Iklan

May 27, 2014

Kalaulah Ianya Bukan SPAM


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...
 
 

Buka-buka jer email hari ini
tengok ini
kat SPAM box
Tesco bagi 200,000.00
Firefly tawar 110,000.00
dalam ringgit malaysia
belum lagi campur
mat saleh sesat mana ntah
tawar business deal
46 juta usd
kaya gila aku jadinya
fanbox mana ntah.. yang aku tak pernah masuk
duk bagi duit juga
beratus usd la juga
kalau ianya bukan penipuan
aku tak dapat nak bayangkan
sebab aku tak pernah berangan
sampai tahap kaya juta-juta
entah apa aku nak buat
dengan duit juta-juta itu

May 26, 2014

Antara Sebab-Sebab Perut Jadi Buncit

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Ini adalah hipotesis sendiri, di atas pengalaman dan perhatian ke atas diri sendiri dan hasil borak-borak dengan kawan-kawan. Orang perempuan mana yang suka perut buncit? Memang tak ada, tapi kalau dah pernah mengandung dan bersalin, memang susah nak elak. Sesetengah orang yang jenis tinggi, memang beruntunglah, kan. Tak nampak sangat tang perut yang menggeleber atau buncit. Kalau yang agak rendah macam aku, sakit jugak pinggang ini menahan jerutan pinggang kain baju kurung. Biasanya lepas tengahari, kancing kain terpaksa dibuka. Hahaha....


Ini entri motivasi untuk diri sendiri. Sebab aku selalu merasakan, daripada aku terpaksa membeli banyak baju lain, atau menempah baju lain, disebabkan baju yang sediada sudah ketat-ketat (as for me, part yang paling aku mudah rasa berisi adalah pinggang), yang mana semestinya melibatkan 'duit-duit di mana kau duuuittt!', lebih baik aku cuba ubah diri sendiri dulu. Yakni, kecilkan tubuh sehingga kembali selesa dengan baju sedia ada.


Tapi, sebelum kita bertindak, adalah penting untuk kita tahu root cause. Cehhh... nak kurus pun, kena pakai teori yang aku ingat masa belajar human resource management dulu. Hehe.. Tahu punca atau penyebab ni penting sebenarnya, supaya penyelesaian lebih berkesan. Betul tak? Kalau bersenam atau sebut saja nak kurus atau diet, tapi masih amal makan nasi bertambah-tambah, apa guna yer dok? Ok, lets check it out!


1. Tidak mengambil sarapan pagi
Semua orang tahu, sarapan pagi itu penting. Bukan sahaja sebagai pembekal tenaga untuk memulakan, paling mustahak dapat elak makan banyak waktu lunch!


2. Makan banyak waktu lunch
Dah lapar kan, pergi pula kat kedai makai yang lauknya ada macam-macam. Biasa makan nasi separuh, tak kisah dah orang letak nasi penuh. Makan pula licin sepinggan. Kenyangnya, alhamdulillah.

Aku tahu, orang yang kenal aku akan cakap begini, 'alaa... sepinggan mu tu banyak mana la sangat!'. Hahaha.. Ya la, nak isi penuh pun, kena la tengok tempayannya besar mana kan.

Err.. dah panas-panas tu, sedap la pula order air milo ais! Kena pula milo ais kat Restoran Norazila Kuala Ibai tu seringgit jer. Hari-hari la nak order air tu.


3.  Minum air berais
Hahaha... mungkin tak ramai yang setuju dengan penyebab perut buncit yang ini. Tapi like people say, siapa yang makan cili, dialah yang rasa pedasnya.

Aku jarang minum air berais sebab selalunya aku susah nak menghabiskan segelas air berais sebenarnya. Aku rasa mulut dan tekak aku tak tahan sejuk, sama macam tangan aku yang sakit gila bila kena tahan sejuk pegang air batu untuk diketuk. Malah aku pernah diserang sakit perut akibat kembung apabila minum air milo ais.

Sejak akhir-akhir ini, cuaca panas sangat. Perpeluhan adalah ditahap yang hampir macam panjat Bukit Besar kat Pasir Panjang, turun naik dua tiga kali, walaupun cuma duduk di rumah yang tiada penghawa dingin dan kipas berpusing hampir dua puluh empat jam. Maka, air oren sunquick sejuk adalah pilihan terbaik. Hahahaha... Takpun, air masak pun tak apa dah, tapi yang dari peti sejuk la.


4.  Banyak duduk membongkok dengan perut tidak dikawal
Kerjanya mengadap komputer, memang la duduk atas kerusi. Lepas makan lunch yang terlebih bagi kenyang tu, balik pejabat, terus duduk tak bangun-bangun. Tambah-tambah kalau boss tak panggil mengadap, mesin printer dekat tepi meja, almari fail sebelah tu ajer. Solat? Kalau boleh nak dijamakkan dengan asar, punya la lewat. Hishh!


