Iklan

Sep 19, 2012

Hujan Pertengahan September


Bismillahirrahmanirrahim...



Sejak awal September lagi, hampir setiap petang hujan turun, sedang pagi matahari cantik bersinar dan tengahari panas terik. Tapi hujannya sekejap-sekejap sahaja. Adakalanya tak sempat basahpun tanah bawah pokok kacang belakang rumah.





Akhir-akhir ini, hujan dah turun macam musim tengkujuh. Lebat dan lama. Ya, memang musim tengkujuh sudah dekat. Petang semalam hujan lebat, dan renyai-renyai meleret ke pagi tadi. Selepas subuh, hantar Aisya ke sekolah, bersarapan dengan 2 keping roti dan secawan milo, baringkan sekejap tubuh yang rasa tidak larat bawah selimut tebal. Aduhhh... nikmatnya.




Memang rasa tak larat sebenarnya, bukan sebab cuaca. Adik sudah beberapa hari demam, dan rasanya demam itu melarat pula pada saya. Hidung sudah tidak selesa menarik nafas, tekak dah perit-perit, tubuh rasa letih semacam. Tapi saya gagahkan juga untuk bangun bersiap ala kadar ke pejabat. Kalau tak larat, esok saya mc.

Sep 11, 2012

Hijau Epal dan Merah

Bismillahirrahmanirrahim...


Lepas raya baru-baru ini (minggu kedua Syawal) selepas kerja saya melencong ke bandar, mencari perabot baru. Hehe... Kabinet plastik yang berlaci-laci itu ajer pun. Yang besar la tapinya, ada lima laci dengan ketinggiannya rendah sedikit sahaja dari saya, dan muat-muat sahaja dibaringkan di kerusi belakang kereta hitam legam saya. Harganya, RM67.00. Saya bodek-bodek juga mamat bangla yang kerja kat kedai cina tu supaya potong dua ringgit lagi, tetapi haram dia peduli. Dan, rupa-rupanya harga kabinet yang sama jenis dan rupa di Mydin Mall lagi murah! Saya sempat tengok harganya ketika berkunjung ke situ beberapa hari kemudian. Cehh!


Sebenarnya saya teringinkan sebuah almari pakaian yang besar, yang boleh memuatkan baju-baju kurung saya (saya sentiasa bertambah itu) untuk digantung. Tetapi, tiada ruang lagi di dalam bilik saya untuk diletakkan sebuah almari besar tiga pintu. Sekarang sudah ada dua almari, satu dengan dua pintu dan satu lagi tiga pintu, dan juga kabinet berlaci, untuk pakaian-pakaian kami (saya dan Aisya). Saya memerlukan sesuatu yang tidak memakan ruang yang banyak, juga praktikal. Jadi, cukuplah kabinet plastik untuk buat sementara waktu.


Saya, tidak sukakan bilik yang bersepah dan saya juga suka mengubah susunatur perabot dalam bilik apabila saya rasakan bilik saya semakin sesak. Beberapa minggu sebelum puasa saya membeli kipas dinding bagi menggantikan kipas meja. Maka ianya sudah menghilangkan sedikit kesesakan dalam bilik. Kemudian apabila saya beli kabinet plastik itu, saya keluarkan kabinet berlaci kayu yang besar itu keluar dari bilik. Maka ruang dalam bilik semakin lega. Sekarang saya sedang dalam perancangan membeli dua buah katil single. Kenapa single bed? Itu nanti saya ceritakan apabila sudah saya tukarkan satu katil saiz permaisuri kepada dua katil saiz bujang. Hehe...


Saya sedar, memang sedar yang saya sentiasa tertarik pada sesuatu yang berwarna merah dan hijau epal. Malah saya juga ada cita-cita hendakkan pintu rumah atau pintu bilik berwarna merah menyala, serta mengecat dinding dengan warna hijau epal. Tapi tanpa sedar saya, bilik saya sekarang sudah dipenuhi dengan warna-warna itu!


Alas katil warna merah baldu, beli kat gerai jual cadar-cadar bundle kat Pasar Tani Kuala Besut
beberapa tahun lepas. Best sangat alas tu. Sarung bantal kain kapas, juga warna merah
yang saya berkenan. Plastic storage box dibeli kat Mydin Mall baru-baru ni hijau juga yang berkenan di hati.
(Abaikan frog prince Aisya yang juga berwarna hijau!)


Itulah kabinet berlaci yang baru dibeli. Hijau juga.


