Bismillahirrahmanirrahim...

Pernah kah 'mandi bunga'? Alaa.. yang macam Isabella dalam cerita 'Fenomena' lakonan Ramona Rahman dulu tu. Cuma, tak mungkin la ditempat terbuka seperti itu kan. Tak malu ke nak berkemban dan mandi dengan penuh rasa anggun dijirusi air yang penuh dengan bunga2 berbau harum itu, di atas pangkin yang terdedah kepada pandangan umum? Hmmm.. mungkin masa kecik2 dulu, saya sendiri pernah la buat. Opss.. bukan mandi bunga. Mandi biasa2 jer, kat atas 'lambur' dapur yang terbuka. 'Lambur' tu anjung la dan tidak beratap. Tapi zaman sekarang, dah banyak spa menyediakan perkhidmatan mandi bunga. Dalam tub lagi!

Biasanya mandi bunga ni dikaitkan dengan usaha supaya cepat ketemu jodoh, supaya naik seri dan ramai yang berkenan. Tapi ada jugak dengan tujuan menolak bala, dan macam2 lagi la. Ya, semua itu usaha, dan kita digalakkan berusaha mencari penyelesaian apabila berhadapan dengan pelbagai jenis masalah. Mandi bunga itu boleh jadi cara tradisional. Boleh dipercayai juga sebagai cara psikologi.

Contohnya, bila dah mandi dengan air yang direndam pelbagai jenis bunga-bungaan yang wangi itu, maka mandian pun seronok. Serius. Ini pengalaman. Air yang direndam bunga2 melur, cempaka, mawar dan yg lain yg wangi itu, memang wanginya sampai melekat pada kulit. Selepas mandi, secara psikologinya bila badan berbau wangi maka kita pun hati senang. Naiklah seri muka.

Biasanya orang mandi dengan 7 jenis bunga yang wangi. Tapi, aku malas nak cari 7 jenis. Cukuplah ada 3 jenis. Lagipun aku saja2 jer mandi bunga, tanpa jampi serapah apa semua tu. Hehe.. Itupun bila rumah pokok-pokok cempaka dan tanjung tokwan berbunga lebat jer.

Baru-baru ni mak ada berbunyi tentang mandi bunga. Dia nak ajak aku pergi jumpa siapa-siapa ntah. Kononnya supaya cepat sikit ketemu jodoh. 'Ikut mak la', aku berkata dengan nada tidak bersungguh. Ya, aku kurang percaya sikit bomoh-bomoh ini. Tapi mungkin juga kerana kurang yakin itu yang membuatkan usaha itu tidak berjaya setakat ini. Ntah la....


Bunga cina yang baunya seperti bunga sundal malam.

Mar 10, 2009

Bicara rindu


Bismillahirrahmanirrahim...

Ini bicara tentang hati
hati yang sedang gundah
resah gelisah
tidak sudah

Ini titipan tentang perasaan
rasa yang tiada tenteram
hati walang
kelam suram

Ini sebenarnya luahan rindu
yang menghulur sapa
yang mengundang nestapa
yang pedih di hati
yang ngilu di diri
bagai meraba di dalam terang
bak merangkak di suluhan matahari
hilang di diri mencari yang tiada pasti

Bicara. Titipan. Luahan.
Tentang. Rindu.

Mar 5, 2009

Di bawah bumbung yang sama


Bismillahirrahmanirrahim...

Malam yang seperti biasa di rumah papan di tepi baruh ini riuh dengan bunyi-bunyian Aisya membaca bukunya dengan suara yang sangat kuat dengan sesekali ditegur mama yang memantau dan nenek mengaji Quran diselang-seli dengan suara cik memperbetulkan tajwidnya. Alangkah harmoninya suasana itu. Seperti dulu-dulu. Ketika kami adik beradik masih bersekolah.

Kami enam beradik dilahirkan selang bunga. Itu yang digelarkan orang kampung. Bermula dengan abang pada tahun 1969, mek menyusul selang 2 tahun kemudian. Abang Yah pada 3 tahun berikutnya diikuti oleh saya pada 1976, cik juga berselang 3 tahun dan diakhiri oleh busu pada 1981. Bayangkan ketika 1983, mek di dalam darjah 6, abang yah darjah 3 dan saya sendiri di tahun 1. Lima tahun kemudian ketika aku di darjah 6, busu pula di tahun 1 dan cik di tengah-tengah, darjah 3. Sangat unik dan menarik.

Pada tahun 1988 itu, abang yah di dalam tingkatan 2 di sekolah menengah biasa di kampung dan mek tingkatan 5 di KIK (sekarang KISAS). Kami 4 beradik setiap malam akan mengadap buku dan kerja sekolah masing-masing. Tv jarang dibuka kerana tiada yang ingin menonton selagi kerja sekolah tidak siap. Ayah keluar ke kedai, dan emak menganyam tikar mengkuang. Apabila masing-masing selesai kerja sekolah atau pada hujung minggu atau pada musim cuti sekolah, malam-malam kami akan dipenuhi dengan bermacam-macam aktiviti. Bermain congkak, tutup botol, batu seremban, kad, dan macam-macam. Riuhlah rumah papan di tepi baruh ini, sebagaimana riuhnya bendang bila kami adik-beradik turun membantu mak dan ayah menanam padi.