5. Jarang bernafas dengan teknik yang betul
Cuba kita sedar diri sikit, perhatikan cara kita bernafas. Jarang sangat kita kawal pernafasan kita ni, kecuali masa bersenam, juga masa hidup tersumbat. Masa mula-mula nak kena bersenam, tarik nafas, hembus nafas. Kita buat la kan. Tapi masa buat sit-up ke, crunch ke, jumping jack ke, dah tak ingat dah kita cara-cara bernafas dengan betul.

Teknik bernafas dengan betul ini sebenarnya banyak faedahnya. Cuba google. Antara yang aku suka dan baru sedar, kita sebenarnya mengawal pernafasan masa baca Quran. (sumber).


6. Makan malam lewat dan lepas makan terus baring atau tidur.
Ini adalah sangat mengundang kepada kebuncitan perut dan gemuk!


7. Faktor usia, of course la kan.
Hehe.. yang ini memang faktor penting. Usia bertambah bersamaan dengan metabolisma makin berkurangan. Bila metabolisma berkurangan, engkau buatlah apapun, memang susah nak kurus balik. Kecuali engkau betul-betul konsisten. Itu pun hasilnya tetap ambil masa yang lebih lama berbanding dengan orang yang usianya muda belia. Maka sentiasa kena set in mind, prevent is better than cure.


Itu antara sebab-sebab perut mudah buncit, yang selalu membawa kepada kegemukan. Mungkin bagi orang lain, lain pula penyebab mereka. Tubuh masing-masing, sendiri tahu la bukan. Yang paling penting pada aku, untuk kurus atau kempiskan perut ke apa ke, kita kena tahu apa yang masuk (makan), dan apa yang kena kawal (pergerakan). Barulah apa sahaja yang kita usahakan, lebih memberi kesan.


Ini tidak, petang-petang duk terlompat buat jumping jack la, crunch la. Tapi pukul 9.30 malam baru nak makan nasi. Ko dah kenapa!

Kemalangan

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...

Kejadian berlaku hari Khamis 15hb. May yang lalu. Kena tulis tarikh untuk rekod peribadi (huh... peribadi la sangat kalau dah tulis kat blog ni.. hahaha). Hari khamis dan rabu tu aku cuti sebenarnya. Saja la, nak sambung cuti hari wesak yang jatuh pada hari selasa. Kebetulan cuti banyak lagi dan hari rabu pula kena hantar dan temankan mak ke klinik kesihatan untuk rutin check-up dia. Alang-alang tinggal khamis sehari dicelah tu sebelum hujung minggu, aku sambung cuti terus.


Alkisahnya, aku ni jenis yang ada waktu-waktunya memandu di bawah kawalan minda bawah sedar. Aku rasa begitulah. Kenapa aku berkata demikian ialah kerana ada ketika aku sedar-sedar sahaja, aku dah sampai ke destinasi. Dan selalunya bila begitu aku terfikir semula, 'traffic light semua hijau ke tadi?' sebab aku tak sedar aku berhenti, atau 'eh, bila masa aku lalu kat jambatan itu, rumah orang tu, atau kampung itu?'. Situasi itu biasanya berlaku kalau aku berangan, berfikir entah apa-apa, atau berborak sakan dengan orang disebelah. Walaupun begitu, alhamdulillah... tak pernah berlaku kejadian yang tidak diingini. Ianya macam sebab dah biasa sangat memandu dilaluan yang sama, maka automatik kat selekoh jari tekan signal atau kat traffic light lampu merah kaki tekan berak.


Tapi langit tidak selalunya cerah. Kekadang mendung berarak lalu. Adakalanya kilat sabung menyabung. Dan hujan pun menderu-deru!


Sebenarnya aku dah biasa sangat dengan cara memandu orang-orang di sekitar kampung aku. Budak-budak sekolah menengah yang memandu laju atau bersaing sebelah menyebelah di jalanraya macam jalanraya mak bapak diaorang yang punya. Pak-pak haji yang berkopiah atau berambut putih seluruhnya memandu dengan kelajuan sebuah basikal (err... kekadang basikal pun lebih laju!). Di simpang-simpang jalan signal tidak diberikan nak masuk simpang, padahal dah nampak kita nak keluar simpang dan tunggu dia kot-kot dia nak pergi straight! Membonceng motor dengan kedua-dua belah kaki diletak disebelah, ala-ala ayu gitu. Dan macam-macam lagi cara memandu yang tak ikut undang-undang.

Tapi aku tak kata semua orang, dan kadang-kadang aku juga begitu. Nampak polis atau jpj jer, baru kelam kabut tarik seat belt. Tak macam mula-mula duduk kampung dulu, nak pergi rumah penghulu kat ceruk kampung sebelah, malam pulak tu, pun aku pergi tarik seat belt! Arwah pak saudara aku pun tercengang tengok aku. Tapi maafkan aku yang naif, masa tu dah terbiasa perlakuan baik begitu.. start kereta jer terus zaapp tarik seat belt. Hahahaha...


