Iklan

Mar 25, 2012

Sakit Itu Penghapus Dosa-Dosa Kecil

Bismillahirrahmanirrahim...


Saya selsema. Awalnya, sedikit-sedikit dan saya menganggapnya tidak apa-apa. Apabila berhari hidung tersumbat (lebih-lebih lagi apabila diam atau tidak bergerak dalam beberapa ketika), saya mula tercari ubat selsema. Yang mak punya pun takper, ayah punya pun tak kisah. Main bedal ajer. Sayangnya, selsema kali ini nampaknya degil untuk meninggalkan saya. Bila makan clarinase pun tak jadi apa, saya ke klinik selepas hampir dua minggu selsema, satu hari cuti, hingus pekat hijau dan banyak berhari-hari, dan tubuh rasa tak larat manjang.


Ya, jangkitan kuman. Sebab itu hingus sedemikian rupa. Doktor bagi ubat selsema dan antibiotik, dan mc dua hari. Boleh rehat panjang. Itupun saya masih rajin pergi menghadiri meeting kerana kasihankan boss yang pun tidak sihat sebab baru balik dari umrah.


Saya ingatkan diri untuk sentiasa ingat Tuhan. Berzikir dalam hati jangan lupa. Sakit ini adalah penghapus dosa-dosa kecil. Alhamdulillah. Dan mujur juga saya bukannya seorang yang merintih, merungut apabila tidak sihat. Saya diam sahaja, dan berehat secukupnya.


Rasulullah bersabda. “Sesungguhnya ada tiga pahala yang menjadi kepunyaanmu dikala sakit. Engkau sedang mendapat peringatan dari Allah swt., doamu dikabulkan-Nya, dan penyakit yang menimpamu akan menghapuskan dosa-dosamu.”

“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosamu.” ( As Syura: 30)

(Iaitu Tuhan) yang telah menciptakan aku, Maka Dialah yang menunjuki aku. Dan Tuhanku, yang Dia memberi makan dan minum kepadaku. Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku. Dan yang akan mematikan aku, kemudian akan menghidupkan aku (kembali). Dan yang amat kuinginkan akan mengampuni kesalahanku pada hari kiamat” (Asy Syu’araa’: 78 –)


Wallahualam.

Mar 14, 2012

Penunjuk Mengaji Quran

Bismillahirrahmanirrahim...


Dulu-dulu zaman 80-an di kampung saya, belajar mengaji Quran (bermula dari Muqaddam, atau orang kampung panggil, surah kecil) adalah suatu amalan wajib bagi setiap budak. Dan di kampung saya ada seorang tok guru (kami panggil tok) yang sangat terkenal sehinggakan yang datang mengaji di rumahnya memang ramai sungguh. Bukan budak-budak sahaja, malah remaja (yang dah naik tingkatan dan belum tamat mengaji) juga turut dihantar mengaji dengan tok. Dan mereka pula bukan terhad dari kampung saya, tapi dari kampung-kampung berdekatan. Penuh basikal di halaman rumah tok setiap petang hari sekolah dan pagi hari Sabtu. Jumaat, tok cuti. :)


Tok sudah meninggal dunia. Al-fatihah buat tok. Masa tu tok sudah pencen mengajar mengaji kerana sakit-sakit tua. Dan saya menyambung mengaji surah besar (baru naik Quran masa tu) dengan Ayah Cik. Masa tu saya sekitar darjah 3 rasanya. Saya habis mengaji dengan Ayah Cik selepas tiga kali tamat Quran, masa nak naik tingkatan satu.


Sesuatu yang ingin dikongsikan dengan semua di sini ialah, penunjuk yang digunakan untuk menunjuk bacaan Quran. Kalau zaman sekarang saya lihat ramai budak-budak hanya menunjuk dengan jari atau lidi, kami suatu ketika dulu kreatif dalam hal itu. Penunjuk yang kami gunakan adalah dibuat sendiri dengan buluh, diraut dan diukir secantiknya tempat pemegang dan digosok licin dengan daun mempelas yang kasar. Biasanya waktu menunggu Tok atau Ayah Cik turun mengajar, kami akan asyik menggosok penunjuk yang baru dengan daun mempelas yang dipetik di tepi-tepi semak. Ya.. orang dulu lebih berdisiplin dan sangat menghormati orang tua. Kami kena awal dari tok guru atau cikgu, malah tidak berani berbuat bising kalau ada mereka. Dan biasanya, datang awal memberi banyak keberuntungan pada kami. Kami akan dapat bermain-main dulu, menggosok penunjuk dengan daun mempelas, atau menenyek gambar pada plastik yang digunakan untuk membawa Quran supaya hilang gambar, dengan hujung penunjuk.





Kalau saya pula, suka sungguh saya kalau bab-bab meraut buluh atau apa sahaja dengan pisau mesin (pisau 10 sen) yang tajam. Pensil-pensil saya dulu-dulu, termasuk pensil warna, mana ada diasah dengan penggorek (sharpener), mesti ditajamkan dengan pisau mesin. Maka, baru-baru ini, ketika terjumpa buluh pencucuk sate yang besar, saya rautkan cantik-cantik untuk dijadikan penunjuk. Biasanya Aisya gunakan buluh itu sahaja sebagai penunjuk bacaan Quran. Tapi saya selalu bimbang dengan buluh yang tajam itu! Untuk cari buluh sekarang, saya sudah tidak berani ke padang yang jarang dijenguk orang itu. Buluh pencucuk sate pun jadilah.




