Iklan

Jun 14, 2011

Membaca Tidak Mudah.

SN A. Samad Said berkata, 'Reading is not easy. Unless you have cultivated the habit, you will not read'. Membaca tidak mudah. Melainkan kamu telah menanam tabiat itu, kamu tidak akan membaca.


Saya sedang cuba mengajar Aisya menanam suatu tabiat dalam diri dia, iaitu membaca. Tapi susahnya ya ampun! Dia lebih berminat dengan Ultraman Tiga, Klik, Tom Tom Bak, dan macam-macam lagi godaan di Astro Ceria, daripada mengadap majalah Ana Muslim, buku Hansel and Gretel atau Heidi, Puteri Santubong dan bermacam-macam lagi buku cerita yang saya belikan untuknya semenjak dia kecil lagi. Apatah lagi buku-buku sekolah dia! Kena pesan setiap hari sebelum ke pejabat. Kalau tidak, dia akan mengadap tv sepanjang pagi sebelum bersiap-siap ke sekolah pada tengaharinya. Jika terlupa berpesan, dia tidak akan membaca dan apabila bertanya kenapa dia tidak membaca (mak mengadu), dia ada jawapannya, 'Mama tak suruh pun pagi tadi'. Aduhai anak mama.....


Sedang saya sendiri berfikir, bagaimana agaknya saya mendapat tabiat membaca ini yer. Kalau hendak mengemas buku dan majalah, memang tidak cukup satu hari sebab saya akan terleka membaca apa yang hendak saya kemas. Hendak membakar sampah pun boleh lagi saya belek surat khabar atau majalah yang hendak dibakar. Kalau tidak ada emak yang menggesa, memang tak siap la kerja itu semua. Sehinggakan masa makan nasi lemak pun, sempat lagi menarik suratkhabar pembalut nasi lemak ke tepi untuk dibaca, sambil mengadap nasi lemak beralas plastik lutsinar.


Dan saya masih ingat, masa saya bersekolah rendah dahulu (di sekolah yang sama dengan Aisya), saya berebut-rebut dengan kawan-kawan meminjam buku-buku cerita di library. Masa tu, buku cerita bukannya banyak sangat, library kecil sahaja. Sehinggakan kami ketiadaan buku untuk dipinjam lagi sebab hampir ke semua buku dah kami baca (kebetulan ketika darjah empat saya menjadi pengawas perpustakaan). Perpustakaan bergerak yang datang beberapa kali sebulan itu (saya lupa kekerapannya) juga antara tempat yang memang tidak mahu saya lepaskan. Tabiat membaca dah ada masa tu, sehingga buku-buku cerita kepunyaan kakak di rumah ini sudah berpuluh kali saya itu ketika itu.


Jadi, kenapa agaknya Aisya tidak mewarisi tabiat saya yang saya rasakan bagus itu?


Jika difikir-fikirkan, dulu memang banyak buku cerita dirumah, sekarang bertambah-tambah lagi. Dulu ada kakak yang menjadi pemangkin (dia suka membaca juga), sekarang saya pasti saya pemangkin yang sepatutnya lagi berjaya. Ini, sesekali sahaja berjaya apabila Aisya bertiarap disebelah saya membaca majalah Ana Muslim sementara saya membaca majalah Intrend. Hehe...


Mungkin saya belum cukup gigih lagi menanam. Perlu siram, baja dan jaga betul-betul. Semoga dia akan menjadi 'ulat buku' dan pencinta ilmu, itu yang paling penting. Dia tahun ini darjah tiga dan keputusan bahasa melayu dia kali ini (untuk OTI sebelum cuti yang lalu) bertambah baik. Oh, saya sebenarnya berdukacita kerana English dan Matematiknya sangat teruk! Saya tahu, saya yang terlebih-lebih berdukacita, rasa serabut seperti saya yang menduduki peperiksaan itu, rasa tidak tahu hendak berbuat apa, hinggakan saya tidur awal malam semalam kerana tidak tahu hendak memikirkan yang bagaimana, sedangkan Aisya elok-elok sahaja menonton tv bersama tokki dan neneknya. Argghhh!!!


Oh, entri ini sudah terlalu panjang. Kena berhenti sekarang sebelum kamu termuntah. Terima kasih kerana sudi membaca. :D

2 comments:

  1. assalam aya

    membaca ni bukan boleh dipaksa paksa. ianyer perlu dijadikan rutin harian. wa pun sama juga dgn aya. leka membaca. kadang2 blog sendiri x ber'update' kerana apabila singgah di blog kwn2 terus leka membaca. akhirnya blog sendiri terabai ... ha33

    mungkin sifat suka membaca wa ni diwarisi dari abah. setiap hari abah akan membeli surat khabar jawi dan hari ahad ada kedua2 ( rumi + jawi )

    ReplyDelete
  2. wassalam wachak,

    betul tu, tapi nak tanam rutin dan tabiat tu sedikit punya susah la.

    eh, saya dulu pun suka bawa jawi! suka yg sangat. tp, skrg dh lama tinggal, sedikit merangkak2 la. hehe..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...