Berbalik pada cerita kemalangan, aku on the way balik dari pasar pada hari itu, dengan mak dibelakang, dan Aisya dengan baby disebelah. Biasanya setakat nak ke pasar yang jaraknya sepelaung jer itu, aku lebih suka pakai kancil. Mudah nak pusing, parkir, u-turn ke apa ke kan. Tapi masa nak pergi tu, baby mengamuk nak naik si blacky yang tebal bersalut debu. Mujur juga dia tak mengamuk nak naik kereta baru mamanya, kalau tak lagi parah la jawabnya. Aku riuh duk bersembang apa ntah dengan mak, dan terlupa nak bagi signal nak masuk lorong ke rumah aku. Salah aku disitu. Tapi sebagai pertahanan diri, aku boleh jer kata, aku tak bawa laju pun, dah brek sebab nak masuk simpang, dan, dah masuk simpang pun masa tu, apabila sebuah motor kuat bunyinya terlanggar pintu depan sebelah kiri aku (sebelah penumpang). Dia nak memotong dan dia sepatutnya potong ikut kanan! Again.. defence! :P


Aku cepat-cepat keluar dari kereta dan tengok budak yang tercampak itu. Motor terbalik, air tumpah, dan side mirror patah. Budak sekolah! Dan dia perempuan! Ya Allah... aku rasa sangat bersalah, dan cepat-cepat minta maaf. Nak tolong angkat, tapi budak tu cepat-cepat bangun, dan berkata 'Kenapa tak bagi signal!'. Apa yang boleh aku kata, memang salah aku. Minta maaf jer la. Tapi yang jadi lebih dramatik, tak lama lepas tu mak budak tu datang dan marah-marah. Marah dalam erti kata suruh bayar atas kerosakan motor itu. Mujur sangat suami sepupu aku ada sekitar itu waktu tu, dialah yang terangkan balik kat mak budak tu. Mengingatkan satu-satu kesalahan budak tu. Sama-sama salah, sama-sama tanggung. Jangan marah-marah. Aku cakap baik-baik kat mak budak tu, aku boleh jer bayar kos baiki motor dia tu. 'Tapi kakak bayar la kereta saya yang kemik tu!' Terdiam juga la kakak tu. Dan dia balik selepas kami bermaaf-maafan macam hari raya, tapi dengan muka tak puas hati. Aku syak budak tu tengah minum air masa dia bawa motor tu. Sebab memang aku ingat, dia cepat-cepat angkat bekas air dia dan buang sebaik berlaku perlanggaran tu. Bekas air tumpah pun ada, yang mak dia kata bekas minyak bocor.


Lepas peristiwa tu, aku dah rasa ada sedikit gangguan perasaan setiap kali memandu. Takut sungguh aku dengan motor-motor yang tidak tentu hala kat kampung-kampung ini. Ianya sungguh-sungguh mengajar aku supaya lebih prihatin dengan keadaan sekeliling ketika memandu. Sebab walaupun kita tak langgar orang undang-undang, mungkin orang yang langgar undang-undang yang langgar kita! Malang kan tak berbau. Dah la kereta aku kalau dah kemik aku malas nak gi hantar ketuk!





May 8, 2014

Kisah Jambu Golok yang bukan di Golok..


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...



Jambu golok, itu kami orang-orang Terengganu panggil untuk buah yang satu ini. Bahasa standardnya, buah gajus, atau orang Kelantan pula panggil buah 'tere. Tumbuhnya ditepi pagar rumah, dah lama sebenarnya. Berselirat dahannya sehingga habis tempat sidaian baju menjadi teduh. Memang selalunya kami suka petik pucuknya untuk dibuat ulam. Tapi semenjak pokoknya dah besar begini, pucuknya dah jarang dipetik. Maka berbunga lebatlah ia setiap kali tiba musim.


Sekarang di sini, musim jambu golok masak. Setiap pagi dan petang, memang kena kutip. Kalau tidak luruh begitu sahaja akibat terlebih masak. Sayang sungguh! Masa awal-awal jambu golok masak, harga sebakul kecil yang mengandungi 5-6 biji jambu golok yang besar-besar, dua ringgit. Mahal wey! Tak padan untuk sekali dimasak lemak. Tapi sekarang, bila hampir semua pokok jambu golok berbuah, peniaga di pasar pun pandang sebelah mata jer. Berlambak-lambak dah. Kata seorang kawan, sekarang dalam sebakul yang berharga dua ringgit, dah ada 9 - 10 biji jambu golok yang besar-besar.


