Iklan

Oct 31, 2011

Ben Starr Yang Cute



Sungguh, malam tadi rasa macam nak nangis jer tengok Ben Starr kena eliminate. Memang dah tahupun saper juara MasterChef US musim ke-2 ni, dari blog biras yang awal-awal lagi nonton kat YouTube. Geram jugak seposen sebab kat astro tak tayang lagi, dia dah pecah lobang uar-uarkan saper juaranya. Eh.. sesuai ke guna pecah lobang kat ayat tu? Tak per, abaikan..

Dari awal kemunculannya lagi, dia ada tarikan tersendiri. Dari topi corak bunga-bunga atau buah-buah, pengakuan setiap kali dia menggelabah masak tak jadi, banyak cakap pada masa-masa tertentu, dan kadang kala lucu orangnya. Ben Starr antara peserta yang sangat baik, tidak mengutuk dan mencela peserta lain, baik dengan semua orang, tidak berdengki dan berdendam. At least, itulah yang saya nampak.



Sememangnya sebab MasterChef US 2 ini ada orang seperti Christian yang sentiasa angkuh dan memandang rendah peserta lain, Suzy (she looked like host program Icip-icip) yang suka menyalahkan dan menunjukkan muka tidak puas hatinya, dan Jennifer yang nampaknya lebih berterus terang tidak sukakan Christian.

Gordon Ramsay pun kalau boleh nak tengok Ben Starr jadi juara, yer la.. walaupun ada beberapa hidangan Ben yang tak menjadi. Dia kiss pipi Ben malam tadi. Hahahaha...

Oklah, nak sambung kerja. Bai.



Oct 20, 2011

Sebulan Sekali - Perpustakaan Awam Kuala Terengganu

Beberapa hari yang lepas, saya sudah menaip secara bersungguh-sungguh cerita yang ingin saya kongsikan ini. Dah cukup panjang dah saya taip. Biasalah... waktu kerja, curi-curi menaip cerita apabila bosan atau sudah penat melihat microsoft excel menaip Summary of Tender. Jadinya memang tidak menumpukan perhatian sangat untuk menekan save now, untuk preview atau apa-apa sahaja. Sekadar taip semata-mata. Tup-tup bila nak close tab, tekan save now macam hang plak. Ingatkan dah automatic save, tapi bila buka semula langsung tak ada apa yang ditaip. Hampeh sungguh!


Memandangkan saya rasa cerita ini menarik untuk dikongsi, maka saya nak bercerita lagi sekali di sini, tapi dalam versi pendek dan cepat. Hehe..

Sejak beberapa bulan yang lepas, aktiviti wajib saya anak beranak (saya dengan Aisya ajer pun) adalah mengunjungi Perpustakaan Awam Kuala Terengganu yang terletak sebelah kiri jalan nak naik ke Jambatan Sultan Mahmud. Kunjungan berulang kerana, dah pinjam buku, maka kena hantar. Alang-alang hantar, pinjam lagi. Begitulah seterusnya.

Satu kad boleh pinjam 4 buku. Maksimum tempoh pinjaman adalah 4 minggu. Jadi biasanya hari sabtu awal bulan, samada saya atau Aisya akan menyandang beg besar free gift masa beli Ribena, yang mengandungi 8 buah buku. Berjalan dari parking area samada tempat parkir atau kawasan padang berumput sebelah tu sekiranya tempat parkir penuh. Ya, tempat parkir kereta tidak banyak, untuk sebuah bangunan sebesar bangunan public library itu. Ada beberapa petak tempat parkir bas, yang biasanya kereta sahaja yang diletakkan disitu dan tempat parkir motor yang sentiasa penuh pada hari Sabtu.

