Iklan

Oct 30, 2012

Bila Adik Sudah Pulang KL

Bismillahirrahmanirrahim...

Sejak petang semalam (ahad), rumah kembali kepada keadaan asal, sunyi, sepi dan tenang. Langit biru dan angin nyaman bertiup membuatkan mata juga tidak berapa mudah untuk terus terbuka. Terlena sebentar di ruang rehat di tepi pintu belakang beralaskan tikar mengkuang, sebiji bantal, tangan masih memegang pen dan terconteng suratkhabar lama 'The Star'. Sebenarnya sedang menyelesaikan 'SUDOKU' yang terdapat dalam suratkhabar itu. Langit November terus membiru hingga ke senja.


Ini rahsia saya, yang mungkin bukan rahsiapun sebab terlalu menonjol pada perbuatan dan perlakuan. Tapi, perasaan saya tidak pernah saya luahkan, pada siapa-siapa. Adik (anak kedua Busu itu) merupakan anak saudara yang paling saya sayang. Hehe... Rambutnya kerinting dan dia berkulit cerah berbanding abangnya. Ya, saya biased, saya lebih gemarkan budak-budak atau baby yang comel, putih dan bersih. Hahaha... Tidak bererti saya tidak sukakan anak-anak saudara saya yang lain, semuanya saya sayang dan ada waktu-waktunya saya suka layan (bawa ke mana-mana, buatkan makanan, belikan apa-apa, dan lain-lain), tetapi jelas, saya lebih sayangkan Adik. Nama dia Afiq Asyraf.


Tiga minggu adik di kampung, setiap petang pulang dari kerja, dia yang berkejar dulu ke pintu sambil menjerit 'Alang! Alang!'. Sesekali saya terbayang, Aisya ketika umur begitu, pun menjerit-jerit memanggil 'Mama! Mama!' Sekarang, sesekali dia sambut saya pulang dari kerja dengan terus menuju ke kereta dan membukakan pintu kereta untuk saya. :)


Malam tadi, tiada lagi kedengaran cakap-cakap adik yang jarang putus. Ada sahaja persoalan selepas setiap jawapan. Rumah senyap sunyi dan bagi menghabiskan masa yang dirasakan panjang sebab waktu maghrib sekarang awal (lebih kurang 10 minit sebelum 7 malam) saya ambil kesempatan buat marathon beberapa episod Adam & Hawa. :D Sesekali kedengaran emak mengulang cerita tentang kebiasaan adik pada waktu-waktu begitu. Minta susu dan nak susu banyak, berak di belakang langsir bilik emak (dalam pampers), main game Ipad sampai tertidur, dan lain-lain cerita.


Segalanya akan kembali kepada keadaan asal sedikit hari lagi. Saya dalam proses merancang aktiviti cuti sekolah yang lebih bermanfaat untuk Aisya. Oh.. sudah seminggu cuaca baik sekali untuk jemuran, panas. Langit biru dengan awan bertompok-tompok. :)

Oct 24, 2012

My Instagram 2

Bismillahirrahmanirrahim...

Disetiap gambar, ada cerita... hehe...

Pelangi Petang di Pantai Kelulut, Marang. Kalau diperhatikan betul-betul pelangi itu double, ada satu lagi yang kurang terang di belakangnya, yang terlindung di sebalik pokok. Itu Pulau Kapas yang nampak dikejauhan, saya anak jati Terengganu, malu hendak mengaku tapi ini hakikat, tidak pernah jejakkan kaki ke sana. Hahaha... Insyallah, tahun depan, saya akan pastikan saya ke sana.

Puding susu dengan buah naga. Kadangkala buah naga yang berbuah tidak putus itu, sudah tidak tahu bagaimana lagi hendak di buat makan. Buat air, sudah selalu. Buat kek pun pernah. Jual? Kalau kena masanya, boleh sahaja yang besar-besar RM10 untuk 5 biji atau 6 biji. Murah jer. Hehe..

Orang makan pizza, baby makan baby bites!

Puding peach, menjadi sebab nak habiskan setin peach yang sudah menghampiri tarikh luputnya. Satu masalah saya, suka bebenor beli bahan untuk buat makanan, tapi lama tersimpan. Adakalanya terbuang begitu sahaja sebab expired!