Begitulah. Catatan keriuhan di rumah ini sekarang, dan dulu-dulu. Biarpun banyak perbezaannya, tetapi keriuhan sekarang mengimbau keriuhan masa lalu. Kemeriahan sekarang menggamit kenangan pada kemeriahan suatu waktu dahulu.

Seterusnya, begitulah cara kami dibesarkan. Meriah dan riuh di dalam kepayahan dan kesederhanaan dalam kehidupan. Dan Aisya cuba dibesarkan dalam kesederhanaan juga. Dalam pengajaran daripada pengalaman.

Ketakutan dan Keberanian

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari khamis lepas aku ke Kuala Lumpur. Memandu sendirian sepanjang jalan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur adalah pengalaman baru. Biasanya, biarpun hanya aku yang memandu, ada emak dan Dania Aisya disebelah menemani. Kali ini entah kekuatan dari mana yang muncul aku sebenarnya hanya memberanikan diri. Antara sebab-sebabnya aku boleh pergi sendiri, kerana aku malas hendak mendengar seribu satu macam alasan bila aku mengajak seseorang menemani. Aku juga tidak sanggup untuk kecewa kerana itu. Dan aku juga faham, setiap orang punya urusan masing-masing.

Banyak risiko sebenarnya bagi seorang perempuan memandu bersendirian bagi sesuatu perjalanan jarak jauh. Malang tidak berbau. Untuk perjalanan sejauhnya hampir 6 jam dengan hanya kereta kancil, kita mungkin terdedah kepada risiko dan malang itu. Kereta mungkin rosak dalam perjalanan, di tempat yang agak sunyi. Tayar pancit atau sebagainya. Orang jahat ada dimana-mana. Kita sudah banyak mendengar cerita kemalangan yang disengajakan ataupun kereta yang tiba-tiba menghalang perjalanan. Aku cuba melawan ketakutan itu. Berfikir positif dan cuba menenangkan perasaan sebaik mungkin.

Pastinya lebih mudah bersendirian, Tidak perlu menunggu sesiapa. Boleh bertolak bila-bila masa sahaja. Boleh berhenti bila-bila masa di mana-mana stesen petrol apabila terasa hendak membuang air kecil. Boleh mendengar apa sahaja siaran radio dan dengan kuatnya tanpa perlu memikirkan perasaan orang lain. Juga boleh menyanyi sekuat hati sepanjang perjalanan tanpa perlu risau suara sumbang atau merdu. Atau sesekali boleh membaca apa sahaja doa-doa atau surah-surah pendek dengan kuat apabila dada tiba-tiba berdebar kencang. Kemudian boleh berhenti makan dimana sahaja apabila perut sudah menyanyikan lagu lapar tanpa perlu memikirkan lauk-pauk disitu menepati selera atau tidak. Akhir sekali boleh meletakkan sasaran untuk sampai pada jam berapa-berapa. Memecut dengan kelajuan yang terkawal sambil mengingati insan tersayang. Dan akhirnya mengucapkan 'Alhamdulillah' dan menjerit sekuatnya melepaskan perasaan apabila tiba ke destinasi pada masa sasaran.

Pastinya juga bertolak pulang ke kampung lebih mudah perasaannya kerana sudah ada satu pengalaman yang tidak mengecewakan. Tidak ada lagi perasaan takut dan gementar. Memandu dalam keadaan yang sangat tenang dan damai. Berhenti hanya untuk membuang air kecil dan mengisi minyak. Langsung tidak makan kerana tiada selera untuk makan bersendirian, dan seterusnya sampai dirumah dalam keadaan yang lapar sesangat!

Ianya pengalaman yang sangat baru, sangat berharga. Juga menakutkan kerana dibimbangi selepas ini mungkin akan diulangi. Harap-harap keberanian itu dibawah kawalan akal, bukan dikuasai perasaan semata.

Yer la. Takut jugak kot nanti tension-tension skit lari ke KL. Sebab dah berani pergi sendiri.

Harap-harap tidak.

Nota kaki 1 : Ok tak tajuk entri ni? Rasa cam pelik plak.


Nota kaki 2 : Aku pergi membeli tender di bangunan berhampiran bangunan di atas. Cuba teka di mana.

Mar 3, 2009

Lamanya cuti berblog

Bismillahirrahmanirrahim...

Yer. Memang lama. Seminggu. Lama la tu. Ni dah masuk March. Banyak sangat benda nak diceritakan sehingga tak tercerita! Well, ok. One by one. Will start tonight. Really hope so.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...