Iklan

Nov 29, 2012

Catatan Perjalanan I - Pulau Pinang

Bismillahirrahmanirrahim...

Ogos 1999 adalah merupakan kali terakhir saya menjejakkan kaki di pulau  itu. Ketika itu saya sudah bekerja, di sebuah firma swasta di Kuala Lumpur. Kerana banyaknya cerita pahit dalam hidup saya, maka saya telah membuat keputusan untuk melupakan. Kenangan, kenalan, yang manis, yang pahit, semuanya. Tahun 2007, saya pernah terserempak seorang sahabat yang pernah rapat tahun 1996 di Penang, tapi saya tertanya-tanya siapa dia, bagaimana saya kenal dia. Memang, saya betul-betul melupakan dan hampir 'hilang ingatan' tentang semua kenangan di sana.


Dalam beberapa tahun ini, baru saya punya kekuatan untuk kembali mengimbau kenangan lama itu. Dan kembali merapatkan perhubungan persahabatan dengan kawan-kawan lama, melalui facebook. Walaupun sekadar menggunakan medium alam maya, ternyata bila kita fikir positif, hasilnya Insya-Allah positif juga. Sahabat yang pernah terserempak dengan saya itu, sudah beberapa kali mengajak saya join pengembaraannya dengan suaminya (suaminya juga merupakan 'geng lepak' kitaorang dulu), tapi dulu saya seperti takut untuk membuat keputusan positif. Beberapa bulan lepas, untuk kesekian kalinya dia mengajak saya mengikuti rombongan percutian, dan kali ini saya tidak berfikir panjang lagi.


Penang Bridge, pertama kali kot saya 'jejak' dengan kereta (kereta kawan) dan dalam hati, saya terasa bangga dapat 'jejak' lagi di sini. Dari atas jambatan ini, boleh nampak the second bridge yang dalam pembinaan. Langit biru seolah-olah mengalukan kunjungan semula selepas 13 tahun. Dalam bangga, berdebar-debar pun ada, tak tahu kenapa.


USM, menyambut saya dengan kelainan yang banyak amat. 4 Tahun di sini dulu, seperti tiada pula dalam kamus hidup saya. Sangat-sangat terasa perbezaannya.

Tasik Harapan nampak suram, dan semacam terbiar. Mungkin sebab masa itu adalah masa cuti. Tapi ia seperti mengembalikan sedikit ingatan. Disitu saya, Ta dan Asma sering petang-petang mengambil angin, bersila atas rumput sambil bercerita macam-macam.    




Desa Kembara, tahun pertama saya tinggal di asrama ini. Jauh yang amat dengan school saya. Di meja itu dulu, kami (saya, Sedi, Ta, Asma, Za, Abe Kairo - itu sahaja yang saya masih ingat) selalu lepak bersama. Malah disitu juga kami menyambut hari jadi dan bertukar-tukar hadiah.




Cafe Desa Kembara. Err... di situ, di salah satu meja di situ, saya dating untuk pertama kali dengan pakwe pertama, Sham namanya. Hahaha... Saya dah lupa nama itu, tapi Za (kawan saya itu) ingat plak. Agaknya sebab dia yang selalu jadi tukang panggil saya, memaklumkan yang Sham menunggu saya di situ.







Di sini juga tempat lepak kami, dan biasanya kami lepak di sini malam-malam. Bersila atas tar tu sambil tengok langit. Bangunan asrama yang hujung tu, belum wujud lagi masa tu. Sebelah situ, semuanya bukit-bukit sahaja. Tengah-tengah lepak, datang pak guard perambat kami, jadi kami pun 'blah' pula ke depan usm, pergi Sg. Dua pekena teh tarik kat kedai mamak. Hahahaha...




Ni school saya dulu. Tempat yang paling banyak memorinya saya lupakan, lupa terus. Tak ingat langsung. Apa saya belajar dulupun saya tak tahu. Betapa saya belajar untuk exam semata. Haishh...

Saya tak sempat berjalan sangat di Penang. Pusing-pusing mengutip serba sedikit memori yang tercicir, kami kembali ke BM. Sebabnya, petang itu saya akan memulakan episod baru dalam hidup saya, menaiki bas rombongan ke Phuket, Thailand.

