Iklan

Aug 16, 2011

Rojak

Begitulah diibaratkan perasaan saya hari ini. Seawal 6.30 pagi di rumah, perasaan tenteram sahaja sebab malamnya saya tidur awal, dan cukup. Juga tidak diganggu mimpi pelik-pelik. Lena di bawah sinaran sang bulan 15 Ramadhan jam 10.30 malam.


Seperti biasa ber'jeans' dengan orange sweater, memandu Kancil putih ke sekolah Aisya yang cuma berjarak 3 minit dari rumah. Bukan memilih, walaupun seronok bermotor Modenas buruk ayah membelah sejuk pagi sambil menikmati cahaya matahari pagi yang baru menjenguk, saya lebih yakin memandu kereta. Mana tidaknya, saya menunggang motor semula selepas berehat dari menunggang selama lebih 10 tahun! Inipun belum cukup sebulan pun lagi saya kembali menunggang. Gara-gara bateri Kancil 'kong' dan tidak berganti, serta malas nak bawa keluar En. Elly pusing depan sekolah, saya memberanikan diri kembali menunggang motorsikal.


Apabila parking semula si Kancil lebih kurang 3 minit kemudian, mundar mundir dulu di laman. Kalau ada buah durian yang jatuh tergolek, kutip dulu (pokok durian ada sepohon di tepi rumah). Kalau ada bunga mawar merah berkembang mekar, jenguk-jenguk dulu dan ambil bau. Wangi. Kalau ada bunga melur, kutip semuanya dan letak di atas peti sejuk di dapur. Semerbak baunya di ruang dapur. Kalau rajin pula, letak bunga melur dalam uncang kain jarang yang biasanya dapat ketika kenduri, yang diisi dengan telur atau gula-gula tu. Kemudian menikmati udara segar pagi di tepi tingkap di dapur sambil borak-borak dengan mak yang sedang menyiram pokok sayur-sayurnya. Memang tenang suasana pagi sepanjang bulan puasa tahun ini.


Pagi ini saya ada mesyuarat tapak di JPP, UniSZA Gong Badak. Tetapi memandangkan masih awal, saya memandu ke pejabat dulu. Pen drive yang sedia pasang di dalam kereta pagi ini, memutarkan lagu itu. Ye, lagu yang membuatkan saya tiba-tiba teringat pada seseorang yang jauh. Jauh di mata, terkadang menjengah di hati. Perasaan tenang bertukar menjadi sayu, serta rindu. Lamanya tidak melihat dia. Lamanya tidak terkenang padanya.


Memang. Lagu-lagu ini bisa mengganggu gugat perasaan. Kalau dengar lagu rancak, maka perasaan kita gembira, bersemangat memulakan hari. Sekiranya kita layan lagu sayu pagi-pagi, maka perasaan kita mungkin suram, muram. Atas diri sendiri pula untuk switch perasaan kita. Kekadang boleh saja. Adakalanya tidak juga.


Sayu dan sepi saya tidak lama. Walaupun ambil masa juga memandu ke Gong Badak dari Kuala Ibai, ditemani pula lagu-lagu indon yang kebetulan mengambil giliran di MP3 player kereta, saya switch perasaan saya kepada perkara-perkara yang indah. Memang biasanya apa yang kita nak sangat-sangat, yang itulah paling sukar untuk kita dapati. Dan yang kita mahu lari dari, yang itulah mudah menghampiri kita.

Kan.

1 comment:

  1. assalam aya


    selamat menyambut hari raya. mcam na sambutan tahun ni? moga ceria sambutan eidulfitri kali ini.
    mohon maaf jika ada tersilap kata yg mengguris rasa.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...