Iklan

Aug 7, 2011

Ramadhan Ke Tujuh Tahun 1432

Alhamdulillah, Aisya masih meneruskan puasanya walaupun hanya sehari dua sahaja dia tidak bersungut hendak berbuka puasa, dahaga, dan macam-macam lagi. Biasanya rungutan itu pada sebelah petang selepas pulang dari kelas Kafa jam 3 petang, atau sekitar 4, 5 petang. Dan rungutan ini sebenarnya timbul akibat daripada cemburu pada sepupunya yang darjah satu di sekolah yang sama dengannya, tidak berpuasa dan datang ke rumah siap bawak bekal cikedis pada petang hari pertama Ramadhan. Ish ish ish...


Tahun lepas pun seingat aku, kurang daripada 7 hari sahaja dia tidak berpuasa. Jadi aku hendak pastikan tahun ini dia berpuasa lebih. Hampir setiap hari aku mengikut sahaja menu apa yang dia hendak untuk berbuka puasa.


Baru hari ke tujuh, tapi sebenarnya aku sudah sedikit buntu untuk masak apa sebagai hidangan berbuka. Kebiasaannya di rumah aku, berbuka adalah dengan apa sahaja selain nasi berlauk. Yang sesekali mengadap nasi berlaukpun cuma adik aku sorang. Ayah dan mak, setiap hari dengan cendol yang dimakan dengan santan dan durian. Ada sedikit kuih-kuih manis seperti serimuka atau pulut lepa yang jarang berkuit dan keesokkannya menjadi santapan istimewa ayam-ayam dalam reban. Nasi biasanya dimakan selepas solat terawih. Hanya ayah seorang yang makan nasi selepas solat maghrib, sebelum ke surau untuk isyak dan terawih.


Adalah dengan itu, maka aku setiap petang di bulan puasa (seperti tahun-tahun yang lepas juga) akan memikirkan secara bersungguh apakah menu untuk berbuka santapan aku dan Aisya. Untuk tujuh hari lepas, menu kami adalah seperti berikut ;

1. Meehoon Goreng
2. Mee Goreng
3. Roti Jala cicah gulai daging semalam.
4. Muffin Lemon
5. Mee Rebus (adik aku yang buat)
6. Nasi Lemak dengan sambal, paru goreng berlada dan telur rebus.


Baru sekali menjejakkan kaki ke Bazar Ramadhan terdekat iaitu di tepi pasar baru Kedai Buluh, dan apa yang dibeli sangat-sangat-sangat tidak memuaskan hati. Langsung tidak sedap dan tidak kena dengan tekak aku dan seluruh ahli keluarga. Oleh sebab itu, aku telah membuat keputusan tidak akan menjejakkan kaki lagi ke bazar tersebut.

Bazar lain?

Mungkin, tapi aku memang berat kaki hendak ke bazar sebab citarasa tekak aku ni susah sikit nak kena dengan makanan-makanan yang biasanya orang jual cuma nak untung sajer tu. Dah la aku ni jenis yg kalau makanan tu tak kena dengan selera, lapar camner sekalipun, secubit dua sudah cukup untuk perut kecil aku.

Selebihnya?

Hmm.. Rezeki ayam lagi. Mujur ada ayam.


Azam aku setiap Ramadhan biasanya adalah untuk mengelakkan pembaziran, membanyakkan baca Quran dan solat. Tetapi untuk mengosongkan terus bab pembaziran itu, sedikit sukar aku rasa. Lebih-lebih lagi dengan ayah yg suka membeli, dan biasanya lauk-pauk juga dimasak mengikut apa yang dia kehendaki. Hari ini gulai daging, esok ketam masak lemak cili api, lusa kerisik hati lembu, tulat gulai ikan tenggiri, tubing masak lemak terung, bla..bla..bla.. Setiap hari masak menu utama yg baru sedangkan yg semalam punya belum habis. Aku letih (tukang masak), mak aku letih (tukang siang daging, ikan, dll), Aisya letih (sebab puasa dan langsung tak nak tidur siang).. tapi tak per, asalkan ayah gembira.


Malam, jam sepuluh aku sudah bersaing dengan Aisya masuk bilik...

Aug 1, 2011

Pengumuman Berpuasa Malam Tadi Tak Macam Dulu-Dulu

Mak pun perasan malam tadi, katanya 'Kenapa macam orang lain jer ni?'.