Melalui tepi bangunan yang ada bangku tempat duduk, yang biasanya diduduki oleh remaja-remaja yang saya agak dalam persekolahan menengah. Satu yang saya suka buat bila ke library ialah melihat gelagat remaja-remaja ini dengan fesyen mereka yang macam-macam. Kalah kita yang berkerja dan bergaji tiap-tiap bulan ni! Dengan legging atau high waist skirt, baju yang macam-macam, paling hebat tang tudung la... Dengan segala macam kerongsang juntai-juntai panjang-panjang, dipin atas atau tepi kepala dan bawah dagu, lilitan shawl itu pula segala jenis lilitan boleh kita jumpa. Baru-baru ini saya menemani Aisya ke tandas, 3 orang anak remaja dengan fesyen-fesyen 'up-to-date kononnya' itu sedang sibuk menilik cermin, membetulkan selendang barangkali. Masa kami keluar, mereka masih lagi duk menilik diri. Aduhhh... apa nak jadi dengan budak-budak sekarang.


Kalau dah namanya library memang la kena bercerita tentang buku kan. Sayang seribu kali sayang, library sebegitu besar tetapi buku tidak sebanyak mana. Kalau ke tingkat dua (buku-buku kategori dewasa), kawasan luas, tetapi rak buku dah la tidak banyak, buku atas rak pula kebanyakkan jika disusun betul-betul separuh penuh sahaja untuk setiap barisan rak. Dulu-dulu saya jenguk juga ke rak-rak mengikut kategori itu, tapi kemudiannya saya belajar sesuatu yang baru. Rak buku-buku yang dipulangkan adalah tidak kurang menariknya apabila masa yang diperuntukkan tidak lama. Biasanya saya disitu sahaja, memilih buku dan menggunakan perkhidmatan self service untuk meminjam buku. Yang itu saya suka, sangat mudah dan cepat.


Kalaulah ada lebih banyak buku macam di library-library universiti, kan best. Aduhhh.. rindunya saya pada Perpustakaan USM, Minden dan Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ), UTM, Skudai.



Ok, kita akhiri entri dengan sebuah lagu lama. Lagu dulu-dulu masa kononnya tengah bercinta. Masa muda. Lagu best, tapi bercinta masa itu, tidak best. :(




Bunga kenanga semerbak mewangi
Pokok selasih tumbuh setaman
Bukan hendak terkenangkan memori
Kekadang sahaja ianya mengundang...

Oct 19, 2011

Risau

Last sunday masa tengah-tengah bersiap ke sekolah, Aisya mengadu sakit perut. Aku cakap, tahan dulu, kita solat subuh dulu sekejap sahaja. Lepas solat, dia berkejar ke bilik air. Keluar dari bilik air, dia mengadu lagi, sakit perut sangat, dan rasa nak muntah. Aku agak ni mesti food poisoning. Ada tersilap makan apa-apa yang tidak sesuai dengan perut kot malam tadi.


Dia ke bilik air sekali lagi, kemudiannya keluar dan merengkok atas tikar di dapur. Aku duduk sebelah dia, sapu minyak kat belakang dan perut, dan dada. Tapi tak lama baring, dia bangun ke bilik air, katanya rasa nak muntah. Aku menurut, dia duduk atas bangku kecil plastik hijau, aku gosok-gosok belakang dia. Tak keluar-keluar jugak muntahnya. Lama. Dia tak nak keluar sebab takut muntah. Aku pujuk, cakap muntah dalam besen ajer. Aku sediakan besen besar, letak carikkan suratkhabar. Lama. Tak muntah-muntah. Aku pujuk dia minum air. Minum sikit. Masa tu awal pagi, memang dia tak makan apa-apa pun lagi. Tubuh dia dah panas. Aku ambil ubat demam dalam peti sejuk, biskut sekeping. Puas pujuk, dia makan separuh biskut tu.


Baru sahaja aku suapkan ubat demam dan sakit perut (kembung / angin), tak sempat ubat-ubat cecair tu sampai ke dalam perut, dia muntah. Banyak. Lama. Air dan cairan sahaja yang keluar. Habis keluar, dia macam segar bugar. Sihat sahaja. Aku bagi semula ubat-ubat tadi. Dia bangun, naik menonton tv. Nak ke sekolah pun dah lewat dah.


