Iklan

Mar 7, 2012

Kamus Bahasa Terengganu Hari Ini

Bismillahirrahmanirrahim...


Hari tu, dalam kereta ketika bersama emak dan Busu dari mana ntah, mak ada menyebut perkataan 'romang'. Dan aku macam ingat-ingat lupa apakah maksud romang itu. Perkataan itu sudah jarang digunakan dalam percakapan harian orang Terengganu (hampir semua) sebab sekarang romang sudah jarang dijumpai di mana-mana. Oleh itu, perkataan itu seakan sudah pupus. Busu yang lahir awal 80-an pun kurang arif, apalagi budak-budak sekarang, rasanya langsung tidak tahu romang tu apa.


Ayat mak pada hari itu ialah lebih kurang begini, 'ishh.. rambut dia tu macam romang!', merujuk kepada penunggang motosikal. Kalau tak silap aku ketika itu kami berhenti di lampu isyarat simpang ke Kg. Atas Tol, kampung isteri Ally Iskandar tu.


Romang wujud pada zaman dahulu, ketika aku kecil sekitar tahun 70-an sehingga 80-an. Zaman di mana mesin padi belum sampai ke kampung kami. Ada dua cara meleraikan padi dari tangkainya. Satu, pokok padi dipotong lebih kurang sejengkal dari tanah, dan dibanting atas tong khas untuk meleraikan padi (proses dipanggil memukul atau membanting padi). Batang padi yang telah dileraikan padi itulah orang panggil jerami.

Satu cara lagi, iaitu mengetam padi menggunakan ketam padi pula, akan menghasilkan romang. Aku pasti ramai budak-budak sekarang sudah tidak kenal apa itu ketam padi. Padi akan di potong di tangkainya menggunakan ketam itu, dikumpul banyak-banyak kemudiannya ditenyeh-tenyeh menggunakan kaki atas pangkin khas yang lantainya berlubang. Dibawah pangkin, tikar dibentang untuk mengumpul padi yang jatuh. Tangkai padi yang tertinggal di atas pangkin itulah romang. Hahaha... yer, memang sekarang aku sendiri rasa pelat lidah nak sebut romang. Tapi dulu, romang tu bagus sungguh dijadikan umpan untuk membakar sampah. Cepat menyala, macam jerami juga.

Nah gambar, aku kena google sebab dulu-dulu masa aku kecil lompat-lompat atas jerami dan romang, mana ada kamera!


Ini tangkai padi, tanpa padi itu, ia dipanggil romang oleh orang kampung aku. Yang ditangan itulah orang panggil ketam. Digunakan untuk memotong tangkai padi. Cara memegang dan menggunakannya hanya orang yang mahir sahaja pandai. Aku sendiri kurang mahir, walaupun masa kecil dulu pernah tolong mak mengetam padi.





Ini tong yang digunakan untuk memukul padi. Batang padi yang padinya telah relai itulah jerami. Tong yang ayah guna dulupun lebih kurang beginilah. Guni atau kadangkala orang gunakan kain yang menutup keliling tong itu adalah untuk mengelakkan padi daripada terpercik keluar tong bila dipukul.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...