Saya raut buluh itu menjadi nipis hingga boleh dilenturkan. Hujung penunjuk di runcingkan, dan bahagian pemegang di ukir sedikit. Daun mempelas, malas nak cari, jadi saya gosok-gosok sahaja penunjuk yang sedia tidak berselumbar itu dengan kain cukuplah. Dah siap. Sekarang, penunjuk itulah yang terselit dalam Quran yang Aisya gunakan. :)



Link
Ini lah daun mempelas yang pernah saya gunakan dulu. Memang kasar macam kertas pasir daun ni.
Gambar dari sini.


Nota kaki 1 : Quran yang saya gunakan bertahun ketika mengaji 'surah besar' adalah yang digunakan kakak bertahun sebelum dia duduk di asrama, termasuk penunjuknya sekali. Ketika itu, Quran itu sudah tiada kulitnya, tapi Alhamdulillah, isinya masih elok dan tiada yang koyak. Penunjuk itu patah ketika saya sudah darjah 6 rasanya, sebab seingat saya sekejap sahaja saya menggunakan penunjuk baru. Walaupun saya suka meraut buluh membuat penunjuk Quran, tetapi yang lama itu tetap menjadi pilihan. Biasanya saya buat dan beri sahaja kepada kawan-kawan.

Mar 11, 2012

Maafkan Saya.

Bismillahirrahmanirrahim...


Saya keseorangan di pejabat hari ini. Hujan sedari awal pagi, hanya sekejap-sekejap berhenti. Budak meja sebelah menghantar pesanan ringkas memaklumkan ketidakhadiran dia ke pejabat kerana menghadiri jemputan kenduri. Ok, tak apa. Kawan meja hadapan, tidak muncul-muncul. 9.30 pagi. Tiada. 10.00. Senyap. 10.15 pagi. Tak boleh jadi ni. Nak call takut mengganggu, jadi akhirnya saya menghantar pesanan ringkas, bertanya adakah dia bercuti. Lama, tiada balasan. Saya mula bosan. Perut juga lapar sebab awal pagi tadi sebelum ke pejabat, saya hanya mengalas perut dengan biskut empat segi dicicah milo.


Kerja yang bertimbun minggu sudah, kebanyakannya sudah selesai. Minggu ini sudah tidak ada kerja yang perlu diselesaikan segera. Dokumen-dokumen yang perlu disiapkan pula memerlukan beberapa maklumat pihak lain, dan ianya memakan masa. Perut mula menyanyi. Dan saya akhirnya membuat keputusan, turun ke 7E di bawah, membeli roti. Hujan masih turun, sesekali agak lebat. Kawan meja depan call akhirnya, beritahu tak dapat datang kerana hujan. Keretanya masih belum siap (dibaiki) dan kereta ayahnya digunakan pula oleh tuan punya hari ini. Mana mungkin dia menunggang motor jauh-jauh begitu dalam hujan! Tak apa, dah tahu aku tak adalah tertunggu-tunggu. Nampaknya memang keseoranganlah aku hari ini.


Tak apa. 'Jangan mengeluh. Berdoalah.' Saya layan sungguh-sungguh ceramah Ustaz Kazim Elias. Minggu lepas dah dengar yang ini, kawan meja depan yang pasangkan dikomputernya. Tapi dengar gitu-gitu sahaja, sambil buat apa ntah, saya lupa. Hari ini dengar betul-betul sebab nak ambil isinya.


Nampaknya saya masih belum menunaikan beberapa hasrat saya. Tertangguh sudah sebulan. Benda yang baik, patutnya tidak bertangguh dari awal. Sekarang, sudah berkira-kira pula perlu teruskan ataupun tidak. Sedangkan esok lusa, belum tahu masih dipinjamkan nyawa ini atau tidak.


Saya nak minta maaf dari semua, yang mengenali saya. Kalau ada salah silap saya, yang tidak saya sedari. Itu ayat ringkas, mudah difahami. Moga dimaafkan saya. Harapnya tulisan saya terdahulu, tidak pernah menyinggung hati sesiapa, menggores perasaan serta menimbulkan amarah. Harapnya juga, selepas ini tulisan-tulisan saya disini tidak mengutuk sesiapa, mengata sesiapa, menyinggung dan menggores perasaan. Saya tidak pernah berniat begitu. Dan insyaallah, saya cuma akan berkongsi dan bercerita yang baik-baik sahaja.


Sukar sebenarnya saya mengekang minat saya dalam penulisan ini. Dan sudah takdirnya, minat ini hanya menjadi sekadar minat dan hobi, bukan kerjaya. Sudah tertulis begitu. Akan datang (kalau panjang umur), hanya dibawah pengetahuan-Nya. Saya cuma ingin meneruskan minat ini, di sini (atau di mana-mana, mungkin). Semoga saya terus istiqamah, dalam segala perkara-perkara yang baik, yang mendekatkan saya kepada-Nya. Amin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...