Gambar ini hendak tunjuk seluar slack itu sahaja sebenarnya. Seluar yang kembali tersarung selepas lebih 10 tahun. Satu-satunya seluar slack yang dibeli tanpa perlu dipotong kakinya, sedang elok sahaja untuk saya yang tingginya setengah inci lagi ke 5 kaki. Di beli di Pulau Pinang sekitar tahun 1997 disebuah pasaraya yang dah saya lupa namanya. Pinggang dan pinggul masih elok muatnya. Hehehe...

Oct 23, 2012

How To Be Creative

Bismillahirrahmanirrahim....

Minggu ini tak banyak kerja, minggu lepas juga. Makanya kerja saya adalah membuang masa sahaja, hampir 6 jam sehari. Mungkin hanya 2 jam sahaja saya 'berkerja' dengan sebenar-benar kerja. Bukan tak ada kerja langsung, menyusun dan mengemaskini fail juga, adalah kerja. Mengemas meja ini juga kerja. Tetapi saya ni pelik sedikit, masa kerja banyak itulah saya lagi suka tambah kerja. Susun fail, kemas meja, sapu sampah, update blog (masa kerja banyak selalunya idea juga melimpah ruah!), dan macam-macam. Tak cukup plak waktu dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang tu.

Haa... kalau tengok blog ni selalu berentri baru, itu tandanya saya tengah banyak kerja. :D

Hari itu, terjumpa benda ni semasa berkunjung ke blog fatin suhana.


Dan saya rasa banyak yang benar tentang cara untuk menjadi kreatif di situ. Terutamanya tentang 'try free writing'. Suatu ketika dulu, saya seorang yang kreatif. Soft board tepi papan hitam depan kelas, sejak sekolah rendah, banyak terdapat hasil idea kreatif saya. Sayalah tukang hiasnya, saya juga tukang buat jadual waktu dan duty roster. Hingga ke kelas matrikulasi di SERATASpun, masih hasil kekreatifan tangan ini membuat duty roster yang terpampang di depan kelas. Bagaimanapun sejak dijinakkan dengan komputer, samada handwriting, atau free writing, ianya sudah jarang dilatih lagi. Bermula sejak bertukar pengkhususan daripada arkitek kepada pengurusan pembinaan tahun 1996, lebih-lebih lagi semenjak bekerja. Asyik menghadap komputer dari pagi ke malam. Sesekali menghadiri mesyuarat, akan terhasillah beberapa garapan kreatif atas kertas minit mesyuarat di antara catatan-catatan ringkas butir perbincangan. Hahahaha...

Surround yourself with creatife people, itu juga salah satu cara berkesan untuk menjadi kreatif. Ataupun untuk melatih diri supaya kekal kreatif. Saya percaya seorang yang kreatif, akan sentiasa teruja untuk mencuba sesuatu apabila melihat sesuatu yang kreatif atau yang menarik perhatian. Contohnya, pernah dulu saya berkawan (sekejap, kemudian lost contact begitu sahaja) dengan seseorang yang berkawan baik dengan pelukis-pelukis di CM, Kuala Lumpur. Selepas bekerja, saya sering mengikut dia berkunjung dan melawat kawan-kawan dia di sana. Akhirnya saya mendapat tahu rupa-rupanya dia merupakan graduan arkitek dari universiti luar negara. Ya... dia mendekati orang-orang yang berseni, supaya rasa cintanya pada seni dan kekreatifannya tidak pudar.

Cara yang lain-lain tu, saya rasa biasa sahaja. Kreatif, sama juga seperti seni, saya percaya bukan sesuatu yang boleh dipelajari, tetapi merupakan anugerah. Cuma, yang penting ialah bagaimana menggilap atau menggunakan anugerah itu, supaya ianya tidak pudar. 


Saya rasa, saya perlu sesekali meninggalkan komputer untuk kekal kreatif. Pada saya menggunakan tangan adalah lebih cepat untuk menghasilkan sesuatu secara kreatif!

Oh, semenjak disedarkan oleh tip-tip di atas, saya mula kembali melukis, menconteng, menulis di atas buku nota, sambil mengajar Aisya membuat matematik atau sambil menonton tv. :D

Oct 18, 2012

Jemu Itu Fitrah

Bismillahirrahmanirrahim...

