Iklan

Feb 1, 2009

Perampas suami orang sekejamm zionis???

Bismillahirrahmanirrahim...

Topik hari ini dipetik daripada satu ruangan soaljawab atau tanya pakar di dalam myMetro hari ini. Saya tahu semua orang punya pendapat masing-masing tentang topik ini. Apa yang hendak saya tuliskan disini bukan bererti saya menyokong si'perampas' suami orang. Bukan juga bererti saya menyokong kenyataan 'Hamba Allah' yang mengatakan siperampas suami orang itu sekejam zionis. Saya hanya memberikan pendapat saya berdasarkan pengamatan saya daripada sekeliling (worlds around me), pengalaman kawan-kawan, juga diri sendiri.

Yer, saya tahu semuanya bermula daripada masalah 'Puteri Kota'. Dia yang berumur 18 tahun terus terang mengakui menggoda suami kakak angkatnya sendiri. Dia yang pada pendapat saya masih muda remaja, memang terang-terangan menaikkan kemarahan sesiapa sahaja yang membaca luahan masalahnya itu. Apabila bila dia langsung tidak dilayan oleh yang digoda, dia tercari-cari dimana silapnya. Dia juga malah makin mengagumi 'si suami' kerana sikap sisuami itu yang 'kuat iman'. Si Puteri Kota juga berterus terang tentang nafsu seksnya yang sukar dikawal, tentang beronani dan menghantar sms berbaur lucah.

Apa yang saya nampak disini adalah seorang remaja yang bermasalah. Dia mungkin bukan remaja hingusan atau pelajar sekolah, tetapi saya rasa dia berada dipertengahan usia dimana kekeliruan antara kehendak nafsu serta keinginan diri dan pendirian sebagai seorang muslim sedang berperang didalam diri. Saya rasa dia perlu dibantu, dibimbing, bukan dihentam.

Kerana itu saya sangat geram bila membaca maklumbalas sipenulis dan 'Hamba Allah' yang masih bersekolah itu. Penulis terutamanya, pada pendapat saya tidak memberi nasihat yang sepatutnya. Betul semua apa yang sipenulis balas, tapi kenapa perlu disenaraikan kelemahan-kelemahan dia. Satu persatu dihentam. Itu belum lagi sipenulis yang menyokong kenyataan 'Hamba Allah'. Si 'Hamba Allah' itu cuma seorang budak sekolah, yang masih dalam peringkat merangkak untuk mengenal erti hidup. Menggunakan bahasa yang kasar dan sebegitu keras menghentam seorang yang dalam kekeliruan adalah salah dan tidak patut digalakkan.

Yer, saya tahu ramai isteri-isteri yang menyokong kenyataan itu. Semestinya mereka marah sekiranya suami mereka dirampas. Seketika ini, saya teringat kata-kata Dato' Rahim Razali dalam filem 'CINTA', 'Isteri itu bukan hakmilik, tapi anugerah'. Bagaimana kalau perkataan 'isteri' itu ditukar kepada 'suami'? Menjadi tak ayat itu? 'Suami itu bukan hakmilik, tapi anugerah'. Yer, seorang lelaki boleh berkahwin sehingga 4 orang. Islam membenarkan itu.

Saya mempunyai beberapa orang yang masih belum berkahwin pada usia 30-an ataupun akhir 20-an. Yer, ada yang terus terang bercinta dengan suami orang. Yer, ada juga yang sangat mengelak untuk berkawan dengan suami orang. Saya juga kenal baik beberapa orang yang menjadi isteri ke-2 atau ke-3. Tidak, mereka tidak merampas suami orang, mereka cuma berkongsi dan menumpang kasih sayang. Tidak, mereka tidak kejam, malah mereka juga bahagia bersama keluarga besar mereka. Tidak, mereka tidak salah, tetapi sudah jodoh mereka begitu.

Seorang kawan juga pernah bercerita tentang suami orang yang selalu mendekati. Elak punya elak, akhirnya tersangkut juga. Sempat bercinta untuk seketika sebelum hubungan diputuskan atas alasan yang dia tidak sanggup untuk pergi lebih jauh. Maksudnya, dia tidak sanggup untuk menjadi isteri ke-2.

Tiada manusia yang sempurna. Susah juga untuk seseorang itu berterus terang tentang keburukan sendiri. Dan sekiranya ada, bantulah dia. Jangan dihentam kerana kita tidak berada ditempat dia. Kita tidak tahu bagaimana rasanya. Bagaimana perasaannya, dan hatinya. Dan, agaknya bagaimana kalau kita sendiri berada ditempatnya? Lebih baik atau lebih teruk?

Daripada pemerhatian saya, tidak mudah untuk seseorang membuat keputusan menumpang kasih orang atau dalam ertikata yang kasarnya, 'merampas suami orang'. Dan sekiranya seseorang itu kelihatannya mudah mengambil keputusan itu, percayalah, itu betul-betul jodohnya yang sudah ditetapkan Azzawajalla.

Wallahualam. Sesungguhnya kita tidak tahu, sedang Dia lebih mengetahui.

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...