Iklan

Mar 11, 2012

Maafkan Saya.

Bismillahirrahmanirrahim...


Saya keseorangan di pejabat hari ini. Hujan sedari awal pagi, hanya sekejap-sekejap berhenti. Budak meja sebelah menghantar pesanan ringkas memaklumkan ketidakhadiran dia ke pejabat kerana menghadiri jemputan kenduri. Ok, tak apa. Kawan meja hadapan, tidak muncul-muncul. 9.30 pagi. Tiada. 10.00. Senyap. 10.15 pagi. Tak boleh jadi ni. Nak call takut mengganggu, jadi akhirnya saya menghantar pesanan ringkas, bertanya adakah dia bercuti. Lama, tiada balasan. Saya mula bosan. Perut juga lapar sebab awal pagi tadi sebelum ke pejabat, saya hanya mengalas perut dengan biskut empat segi dicicah milo.


Kerja yang bertimbun minggu sudah, kebanyakannya sudah selesai. Minggu ini sudah tidak ada kerja yang perlu diselesaikan segera. Dokumen-dokumen yang perlu disiapkan pula memerlukan beberapa maklumat pihak lain, dan ianya memakan masa. Perut mula menyanyi. Dan saya akhirnya membuat keputusan, turun ke 7E di bawah, membeli roti. Hujan masih turun, sesekali agak lebat. Kawan meja depan call akhirnya, beritahu tak dapat datang kerana hujan. Keretanya masih belum siap (dibaiki) dan kereta ayahnya digunakan pula oleh tuan punya hari ini. Mana mungkin dia menunggang motor jauh-jauh begitu dalam hujan! Tak apa, dah tahu aku tak adalah tertunggu-tunggu. Nampaknya memang keseoranganlah aku hari ini.


Tak apa. 'Jangan mengeluh. Berdoalah.' Saya layan sungguh-sungguh ceramah Ustaz Kazim Elias. Minggu lepas dah dengar yang ini, kawan meja depan yang pasangkan dikomputernya. Tapi dengar gitu-gitu sahaja, sambil buat apa ntah, saya lupa. Hari ini dengar betul-betul sebab nak ambil isinya.


Nampaknya saya masih belum menunaikan beberapa hasrat saya. Tertangguh sudah sebulan. Benda yang baik, patutnya tidak bertangguh dari awal. Sekarang, sudah berkira-kira pula perlu teruskan ataupun tidak. Sedangkan esok lusa, belum tahu masih dipinjamkan nyawa ini atau tidak.


Saya nak minta maaf dari semua, yang mengenali saya. Kalau ada salah silap saya, yang tidak saya sedari. Itu ayat ringkas, mudah difahami. Moga dimaafkan saya. Harapnya tulisan saya terdahulu, tidak pernah menyinggung hati sesiapa, menggores perasaan serta menimbulkan amarah. Harapnya juga, selepas ini tulisan-tulisan saya disini tidak mengutuk sesiapa, mengata sesiapa, menyinggung dan menggores perasaan. Saya tidak pernah berniat begitu. Dan insyaallah, saya cuma akan berkongsi dan bercerita yang baik-baik sahaja.


Sukar sebenarnya saya mengekang minat saya dalam penulisan ini. Dan sudah takdirnya, minat ini hanya menjadi sekadar minat dan hobi, bukan kerjaya. Sudah tertulis begitu. Akan datang (kalau panjang umur), hanya dibawah pengetahuan-Nya. Saya cuma ingin meneruskan minat ini, di sini (atau di mana-mana, mungkin). Semoga saya terus istiqamah, dalam segala perkara-perkara yang baik, yang mendekatkan saya kepada-Nya. Amin.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...