Jemu itu fitrah
Jemu itu anugerah
Bila jemu bertandang, itu tandanya Tuhan mahukan kita melakukan suatu kebaikan yang baru!




Maaf, idea tidak banyak untuk menulis dengan lebih banyak. Saya dalam keadaan bertenang. Biasanya dalam idea lebih suka mendatangi saya ketika saya sedang kelam kabut dengan kerja. Hahaha...



Saya memang suka mandi hujan!

Oct 9, 2012

Adik Balik Kampung

Bismillahirrahmanirrahim...

Malam semalam, mak sampai dari Kuala Lumpur jam 11 lebih dengan adik ipar dan anak saudara yang dipanggil adik. Kebetulan adik ipar kerja luar (outstation) dan adik terpaksa ditinggalkan dikampung selama dua minggu. Patutlah hari itu, adik cakap (di telefon), "Alang, adik nak balik tampung (kampung)".. Dia pelat lagi, umur dia baru 3 tahun, tapi dia cakap banyak. Sama macam abangnya ketika baru pandai bercakap, setiap jawapan akan disusuli dengan soalan. Jenuh hendak menjawab!

Jadi, hari ini sudah hari kedua adik di sini. Dia tidak menangis sedikitpun, walau sesekali dia bertanya pada neneknya, "nenek, kenapa papa lambat balik kerja?", semalam.

Malam tadi, adik tidur antara saya dan Aisya. Dah lama tidak tidur dengan budak kecik, saya yang kerap terjaga, bukannya dia. Bimbang dia menangis cari papa atau mamanya, atau seluarnya basah sebab kencing banyak (pampers penuh), ataupun takutkan saya yang tidak terjaga ketika dia hendakkan susu. Jam 4 pagi, saya terjaga apabila terasa ada yang memerhati. Rupa-rupanya dia menjenguk muka saya, mungkin hendak minta susu atau mungkin hendak check siapakah yang tidur sebelah dia ini. Cepat-cepat dia kembali letakkan kepala apabila saya membuka mata. "Adik nak susu?", saya bertanya dan dia cuma mengangguk. Jam 4 pagi, saya bangun buatkan susu untuk budak kecik selepas hampir 4, 5 tahun meninggalkan aktiviti sebegitu. Aisya tidur, langsung tidak terjaga. Hahaha...

Nampaknya dia tidaklah bosan sangat dikampung, tanpa abang dan baby (adik bongsunya). Sekejap-sekejap dia menjenguk ciknya di bilik yang sedang bermain game di telefon, sekejap pula berlari jenguk kakak-kakak sepupunya yang menonton tv di depan. Kemudian bertanya bermacam-macam soalan pada tokki pula di bilik. Akhirnya duduk sebelah saya di dapur, "Alang nak buat aper tu?" "Kenapa alang tumbuk tu?" "Kenapa alang potong tu?"

"Cam mana ni, adik tak nampak", dia bersungut ketika saya memasak. Nak tak nak, terpaksa dukung. Mujur dia kurus. Oh ya, azam saya (kononnya) hendak buat dia berisi sedikit selama dua minggu dia dikampung. Tapi untuk sehari dua ni, kurang berhasil. Dia sangat kurang makan.

Papa dia telefon dua tiga kali sehari. Mama dia juga, telefon setiap pagi. Nampaknya mama dan papa yang lebih-lebih 'menangis' terpaksa tinggalkan adik di kampung. Hahahaha.... 


Oct 7, 2012

My Instagram

Bismillahirrahmanirrahim....

Dah lama saya install Instagram dalam telephone saya, tapi saya jenis yang malas nak online selalu dengan handphone yang berskrin kecil ini. Rasa tak puas tengok skrin kecil. Dah la rabun! :(

Tapi, baru-baru ini saya cuba unload gambar guna Instagram. Masa tu tengah bosan di pejabat. Lepas tu rasa seronok pulak. Hehe... Hingga hari ini, baru tiga jer pun gambar yang saya upload. 


Morning! Pemandangan sambil baring di katil, awal pagi selepas solat Subuh. Subhanallah.
Through The Window.


Bunga-bunga ini sedang mekar berjambak-jambak di rumah tokwan, sangat cantik.
Ungu Itu Menawan







Hanya bunga kertas, tapi bunga putih yang lebih banyak dari hijau daun, sangat menarik perhatian. Teringat taman perkahwinan Bella Swan dengan Edward Cullen yang banyak bunga-bunga putih. Benarlah, Putih Itu Indah.
                      