Atas almari solek yang kononnya antik, laci plastik kecil saya yang dah beli lama dulu juga warna hijau epal,
dan beg alat solek (kononnya padahal takder solek manapun!), warna merah. Oh, saya ada dua lagi beg alat solek yang mana satu berwarna merah dan satu lagi hijau juga. ;P



Jam Avon, belakangnya ada cermin muka, juga hijau! Bekas hijau ditepinya itu pula adalah berumur mungkin lebih dari 30 tahun, sejak saya kecil lagi bekas tu mak gunakan untuk simpan ubat-ubatan. Ianya berbentuk epal lengkap bertangkai dan sekarang saya isi getah-getah pengikat rambut dan lain-lain aksesori.


Errr.... Katil bujang, warna apakah yang agaknya saya akan berkenan nanti yer? Hehe...

Sep 10, 2012

Bagusnya Puasa

Bismillahirrahmanirrahim...


Puasa yang bukan dibulan Ramadhan, ada keseronokannya yang tersendiri. Oh, saya baru rasa keseronokkan yang ganjil sebenarnya. Yang tak pernah saya rasakan. Ya, dulu-dulu nak berpuasa ganti pun liat. Masa remaja. Penghujung Syaaban sahaja, baru mula berpuasa. Baru mula takut tak sempat habis ganti puasa. Padahal berbulan-bulan sebelum itu relaks sahaja, tak makan seharian pun masih tak teringin nak berpuasa ganti. Dah penat dengar mak membebel, baru terhegeh-hegeh berpuasa, seharian melepek sahaja kononnya puasa sangat. Hahaha...


Masuk Ramadhan, dah semua berpuasa, wajib pula tu, ok la pulak kan. Tapi kadang-kadang yang wajib itulah, yang selalu itulah, terbiasa hinggakan kadang-kadang niat berpuasa pun boleh lupa. Minggu pertama, ingat lagi setiap kali lepas sahur untuk niat. Lama-lama, dah mari lupa dah. Kalau zaman budak-budak dulu, setiap kali lepas sahur, mak pun laungkan dari dapur, 'niat puasa jangan lupa!'. Dah jadi mak budak ni, kita pula yang nak kena ingatkan anak dara seorang tu. Tapi tu la, kebiasaan tu menyebabkan ada langkah yang tertinggal. Macam solat juga, adakalanya pada rakaat pertama elok lagi baca makna bacaan dalam hati, masuk rakaat seterusnya dah tak sedar apa dah, sedar-sedar dah bagi salam.


Minggu lepas saya mula berpuasa. Niatnya nak ganti yang banyak hari tu, sambil temankan mak berpuasa. (Padahal mak berpuasa di rumah, saya di pejabat). Ketika hari pertama berpuasa itulah, tiba-tiba rasa seronok berpuasa. Pertama, tak perlu hiraukan perut yang lapar pada jam 10 pagi. Kedua, tak perlu fikir nak makan apa untuk lunch. Ketiga, seronoknya meng'google' resepi dan menikmati gambar-gambar makanan, sambil memikirkan nak makan apa untuk berbuka nanti. Berfikir tentang makanan adalah suatu nikmat sebenarnya. Nak buat itu, nak buat ini, tapi akhirnya makan meehoon goreng sahaja ketika azan maghrib berkumandang, berteman segelas besar air 'red date with longan' panas yang menenangkan itu. Nikmatnya ahh...


Bagusnya berpuasa bukan bulan Ramadhan ini, pada masa yang lain sibuk dengan macam-macam hal, samada hal makan, kerja yang mengejar, klien yang marah-marah, kita jadi sedar diri yang kita berpuasa sedangkan mereka-mereka tidak berpuasa. Jadi perlahan-lahan kita sabar, kita jadi cool, kita tak jadi nak marah. Itu yang baru saya rasa. Yang tidak saya rasakan pada bulan Ramadhan ketika semua orang berpuasa. Puasa ini mengajar saya menjadi tenang.


Rabu lepas, seorang teman (lelaki) bersungut di ruang chatting apabila saya terpaksa menolak ajakannya untuk menemaninya ke jamuan open house. Sejak hari selasa saya terpaksa menolak rezeki itu, ianya bukan rezeki untuk saya. Rumah terbuka berderet sehingga khamis dan sekalipun tidak dapat saya temani dia. 'Maaf, saya berpuasa lagi', hanya itu alasan saya.


'Nak ajak dating pun kurang selesa'

'La.. kenapa?'

'Dah awak puasa'.


Dalam hati, 'Alhamdulillah..'. Ini baru betul-betul nikmat puasa. Dan saya mula berazam untuk merajinkan diri berpuasa sunat selepas-selepas ini. Insya-Allah.

