Iklan

Aug 28, 2012

Raya dan Tok Wan

Bismillahirrahmanirrahim...


Ada hikmahnya saya tinggal di kampung. Banyak nikmatnya saya tinggal dengan kedua ibu bapa. Memang, dalam apa-apa sahaja keadaan, ada baik dan buruk akibatnya. Tapi yang buruknya, kita bersangka baik sahajalah, dan berserah pada-Nya.


Saya hanya punya seorang lagi nenek yang dipanggil Tok Wan. Kedua-dua datuk dan nenek sebelah ayah, semuanya sudah lama meninggal dunia. Yang paling terkemudian sekali adalah datuk sebelah mak yang meninggal ketika saya di SERATAS, Taiping. Tinggallah tokwan seorang diri dirumah yang sudah diubah suai, dibesarkan oleh pak saudara yang paling akhir berkahwin pada usia 40, dan rumah diubahsuai mengikut kehendaknya tanpa mengambilkira tokwan yang makin tidak larat untuk berjauhan dengan bilik air. Padahal, selepas berkahwin dengan orang Perak pak saudara terus menetap di sana, pulang sesekali sahaja.


Pada saya, adalah bertuah sekiranya dapat merasakan dan menikmati sentuhan orang-orang tua pada kita. Bukan sahaja mak ayah, tapi tokwan ataupun tokki yang berusia hampir satu abad. Kulit tua mereka yang kendur dan berkedut seribu, mana ada tempat lain nak cari. Nak-nak bila tokwan tolong picitkan kepala kita yang berdenyut-denyut bila balik kerja. Syurganya... Hehe...


Tahun ni, tokwan beraya dengan kami. Ini pertama kali. Biasanya rumah mak saudara yang hanya beberapa langkah sahaja jaraknya dari rumah tokwan yang tokwan tumpang berbuka, bersahur dan berhari raya dulu. Bila pertengahan bulan Ramadhan tokwan menyatakan persetujuannya untuk tinggal berpuasa di rumah kami, ayah menahan tokwan sehingga raya tiba. Lagipun, pak saudara yang kahwin dengan orang Perak tu, tak balik tahun ini. Atas alasan yang saya tak boleh terima langsung. Tokwan memang makan banyak, tapi tokwan kurus sahaja orangnya. Tokwan memang hendak makan sedap-sedap, tapi ayah tak kisah. Tokwan memang kuat berleter, tapi di rumah kami tokwan banyak diam dari berkata-kata.


Kata saya, biarlah tokwan nak makan banyak dan sedap-sedap, kita layankan sahaja. Biar tokwan nak berleter berkarung-karung, kita biar sahaja 'melodi' itu masuk telinga kanan keluar ikut telinga kiri. Tokwan dah tua. Kita nanti, bila tua.. entah macamana perangai kita pun tak kita tahu. Dah la kita keturunan tokwan. Mungkin lebih teruk. Mungkin lebih ramai anak cucu tidak suka. Tapi harap-harap tidaklah.


Tokwan pun sedar juga, 'Orang tua berkedut seribu dan tak ada bagi hasil macam tokwan, tak ada orang suka lagi'.

"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya". (Al-Isra': 23)


Aug 26, 2012

Aidilfitri 1433 Hijrah


Bismillahirrahmanirrahim....


Assalamualaikum,

Sempena Syawal 1433 Hijrah bersamaan Ogos 2012, saya mahu juga mengambil peluang di blog sendiri mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua-semua.


Semua-semua itu, adalah kamu-kamu pembaca yang menjadi pengunjung di blog yang tidak semenggah mana ini. Ataupun kamu-kamu yang secara tidak sengaja, terkunjung ke blog ini. :D
Saya doakan kalian dan kita semua, sentiasa bahagia di hati dan di jiwa, dan tidak melupakan tanggungjawab kita pada orang tua kita, anak-anak, sahabat-sahabat, majikan atau pekerja, jiran tetangga, dan paling penting, pada Tuhan yang menciptakan. Sepanjang masa. Ameen. Ya Rabbal Alameen.


Ampun dan maaf atas segala salah dan silap yang tidak disengajakan. Saya bukannya manusia yang sempurna. Tanpa sedar saya mungkin ada perkataan atau perbuatan yang mengguris jiwa. Maafkan saya. Bagaimanapun, saya masih percaya, kita semua sama - manusia biasa, yang gemar memakai topeng menutupi khilaf sendiri.


