Iklan

Mar 14, 2012

Penunjuk Mengaji Quran

Bismillahirrahmanirrahim...


Dulu-dulu zaman 80-an di kampung saya, belajar mengaji Quran (bermula dari Muqaddam, atau orang kampung panggil, surah kecil) adalah suatu amalan wajib bagi setiap budak. Dan di kampung saya ada seorang tok guru (kami panggil tok) yang sangat terkenal sehinggakan yang datang mengaji di rumahnya memang ramai sungguh. Bukan budak-budak sahaja, malah remaja (yang dah naik tingkatan dan belum tamat mengaji) juga turut dihantar mengaji dengan tok. Dan mereka pula bukan terhad dari kampung saya, tapi dari kampung-kampung berdekatan. Penuh basikal di halaman rumah tok setiap petang hari sekolah dan pagi hari Sabtu. Jumaat, tok cuti. :)


Tok sudah meninggal dunia. Al-fatihah buat tok. Masa tu tok sudah pencen mengajar mengaji kerana sakit-sakit tua. Dan saya menyambung mengaji surah besar (baru naik Quran masa tu) dengan Ayah Cik. Masa tu saya sekitar darjah 3 rasanya. Saya habis mengaji dengan Ayah Cik selepas tiga kali tamat Quran, masa nak naik tingkatan satu.


Sesuatu yang ingin dikongsikan dengan semua di sini ialah, penunjuk yang digunakan untuk menunjuk bacaan Quran. Kalau zaman sekarang saya lihat ramai budak-budak hanya menunjuk dengan jari atau lidi, kami suatu ketika dulu kreatif dalam hal itu. Penunjuk yang kami gunakan adalah dibuat sendiri dengan buluh, diraut dan diukir secantiknya tempat pemegang dan digosok licin dengan daun mempelas yang kasar. Biasanya waktu menunggu Tok atau Ayah Cik turun mengajar, kami akan asyik menggosok penunjuk yang baru dengan daun mempelas yang dipetik di tepi-tepi semak. Ya.. orang dulu lebih berdisiplin dan sangat menghormati orang tua. Kami kena awal dari tok guru atau cikgu, malah tidak berani berbuat bising kalau ada mereka. Dan biasanya, datang awal memberi banyak keberuntungan pada kami. Kami akan dapat bermain-main dulu, menggosok penunjuk dengan daun mempelas, atau menenyek gambar pada plastik yang digunakan untuk membawa Quran supaya hilang gambar, dengan hujung penunjuk.





Kalau saya pula, suka sungguh saya kalau bab-bab meraut buluh atau apa sahaja dengan pisau mesin (pisau 10 sen) yang tajam. Pensil-pensil saya dulu-dulu, termasuk pensil warna, mana ada diasah dengan penggorek (sharpener), mesti ditajamkan dengan pisau mesin. Maka, baru-baru ini, ketika terjumpa buluh pencucuk sate yang besar, saya rautkan cantik-cantik untuk dijadikan penunjuk. Biasanya Aisya gunakan buluh itu sahaja sebagai penunjuk bacaan Quran. Tapi saya selalu bimbang dengan buluh yang tajam itu! Untuk cari buluh sekarang, saya sudah tidak berani ke padang yang jarang dijenguk orang itu. Buluh pencucuk sate pun jadilah.




Saya raut buluh itu menjadi nipis hingga boleh dilenturkan. Hujung penunjuk di runcingkan, dan bahagian pemegang di ukir sedikit. Daun mempelas, malas nak cari, jadi saya gosok-gosok sahaja penunjuk yang sedia tidak berselumbar itu dengan kain cukuplah. Dah siap. Sekarang, penunjuk itulah yang terselit dalam Quran yang Aisya gunakan. :)



Link
Ini lah daun mempelas yang pernah saya gunakan dulu. Memang kasar macam kertas pasir daun ni.
Gambar dari sini.


Nota kaki 1 : Quran yang saya gunakan bertahun ketika mengaji 'surah besar' adalah yang digunakan kakak bertahun sebelum dia duduk di asrama, termasuk penunjuknya sekali. Ketika itu, Quran itu sudah tiada kulitnya, tapi Alhamdulillah, isinya masih elok dan tiada yang koyak. Penunjuk itu patah ketika saya sudah darjah 6 rasanya, sebab seingat saya sekejap sahaja saya menggunakan penunjuk baru. Walaupun saya suka meraut buluh membuat penunjuk Quran, tetapi yang lama itu tetap menjadi pilihan. Biasanya saya buat dan beri sahaja kepada kawan-kawan.

2 comments:

  1. Terkenang semasa mengaji dulu. Saya menggunakan bulu landak yang tajam tu sebagai penunjuk.

    ReplyDelete
  2. Saya baru buat penunjuk nie untuk anak saya. terjumpa buluh tua tapi masih boleh diguna. Bila di raut dengan pisau dan di polish dengan sand paper, jadi licin. Budak2 sekarang dah tak DIY macam kita dulu2.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...