Saya bukannya hendak berjalan sangat sebenarnya, saya hanya mahu lari dari kebiasaan. Mencabar diri mencipta pengalaman baru. Lagipun, bila lagi kan. Ok, nanti saya sambung perkongsian saya seterusnya. Phuket, Thailand.

My Version - Resepi Bubur Jagung For Dummies'

Bismillahirrahmanirrahim....

Sebenarnya nak buat tajuk entri 'resepi bubur jagung paling sedap' tapi takut kesedapan itu hanya pada lidah saya. Dan kebenarannya juga, saya seorang yang tidak berapa gemarkan makanan-makanan manis. Dodol, baulu, akok, netbat, kuih bakar dan banyak lagi makanan tradisional adalah manis. Bubur dan pengat pula memang tidak dapat dipisahkan dengan rasa manis! Sebab itu saya tak suka makanan tradisional! Kebanyakannya manis-manis belaka!!


Biasanya juga, bab-bab membuat pengat dan bubur, mak adalah chefnya. Saya tak masuk campur, sebab saya tak gemarkan pemanis mulut yang memang manis itu. Kekadang saya makan juga pengat pisang, tapi saya ambil pisangnya sajer. Hehe...


Baru-baru ni, kakak menitipkan melalui ayah, bubur jagung ke rumah. Nampak sedap, jadi saya pun rasalah sesudu. Eh... memang sedap. Kurang manis dan rasa susu! Saya pun makanlah beberapa sudu daripada dalam tupperware tu. Malamnya, kononnya nak makan lagi. Tengok-tengok dah licin! Mak dah habiskan sebab katanya 'ingatkan tak nak dah!' Waaaa!!!



Jadi saya minta resepi dengan kakak. Nak buat sendirilah kononnya. Tapi saya kerja, balik rumah pada petang hari, tengok-tengok mak dah buat. Alamak! Manisnya!! Saya dah tak lalu nak makan. :((


Dan akhirnya mak biar saya buat sendiri. Ada balance jagung tiga butir lagi dalam peti ais. Mak tolong hiris-hiris jer jagung-jagung tu, terus ke dalam periuk.



So, adik evi sayang, begini yer cara-caranya. (selepas saya upload gambar bubur ni kat instagram, ada adik sorang ni minta resepi... hehe..)


1. Hiris-hiris biji jagung tu hingga tinggal empulurnya sahaja. Hiris nipis-nipis, jangan halus sangat dan jangan kasar-kasar sangat. Biar sedang-sedang elok supaya nanti makan crunchy-crunchy gitu. Hehe..


2. Hiris terus ke dalam periuk pun tak per. Tak der masalah. Mak selalunya buat gitu.


3. Dalam bekas lain, campurkan susu cair dengan santan dari dalam kotak, dan air juga. Err... saya rasa ini mungkin kali pertama guna santan dalam kotak. Disebabkan santan tu pekat, tuang sedikit dalam bekas dan campurkan air. Jangan cair sangat. Agak-agak la yer. Kemudian campurkan pula dengan susu cair. Tuang ke dalam periuk berisi jagung yang dah dihiris. Agak-agak la sukatan santan dengan susu cair tu dapat menenggelamkan isi jagung yang dah dalam periuk. Lebih sikit pun tak per. Kalau nampak macam tak cukup, tambah lagi susu cair.



4. Bila dah rasa cukup tenggelam jagung tu, letak atas dapur dan buka api. Masukkan gula dan kacau-kacau hingga gula hancur. Agak-agak la nak bubuh gula banyak mana. Ikut lidah nak manis setakat mana. Masukkan juga secubit garam. Skit jer yer.


5. Bila dah mendidih, tutup api. Jangan masak lama sangat, nanti jadi berminyak dan jagung juga tak crunchy nanti. Agak-agak la yer, kalau tak nak crunchy, masak la lama sikit.


6. Dah masak tu, letak dalam mangkuk. Biarkan sejuk skit, baru makan. Makan panas-panas kan, melecur lidah jangan nak salahkan akak pulak. Hahahaha..  Oh ya, bila dah sejuk tu, tuang dalam tupperware letak dalam peti ais, pun sedap makan sejuk-sejuk.


7. Oh ya, mulakan dengan bismillah. Sudahi dengan alhamdulillah. Hehe...


Okay, rasanya cara-cara di atas sudah dapat memberikan gambaran sebenar bagaimana membuat bubur jagung bagi seorang yang jarang masuk dapur. Kalau yang biasa dan memang kerjanya kat dapur sahaja, tutup mata pun boleh buat ni. Hahaha...