Petang aku balik kerja, aku tengok dia merengkok depan tv tengok kartun. Berselimut. Tubuh dia panas. Rupa-rupanya dia demam. Padahal tadi mak cakap, dia okay sahaja walaupun beberapa kali juga dia cirit birit. Dia muntah lagi sekali awal malam tu. Aku jarang kepalanya dengan air daun bunga raya, dan bagi dia ubat. Dia tertidur. Lewat malam, tubuh dia tak lagi panas. Esoknya, dia elok sahaja pergi sekolah.


Tapi.. hari isnin tu, masa aku balik kerja aku tengok dia melepek atas tilam depan tv. Selasa pun sama. Tadi juga. Dia tidak selincah biasa bermain dengan adik. Kurang bercakap. Bila sepupu-sepupu dia datang, baru dia keluar bermain.


Aku cuba slow talk dengan dia, bertanya kenapa dia banyak diam dan apa yang dia fikirkan. Ada cikgu sekolah marah dia ke. Ada kawan-kawan ganggu dia ke. Tapi semua tidak belaka. Risau aku tengok keadaannya. Biasanya dia tidak begitu. Risau sungguh ni. Itu dia dah tidur, tadi lagi jam 9.30 malam. Risau ni, risau.

Oct 18, 2011

Rajinnya awak!

'Rajinnya awak pergi ambil anak kat sekolah!'


Ok, sesuai atau tidak perkataan rajin digunakan disitu? Kalau diikutkan ayat yang perlu Aisya buat dalam buku latihan bahasa melayu tahun 3nya, memang boleh ajer. Tak ada salahnya ayat itu.

Tapi, kalau diikutkan realiti kehidupan, orang yang dikatakan rajin itu boleh menjawab pulak, 'Habis tu, takkan nak biarkan anak kat sekolah?' atau 'Dah tu, awak nak tolong pergi ambil ker?'.


Maaf, pada pendapat saya, dalam hal sebegitu, perkataan RAJIN itu sangat tidak sesuai. Tidak peduli samada ayat itu ditujukan pada seorang lelaki atau perempuan. Bilamana ianya adalah sesuatu yang kita kena buat, mesti buat, kalau tak buat maka dosa, malapetaka, atau makan pasir, makanya itu adalah tanggungjawab.


Waktu kerja, lepas discssion dengan engineer, ada meeting perubahan kerja, pastu kontraktor plak datang untuk bincang pasal claim kerja-kerja tambahan. Ada tender yang perlu disiapkan dalam tempoh terdekat, ada site meeting lagi. Dan kalau tak buat semua tu, takkan nak suruh boss pulak siapkan. Dah tu, takkan hari-hari awak nak cakap, 'Rajinnya awak!'


Kebetulan plak ayah sekarang jarak tempat kerjanya lebih jauh dari jarak pejabat saya dengan rumah dan sekolah Aisya. Sah-sahlah saya yang kena ambik Aisya balik dari sekolah, setiap 5 hari seminggu. Oleh itu kekadang bila kebetulan saya belum makan, tengah lapar tahap gaban, jadi sebelum pergi ambil Aisya kat sekolah, tak salah singgah dulu kedai beli nasi ayam 4 bungkus. Kenapa 4, sebab dah kat rumah ada adik dan tokwan. Mak tak makan nasi ayam. Dah tu, takkan itu pun awak nak cakap 'Rajinnya awak!'


Tak sesuai la, dan saya kurang boleh terima sikit cakap-cakap yang macam tak ada idea nak cakap apa ni.


Kalau saya sedang baking kek, atau menjahit manik, atau membaca majalah, pada hujung minggu saya.. maka sesuailah dengan 'Rajinnya awak!'.

