Sejak semalam hujan renyai-renyai walaupun tidak lebat sudah mula turun dan jarang berhenti. Langsir nipis baru di dalam bilik mula melayang-layang terbang bersama tempias air hujan. Biasanya masuk sahaja Oktober aku sudah perlu risau tentang hujan dan perkaitannya dengan kehidupan kami. Terutamanya dari segi beg sekolah bertayar Aisya dan kasut sekolahnya. Memang teruk keadaannya sejak bangunan lama sekolah diruntuhkan dan bangunan baru yg dalam pembinaan belum-belum siap dan sepatutnya sudah lama kontraktornya ditamatkan kontrak. Err.. aku jelas tentang ini sebab aku berkerja di bidang ini sejak dulu. Beg sekolah bertayar terpaksa diganti dengan jenis bergalas dan kasut sekolah yg lagi sepasang hendaklah dipastikan sentiasa kering. Tapi tahun ini nampaknya mulai esok aku baru perlu risau tentang itu. Itupun hanya untuk dua minggu sahaja lagi. Kerana kemudiannya, cuti sekolah akan bermula. Ya, musim hujan tahun ini agak lambat.
Tentang hal lain, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana aku memang suka hujan. Hujan seperti biasa selalu turun dengan idea yang mengcurah-curah kepada aku. Sekiranya boleh digambarkan ibarat apabila aku berada di dalam hujan dan mendongak ke langit, merasa titik-titik hujan menikam muka, idea itu bagai menyerap masuk terus ke dalam badan, mengalir di seluruh urat saraf. Musim hujan juga adalah musim merapatkan ikatan kekeluargaan pada aku. Dan ini sejak kami adik beradik kecil lagi di mana setiap kali musim hujan tiba yang selalu di hujung tahun cuti persekolahan, kami punya banyak waktu di rumah setelah selesai beberapa hari menanam padi secara beramai-ramai bermandi selut dan bergelut dengan lintah dan pacat. Semua kami adik beradik pernah merasai akan ini kecuali yang bongsu barangkali. Bendang menjadi riuh rendah dengan suara kami adik beradik. Dan sehabisnya hari-hari dibendang, kami menghabiskan masa dirumah dengan bermacam-macam aktiviti, sambil mengadap kopi panas dan ubi kayu atau ubi 'setele' rebus. Untuk aku, air milo atau teh sebab aku tak suka air kopi. Dan sekarang, walaupun mungkin ianya hanya aku, adik, mak dan ayah, dan Aisya, apabila hujan diluar, kami di dalam rumah akan berkumpul di satu tempat, di kerusi panjang depan tv misalnya, atau di bilik aku di atas katil sambil melihat rintik hujan diluar dan ada sahaja cerita akan keluar nanti. Begitulah.
Tadi petang aku ke belakang, mencari-cari kura-kura yang emak kata ayah jumpa dekat bendang dan telah ditunjukkan dekat semua cucu-cucu tanpa sedarku kerana aku sedang asyik mengadap komputer, dan telah dilepaskan di situ sahaja. Tak jumpa, tapi aku seronok bermain angin moonson yg kuat bertiup. Mendongak ke langit dan melihat awan mendung laju bergerak melindungi langit biru. Mendengar desir dedaun buluh yg bergisiran sesame sendiri. Tuala di bahu juga hamper terbang ditiup angin. Rambut yg aku rasa pendek, tiba-tiba terasa panjang. Dan tiba-tiba aku rasa sayang pulak untuk potong.
No comments:
Post a Comment