Bismillahirrahmanirrahim...
Motor. Kalau disini, terengganu, motosikal dipanggil dengan panggilan motor jer. Di sini juga, budak-budak sekolah (sekolah menengah), dah ramai yang bermotor ke sekolah zaman sekarang. Muda-muda lagi dah diajar membawa motor (sejak sekolah rendah) dan bila besar sedikit dimanjakan dengan diberikan motor sendiri.
Ok. Aku bukan hendak bercerita tentang motor. Aku hendak bercerita tentang orang yang membawa motor.
Ceritanya begini.
Ketika itu aku dalam perjalanan ke tempat kerja. Pagi, sekitar jam 8. Aku sudah lupa ketika itu aku bersendirian ataupun Aisya ada bersama (untuk dihantar ke tadika). Dengan kelajuan sederhana meredah jalan biasa ke pejabat. Di sekitar sebuah kampung, aku terlihat ada sebuah motor yang agak buruk dan ditunggang oleh seseorang yang agak berisi tubuh badannya. Aku agak mungkin lelaki kerana motor itu adalah jenis motor 'sekereng' (jenis-jenis motor RXZ, aku kurang arif tentang jenis-jenis motor ni).
Akan tetapi, bila aku memotong motor yang tidak dibawa laju itu, aku silap! Dia adalah seorang perempuan, dan dihadapannya (di atas tangki motor yang besar dan buruk itu) ada seorang budak kecil. Dengan selamba dia menuju ke destinasinya (mungkin ke tempat kerja, dan budak itu dihantar dulu kemana-mana).
Mungkin bagi sesetengah orang mungkin itu adalah pemandangan biasa. Tetapi, tidak bagi aku. Apa yang aku lihat ialah seorang wanita yang gigih dan sangat kuat barangkali. Kenapa. Kerana dia sanggup membawa motor yang aku pasti buruk itu dan sangat tidak sesuai untuk dibawa oleh seorang wanita. Dan ditambah pula membawa seorang budak kecil dihadapannya. Aku tidak rasa ramai wanita sanggup berbuat seperti apa yang dia lakukan. Banyak benda yang mengatasi. Perasaan malu. Marah juga (kerana mungkin si suami yang sepatutnya berbuat begitu). Dan sekiranya aku berada ditempatnya, adakah aku sanggup berbuat begitu?
Sekarang cuba kita bayangkan sebuah situasi yang memaksa dia berkeadaan begitu. Mungkin dia tidak mempunyai kenderaan lain, dan itu satu-satunya alternatif yang cepat dan mudah, dan juga termampu. Mungkin si suami pergi bekerja dengan van yang mengangkut pekerja. Dan si isteri ini tidak mahu menyusahkan suaminya. Tanpa bersungut, menggunakan alternatif yang ada untuk pergi kerja dan mungkin singgah dahulu dirumah ibu ayahnya atau pengasuh anaknya.
Sedang kita? Ke sana ke mari dengan kenderaan yang beratap ini, masih bersungut tentang minyak petrol yang naik harganya dan tidak terfikir untuk berjimat dengan cara mengurangkan perjalanan. Menghantar anak-anak ke tadika persendirian tetapi masih berkira tentang yuran yang mahal perlu dibayar bulan-bulan.
Dan, masih ada juga yang masih berkira untuk menghantar anak ke program motivasi yang memerlukan perbelanjaan lebih sedikit sedangkan membeli pinggan mangkuk baru, cadar langsir baru, langsung tidak kisah apabila melihat jiran-jiran mula menukar langsir dan set pinggan mangkuk baru.
Aduhai. Nampaknya di kampung-kampung yang cuma dipinggir bandar ini juga masih ada yang berpendirian begitu.
No comments:
Post a Comment