Atau apabila hujan lebat, saya mengambil kesempatan mencuci kereta, menyental bilik air sebelum mandi, mencuci pinggan mangkuk sebelum tidur, maka bolehlah awak cakap, 'Rajinnya awak!'...

Sebab apa yang saya buat itu memang memerlukan kerajinan semata, kalau tak nak buat tak aper, tak berdosanya, tak juga kena maki. Paling-paling tidak pun layan sahajalah kepuasan hati diri sendiri.



Betul tak? Betul tak?

Oct 13, 2011

Semangat Tergugat Pada Hari Kejadian

Pagi ini, tekan sahaja butang power kat radio dalam kereta jam lapan lima belas minit pagi, suara pertama yang berkumandang ialah Pansha Ungu mendendangkan lagu Tercipta Untukku yang ada featuring Rossa tu. Kemudiannya mengikut senarai, lagu-lagu yang menyusul adalah Tanpa Kekasihku dan Teruskanlah oleh Agnes Monica, Tegar daripada Rossa, Entah dendangan Afghan, dan seterusnya sehingga aku sampai parkir kereta di hadapan pejabat.


Sudahlah malam tadi aku tidak berapa lena tidur, terganggu oleh cahaya lampu mainan Aisya yang sekejap sekejap menyala sendiri dalam gelap walaupun setelah beberapa kali aku bangun menutup suis mainan itu. Akhirnya aku letak sahaja mainan itu ditempat yang terlindung dari pandangan mata.


Kemudian tidurku diganggu pula mimpi yang pelik, seorang lelaki yang entah siapa-siapa tidak ketahuan apa yang diinginkan, tetapi mengganggu hidup aku, menyebabkan aku menangis tersedu-sedu, aku lari tak ada arah tuju. Jumpa pulak dengan seorang yang aku rasa boleh bergantung harap, tetapi tiba-tiba dia hilang tak sempat di tangkap. Bila aku cari Aisya tak jumpa, aku seolah-olah berkata, 'Ishh.. tak nak lah terus berada dalam mimpi ni'.. Terus aku terjaga dari tidur.


Jaga aku, tapi mimpi itu masih dalam minda. Biasanya kalau begitu, aku jadi kurang bersemangat. Tambah kurang mood bila ditabur lagu-lagu mendayu itu. :(


Sepanjang hari minda aku masih dapat membayangkan mimpi yang tidak enak itu.


Mood aku teruk sungguh hari ini..


P/s : Terima kasih 'kamu' yang bisa menyelitkan sedikit senyuman pada hari muramku ini. ;)

Merenung Bulan

Akulah pungguk itu
Sang perindu yang mabuk
Kerna memujamu yang tidak endah
Peduli apa pada alam
Kisah apa pada mereka
Megahmu di atas sana
menjadi pujaan seluruh semesta


Tiada sedarmu
Jauhnya jarak tiada peduli
Cahayamu tetap mencuri menerangi
Menyusup celahan langsir biru
Memeluk daku dalam lenaku
Mengucup daku melepas rindu
Mengusik malamku


Wahai yang indah sinarnya
Wahai yang elok pagarannya
Biarkan sang perindu ini terus memujamu
Relakan sang pemuja ini terus merindumu
Endahkan sang pencinta ini
terus jatuh padamu
Dikejauhan ini...


Semoga kita bisa ketemu lagi..
Pada purnama yang mendatang
Izinkan.




Merenung Bulan @ 12:00am,
13hb. Oktober 2011
bersamaan 15hb. Zulkaedah 1432H.


P/s: Nak letak gambar bulan yang aku ambik malam td, tp tak jumpa lak cable nak transfer gambar ke pc.

Oct 12, 2011

Bulan Itu

Nian bulan dilangit tinggi
Indah terang dimalam hari
Puas kupandang tiada jemu
Rindu dendam kulepas padamu...