    



Oct 1, 2012

Tekanan Darah Rendah

Bismillahirrahmanirrahim...

Mak memang ada darah tinggi, dah lama juga tapi tak tinggi sangat. Tak pernah sampai tahap kena makan ubat. Adakalanya bila cek, tekanan darahnya normal sahaja.

Tokwan, memang ada darah tinggi. Kencing manis juga. Jadi tokwan memang bergantung pada ubat. Setiap bulan, salah seorang antara cucu-cucu tokwan akan mengambil giliran membeli ubat tokwan di klinik.Orang tua macam tokwan, bab-bab makan minum memang tidak terkawal. Anak cucu juga sudah letih mengawal, dia tidak ambil peduli sangat.

Saya, dulu-dulu pernah doktor bagitau 'tekanan darah awak rendah skit ni'. Ianya ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Bagi saya, okay la tu asalkan tidak darah tinggi. Malah saya tidak ambil tahu pun berapa tekanan darah saya.

Kali ini, bila saya demam dan selsema bagai semua ni, dan pagi-pagi asyik rasa pening saja nak bangun tidur, doktor bagitau tekanan darah saya rendah, '100/50' pada Khamis 20hb dan 95/55 pada hari Ahad 23hb. Ya.. akibat saya demam, dan sangat tidak larat, maka saya buat sedikit research tentang low blood pressure.

Mula-mula kena tahu tekanan darah itu apa.  Tekanan darah merujuk kepada tekanan yang dikenakan oleh darah pada pembuluh arteri darah ketika darah di pam oleh jantung keseluruh anggota tubuh badan manusia. Tekanan darah mengambil dua ukuran dan biasanya diukur seperti berikut – 120 /80 mmHg. Tekanan darah rendah apabila bacaannya kurang dari 90/60 mmHg. Jika tekanan darah rendah, darah tidak dapat dipam ke organ badan dengan efektif, maka ia akan dan boleh menyebabkan pening, tubuh rasa melayang dan ringan, seterusnya mungkin pitam. Lebih-lebih kalau bertukar kedudukan dengan laju-laju, contohnya dari duduk tiba-tiba berdiri. Ia boleh mengakibatkan segalanya nampak 'hitam' sebentar atau terus pitam.

Oh ya.. sebenarnya tekanan darah rendah lebih berbahaya dari tekanan darah tinggi. High blood pressure ni ada ubat, macam emak yang kena makan ubat sekarang. Tapi low blood pressure atau hipotensi ni, hampir tiada ubatnya.

Antara penyebab tekanan darah yang rendah termasuk kekurangan darah, iaitu jumlah cecair mengalir dalam saluran darah yang boleh terjadi seperti dalam kes trauma atau perdarahan tidak terkawal ketika pembedahan, dehidrasi yang akan mengurangkan kandungan cecair dalam badan boleh berlaku dalam kes muntah yang teruk, cirit-birit atau demam tinggi. Masalah jantung seperti kadar jantung yang rendah atau terlalu cepat, otot-otot jantung yang lemah boleh menurunkan tekanan darah. (Sumber wikipedia).

Dan saya ada merujuk seorang kawan (doktor), 'kurang air sajer tu' jawabnya dengan nada-nada doktor yang saya tidak suka. Hahaha... Nyampah saya tau, bila doktor menjawab sambil lewa sedangkan kita risau bukan main lagi. Ok.. saya melebih-lebih disini, tak adalah risau sangat sebenarnya, cuma geram sebab pagi-pagi bangun tidur mesti rasa sakit kepala dan kekadang masa tengah mengadap sesuatu (makanan atau komputer) selalu rasa cam melayang-layang.

Antara yang disarankan untuk orang yang hipotensi ni ialah makan makanan rendah karbohidrat, seperti ikan, kerang, kacang buncis dan bayam. Makan ikan, itu memang selalu. Yang lain, jarang sebab malas nak cari kat pasar. Minum air putih bebanyak. Bakul sampah bawah meja di pejabat sekarang penuh dengan botol air mineral, lebih dari kertas. Bersenam secara teratur. Oh.. hujan-hujan begini pergerakan badan agak kurang. Atau dalam erti kata lain, malas. Hahahaha....





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...