Iklan

May 6, 2014

Hidup itu tidak pernah pasti, tapi mati itu pasti

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Semalam seorang lagi makcik di kampung meninggal dunia, selepas seminggu seorang pakcik yang bau-bau bacang dengan aku dijemput dulu oleh-Nya. Arwah makcik itu aku panggil Mokde Teh, mak kepada kawan sekolah aku di sekolah rendah. Tinggal di seberang jalan sana, dekat dengan surau. Dia antara orang kampung yang terawal membuka kedai runcit suatu ketika dahulu. Seingat aku, sekitar 80-an hanya ada dua kedai runcit di kampung aku. Satu kedai Mokde Teh, dan satu lagi kedai Pok Doloh. Aku biasa ke kedai Mokde Teh sebab kedai tu lebih dekat dengan rumah aku.


Arwah meninggal selepas seminggu di serang strok. Hari pertama dia di rumah selepas keluar dari hospital, mak dengan mokteh depan rumah pergi melawat. Kata mak, arwah tak boleh bergerak langsung. Mata pun tak boleh buka. Tapi air mata dia meleleh keluar bila mak dan mokteh meminta maaf kalau ada salah silap. Mengingatkan itu, aku rasa terkilan pula tak pergi melawat arwah ketika hayatnya masih ada. Mak pergi tu, masa aku masih di pejabat, pada hari bekerja. Nak pergi sendiri, aku segan. Selalunya aku ikut juga mak melawat pakcik makcik yang seangkatan dengannya, apabila dengar diaorang sakit. Lebih-lebih lagi orang yang aku kenal.


Sekitar 80-an dulu, anak kepada tauke kedai runcit adalah dianggap anak orang kaya. Dan selalunya, aku yang pemalu ini, memang bertambah-tambahlah segannya dengan orang kaya. Kawan aku itu pula satu-satunya anak perempuan arwah, jadi pergaulan dan pergerakan dia agak dikawal sedikit. Seingat aku dia bukanlah antara kawan-kawan zaman kecil yang setiap petang bermain galah panjang atau pukul berapa datuk harimau, di sekitar rumah kami yang sentiasa menjadi tumpuan. Bagaimanapun kami masih berkawan seperti biasa di sekolah kerana kami sekelas dari darjah satu hingga darjah enam. Dia cantik orang, berhidung mancung dan cerah kulitnya, mengikut arwah Mokde Teh.


Semoga Mokde Teh tenang di alam sana. Al-fatihah.


3 comments:

  1. Salam takziah.

    Semenjak arwah bapa saya meninggal awal Mac lalu, hampir setiap minggu saya mendapat berita orang meninggal yang sama ada saudara atau kenalan rapat. Makin buat hati sayu.

    Nyatanya, mati itu pasti. Tak kira yang muda apatah lagi yg sudah tua.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kat kg pun begitu.. selepas seorang meninggal, mesti akan ada berturut-turut yg lain turut di jemput..

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...