Iklan

Jan 15, 2014

Jika Diberi Pilihan

Bismillahirrahmanirrahim...

Sekali lagi, aku pernah berbicara dengan emak, sambil emak elok bersila di depan aku, dan aku dibelakang mak atas kerusi bulat kecil berwarna hijau atau pink, sedang mencabut uban yang memutih dan pendek-pendek. Uban yang pendek itulah yang memberikan rasa gatal pada kepala emak, sedangkan uban yang panjang, memang tak perlu dibelek-belek lagi. Memutih sahaja, sesuku banyaknya dengan yang hitam barangkali. Kami berbicara tentang pilihan untuk hidup, di zaman sekarang atau di zaman aku kecil-kecil dulu iaitu sekitar akhir 70-an dan awal 80-an. Dan kami sepakat, hidup zaman emak muda dan masih bergaya dengan kebaya pendek itu lebih menenangkan jiwa.


Tentunya bagi aku pula, zaman itu adalah zaman terindah. Zaman kanak-kanak riang yang hidup dalam suasana penuh keseronokan dan keriangan dalam dunia yang sebenar-benarnya. Dari perkara sekecil anak-anak siput bergerak sekawan atas batang pokok getah reput, kepada sebesar-besar batang pokok kelapa yang tumbang, ianya akan menjadi sesuatu yang sangat mengujakan. Bukannya seperti 'kanak-kanak riang' yang terperuk atas sofa menonton cartoon network atau discovery channel, atau bermain-main tembak-tembak di dunia maya. Bukannya seperti Aisya yang tak pernah tengok berudu, tapi kenal Ain Hawani dan Adam Mukhriz a.k.a Adam dan Hawa! Hahahaha...


Mungkin persekitaran dulu lebih 'suci'. Mungkin alam dulu lebih kuat jati diri. Mungkin kita juga dulu-dulu, sangat rapat pergantungan dengan alam. Kerana dulu-dulu, tidak ada komputer yang menghidangkan pelbagai jenis permainan olok-olok, atau telefon pintar, juga. Maka untuk menghiburkan diri, kita menjadi kreatif dengan mereka-reka permainan dengan membabitkan alam sekeliling. Main tembak menggunakan bedil daripada batang buluh dan buah cemerai (kot) atau surat khabar basah digentel-gentel sebesar guli dibuat peluru. Memancing guna joran batang buluh atau kayu panjang, diikat tali tangsi dengan mata kail di hujung, korek tanah cari cacing tanpa sedikitpun rasa geli atau memukul 'tik liung' (dragonfly) dengan reba-reba kayu, untuk dibuat umpan. Berlari-lari atas batas sawah, dengan sebelah tangan menarik tali yang disatu hujungnya terikat layang-layang kertas suratkhabar, dan sesekali membuat serunai dengan batang padi. Sekarang aku sendiri dah lupa banyak perkara, apatah lagi kemahiran.


Bila difikir-fikirkan, diakhir zaman ni, banyak hal jadi terbalik. Apa yang aku maksudkan ialah terbalik dari fitrah yang Tuhan telah jadikan sebagai asas. Paling jelas, banyak dalam sesebuah keluarga zaman sekarang, yang mencari rezeki adalah perempuan. Malah menantu pilihan adalah perempuan yang berkerja! Untuk siapa? Untuk anak lelaki yang mungkin menagih dadah dan bekerja semata-mata nak membeli 'benda' itu, atau yang mungkin kerjanya tidak menentu dan lebih banyak tidur dari bekerja. Lebih teruk, ada ibubapa nampaknya lebih mementingkan anak perempuan belajar tinggi-tinggi, tinggal di asrama dan anak lelaki dibiarkan menjadi mat rempit! Sungguh.... aku tak boleh terima semua ini. Dunia telah terbalik secara total!


 

4 comments:

  1. Dunia menuju kiamat.
    Hamba jd tuan.
    Nak ubah semula?
    Maka terubahlah tanda2 kecil kiamat...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mungkin tk boleh ubah semula, tapi kita kekdg boleh beri sedar. Pada yg terleka dan rasa betul utk sesuatu yg jelas salah.

      Delete
  2. As salam Su,
    mengimbau semula zmn knk2, cukup manis sekali.kalau lah masa dpt diputar kembali.....
    Apa2 pun hidup perlu diteruskan.Membaca patah demi patah perkataan yg disusun dlm ayat yg begitu ber'jelira' seperti sdg membaca novel.t.kasih su.
    kha.

    ReplyDelete
    Replies
    1. W'salam Kha,
      kekdg su rasa su hidup dalam khayalan pun ada. sebab lebih suka imbau dari hadapi kenyataan. hahaha.... Tp kenyataan tetap kenyataan. life must goes on, kan.

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...