Yang ditepi pagar rumah ni, pokoknya tumbuh sendiri. Selalunya begitulah pokok jambu golok. Kalau diambil anaknya, yang tumbuh daripada bijinya yang jatuh di bawah pokok, susah nak hidup kata mak. Ayah dah pernah buat dulu, itu yang yakin jer mak suruh kakak ipar semai sendiri pokok ni daripada biji yang bertaburan di bawah pokok. Biasanya juga aku tengok dekat tanah kebun di belakang rumah milik jiran-jiran, pokok-pokok jambu golok yang ada semuanya adalah yang tumbuh sendiri.


Haa.. ada kisah dongeng juga tentang pokok jambu golok ini. Tak pernah aku tengok pokok jambu golok yang tegaknya batang lurus sahaja ke atas. Mesti bengkok-bengkok batangnya. Ayah aku, suka sangatlah bagi teka teki ni kat kitaorang. Sebab apa pokok jambu golok bengkok-bengkok? Di sinilah kisah dongengnya timbul. Kononnya suatu ketika dahulu, ada seorang lelaki dikejar babi hutan. Dia lari punya lari, dan sembunyi belakang pokok jambu golok. Kata ayah, babi hutan tak boleh membelok. Maka terlanggarlah ia akan pokok itu. Sebab itulah sampai sekarang tak ada batang pokok jambu golok yang lurus, mesti bengkok-bengkok juga walaupun sedikit. Hahahaha....


Jambu golok, selain pucuknya yang biasa dibuat ulam dan bijinya dibakar jadi kacang gajus, mak dan tokwan suka sangat buat ulam buah itu sendiri yang dah masak ranum. Di potong-potong dan di cicah sambal belacan. Kelatnya, aku memang tak sanggup la nak makan. Tapi memang takkan ditolak kalau di buat masak lemak atau di masak singgang dengan sotong. Malah bertambah-tambah nasi aku makan. Ada dua cara mak masak lemak jambu bolok. Satu, buah tu dicincang-cincang, direbus dan diperah. Baruh dimasak macam biasa dengan santan. Cara yang kedua, buah tu dipotong-potong, direbus dan kemudian dimasak lemak dengan sotong.


Makan pula dengan nasi panas-panas, sambal belacan dan ikan goreng garing. Fuhhh... tak menahan betul. Maka berpuasalah aku hari ini sebab terasa dua tiga hari kebelakangan ini aku makan banyak. :)









May 6, 2014

Hidup itu tidak pernah pasti, tapi mati itu pasti

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Semalam seorang lagi makcik di kampung meninggal dunia, selepas seminggu seorang pakcik yang bau-bau bacang dengan aku dijemput dulu oleh-Nya. Arwah makcik itu aku panggil Mokde Teh, mak kepada kawan sekolah aku di sekolah rendah. Tinggal di seberang jalan sana, dekat dengan surau. Dia antara orang kampung yang terawal membuka kedai runcit suatu ketika dahulu. Seingat aku, sekitar 80-an hanya ada dua kedai runcit di kampung aku. Satu kedai Mokde Teh, dan satu lagi kedai Pok Doloh. Aku biasa ke kedai Mokde Teh sebab kedai tu lebih dekat dengan rumah aku.


Arwah meninggal selepas seminggu di serang strok. Hari pertama dia di rumah selepas keluar dari hospital, mak dengan mokteh depan rumah pergi melawat. Kata mak, arwah tak boleh bergerak langsung. Mata pun tak boleh buka. Tapi air mata dia meleleh keluar bila mak dan mokteh meminta maaf kalau ada salah silap. Mengingatkan itu, aku rasa terkilan pula tak pergi melawat arwah ketika hayatnya masih ada. Mak pergi tu, masa aku masih di pejabat, pada hari bekerja. Nak pergi sendiri, aku segan. Selalunya aku ikut juga mak melawat pakcik makcik yang seangkatan dengannya, apabila dengar diaorang sakit. Lebih-lebih lagi orang yang aku kenal.


Sekitar 80-an dulu, anak kepada tauke kedai runcit adalah dianggap anak orang kaya. Dan selalunya, aku yang pemalu ini, memang bertambah-tambahlah segannya dengan orang kaya. Kawan aku itu pula satu-satunya anak perempuan arwah, jadi pergaulan dan pergerakan dia agak dikawal sedikit. Seingat aku dia bukanlah antara kawan-kawan zaman kecil yang setiap petang bermain galah panjang atau pukul berapa datuk harimau, di sekitar rumah kami yang sentiasa menjadi tumpuan. Bagaimanapun kami masih berkawan seperti biasa di sekolah kerana kami sekelas dari darjah satu hingga darjah enam. Dia cantik orang, berhidung mancung dan cerah kulitnya, mengikut arwah Mokde Teh.


Semoga Mokde Teh tenang di alam sana. Al-fatihah.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...