Hujan tiba-tiba mencurah-curah membasuh bumi yang kotor dan berdebu. Lebat juga. Alhamdulillah. Sekurang-kurang hilang sedikit debu-debu yang menumpang lekat pada kereta. Terakhir 'dimandikan' kereta itu, jumaat sebelum raya. Mandi sakan sebab kemudiannya hendak didiamkan di tempat letak kereta betul-betul depan pintu dapur yang mengadap ke hadapan rumah. Siap berselimut lagi.
Kenapa begitu?
Sebabnya ringkas, malas hendak berebut tempat meletak kereta. Di rumah saya, yang betul-betul dinamakan porch yang stand alone cuma ada satu dan muat untuk satu kereta sahaja. Biasanya kereta ayah akan menguasai tempat itu. Manakala di hadapan rumah, porch berbumbung yang betul-betul depan pintu rumah macam kebanyakan design rumah teres sekarang, ada tiga ruang. Ruang depan pintu ruang tamu, tempat biasa En.Elly saya. Depan pintu dapur itu, Si Kancil biasanya di situ. Paling tepi di bawah awning metal deck, biasanya penuh dengan basikal-basikal kecil dan besar, dan juga motor-motor.
Kekadang orang tengok pun pelik, kenapa banyak sangat basikal-basikal kecil dan besar tu. Padahal kat rumah cuma ada Aisya seorang budak kecil. Yang lainnya berkereta dan bermotor ke sana ke mari. Ya tuan-tuan, puan-puan.. itulah penangan ada cucu-cucu yang petang-petang hari suka berkumpul beramai-ramai di rumah tokki dan neneknya untuk bermain basikal. Maklumlah rumah diorang betul-betul tepi jalan raya.
Ok, berbalik kepada cerita berebut parking tadi. Kebetulan raya ni, abang saya yang tinggal di Pasir Gudang, giliran dia di sini dulu. Adik saya dari KL pun macam biasalah, memang jarang melepaskan peluang balik kampung. Maka akan ada pertambahan dua buah kereta di situ. Sesekali akan bertambah lagi satu apabila kakak yang tinggal tidak jauh, tetapi selalu bertandang itu, muncul. Kebetulan pula saya telah menyediakan hampir ke semua stok untuk masak-memasak pada hari raya nanti. Dan kebetulan juga, saya hendak mencuba kereta baru adik. Jadi ada apa-apa nanti, saya drive jer kereta baru itu. Hehe.. Bila lagi kan. Lagipun, Si Kancil yang dah mati road tax itu ada kalau setakat hendak ke pasar Kedai Buluh.
Saya tidak larat hari ini. Belakang leher terasa sakit dan lenguh-lenguh. Harap-harap tidak melarat. Sudah lama sungguh saya tidak membawa diri ke klinik sebenarnya. Mungkin sudah setahun. Kalau menjenguk pun, sekadar membawa tokwan ataupun mak yang sakit-sakit tua. Alhamdulillah, Aisya juga sangat jarang demam. Jarang-jarang sahaja batuk atau selsema yang tidak melarat.
Sudah 3 hari mak ke Kuala Lumpur, mengikut adik yang pulang selepas raya isnin lepas. Tinggal saya, ayah, adik dan Aisya sahaja di rumah. Bila mak tak ada, segala kerja-kerja dapur automatik terjatuh atas bahu saya. Sampah sarap, semut yang bermaharajalela atas meja, periuk kuali yang perlu disental, ikan yang perlu disiang, makan malam ayah yang konvensional, serai yang perlu dicabut dari pokoknya, halia dan lengkuas yang perlu dikorek, dan macam-macam lagi. Ya.. itu senarai yang jarang saya hiraukan. Biasanya itu semua kerja mak, manakala saya bahagian masak-memasak, goreng-menggoreng, tumis-menumis, siang sayur, bawang, dan sediakan segala rempah ratus. Masak nasi pun biasanya bukan bahagian kerja saya. Hehe..
Panjang la pulak celoteh saya hari ini di sini. Gara-gara hujan yang mencurah bersama idea ke kepala. Sedangkan dua tiga hari lepas, ada sahaja idea untuk menulis datang tetapi masa untuk mengadap laptop di rumah tidak ketemu. Nanti bila dapat menyusun masa lebih teratur, akan bertandang lagi ke sini bersama entri baru.
Salam. Jaga Diri.
No comments:
Post a Comment