Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...
Ini antara tempat permainan aku zaman kecil dahulu. Rumah ini rumah paling dekat dengan rumah mak ayah aku. Jiran di sebelah kiri rumah. Kedudukan rumah kami dulu adalah lebih ke sebelah kiri, sebab di sebelah kanan ada banyak pokok kelapa, pisang, mempelan kampung, pokok nona dan jambu air, sebelum dipisahkan oleh pagar kawat duri dengan kebun mok teh, arwah mak saudara aku. Pokok langsat yang hampir mati di atas adalah sempadan tanah kami dengan tanah jiran itu. Nampak bukan, betapa luas ruang kosong di sebelah rumah itu.
Sebenarnya rumah itu kepunyaan sepasang suami isteri (arwah, al-fatihah untuk mereka) yang aku panggil tokki dan tokwan. Rumah anak-anak dan cucu-cucu mereka, adalah jiran-jiran kami sekarang di sebelah depan rumah. Tokki dan tokwan bercerai ketika masing-masing sudah di hujung usia. Tapi disebabkan mereka banyak harta, tokwan buat rumah besar di depan rumah kami di mana tapak asalnya merupakan tempat kami selalu bermain aci duduk, bola lontar selipar atau tin, galah panjang, pukul berapa datuk harimau, dan macam-macam lagi. Rumah di atas tokki tinggal seorang diri.
Samada tokki ataupun tokwan, kedua-duanya aku masih ingat jenis orang yang sangat pembersih. Di laman luas di sebelah depan dan tepi serta belakang rumah, daun-daun yang berguguran setiap hari di sapu dan di bakar. Rumput-rumput, memang pantang tumbuh. Rumah tokki itu sebenarnya jarang sangat aku
masuk ke dalamnya. Aku takutkan tokki yang garang, malah cucu-cucunya yang
menjadi kawan sepermainan aku juga jarang naik ke rumah itu. Tapi tokki tak
kisah kami bermain di laman rumahnya yang luas dan bersih itu. Kekadang aku
dengan cucu perempuannya lepak di beranda dapur yang bersimen. Ada
sebuah telaga di situ dan sekeliling telaga itu juga bersimen luas. Berhampiran
dapur ada sebatang pokok dengan buah-buahnya berwarna kuning (aku dah lupa
pokok apa) dan disitulah aku kenal burung kerak nasi yang panjang ekornya dan merah matanya. Di sebelah depan kiri
rumah, ada rumah padi yang agak besar dan aku masih ingat ada tempayan besar
yang kekadang menjadi tempat tokki peram setandan pisang. Bila tempayan itu
kosong, ianya menjadi tempat kami bersembunyi apabila bermain hide and seek!
Pabila malam, rumah tokki jarang cerah. Lampu
hanya dibuka di dalam biliknya ataupun di dapur. Hanya sesekali sahaja lampu
kalimantang di beranda depan di buka pada waktu malam. Itupun apabila
cucu-cucunya yang jauh bertandang musim cuti sekolah, dan biasanya tidur aku
akan terganggu pada waktu itu kerana bilik aku adalah dari arah mana
gambar-gambar ini diambil!
Selepas tokki dan tokwan meninggal, sekitar 90-an ketika aku tinggal di asrama, rumah besar itu ditinggalkan kosong. Lama. Sehinggakan kami adik beradik panggil rumah itu rumah berhantu, walaupun kami tidak pernah melihat hantu di rumah itu. Kemudiannya baru-baru ini rumah itu berjaya dijual kepada sanak saudara mereka. Rumah sahaja, tidak termasuk tanah. Di kampung, perkara itu adalah biasa. Rumah papan yang dibeli akan dipecat satu persatu, dan dicantumkan semula di tanah sendiri. Biasanya harganya tidak lebih daripada RM5000.00, mengikut saiz rumah.
Sekarang rumah itu sudah hampir tinggal rangka. Dan sedikit masa lagi, hanya akan tinggal bekasnya sahaja. Maka hilanglah satu lagi kenangan aku semasa kecil dahulu.