Selamat mencuba!





Nov 28, 2012

My Version - Puding

Bismillahirrahmanirrahim...

Puding, antara makanan kegemaran saya. Bukan agar-agar yer, atau jeli. Pada saya, yang rupanya jernih itu, tidak dicampurkan susu, walaupun ada yang dicampurkan telur atau buah-buahan, tetap saya panggil agar-agar. Jeli pula, yg kecil-kecil comel semuanya saya panggil jeli. Puding adalah agar-agar yang telah dicampurkan susu atau santan yang menukarkan warna jernih kepada keputihan, yang rasanya lembut dan adakalanya seperti cair dimulut. Oh... masing teringat puding tembikai susu di sebuah hotel di Melaka, ketika menghadiri seminar sekitar tahun 2001. Ketika itu saya masih bekerja di Kuala Lumpur. Dan saya itulah puding paling sedap pernah saya rasa.


Jadi, selepas itu saya belajar-belajar buat puding. Dulu-dulu, selalu sangat buat. Lebihan buah betik atau nangka atau apa sahaja yang sesuai, selalu saya tukarkan menjadi puding. Tapi, biasalah, kerajinan saya memasak atau membuat pencuci mulut selalunya bermusim. Hahaha....

Puding karamel yang merupakan percubaan pertama menggunakan susu pekat manis. Resepi daripada blog nanirostam, tapi buat separuh adunan jer. Menjadi dan sekejap sahaja, licin!

Puding nangka, menggunakan lebihan isi-isi nangka yang sudah tak termakan. Banyak sangat, sebab buahnya besar.

Puding susu campur buah naga (dragon fruit). Daripada buah naga yang tak pernah susut berbuah depan dan belakang rumah.

Cara saya membuat puding, adalah sangat ringkas. Sukatan adalah main agak-agak, sebab selalunya saya menggunakan serbuk agar-agar jenama Nona, dan selalunya juga saya membuat separuh peket sahaja. Nak buat banyak-banyak takut terbiar lama dalam peti ais, dah lama kan dah tak teruja nak makan.

Bahan-bahannya :
Serbuk agar-agar
Air
Gula
Susu cair / susu segar
Telur (sebiji) + sesudu tepung jagung
Buah (apa-apa sahaja)

Cara-caranya :
Masak serbuk agar-agar dengan air dan gula, sampai gula tu hancur. Masukkan susu. Bila dah mendidih, perlahankan api, masukkan telur yang dikacau sebati dulu dengan tepung jagung. Buah yang dah dipotong, susun jer dalam bekas, tuang adunan puding dalam  bekas tu.

Kalau nak guna buah yang dihancurkan seperti nangka atau betik, campurkan buah-buah yang dah dipotong dalam blender, masukkan susu cair / susu segar, campurkan telur sekali dengan tepung jagung. Mesin hingga hancur. Bila adunan agar-agar dah mendidih, perlahankan api dan masukkan adunan buah ke dalam adunan agar-agar. Biar sekejap, padamkan api, tuang dalam bekas, dah sejuk simpan dalam peti ais.

Kalau puding roti (selalu juga buat sebab nak habiskan roti yang hampir expired), saya selalu campak-campak sahaja semua roti yang dah dicarik-carikkan kedalam blender. Sama juga, mesin sekali dengan telur, tepung jagung dan susu. Tapi apabila dah masukkan dalam periuk, masa nak padamkan api, saya letakkan sesudu mentega. Kacau sekejap hingga mentega tu cair. Saya tak tahu apa fungsi sebenarnya mentega tu. Nak bagi gebu kot.

Bila dah keras, boleh ngap! Hahahaha....

Oh yer... saya pernah buat puding ubi keledek.. sangat sedap, dan saya suka. Ianya menggunakan ubi keledek yang dah direbus. Lain-lain tu saya rasa sama saja kut. Dah lupa, dah lama buat tu.


Entri ni, dibuat atas permintaan dua orang pengunjung blog ini, KA dan LW. Terima kasih kepada anda berdua, sudi melayan blog saya yang tak semenggah mana ini. :D

Entri ini juga, dibuat sebab ada satu lagi permintaan. Minta resepi. Hahaha...

