Iklan

Aug 7, 2011

Ramadhan Ke Tujuh Tahun 1432

Alhamdulillah, Aisya masih meneruskan puasanya walaupun hanya sehari dua sahaja dia tidak bersungut hendak berbuka puasa, dahaga, dan macam-macam lagi. Biasanya rungutan itu pada sebelah petang selepas pulang dari kelas Kafa jam 3 petang, atau sekitar 4, 5 petang. Dan rungutan ini sebenarnya timbul akibat daripada cemburu pada sepupunya yang darjah satu di sekolah yang sama dengannya, tidak berpuasa dan datang ke rumah siap bawak bekal cikedis pada petang hari pertama Ramadhan. Ish ish ish...


Tahun lepas pun seingat aku, kurang daripada 7 hari sahaja dia tidak berpuasa. Jadi aku hendak pastikan tahun ini dia berpuasa lebih. Hampir setiap hari aku mengikut sahaja menu apa yang dia hendak untuk berbuka puasa.


Baru hari ke tujuh, tapi sebenarnya aku sudah sedikit buntu untuk masak apa sebagai hidangan berbuka. Kebiasaannya di rumah aku, berbuka adalah dengan apa sahaja selain nasi berlauk. Yang sesekali mengadap nasi berlaukpun cuma adik aku sorang. Ayah dan mak, setiap hari dengan cendol yang dimakan dengan santan dan durian. Ada sedikit kuih-kuih manis seperti serimuka atau pulut lepa yang jarang berkuit dan keesokkannya menjadi santapan istimewa ayam-ayam dalam reban. Nasi biasanya dimakan selepas solat terawih. Hanya ayah seorang yang makan nasi selepas solat maghrib, sebelum ke surau untuk isyak dan terawih.


Adalah dengan itu, maka aku setiap petang di bulan puasa (seperti tahun-tahun yang lepas juga) akan memikirkan secara bersungguh apakah menu untuk berbuka santapan aku dan Aisya. Untuk tujuh hari lepas, menu kami adalah seperti berikut ;

1. Meehoon Goreng
2. Mee Goreng
3. Roti Jala cicah gulai daging semalam.
4. Muffin Lemon
5. Mee Rebus (adik aku yang buat)
6. Nasi Lemak dengan sambal, paru goreng berlada dan telur rebus.


Baru sekali menjejakkan kaki ke Bazar Ramadhan terdekat iaitu di tepi pasar baru Kedai Buluh, dan apa yang dibeli sangat-sangat-sangat tidak memuaskan hati. Langsung tidak sedap dan tidak kena dengan tekak aku dan seluruh ahli keluarga. Oleh sebab itu, aku telah membuat keputusan tidak akan menjejakkan kaki lagi ke bazar tersebut.

Bazar lain?

Mungkin, tapi aku memang berat kaki hendak ke bazar sebab citarasa tekak aku ni susah sikit nak kena dengan makanan-makanan yang biasanya orang jual cuma nak untung sajer tu. Dah la aku ni jenis yg kalau makanan tu tak kena dengan selera, lapar camner sekalipun, secubit dua sudah cukup untuk perut kecil aku.

Selebihnya?

Hmm.. Rezeki ayam lagi. Mujur ada ayam.


Azam aku setiap Ramadhan biasanya adalah untuk mengelakkan pembaziran, membanyakkan baca Quran dan solat. Tetapi untuk mengosongkan terus bab pembaziran itu, sedikit sukar aku rasa. Lebih-lebih lagi dengan ayah yg suka membeli, dan biasanya lauk-pauk juga dimasak mengikut apa yang dia kehendaki. Hari ini gulai daging, esok ketam masak lemak cili api, lusa kerisik hati lembu, tulat gulai ikan tenggiri, tubing masak lemak terung, bla..bla..bla.. Setiap hari masak menu utama yg baru sedangkan yg semalam punya belum habis. Aku letih (tukang masak), mak aku letih (tukang siang daging, ikan, dll), Aisya letih (sebab puasa dan langsung tak nak tidur siang).. tapi tak per, asalkan ayah gembira.


Malam, jam sepuluh aku sudah bersaing dengan Aisya masuk bilik...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...