Sep 6, 2012

Harga Terkawal Yang Tidak Terkawal

Bismillahirrahmanirrahim...


Ini bukan cerita pasal daging lembu untuk dibuat rendang, tapi tetap ada kaitannya. Bila dah dekat nak raya, satu masalah di sekitar daerah saya ialah orang mula kelam kabut membeli daging lembu dan ayam sehinggakan akan timbul cerita daging dan ayam dah habis, Di pasar itu tak ada, di mana-mana dah licin. Saya rasa semua sedia tahu, harga daging lembu dan ayam adalah antara harga terkawal di Malaysia. Rujuk di sini. Kakak saya, hari jumaat sebelum raya sudah menelefon mak memberitahu dia tak dapat ayam, semua tempat dia dah pergi, dah habis. Ura-ura yang ditimbulkan untuk menaikkan harga.



Saya tidak pasti berapa harga ayam atau daging yang ayah beli. Tak ambil tahu sangat. Elok sahaja ada banyak lagi di pasar dekat rumah, juga gerai-gerai tepi jalan masa ayah pergi beli sehari sebelum raya. Tapi saya tahu, kebanyakkan kedai-kedai di kampung dan pasar juga, tidak ikut sangat harga terkawal tu. Malah harga bawang di kedai yang di hujung kampung dan kedai di kampung sebelah, memang selalunya berbeza. Kalau harga tomato, memang macam langit dengan bumi harganya. Kat Mydin Mall, saya selalu beli sebab saya tahu murah, boleh dapat enam biji tomato dengan harga tidak lebih RM1.20 (saya lupa berapa harganya sekilo). Tapi kalau di pasar kampung saya, (ayah selalu beli kalau terdesak) untuk dua biji sahaja sudah kena bayar RM1.00. Untuk tiga biji lobak merah, RM2.00 itu adalah biasa. Giler mahal! Bukan itu sahaja, boleh dikatakan semua jenis sayur-sayuran di Pasar Kedai Buluh itu mahal-mahal belaka.


Baru-baru ini ada laporan berkenaan harga makanan mahal di Terengganu, boleh baca di sini dan di sini.


Oh ye.. memang di Terengganu jalan memang jarang sesak, bererti untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat, tidak mengambil masa yang lama. Tapi kereta tetap perlu di isi minyak dan harga minyak di sini juga naik seperti di mana-mana di Malaysia, tiada pengecualian. Harga makanan antara paling mahal dengan purata makan pagi (sarapan) RM4.00 - RM5.00 dan tengahari RM6.00 -RM 7.00. Sekurang-kurang untuk sehari tidak kurang RM15.00 diperlukan untuk makan. Rumah, sewa rumah di Terengganu sekarang bukan macam dulu-dulu. RM100 sebulan untuk sebuah rumah kampung. Sekarang, di kampung-kampung telah berceratuk didirikan rumah teres dan berkembar. Malah rumah PPRT atau Rumah Mesra Rakyat juga diberikan sewa paling rendah RM250 sebulan. Jangan tidak percaya, banyak rumah PPRT dan Rumah Mesra Rakyat didirikan untuk diberi sewa.

Jadi kenapa tahap gaji pekerja swasta di Terengganu masih berada di tahap yang kadang-kadang saya rasakan sangat tidak logik?



Kalau ke Kuala Terengganu, tolong jangan pergi makan tengahari di foodcourt Batu Buruk, saya benci mengatakan baru-baru ini saya kena caj RM8.00++ untuk lauk ikan keli goreng berlada, sedikit kerabu mangga dan air teh o limau. Gila punya tamak peniaga-peniaga di situ!







Sep 5, 2012

Hak Untuk Bahagia dan Gembira

Bismillahirrahmanirrahim...


Sekitar 3 tahun lepas, saya pernah terjumpa satu blog agak terkenal. Maaf, 'terkenal' pada saya kerana jumpa pengomen yang ramai hingga kekadang mencecah ratus dan jumlah hit yang berjuta-juta. Tetapi tidak 'terkenal' pada saya yang jarang berblog ini. Dunia blogging saya jarang melangkaui luar daripada senarai dalam google reader saya, atau yang disenaraikan dalam blog saya. Sebenarnya saya tahu banyak lagi blog yang menarik, tapi yer la masa tu kena la agak-agak la kan. Hehe...


