Bismillahirrahmanirrahim...
Sahabat,
Hari ini hujan. Semalam pun hujan. Sekejap lebat sangat hinggakan tak nampak kereta di hadapan ketika di jalanraya. Sebentar lagi pulak, dah teduh atau tinggal renyai-renyai sahaja. Aku kerisauan di pejabat. 'Macamana nak pergi ni'. Hati juga gelisah.
Sejak semalam hati tidak begitu tenang. Berpusing-pusing di dalam Giant, bertemankan sekecil yang riang menolak troli kosong, tidak tahu apa yang hendak dibeli. Cadar dan comforter, mahal sangat. Budget tak cukup. Nak beli pinggan mangkuk, terlalu common. Periuk belanga, sama juga. Mesti berlambak-lambak yang kamu dapat. Aku hendak cari yang lain dari yang lain. Yang orang lain tidak terfikir untuk berikan. Yang tidak luak walaupun berzaman. Yang berguna hingga akhir waktu. Buntu, akhirnya aku dan Aisya meninggalkan troli kosong dan melangkah keluar dari Giant.
Kami ke bandar, membeli lipstik Loreal yang sedang murah di Watson. Sebatang lipstik dan sebotol air mineral, kami kemudiannya ke kedai buku. Sebenarnya di dalam kereta terdapat sebuah buku motivasi karangan Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni 'Motivasi Menjadi Wanita Paling Bahagia'. Buku yang dibeli ketika mengunjungi pesta buku antarabangsa awal tahun lepas itu dibaca ketika menunggu Aisya menghabiskan tusyennya (beberapa minggu yang lepas). Dimukasurat pertama buku tersebut terdapat ruangan untuk mengisi nama penerima buku (bertulis 'Hadiah untuk ...') dan pemberi buku (Daripada....). Itulah yang memberikan aku inspirasi untuk membelikan buku sebagai hadiah untuk kamu. Terfikir juga betapa sesuai buku itu dijadikan hadiah, tetapi buku sudah agak lama dan lusuh. Kerana itu kami ke kedai buku Pustaka Seri Intan.
Lama juga aku menilik buku-buku motivasi yang agak banyak disitu. Dan sekali lagi aku jadi buntu bila berhadapan dengan banyaknya buku berkaitan perkahwinan. Dan akhirnya kedua-dua buku yang aku hadiahkan kepadamu itulah yang menjadi pilihan. Maaf, hanya itu yang aku rasa terbaik daripada aku buat masa ini. Aku tidak tahu kamu suka membaca atau tidak. Aku tidak tahu kamu akan membaca atau tidak. Aku sebenarnya tertarik kepada tajuk buku itu, dan aku pasti kamu juga. Serba sedikit pasti membuatkan kamu akan membeleknya bila punya waktu nanti.
Kesilapan dalam perkahwinan. Sesuatu yang semua orang hendak elakkan dalam kehidupan ini ialah membuat kesilapan, dalam apa saja. Tetapi kita tidak akan sedar sesuatu itu silap atau tidak selagi kita tidak berbuat kesilapan. Yer la, ibarat kata pepatah, 'Sudah terhantuk, baru terngadah'. Ketika itu, kita cuma ada 2 pilihan iaitu belajar dari kesilapan dengan menilik diri sendiri ataupun ego, dan mengulangi kesilapan yang sama.
Petua-petua menjadi isteri solehah. (Maaf kalau silap, aku sendiri lupa tajuk buku itu). Barangkali ianya tidak perlu, kerana adakalanya kita menganggap kita sudah tahu. Tapi, percayalah. Suatu hari nanti, ada suatu masa kita mungkin memerlukannya.
Cuma pastikan masa itu bukannya masa yang sudah terlewat.
Sahabat,
Hidup ini tidak selalu cerah. Mendung mungkin muncul dimana-mana. Hidup dimana-mana pun masih tetap di bawah langit yang sama. Bahagia, ada dalam genggaman kita. Jika kita mahu, berbahagialah kita. Jika kita fikir susahnya untuk bahagia, maka sukarlah hasilnya. Itu juga peringatan untuk diri sendiri. Tiada yang sempurna di mana-mana.
Oh ya. Aku suka melihat seri pengantin dan bahagia di wajahmu.
Selamat Pengantin Baru.
Semoga bahagia mengiringi hidupmu hingga ke syurga.
No comments:
Post a Comment