Iklan
Feb 23, 2014
Feb 17, 2014
Pertengahan Februari Yang Kelibut
Bismillahirrahim
Assalamualaikum
Assalamualaikum
Aku
hari-hari rasa nak bercerita di sini
ada sahaja idea melayang
tumpang lalu dalam fikiran
tapi
bila mengadap komputer
idea itu hilang
macam air atas daun keladi
tertepis sedikit
bergoyang sedikit
dengan kerja dan arahan
tumpah idea
tiada tinggal bekas
walaupun sedikit
februari dah lepas titik tengah
aku masih begini lagi
berkalang dengan masa
berpelin dalam arah yang sama
mujur tidak sesat barat
masih menghela udara percuma
syukur
Feb 3, 2014
Sejuk, Mulut Berasap dan Padi Masak - Welcome February
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...
Februari 2014 dah menjenguk. Cepat betul aku rasakan sebulan berlalu. Rasa semacam tidak sempat berbuat apa-apa lagi. Maksudnya, untuk diri sendiri. Ataupun sebenarnya mungkin banyak sangat yang aku nak buat awal tahun ni, hinggakan rasa macam tidak sempat.
Cuaca sungguh sejuk akhir-akhir ini. Biasalah, awal tahun sebelum Tahun Baru Cina. Sejak dulu, akhir atau awal tahun adalah musim angin kencang, ombak tinggi dan sejuk! Ianya bukanlah sesuatu yang ajaib sangat. Cuma akhir-akhir ini, ianya menjadi semacam kekecohan bila suhu turun hingga 17 darjah celcius di Kuala Krai, dan di Besut 19 darjah celcius. Sekitar Kuala Terengganu, mungkin paling rendah 20 darjah celcius. Bagi aku yang memang tidak tahan sejuk ini, musim-musim biasa pun aku tak boleh tidak berselimut ketika tidur dan mesti pakai seluar panjang. Apatah lagi bila sejuk-sejuk begini, memang berstoking dan berbaju sejuklah dalam selimut tebal!
Kekecohan cuaca sejuk ini aku rasa sebab zaman sekarang ramai orang pakai smartphone yang ada memaparkan suhu semasa di tempat masing-masing. Jadi semua orang menjadi alert akan penurunan dan kenaikan suhu. Yang tak ada smartphone, kemudahan internet ada di mana-mana. Masuk sahaja accuweather, dah dapat tengok segala. Dulu-dulu, kita menganggarkan atau meramalkan keadaan cuaca berdasarkan pengalaman, musim apa, bulan dan macam-macam lagi. Ini kerana, semua itu mempengaruhi aktiviti pencarian pendapatan masing-masing.
Sejuknya awal tahun, sekitar tahun 80-an dahulu, aku masih ingat terujanya kami adik beradik dapat melihat keluar asap dari mulut kami apabila bercakap di awal-awal pagi. Hingga jam sepuluh pagipun, embun di rumput masih belum kering dan sejuk masih terasa hingga ke tulang. Orang kampung panggil musim sejuk begitu yang paginya kabus menjarakkan pandangan mata, musim padi berisi atau padi hendak masak. Atau juga musim angin tahun baru china, sebab musim sejuk begini biasanya sebelum tahun baru china. Ianya memang musim padi mula menguning. Dan kami orang-orang kampung samada budak-budak atau orang dewasa ada aktiviti sendiri di musim sejuk begini. Antaranya, mengumpul embun atas daun keladi yang tidak basah, dan bertanding embun siapa yang paling banyak!
Sejuknya yang dikecohkan tahun ini, belum lagi aku tengok mulut berasap apabila bercakap di awal pagi. Padi sudah menguning di sesetengah tempat. Kabus tebal dan memutih hampir setiap hari dan apabila tengahari, langit membiru dengan begitu cantik. Pokok timun batang emak sudah menjalar memanjat rang ranting kayu. Aku dah mula merancang untuk menanam pokok bunga semula. Hidup kembali bergerak pantas seperti biasa.

Subscribe to:
Posts (Atom)