Iklan

Mar 5, 2009

Di bawah bumbung yang sama


Bismillahirrahmanirrahim...

Malam yang seperti biasa di rumah papan di tepi baruh ini riuh dengan bunyi-bunyian Aisya membaca bukunya dengan suara yang sangat kuat dengan sesekali ditegur mama yang memantau dan nenek mengaji Quran diselang-seli dengan suara cik memperbetulkan tajwidnya. Alangkah harmoninya suasana itu. Seperti dulu-dulu. Ketika kami adik beradik masih bersekolah.

Kami enam beradik dilahirkan selang bunga. Itu yang digelarkan orang kampung. Bermula dengan abang pada tahun 1969, mek menyusul selang 2 tahun kemudian. Abang Yah pada 3 tahun berikutnya diikuti oleh saya pada 1976, cik juga berselang 3 tahun dan diakhiri oleh busu pada 1981. Bayangkan ketika 1983, mek di dalam darjah 6, abang yah darjah 3 dan saya sendiri di tahun 1. Lima tahun kemudian ketika aku di darjah 6, busu pula di tahun 1 dan cik di tengah-tengah, darjah 3. Sangat unik dan menarik.

Pada tahun 1988 itu, abang yah di dalam tingkatan 2 di sekolah menengah biasa di kampung dan mek tingkatan 5 di KIK (sekarang KISAS). Kami 4 beradik setiap malam akan mengadap buku dan kerja sekolah masing-masing. Tv jarang dibuka kerana tiada yang ingin menonton selagi kerja sekolah tidak siap. Ayah keluar ke kedai, dan emak menganyam tikar mengkuang. Apabila masing-masing selesai kerja sekolah atau pada hujung minggu atau pada musim cuti sekolah, malam-malam kami akan dipenuhi dengan bermacam-macam aktiviti. Bermain congkak, tutup botol, batu seremban, kad, dan macam-macam. Riuhlah rumah papan di tepi baruh ini, sebagaimana riuhnya bendang bila kami adik-beradik turun membantu mak dan ayah menanam padi.

Begitulah. Catatan keriuhan di rumah ini sekarang, dan dulu-dulu. Biarpun banyak perbezaannya, tetapi keriuhan sekarang mengimbau keriuhan masa lalu. Kemeriahan sekarang menggamit kenangan pada kemeriahan suatu waktu dahulu.

Seterusnya, begitulah cara kami dibesarkan. Meriah dan riuh di dalam kepayahan dan kesederhanaan dalam kehidupan. Dan Aisya cuba dibesarkan dalam kesederhanaan juga. Dalam pengajaran daripada pengalaman.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...