Ok... jumpa lagi di next recipe entry.

Nov 25, 2012

Saya Tak 'Makan Hati'

Bismillahirrahmanirrahim...

Perempuan mana yang tidak takut menjadi gemuk. Wanita mana pula yang tidak kisah tentang gemuk. Tubuh berisi, menggeleber di sana sini. Tiada siapa yang hendak begitu sebenarnya. Pakai baju ketat sikit, sudah nampak isi yang terlebih, perut yang membuncit. Sebab tidak ramai yang suka gemuk jugalah, di mana-mana ada sahaja produk pelangsingan. Samada produk berbentuk pemakanan atau alat senaman, krim pemecah lemak, malah rawatan juga disediakan bagi membuang 'gemuk'.


Senang kata, hakikatnya disini, ramai yang hendak menjadi kurus.


Suatu ketika dulu, saya yang tingginya setengah inci lagi ke lima kaki ini, pernah gemuk juga. Orang dah rendah, berisi sikit memang nampak gemuk. Masa itu, memang nak sangat langsing macam Fauziah Latiff. Pakai apa sahaja pun, menarik sahaja kelihatan. Sekarang, kalau jumpa kawan-kawan lama, ramai yang menegur, 'Kurusnya mu la ni'. Hakikatnya, saya sudah berjaya kembali berisi sejak enam tahun lepas.Sebelum enam tahun lepas, selepas 1999 berat saya bermain sekitar 40 - 43kg sahaja, malah pernah turun ke 39-38kg.


Gemuk, bukan bererti tidak cantik. Kurus pula, bukan bererti makan hati berulam jantung sahaja. Tapi kalau makan nasi panas dengan jantung pisang rebus, cicah pula budu, memang tak angkat muka la jawabnya. Sedap bangat! Kalau saya pula, makan la banyak manapun, memang badan susah hendak berisi (gemuk).


Mungkin kamu nampak saya kurus. Mungkin kamu tahu serba sedikit kisah saya yang dulu. Tidak, saya tidak makan hati. Saya cuma suka makan hati ayam sahaja.


Bangunan tinggi itu merindukan saya pada seorang teman, ntah kemana menghilang dia. Masih ingatkah dia kepada saya.

Nov 21, 2012

Seminggu Menghilang

...dan matahari pun menundukkan wajahnya, malu-malu pada bulan yang mengintai dikejauhan...



..bangku-bangku biru, kosong di awal pagi yang lembap selepas hujan..



mereka dikelilingi air, dan pulau-pulau itu perhiasan yang indah...

Nov 11, 2012

Antara Ruby Hazri, Noor Suraya dan Hlovate.

Bismillahirrahmanirrahim...

Sekolah sudah habis untuk tahun 2012. Budak-budak semua sedang seronok mula bercuti, bangun lambat, tengok tv cerita kartun, mandi hujan dan bermain di baruh! Manakala cikgu-cikgu sekolah pula sibuk tayang kat mukabuku perjalanan pergi bercuti. Saya dipejabat, rasa hilang semangat hendak bekerja. Padahal ada banyak kerja kena selesaikan, esok pula ada meeting dan selepas itu saya juga akan mula bercuti. Biasanya saya jarang terkena sunday blues, tapi hari ini saya tidak dapat mengelak. Ianya kerana ada banyak dokumen perlu disiapkan dalam tempoh terdekat ini. Ada waktu-waktunya bila banyak kerja, saya mula mengalami situasi di mana 'pegang itu tidak kena, sentuh ini tidak jadi' dan akhirnya satupun tidak siap!


Dalam cuaca sejuk dengan hujan sekejap-sekejap begini, yang paling saya ingin buat ialah duduk di kerusi malas, dengan bantal paling selesa di riba, mengadap tingkap kegemaran dan hujan berlagu diluar, sambil membaca novel. Ah.. bahagianya dunia.


