Iklan

Oct 23, 2010

Kejatuhan bermukabuku dari hati aku

Sejak sekian lama aku semakin bosan dengan laman sesawang perhubungan sosial yang semakin popular sejak bila tidak aku peduli, di mana rata-rata manusia termasuk makcik pakcik kat kampung juga sudah berminat membuka akaun di situ, iaitu mukabuku. Yang agak menariknya sekarang di situ juga menjadi tempat berhubungan sekeluarga di mana mungkin semua ahli keluarga membuka akaun mukabuku masing-masing. Hahaha.. jangan berebut tanah kat dinding yang boleh bercakap itu sudah, kan.

Memang ianya nampak menarik di situ jika dipandang dari sudut yang sihat. Mungkin boleh mengeratkan silaturrahim sesama saudara-mara, berlebih-lebih lagi yang tinggal jauhnya beribu-ribu ringgit malaysia tambang kapal terbang, ataupun yang di alam nyata hanya sekadar mengangkat tangan tanda salam dari dalam kereta dan tersenyum tetapi boleh bergurau senda di alam maya.

Tetapi awas juga, pastikan tiada perkara sulit atau berkias-kias di bincangkan di alam maya ini. Banyak bahayanya di situ. Aku pernah lihat dan merasakan bahangnya.

Beberapa hari lepas, seorang kawan memberikan salam mengundurkan diri daripada perhubungan sosial mukabuku di dinding profailnya. Tidak langsung menyentuh tentang sebab dan alasan, tetapi meminta maaf dan mengharapkan persahabatan tidak terputus. Dan kemudian aku melihat, dia sudah 'hilang' daripada senarai kawan di mukabuku aku.

Aku, tidak punya ramai kenalan pun di mukabuku. Memang, mula-mula 'bertemu' ramai kawan-kawan lama dahulu di situ, aku agak teruja. Bayangkan, lebih sepuluh tahun, malah ada yang sudah aku lupa langsung tentang kewujudan mereka, tiba-tiba 'melihat' nama dan gambar mereka di mukabuku, aku seperti tersedar dari mimpi yang panjang. Tapi, apabila ditambah ke dalam senarai kenalan, berbual-bual dan bercerita beberapa kali di alam maya itu, kemudian mereka dan aku juga senyap seperti tidak kenal masing-masing lagi. Persahabatan erat suatu ketika dahulu, terjalin semula untuk seketika sahaja di alam maya itu.

Dan, aku mula jadi bosan. Memang selama inipun, aku tidak mencari kenalan baru di mukabuku. Aku cuma menambah kenalan baru sekiranya mereka ada kepentingan sahaja, seperti menjadi jiran di farmville sahaja. :D Tetapi, adakalanya melalui permainan di alam maya itu, daripada tidak kenal langsung, kami menjadi kenal dan mesra, lebih daripada kawan-kawan yang pernah ketawa dan menangis bersama dahulu.

Errr.. aku tidak jadi menutup akaun mukabuku aku kerana;

1. Aku suka membeli belah bertingkap secara alam maya di situ.

2. Aku suka baca komen-komen dan tip-tip masakan di situ.

3. Semestinya aku sayang ladang aku di farmville. Hehe....

Itu sahaja.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...