Iklan

Sep 30, 2013

Cerita Tentang Mencari Gula, Lelaki Berkacamata Hitam dan Paha Ayam Belanda

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Dengar berita, harga gula akan dinaikkan. Bagi mengelakkan kenaikan jumlah penghidap kencing manis katanya. Aku agak, tidak lama lagi, seperti dulu-dulu, gula-gula akan susah untuk didapati. Sama ada disorokkan atau memang tidak ada. Sekarang harga gula 2.50 untuk sekilo.


Sebelum harga gula naik 20 sen, 30 sen atau 50 sen, aku nak juga simpan stok gula. Biasanya gula banyak sahaja di rumah, ada berkilo-kilo sebab selalu bila buat makan-makan, orang-orang perempuan akan datang membawa plastik berisi gula paling kurang 2kg dan biskut kering empat segi sebungkus seorang untuk diberikan kepada tuan rumah. Adat bertandang, tidak jadi dengan tangan kosong. Tapi sudah lama tidak membuat acara makan-makan, maka kuranglah stok gula di rumah.


Maka, kereta aku turut sama merangkak-rangkak dalam barisan kereta mencari parkir dikosongkan di kawasan parkir kereta Mydin Mall petang sabtu lepas. Petang, kononnya dianggarkan orang tidak ramai tetapi ramalanku benar salah belaka. Kemudian, berbaris-baris pula dengan troli berisi tak banyak mana pun barang berbanding orang lain, untuk sesi membayar.


Disitulah cerita perihal lelaki berkacamata hitam timbul. Dia berdiri dengan trolinya di depan seorang perempuan dengan trolinya, dan aku, di belakang perempuan tersebut dengan troli aku. Dia agak segak, di tambah dengan kacamata itu. Tetapi aku terfikir-fikir, mudahkah dia memilih barang dengan berkacamata hitam? Itu persoalan pertama. Trolinya tidak sepenuh troli orang lain. Barang juga tidak pelbagai. Tapi setiap barang ada banyak bilangannya. Ada berpaket-paket keju keping. Ada dua bungkusan besar gedabak mungkin 5kg sebungkus tomato segar. Melihat itu, aku berteka-teki bahawa mungkin dia penjual burger. Itu persoalan kedua. Kemudian aku lihat ada juga seekor ayam besar (whole chicken) di dalam plastik lutsinar.


Dan, ada berketul-ketul 'sesuatu' yang seperti paha ayam, tetapi bersaiz besar. Aku agak itu mungkin paha ayam belanda. Tetapi untuk apakah? Ketika dia menyusun barang-barang itu di atas kaunter, aku yang penuh dengan tanda soal di kepala ini berpura-pura melihat-melihat bateri di sebelah kaunter, sambil mata menjeling-jeling dan tangan meraba-raba. Yer, betul paha ayam belanda. Ada ditulis pada tag price. Markah penuh untuk diri sendiri. Tetapi ada persoalan baru, untuk apakah?


Ya, begitulah kami (aku dan adik aku sebenarnya). Sehingga hari ini, kekadang persoalan itu masih timbul dicelah-celah celoteh kami ketika di dalam kereta. Lelaki berkacamata hitam yang agak kacak itu, hendak buat apakah dengan tomato yang banyak, keju yang berpaket-paket, seekor ayam besar dan berketul-ketul paha ayam belanda?





Sep 19, 2013

Cuti-Cuti Malaysia - Pulau Kapas, Terengganu

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...




Rasa rugi juga bila tidak ke mana-mana pada hari cuti umum yang bersambung dengan cuti hujung minggu. Hujung bulan lepas, cuti hari Merdeka yang jatuh pada hari sabtu dan menyebabkan hari ahadnya cuti, aku tidak ke mana-mana. Aku kena buat kek untuk jamuan hari raya yang diadakan di surau berhampiran rumah pada hari sabtu tersebut. Rancangan kononnya hendak ke Pulau Kapas (Pulau Kapas sahaja pun!) terpaksa ditunda.


Alkisahnya, kampung aku dengan Jeti Pulau Kapas di Marang hanyalah berjarak (sekejap, aku tengok google map.. hehe).. 14km lebih kurang dan mengambil masa sekitar 15 minit sahaja dengan kereta. Manakala dari jeti tersebut ke Pulau Kapas menaiki bot laju, hanya mengambil masa sekitar 10 minit sahaja. Maknanya untuk sampai ke Pulau Kapas, masa yang diperlukan tidak sampai setengah jam pun! Punya la dekat kan, tapi yang agak memalukan kaum, ini baru pertama kali aku ke sana. T____T (nangis!)



Aku hanya pergi berdua dengan Aisya, pergi hari Jumaat lepas dan balik keesokan harinya. Cukup semalam sahaja, kalau lebih-lebih, rentung jadinya. Kami tinggal di Makcik Gemuk Beach Resort, di chalet yang berharga RM80 semalam dengan kemudahan tandas di dalam, tv, katil besi besar dengan tilam spring dan cadar yang sangat nipis akibat lusuh, 2 biji bantal  dan selimut juga nipis dan lusuh mujur tidak berbau, meja buruk yang hampir roboh, sehelai sejadah, kipas berdiri dan lingkaran ubat nyamuk Fumakila (tanpa mancis). Tidak ada tuala disediakan. Pada pandangan saya, chalet yang ada penghawa dingin juga (RM120 semalaman) lebih kurang sama sahaja saiznya, dan kemudahannya juga barangkali. Sumber elektrik di pulau tersebut adalah menggunakan solar, dan sepanjang kami di sana dua kali elektrik padam. Sekali siang dan sekali malam.