Lama sudah sebenarnya tidak membaca novel. Novel terakhir yang baru saya tamatkan ialah Kopi Susu Sepatu Biru karangan Ruby Hazri. Itupun selepas berbulan-bulan! Dulu saya terpikat dengan cara penyampaian Ruby Hazri gara-gara novel Percayalah. Tapi novel itu meleret pula dalam Percayalah... Akhirnya, yang saya baca secara rambang sekadar mahu tahu penghujung cerita. Masih akhirnya saya rambang mata ketika International Bookfair awal tahun lalu di PWTC lantas saya capai 2 buah buku Ruby Hazri, salah satunya Kopi Susu Sepatu Biru itulah, dan satu lagi saya lupa tajuknya, masih berbalut plastik kemas di rak buku. Kemudiannya walaupun saya sudah agak bosan dengan cerita-cerita Norhayati Berahim dalam novelnya yang sudah jadi seperti tengok slot Akasia atau Samarinda, tetap saya terpikat dengan 'Menunggu Keretapi'. Itupun masih juga berbalut kemas dalam plastik lutsinar.



Suku akhir novel Kopi Susu Sepatu Biru, baru saya ada keinginan untuk membaca sampai habis. Dan pantang ada waktu terluang, saya akan mengadap buku itu walaupun sekejap (seperti biasa apabila saya sudah tertarik pada satu-satu buku). Waktu-waktu tersebut adalah seperti berikut :-
1. Sementara menunggu toner kering.
2. Sementara menunggu pelembab meresap ke kulit.
Gara-gara dua perkara di atas, saya adakalanya terlambat beberapa minit masuk ke pejabat.
3. Waktu rehat sekejap apabila pulang dari kerja jam 5 petang, sebelum mandi dan solat asar.
4. Selepas makan malam dan solat isyak (kalau tak menonton tv), sehingga waktu masuk tidur.
5. Sebelum tidur (sekiranya saya menonton tv - ada movie best). Sesetengah novel boleh menghalau terus rasa mengantuk saya sehingga jam 3 pagi!


Nampak bukan, sebenarnya masa yang saya luangkan yang saya ada sebenarnya tidak banyakpun. Dan novel yang tidak setebal mana itu pun, lambatnya nak saya habiskan. Berbulan-bulan akibat tidak ada tarikan yang kuat. Dah habis baca yang itu, baru kembali semangat untuk meluangkan masa dengan novel-novel yang agak lama terpinggir. Saya sambung dengan novel lama Noor Suraya, Nyanyian Tanjung Sepi. Baru beberapa mukasurat, saya kembali bosan. Nama watak utama, yang panjang, Syarifah Nuur Khalida diulang-ulang setiap ayat. Bukunya tebal, munasabahlah awal penceritaan watak utama masih di bangku universiti. Saya bosan kerana saya jelas, banyak sangat cerita orang itu, orang ini di dalam novel itu. Lantas saya berhenti di situ (baru 20 mukasurat mungkin).


Saya kembali kepada Hlovate, yang pernah saya pinggirkan kerana terasa seperti cerita budak-budak. Saya mahukan sesuatu yang berbeza, dan Hlovate berbeza walaupun cara penyampaiannya tidak serasi dengan jiwa saya. Awal cerita K2 dalam Contengan Jalanan setakat ini masih boleh menarik saya untuk terus membaca. Tengok nanti apa kesudahannya.


Kalau Hlovate tidak berjaya meraih minat, novel Habiburrahman El-Shirazy ada sedang menunggu. Ketika Cinta Bertasbih mungkin sehebat Ayat-Ayat Cinta. Tinggi harapan saya.





Nov 7, 2012

Cerita Tentang Bas

Bismillahirrahmanirrahim...

Orang kampung macam saya, memanglah biasa naik bas ke sana ke mari. Dari kampung hendak ke bandar KT, menunggu di tepi jalan di hadapan rumah besar Mek Wok yang anaknya kawan saya. Ataupun kalau rajin berjalan sedikit ke simpang dekat pasar dan menunggu di sana, di pondok menunggu yang hapak. Di situ banyak bas yang lalu, boleh mengambil mana-mana bas yang hendak ke bandar. Tapi itu dulu, masa zaman tubuh berisi bulat pakai seluar baju kakak punya yang dia tinggalkan di rumah sebelum dia kembali ke asrama. Dulu-dulu, masa masih malu-malu tunduk kepala perasan bila terserempak kawan sekolah yang lelaki tersenyum tengok saya yang berjalan kaki ke pondok menunggu bas itu. Haishhh... malu bila ingat! Kenapalah tak boleh senyum balik macam biasa?


