Bismillahirrahmanirrahim...
Orang kampung macam saya, memanglah biasa naik bas ke sana ke mari. Dari kampung hendak ke bandar KT, menunggu di tepi jalan di hadapan rumah besar Mek Wok yang anaknya kawan saya. Ataupun kalau rajin berjalan sedikit ke simpang dekat pasar dan menunggu di sana, di pondok menunggu yang hapak. Di situ banyak bas yang lalu, boleh mengambil mana-mana bas yang hendak ke bandar. Tapi itu dulu, masa zaman tubuh berisi bulat pakai seluar baju kakak punya yang dia tinggalkan di rumah sebelum dia kembali ke asrama. Dulu-dulu, masa masih malu-malu tunduk kepala perasan bila terserempak kawan sekolah yang lelaki tersenyum tengok saya yang berjalan kaki ke pondok menunggu bas itu. Haishhh... malu bila ingat! Kenapalah tak boleh senyum balik macam biasa?
Sekarang, saya tak tahu pun bas-bas itu masih ada ataupun tidak. Yang pasti, Mek Wok dan suaminya, serta tiga orang anaknya dah jadi arwah seorang demi seorang. Dan sekarang, rumah besar itu tidak nampak besar lagi kerana banyak berceratuk rumah lain yang besar-besar belaka. Pondok menunggu bas dekat pasar itu juga sudah lama hilang jejaknya. Bertahun-tahun sudah berlalu, kekadang bila dikenang terasa cepat sungguh masa beredar. Kawan sekolah yang lelaki itu, yang sekampung atau kampung-kampung sebelah sudah tidak saya kenali kalau bertembung. Kawan saya anak Mek Wok itu juga, sudah beranak sederet 4 orang.
Hilang zaman tubuh berisi, saya ulang alik naik bas ekspres pula dari KT ke Penang, Penang balik KT. Bas berpenghawa dingin, waktu malam pula, lamanya hampir 12 jam, saya akan pejam mata awal-awal lagi bagi mengelak sejuk dan pening kepala. Mengerekot atas kerusi yang sempit, beg dekat kaki sebab takut hilang kalau letak di ruang menyimpan beg di bawah. Kadang-kadang nasib kurang baik, kat kerusi sebelah lelaki 'gila seks' cuba hulurkan tangan nak meraba. Saya peluk tubuh dan berjaga-jaga sepanjang jalan. Ada seat kosong, cepat-cepat saya pindah. Ada sekali tu, saya masih ingat mencucuk jarum peniti pada tangan yang meraba. Dah ada pengalaman, selepas itu saya selalu minta seat sebelah perempuan atau awal-awal lagi tukar seat untuk duduk di sebelah perempuan. Zaman saya dulu, mana ada single seat! Yang pasti, naik sahaja bas, labuhkan sahaja punggung atas kerusi, saya akan terus melelapkan mata. Dan elok sahaja celik pabila bas sudah naik Penang Bridge...
Sejak ada kereta sendiri (masa tu masih bekerja di KL), saya sudah jarang naik bas. Samada di kampung, di KL, atau dari kampung ke KL, KL balik kampung, saya jadi sedikit sombong dengan bas. Malah sebolehnya saya mengelak daripada kena menaiki bas. Apabila sesekali terpaksa naik bas (saya ambil single seat), seperti biasa kena berbekal minyak cap kapak dan bas jalan sahaja, saya terus siap-siap untuk tidur. Hahahaha...
Sebenarnya apa yang saya benci apabila terpaksa naik bas ialah, waktu menunggu! Saya tidak kisah sangat dengan masa 6 atau 7 jam di dalam bas kerana, saya cuma tidur! Saya benci apabila terpaksa berkejar ke stesen bas. Saya benci dengan bau asap bas yang selalu membuat saya rasa pening. Saya benci dengan bau bas ekspress berhawa dingin yang terus-terusan membuatkan pening saya bertambah. Saya benci menunggu bas bergerak. Dan saya tak suka sebab apabila sampai, ianya bukan destinasi yang ingin dituju, tetapi.... stesen bas yang lain pula!!!
Ini yang saya risau sebenarnya.. kena naik bas!
Hahaha...camne leh lain destinasi pulak?
ReplyDeleteyer la.. memang la sampai ke destinasi, tapi takkan la bas eskpress tu nk htr ke depan pintu pagar kan.. dia htr ke stesen bas la jugak.. hahahaha...
DeleteSha tiap2 ari naik bas. Berulang dari Seremban ke KL pergi dan pulang. Alhamdulillah...kenangan byk yg manis. In fact waktu tgh komen ni pon dlm bas juga ;-)
ReplyDeleteAlhamdulillah... bas sekarang tak macam dulu-dulu. Selesa, dan driver pun lebih prihatin.
DeleteKeganasan atau kenakalan org dulu-dulu, tak sama dengan zaman skrg. Jauh bezanya, sha.
Saya boleh jer naik bas, tapi mcm Su jugak...pening :) dgn bau bas dan bau asap dsb. But never complain..kalau perlu naik saya naik..kalau takde train lah.
ReplyDeleteSaya tak complain.. tapi, memandangkan keadaan memaksa tu jarang berlaku, apabila terpaksa juga baik bas, saya akan 'terfikir-fikir' sehinggalah saya sudah 'bebas' dari keadaan itu (selesai segala perkara yang berkaitan dgn hal kena naik bas).. hahaha...
Delete