Raya, ada banyak cerita. Suka, dan duka juga. Duka di jiwa. Hehe.. Kalau ada banyak duit, saya juga berangan (kononnya) hendak beraya di Mekah, macam Azwan Ali. Hahahaha.... Ya, bawa diri sebenarnya. Tapi, mampukah saya sedangkan hendak membiarkan langsir rumah (rumah mak ayah) tidak berganti dan meja tidak penuh dengan biskut raya buatan tangan sendiri pun, saya tidak sanggup. Adakalanya, saya hanya mampu berangan sahaja, kerana realitinya saya lebih rela memendam rasa. Hehe....


Oh, selepas Ramadhan, saya ada beberapa semangat yang hendak saya bina semula. Ianya seperti azam di tahun baru. Hendak buat itu, hendak buat ini. Macam-macam. Err.. tengoklah nanti hasilnya. Hehe..



"Pertama kali membuat 'kad raya' disini. Gambar latar adalah pemandangan awal pagi dari tingkap bilik saya, yang sentiasa dan selalu menenangkan perasaan saya"

Aug 8, 2012

Bazar Ramadhan dan Kuih Muih

Bismillahirrahmanirrahim...


Ramadhan sudah menghampiri Syawal. Hujung-hujung bulan puasa ni, sepatutnya masjid dan surau semakin tidak muat sebab masing-masing berebut untuk memperbanyakkan ibadat. Tapi lain hal pula dengan surau dan masjid di kampung saya. Jemaah semakin berkurang sebab masing-masing mula sibuk. Ada yang sibuk buat kuih raya, menjahit baju tempahan, menyulam manik, membeli belah, menghias rumah dan macam-macam kerja lagi. Biasanya perempuan la tu. Hehe...


Penghujung-hujung bulan Ramadhan ini juga, juadah berbuka sudah tidak tahu nak makan apa, atau nak masak apa. Bersahur, lagi la. Tapi pagi tadi, saya sempat goreng nasi. Biasanya saya hadam sepotong kuih atau sekeping roti sahaja. Masalah untuk berbuka, saya sudah buntu hendak makan apa. Oh ya, ayam mentah belum pernah menjenguk dapur lagi bulan puasa ini. Nanti-nanti nak suruh ayah belilah. Err.. memandangkan dapur tu, dapur rumah mak ngan ayah, barang basah memang biasa ayah yang belikan. Saya beli yang kering-kering sahaja. Hehe...


Ok bercerita tentang kuih muih di bazar ramadhan, pun sudah bosan memandang makanan yang ada adalah sama sahaja. Sedapnya, belum tentu. Jarang jumpa yang betul-betul sedap. Di sini, apa yang saya nampak peniaga berniaga untuk untung semata. Ramadhan menjenguk sahaja, semua harga makanan dinaikkan. Kuih yang biasa seringgit tiga misalnya, dah jadi dua ringgit untuk lima ketul. Ikan keli berlada, biasa tiga ringgit, naik seringgit sebab bulan puasa. Yang saya hairan, ada yang langsung tidak boleh dimakan sebab terlebih masin, masam, pahit atau manis. Kalau yang basi, itu perkara biasa di sini.


Persoalannya, apa hukumnya menjual makanan tetapi makanan itu tidak boleh di makan? Kena tanya Ustaz Azhar nampaknya ni. Hehe...


Pada pendapat saya, ianya seperti memperdayakan pelanggan. Macam saya membeli sepapan telur Gred A hari isnin yang lalu. Ingatkan eloklah telurnya. Balik rumah, pecahkan nak buat murtabak maggi, tu dia... telurnya macam air ayaq keluar! Ok, ingatkan sebiji sahaja begitu. Pecahkan lagi dua biji, pun sama. Boleh pakai, elok jer tak berbau. Tapi.. rasanya untuk buat kuih raya, memang tak bolehlah. Geram betul. Tu yang sahur tadi buat nasi goreng, nak perabihkan teluq! Hehe...


Semestinya pelanggan beli sebab terliur, makanan nampak sedap terhidang atas gerai jualan. Takpun elok jer berbungkus dalam plastik. Beli 3, 4 ringgit, bawa balik. Dah nak masuk waktu, hidang dalam pinggan. Terliurnya. Dengar sahaja bunyi bedil (kat Kuala Terengganu, waktu berbuka dan tamat waktu bersahur, ada bunyi bedil), lepas baca doa, makan kurma, jamah kuih yang dibeli tadi. Oppsss... keluarkan semula dari mulut. Astaghfirullah... basi rupanya.


Tertipu.


Kan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...