Sekarang, saya tak tahu pun bas-bas itu masih ada ataupun tidak. Yang pasti, Mek Wok dan suaminya, serta tiga orang anaknya dah jadi arwah seorang demi seorang. Dan sekarang, rumah besar itu tidak nampak besar lagi kerana banyak berceratuk rumah lain yang besar-besar belaka. Pondok menunggu bas dekat pasar itu juga sudah lama hilang jejaknya. Bertahun-tahun sudah berlalu, kekadang bila dikenang terasa cepat sungguh masa beredar. Kawan sekolah yang lelaki itu, yang sekampung atau kampung-kampung sebelah sudah tidak saya kenali kalau bertembung. Kawan saya anak Mek Wok itu juga, sudah beranak sederet 4 orang.


Hilang zaman tubuh berisi, saya ulang alik naik bas ekspres pula dari KT ke Penang, Penang balik KT. Bas berpenghawa dingin, waktu malam pula, lamanya hampir 12 jam, saya akan pejam mata awal-awal lagi bagi mengelak sejuk dan pening kepala. Mengerekot atas kerusi yang sempit, beg dekat kaki sebab takut hilang kalau letak di ruang menyimpan beg di bawah. Kadang-kadang nasib kurang baik, kat kerusi sebelah lelaki 'gila seks' cuba hulurkan tangan nak meraba. Saya peluk tubuh dan berjaga-jaga sepanjang jalan. Ada seat kosong, cepat-cepat saya pindah. Ada sekali tu, saya masih ingat mencucuk jarum peniti pada tangan yang meraba. Dah ada pengalaman, selepas itu saya selalu minta seat sebelah perempuan atau awal-awal lagi tukar seat untuk duduk di sebelah perempuan. Zaman saya dulu, mana ada single seat! Yang pasti, naik sahaja bas, labuhkan sahaja punggung atas kerusi, saya akan terus melelapkan mata. Dan elok sahaja celik pabila bas sudah naik Penang Bridge...


Sejak ada kereta sendiri (masa tu masih bekerja di KL), saya sudah jarang naik bas. Samada di kampung, di KL, atau dari kampung ke KL, KL balik kampung, saya jadi sedikit sombong dengan bas. Malah sebolehnya saya mengelak daripada kena menaiki bas. Apabila sesekali terpaksa naik bas (saya ambil single seat), seperti biasa kena berbekal minyak cap kapak dan bas jalan sahaja, saya terus siap-siap untuk tidur. Hahahaha...


Sebenarnya apa yang saya benci apabila terpaksa naik bas ialah, waktu menunggu! Saya tidak kisah sangat dengan masa 6 atau 7 jam di dalam bas kerana, saya cuma tidur! Saya benci apabila terpaksa berkejar ke stesen bas. Saya benci dengan bau asap bas yang selalu membuat saya rasa pening. Saya benci dengan bau bas ekspress berhawa dingin yang terus-terusan membuatkan pening saya bertambah. Saya benci menunggu bas bergerak. Dan saya tak suka sebab apabila sampai, ianya bukan destinasi yang ingin dituju, tetapi.... stesen bas yang lain pula!!! 


Ini yang saya risau sebenarnya.. kena naik bas!

Nov 6, 2012

Sedikit Kerisauan Yang Remeh

Bismillahirrahmanirrahim...

Beg tidak beli lagi. Pada mulanya saya rancang untuk membeli beg galas baru. Beg galas yang biasa saya usung ke sana ke mari setiap kali ke KL, Johor, dan akhir sekali ke Langkawi beberapa bulan dulu, sudah koyak sedikit. Dekat atas, dekat dengan zip. Dan kebarangkalian untuk koyak lebih teruk adalah besar sekiranya beban yang ditanggung bertambah. Errr.. beg free jer pun sebenarnya. Satu lagi beg galas free yang asalnya konon boleh mengambil tempat beg galas yang mula koyak itu, awal-awal lagi telah di'cop' Aisya untuk dijadikan beg sekolah. Hahahaha.... Dan saya hanya mampu geleng kepala saja tengok beg sekolah princess dia yang tidak dipedulikan lagi sejak pakai beg galas free mama. Aduhai la anak....


