Iklan

Jan 2, 2011

Kurang pakaian, kuranglah kena kemas, kan.

Tapi.. mahu ke hendak mengurangkan pakaian? Sedangkan selalu sahaja terliur-liur menelan air liur supaya tidak meleleh keluar dan nampak tidak senonoh, apabila tengok baju-baju cantik kat internet ni. Itupun sebab tidak banyak masa untuk keluar window shopping ditambah lagi dengan kurangnya kedai-kedai jual baju cantik kat sini. Ataupun mungkin aku yang tak jumpa kot. Senang cerita, 'window shopping' sahaja depan laptop sambil makan hati sebab tak boleh testing, dan terbeli juga sehelai dua, tapi kemudiannya separuh menyesal sebab sehelai sangat suka dan sehelai lagi hanya separuh suka.

Hasilnya, bertambahlah lagi pakaian-pakaian yang perlu dibasuh, dijemur, dilipat dan disimpan dalam gerobok pakaian. Dan makin lama, gerobok terasa semakin mengecil sedangkan aku, besar ni jugak. Dan aku rasa sudah acap kali juga ops nyah dilakukan dalam setahun bagi mengeluarkan dan mensedekahkan baju-baju yang masih elok tetapi tidak lagi dipakai. Keputusannya, sekejap sahaja gerobok ini nampak besar dan kosong. Tidak lama selepas itu, kembali mengecil dan terus mengecil. Macam gerobok mainan dah. Tapi bukan berwarna pink. T__T.

Aku adalah seorang yang suka menggeledah dan menyusun pakaian dalam laci dan almari, tetapi tidak punya banyak masa untuk tujuan tersebut kecuali di hujung minggu. Terlebih-lebih lagi bila dalam lima hari langsung tidak berkesempatan menyusun pakaian-pakaian yang dilipat dengan membiarkan timbunan pakaian berlipat itu di atas katil kosong, bangku kosong dan juga rumah kosong, eh.. opss! Bukan, bukan, tak der rumah kosong yang disini, kecuali rumah kosong yang hampir roboh di sebelah. Jadi, hujung minggu dihabiskan dengan menyusun pakaian-pakaian tersebut ke dalam almari dan laci, di tempat masing-masing.

Sepagi suntuk mengemas pakaian, pun belum siap-siap. Dan bersungut dekat mak, apa ni, belum siap-siap lagi mengemas pakaian ni? Dan mak memberi sedas jawapan tepat di dahi, 'kalau tak nak kemas banyak, jangan beli banyak baju!'.

Tersengih sambil gigit jari.

Err, yang tu kena fikir banyak kali tu mak.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...