'Orang lain la mak, orang lama tu dah meninggal dah'. Aku memberitahu maklumat palsu, yang tidak aku ketahui betul atau salah. Tapi memang seingat aku, aku pernah terbaca dalam blog mana ntah tentang Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, iaitu Y.M Engku Tan Sri Dato Sri Ibrahim Bin Engku Ngah meninggal dunia. Kemudian bila aku surf dalam internet hari ni, rupa-rupanya Engku Ibrahim sudah bersara dari jawatannya. Karang balik aku kena betulkan semula maklumat yang aku bagitau mak malam tadi.


Maafkan aku kerana tersilap maklumat. Semoga Engku Ibrahim sihat walafiat dan dipanjangkan umurnya. Amin..


Bagi aku, memang terasa kelainannya bila tiba-tiba saat-saat yang ditunggu iaitu pengumuman berpuasa juga berhari raya nanti, orang lain yang umumkan. Bayangkan, seingat aku sejak kecil aku dibesar dengan pengumuman raya oleh Engku Ibrahim. Kalau masa kecik dulu, siap tunggu depan tv nak dengar pengumuman tu. Mak yang didapur pun, terkocoh-kocoh berkejar ke ruang depan, bila anak-anak duk panggil ajak dengar sekali. Memang meriah. Samada puasa atau raya, memang begitu.


Kalau puasa, dengan persiapan untuk bersahur dan berbukanya. Kalau berhari raya, lagi kecoh dengan persiapannya.


Ok, selamat berpuasa semua. Semoga kita memanfaatkan sebaiknya bulan yang penuh barakah ini. Untuk diri sendiri, aku nak pastikan bulan ni aku berjimat sepenuhnya dan tidak membazir. Ya, membazir amalan syaitan, kan. :D




Jul 23, 2011

Buku, buku dan buku

Kita adalah keterbalikan daripada apa yang kita lihat.



Betul ke? Aku jumpa ayat tu masa aku belek-belek buku-buku cerita lama yang bersusun dalam kotak plastik lutsinar bawah meja belajar Aisya yang aku jadikan meja laptop. Ya Allah, banyaknya buku cerita, termasuk yang adik aku punya yang dipinjamkan dan adik lupa nak ambil semula. Hehe.. Tak per, bukannya rumah orang lain yg aku duduk ni, rumah mak dia jugak.


Sekarang aku sedang membaca novel 'Dari Kerana Mata' karya Norhayati Berahim, adik aku punya, selepas aku menghabiskan novel lama 'Merpati Putih Terbang Lagi'. Lama sungguh nak habiskan novel nipis karangan Khadijah Hashim itu. Aku mula baca dah lama, tapi terhenti bila mengadap Salina - A.Samad Said, novel yang aku pinjam daripada Perpustakaan Awam Kuala Terengganu. Tak sempat habis pun Salina sebab ada sahaja aktiviti lain yang aku buat masa tu. Salina pulak tebal dan tempoh pinjaman adalah sebulan sahaja. Itupun sudah dua kali aku renew sebab kali pertama pinjam aku terlupa kewujudan buku itu sehinggalah tiba tarikh pemulangan.


Bulan lepas juga aku habiskan satu lagi karya baru Norhayati Berahim iaitu Sejam RM2.50 yang aku rasakan ceritanya lebih sesuai dijadikan drama bersiri atau telemovie. Tajuk Sejam RM2.50 juga sangat tidak kena kerana ianya hanya sesuku babak di penghujung cerita! Jalan ceritanya menarik dan lain dari yang lain, tapi pendapat aku, begitulah. Yang aku baca sekarang tu pun, baru habis beberapa helai. Sudah terasa sedikit kejemuannya. Mungkin aku kena tukar dan mencuba karya penulis-penulis lain pulak kot. Siti Rosmizah misalnya.


Nampaknya aku lebih suka novel-novel lama Khadijah Hashim, A.Samad Said, Fatimah Busu, Arenawati,... Jiwa aku mungkin lebih ke arah orang dulu-dulu. Hehe... Tiba-tiba aku teringat novel yang dah lama aku nak, tapi tak sempat cari, novel lama Fatimah Busu.. Ombak Bukan Biru. Aku sambung lain kali yer, aku nak google jap.


Aku pernah menulis tentang novel-novel yg aku teringin sangat itu disini dan di sini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...