Tak per, saya pakai sahaja mana-mana beg yang ada nanti. :D


Saya sebenarnya tidak suka sangat merancang awal percutian saya. Sebab biasanya jarang apa yang dirancang berjalan sebagaimana perancangan! Last minute planning selalunya lebih menjadi bagi saya. Cuma kalau melibatkan hotel, kena tempah hotel  lebih awallah mengikut keadaan. Kalau cuti sekolah, sebulan sebelum cuti, dah kena tempah hotel siap-siap. Kalau sekadar hujung minggu, seminggu sebelum tu pun tak der hal.


Memandangkan saya tidak pernah ke luar dari Malaysia, makanya untuk percutian kali ini, ada sedikit rasa risau tentang persiapan.


Tapi, saya seperti biasa, malas hendak merunsingkan kepala dengan hal yang saya rasa remeh temeh. Nanti saya capai sahaja mana-mana pakaian yang sesuai, beberapa helai. Tak cukup karang, saya beli sahaja di sana dan terus pakai. Senang. Macam biasa.


Oh.. tiba-tiba saya terindu pada seorang kawan lama.


Nov 4, 2012

Budak Baru Nak Bertatih

Bismillahirrahmanirrahim...

Suatu ketika saya pernah berangan hendak ke Kundasang, Sabah gara-gara Dejavu di Kinabalu. Saya pernah bercerita tentang itu di sini. Saya menyimpan impian itu, suatu hari nanti akan ke sana juga. Suatu ketika juga, seorang kawan baik yang sudah lama tidak berjumpa, hanya berhubung melalui facebook, mengajak saya menyertai dia dan suaminya ke Indonesia, backpacking. Memang menarik, tapi saya menolak kerana kononnya sudah ada rancangan lain pada masa yang dia rancangkan. Betul ada rancangan lain, tapi sebenarnya ianya cuma hendak pergi ke Kuala Lumpur sahaja! Sudahnya, menyesal yang amat bila tengok gambar-gambar dia di sana, dengan kos yang lebih kurang ringgit malaysia satu ribu sahaja! Sebenarnya saya tidak cukup kuat untuk memaklumkan pada mak ayah (sepertinya meminta izin sedangkan saya sudah boleh membuat keputusan!). Kerana tinggal bersama mereka, saya selalu merasakan perlunya meminta izin untuk ke mana-mana, walaupun untuk keluar malam!


Memang menyesal, dan saya luahkan rasa itu pada dia. 'Tak per Aya, lainkali kalau ada planning ke mana-mana, aku ajak mu'.


"My friend once said, 'you are very unpredictable person".


Bila ada jemputan daripada kawan (yang sama) beberapa bulan yang lepas untuk mengikuti rombongan yang dibuat oleh dia dan suaminya, saya tidak berfikir panjang. Terus menerima dan membayar duit muka. Tanpa memberitahu dan meminta izin pada sesiapa. Sebulan sebelum tarikh saya 'berjalan-jalan' saya ada memberitahu emak secara sambil lewa sahaja. Minggu lepas, saya mencuri sedikit waktu sebelum ke Wisma Negeri (atas urusan kerja), ke bangunan di sebelahnya, Wisma Persekutuan. Sejam kemudian selepas selesai urusan di JKR, ianya sudah siap. Seminggu sebelumnya, saya melencong ke bandar selepas jam lima, membuat gambar pasport.

Yang pasti, gambar ini lebih cantik dari gambar pasport saya, kehkehkeh!

Saya seperti baru hendak bertatih melangkah melihat dunia luar. Saya bagaikan rama-rama yang baru hendak membuka sayap untuk terbang. Saya seperti kura-kura yang lama menyorokkan kepalanya dalam cengkerang. Saya ibarat katak yang takut-takut menjenguk keluar tempurung.Sedangkan angan-angan sedari kecil hendak menjelajah ke seluruh dunia. Merasa dinginnya putih salji, menghirup segarnya musim bunga, menikmati keindahan alam ciptaanNya yang sangat luas! Angan-angan..... sedangkan Terengganu ini sendiri tidak pernah habis saya terokai. Hahahaha....


Akhirnya! "Bawa daku pergi... Buku merah jangan lupa bawa, moga-moga belum tamat tempoh".. Lagu yang saya tidak suka ini juga yang terngiang-ngiang di corong telinga. Haishh...

Dalam tempoh dua tahun (cukuplah dulu), saya perlu merancang sekurang-kurangnya menjelajah lima lokasi. Berbaloilah seratus ringgit membuat pasport kan. Hehe...Cukuplah dulu. :D.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...