Iklan

Apr 16, 2012

Puding Susu Dengan Buah Naga



Bismillahirrahmanirrahim...


Alhamdulillah... lega dapat tengok blogger interface yang lama semula. Baru-baru ini, entah macam mana boleh pergi cuba updated blogger interface. Mana tahu lebih baik daripada yang sedia ada. Tapi agak mengecewakan, pada pendapat saya, ianya tidak mesra pengguna. Atau mungkin juga sebab dah biasa dengan yang lama, dan susah hendak menerima pembaharuan. Macam dalam hidup ini juga...


Dah lama sungguh tidak membuat kek. Keinginan ada, tapi tidak cukup menguatkan semangat. Susu segar yang dikeluarkan dari peti ais, boleh dimasukkan semula selepas beberapa jam. Betapa. Sedangkan baru-baru ini hampir sekotak susu segar sudah pun terbuang sia-sia. Akibat masam selepas lama tidak dipedulikan. Ada pula susu cair yang sudah ditebuk (buat nasi minyak), digunakan separuh tin sahaja dan separuh lagi sekiranya terbiar lebih lama akan turut bergabung melayan ke tong sampah. (Sudah acap kali juga perkara ini berlaku).


Pokoknya kalau berbuat apa-apa (makanan) di rumah, memang tidak perlu berbuat banyak-banyak. Ayah kurang makan nasi-nasi yang dimasak pelbagai rupa dan rasa, ayah lebih suka nasi putih sahaja (di pagi raya ayah terpaksa makan juga sebab nasi putih tidak dimasak, kecuali nasi sejuk semalamnya). Emak tidak makan ayam dan daging, dan ikan pula hanya ikan-ikan biasa. Hanya saya, Aisya dan cik (adik lelaki saya) yang tolak batu dengan kayu sahaja. Hahaha...


Supaya tidak berlaku lebih banyak pembaziran, dikuatkan semangat malam tadi. Lewat petang sebelum maghrib, dikeluarkan susu cair dari fridge. Dan selepas makan malam sekitar jam 9 malam, diletakkan periuk atas dapur gas. Serbuk agar-agar dalam bekas plastik peraknya yang bergulung dan berikat dengan getah dicapai dan terus dimasukkan ke dalam periuk. Saya tidak langsung meneliti serbuk agar-agar itu kerana saya ingatkan itu adalah baki serbuk agar-agar tanpa kaler yang saya gunakan beberapa hari yang lalu (saya buat puding susu coklat 1 malaysia - ada 2 kotak yang Aisya takut sakit perut kalau meminumnya). Biasanya untuk satu paket serbuk agar-agar jenama Nona (10g kot), saya boleh buat dua kali.

Kemudiannya saya terus masukkan air. Dan berlakulah sesuatu yang agak mengejutkan tetapi masih dibawah kawalan. Hehe... Warna hijau! Rupa-rupanya serbuk agar-agar tu ada pewarna hijau. Saya telah terambil baki serbuk agar-agar yang lama dulu. Memang saya selalu pastikan stok bahan-bahan untuk buat kuih sentiasa ada. Emak dan Aisya sudahpun memotong buah naga merah. Alaa.. tak perlah, hijau campur susu, mungkin tidak berapa hijau kot. Saya masukkan gula secukupnya, susu cair, dan 2 sudu besar tepung jagung (dicampurkan dengan susu cair terlebih dahulu supaya tidak berketul). Masak sehingga sedang elok pekatnya, tutup api dan angkat.


Dalam bekas yang sudah diletakkan dalam peti ais dahulu supaya, kata orang puding cepat mengeras, saya susun-susunkan potongan buah naga. Dan saya tuangkan adunan puding yang sudah saya biarkan suam terlebih dahulu. Boleh 2 bekas, saya letak dalam peti ais.



Pagi tadi, breakfast saya siap ada pencuci mulut. Hahaha.. Selepas dihabis sebekas kecil polisterin nasi goreng yang ayah beli di kedai, saya rasa puding semalam. Sedapnya.. Kata saya pada mak, cair di mulut la mak. Hahaha.. Tak keras sangat, dan saya suka puding yang lembut begitu. Jarang saya buat puding jadi selembut itu.

Hasilnya.. inilah.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...