Berbalik pada ayat pertama dalam perenggan di atas, blog tersebut seingat saya kepunyaan seorang perempuan yang muda sekitar 20-an barangkali dan didiagnosis menghidap kanser. Saya tidak ingat kanser apa, atau mungkin sudah sembuh selepas kimo, tetapi saya ingat dia sangat pandai menulis. Dan melukis juga. Kena sangat dengan jiwa saya yang sukakan lukisan dan penulisan.


Tetapi semakin acap saya mengunjungi blog itu, membaca lembaran demi lembaran, entri demi entri, penulisan yang saya rasa 'menyedihkan' itu seperti meresap ke dalam diri saya. Daripada rasa sedih, bersimpati, sayu ianya bertukar perlahan-lahan menjadi menyampah. Hari-hari saya baca, blog itu seperti menagih simpati saya secara bertalu-talu. Padahal si blogger tak ada niat pun hendak menagih simpati (saya rasa). Jadi akhirnya saya berhenti mengunjungi blog itu. Terlalu banyak cerita sedih yang mengundang simpati di situ.


Saya berharap, cerita-cerita saya di sini juga, tidak mengundang simpati atau rasa sedih sesiapa. Memang mungkin sesekali sesiapapun ada cerita sedih untuk dikongsikan, itu tidak apa. Tapi kalau hari-hari nak bersedih, baca blog ajer, sedih, ngadap komputer ajer, jebek (reaksi cam nak menangis - bahasa terengganu), dah sampai bila nak begitu?


Pagi tadi, ketika on the way ke pejabat, saya tukar channel radio ke hot.fm. Sebenarnya sudah hampir setahun radio Suria.fm menjadi radio rasmi yang setiap pagi menemani saya bersiap dan dalam kereta ke pejabat. Saya suka dengar celoteh Kechana, Nabil dan Halim yang bisa buat saya ketawa sorang-sorang pagi-pagi. Saya percaya bahawa hari yang ceria harus dimulakan dengan sesuatu yang menceriakan. Tapi sejak 'terdengar' (semasa bosan dengan suria.fm) suara 'fifi' bagi resepi biskut makmur dalam hot.fm bulan puasa yang lepas, sesekali saya 'jenguk' juga hot.fm, semata-mata nak gelakkan 'fifi'. Hahahaha... Opss, terlari topik la pulak.

Pagi tadi diaorang (hot.fm) bincang pasal suami atau lelaki gatal (galak atau miang) kalau tak silap saya. Kemudian ada seorang pemanggil tu, perempuan, cerita tentang suaminya yang gatal.


'Suami saya, saya tahu memang gatal. Pernah ada awek lagi. Tapi, lelaki mana yang tidak gatal? Kita kerja dari pagi sampai petang, malam sahaja ada masa dengan suami. Setakat mana sangat kita boleh melayan suami, apatah lagi nak kontrol atau perhati setiap kegatalan dia. Jadi, biarkan sahaja. Kita juga (isteri atau perempuan) layak untuk bahagia dan gembira. Buat apa nak pening-pening kepala fikir suami yang gatal'.


Lebih kurang begitulah cerita pemanggil itu. Kata dia lagi, dia pernah suruh suami dia kahwin lagi, dan berjumpa dengan awek suami dia dengan niat nak suruh awek tu kahwin dengan suami dia. Tapi awek tu tak nak. Katanya, ramai jer yang goda suami orang bukan niat nak kahwin pun. Jadi, tak perlu bimbang dan susah hati. Tapi katanya, dia sayang suami dia dan dia tak nak suami dia diheret ke neraka oleh perempuan-perempuan yang tak ada niat nak kahwin ni. Sebab tu dia tak kisah kalau suami dia kahwin lagi. Lagipun kalau dia (si suami) nak kahwin, halang camner pun, tetap dia akan kahwin juga. Siam kan dekat jer.


Saya bersetuju seratus peratus dengan pendapat pemanggil itu. Kita layak untuk bahagia dan gembira dengan cara kita. Fikir banyak-banyak tentang sesuatu yang kita tidak mampu, tidak terhalang atau bukan hak mutlak kita, hanya memeningkan kepala dan menambah sakit hati. Seseorang yang dekat dengan saya juga, pun saya rasa mengambil pendekatan yang sama mengenai masalah rumahtangga, melalui status-status dia di facebook. Dia nampak gembira dan kembali ceria bersama anak-anaknya.


Yang penting, fikir secara positif. Berfikiran negatif hanya menyusahkan diri sendiri. Tidak ada sesuatu pun yang kekal menjadi hak kita, kerana semuanya kekal milik Yang Maha Pencipta.


"Dan bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan" (Surah Ali Imran, ayat 109).





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...