Kaunter Makcik Gemuk Beach Resort adalah yang pertama dalam barisan unit kedai dari tepi jalan masuk ke tempat parkir kereta di Jeti Marang. Maka memang dia mendapat lebih perhatian, tambahan pula hanya dia yang aku rasa sering didengar-dengar disebut. Sebenarnya ada banyak resort lain di Pulau Kapas, dan aku tidak langsung tahu tentang itu.


Mungkin, putih pasir di Pulau Kapas tidak seputih pasir di Pulau Perhentian, atau Redang. Halus pasir di Pulau Kapas, juga tidak sehalus pasir di Pulau Perhentian atau Redang. Tetapi damainya tetap ada di situ, laut indah yang mengelilinginya tetap laut yang sama, biru, jernih dan penuh misteri, Laut China Selatan.






  







Sep 12, 2013

Khamis Sebelum Jumaat

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Di pejabat.
Atas kerusi biru, bersandaran tinggi.
Mengadap komputer sambil tangan sesekali menutup mulut, menguap lebar.
Atas meja, banyak kertas conteng, kertas fax, kertas draft..
dokumen kontrak bersusun dua, fail kertas merah jambu, dan fail hitam keras.
kalkulator kaku. buku nota sepi. telefon tidak dipeduli.

Menguap lagi. Tangan tutup mulut. Mata kuyu.

Rasanya sehari dua ini aku tidak cukup tidur. Tidur aku penuh dengan mimpi. Terjaga, dan bermimpi lagi. Tak, aku tak ingat sangat mimpi-mimpi itu. Biasanya aku ingat sekejap bila terjaga, atau adakalanya sebaik terjaga terus lupa. Ok, mata kuyu nak belayar sekejap.



Sep 11, 2013

Berganti Hati (Ost Sangkar, TV9)



Satu persatu telah kuhapus
Cerita lalu di antara engkau dan aku
Dua hati ini pernah percaya
Seribu mimpi tanpa ragu tanpa curiga

Ku tak ingin lagi
Menunggu, menanti
Harapan tuk hidupkan cinta yang telah mati
Ku tak ingin coba
Hanya tuk kecewa (Ku telah kecewa)
Lelah ku bersenyum lelah ku bersandiwara
Aku ingin pergi
Dan berganti hati

Satu persatu telah kuhapus
Nada dan lagu yang dulu kucipta untukmu
Rasa yang dulu pernah ada
Kini berdebu terbelenggu dusta dan noda

Kini ku sadari diri ini
Ingin berganti hati
Cinta yang tlah pergi
Harus berganti hati

Harus ku ganti hatiku kini
Ini harus ku ganti
Tak perlu ini lagi harus berganti…

Aku malas layan drama bersiri, sebab aku malas tertunggu-tunggu apa akan jadi. Tapi sesekali aku layan cerita Sangkar tu, sebab aku suka Nabila Huda berlakon dan Nazim Othman yang k-pop. Hehe....
 
Oh... lagu ini, sedap!

Sep 9, 2013

Sabar, Pasrah dan Akhirnya Berserah

Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum...

Orang kata, redha itu ikhlas, pasrah itu berserah. Tapi pada aku, antara redha dengan pasrah, orang yang melihat tidak dapat membezakan. Hanya orang yang merasa, tahu bahawa mereka redha ataupun berserah. Pasrah lama-lama boleh jadi redha, tapi redha tetap redha.

Aku ambil masa bertahun juga untuk pasrah, pada kehidupan sekarang. Redha, aku sendiri tidak pasti. Ianya tenggelam timbul aku rasa. Bila dipujuk hati sendiri, aku jadi redha dan bersyukur. Bila dugaan mendatangi, aku jadi pasrah dan berserah.

Ayat pujuk hati aku mudah, 'tak semua orang berpeluang berbakti  dan menggembirakan ibu bapa' atau 'tak semua orang diberi hak sepenuhnya mengutip pahala dengan membesarkan seorang anak perempuan'. Semoga Tuhan mengambilkira atas segala yang aku lakukan untuk menyenangkan hati mereka, dari sekecil-kecil perkara.


Cuma aku manusia biasa, kadang-kadang hati aku menjerit juga. 




Sep 8, 2013

Aku, Masa dan Buku

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...

Haish... nampaknya laman ini menjadi semakin terbiar, penuh rumput-rumput tinggi tidak terbela. Kononnya hari itu selepas raya, ada sedikit semangat hendak bercerita lagi hari-hari di sini. Tetapi hari demi hari berlalu, yang ditatap hanya laman putih, dan jari jemari kaku di papan kekunci setiap kalinya.

Buku-buku cerita juga, terbiar dalam raga rotan. Bertimbun. Yang dipinjam di perpustakaan, yang baru dibeli diinternet, dan yang hendak diulang baca dari koleksi sedia ada. Bosan lagi. Tetapi mata ini tetap meliar membaca bermacam-macam ulasan buku di internet. Dan berangan hendak baca itu ini. Hendak miliki itu ini. Tamak. Tak pernah pula bosannya.

Kadang-kadang aku sendiri hairan, apalah yang aku buat hari-hari. Bila aku fikir semula, aku rasa aku banyak buang masa. Tetapi bila aku fikirkan lagi, kononnya aku nak gunakan masa aku sepenuhnya untuk berbuat apa aku suka. Sudahnya, aku tidak sempat berbuat apa-apapun. Masa masih tidak cukup untuk aku. Sebab itu buku-buku itu masih tidak aku baca baca lagi.

Ah, alasan semua itu.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...