Malam tadi bulan penuh, cantik sungguh dari tingkap di dapur. Sayangnya tidak boleh berlama-lama merenung bulan, Asyraf sibuk suruh tutup tingkap sebab takutkan malam yang semakin gelap. Bukannya dia nak naik ke atas kalaupun takut, tapi hendak juga dia berkepit dengan aku kemana sahaja dalam rumah. Ke bilik, dia menurut. Ke dapur, berlari turun sama. Ke bilik air, dia tunggu diluar. Dan dah dua malam, tidur pun menyelit antara aku dan Aisya. Atas bantal aku, hingga terpaksa aku alas kain batik untuk tidur sebab bekas dia tidur sekejap itu, terasa lembap bantal dan tilam dek peluh! Dia, aku angkat tidur diluar bersama mamanya dan baby. Katil saiz permaisuri tidak membenarkan dia yang lintang pukang tidur bersama kami.

Sebenarnya, seperti biasalah bila bulan mengambang penuh, terang benderang nampak dicelah-celah ranting kering pokok langsat di tepi dapur, memang hati aku mula meronta-ronta nak tangkap gambar. Masalahnya, aku masih tak reti nak capture gambar bulan waktu malam dengan DSC T2 aku yang dah lama aku pakai tu. Tak reti, sebab tak explore habis-habisan penggunaannya, ataupun memang tak boleh nak capture cantik-cantik dengan kamera tu.

Then memandangkan dah ada Ace ni, aku cuba dengan plak dengan kamera 5MPnya. Pun sah-sahlah tak berjayakan. Lagipun aku tengok setting dia pun lebih kurang saja dengan DSC T2 8MP tu.

Adakah aku yang masih tidak pandai mempergunakan betul-betul kamera itu? Dan aku sudah ada angan-angan untuk mencari kamera baru, sebagaimana aku belum cekap atau menggunakan sepenuhnya semua application dalam Nokia putih 6288 ini, walaupun dah tiga tahun guna, dan sudah beli Ace?


Tak, aku sedar kelemahan aku itu dan aku tidak mahu mengulanginya. Jadi aku kena betul-betul fasihkan diri dulu dengan DSC T2 ini sebelum tukar dengan yang baru.

Ini yang dikatakan tapak kaki sebesar ibu jari. Tapi jari jemari aku kecik, jadi tidak tepat juga perumpamaan itu. Antara hasil percubaan dengan Galaxy Ace.



Semalam, di tepi jalan ke Kg. Undang, sangat cantik pemandangan disitu. Kalaulah aku ada tanah disitu, tak cukup duit, pondok pun akan aku bina. Aisya dengan Asyraf.

Oct 9, 2011

Terkenang-kenang

Anak buaya terenang-renang,
anak kunci dalam perahu,
hanya hamba terkenang-kenang,
orang benci hamba tak tahu...


Orkid ungu indah dijambangan,
Tiada wangi kaku dirupa,
Hadirnya bagai tidak diendahkan,
Bila tiada merindu pula...

Oct 8, 2011

Makanan Yang Aku Suka

1. Aku suka karipap, tapi pastikan intinya bukan sambal ikan yang kekadang ada tulang sikit2 tu, dan bercampur pula dengan sambal nyor. Bagi inti apa sahaja, keledek, kentang, daging, ayam atau sardin, aku memang suka.


2. Mak memang pandai kalau bab-bab masak lemak putih sawi, lobak putih, kobis, kacang panjang, terung, hmm.. apa lagi yer. Setakat ini hanya masak lemak sayur mak yang paling sedap, dan aku sendiri tak boleh tandingi. Kalau biasanya orang buat cair sahaja, mak punya tak sebab mak letak ikan kembung atau selayang yang direbus / kukus, dan ditumbuk dahulu bersama-sama bawang merah.


3. Aku suka buah-buahan yang belum cukup masak, seperti rambutan yang baru kekuningan, mangga yang baru nak masak, durian yang isinya tidak betul-betul lembik, betik yang masih keras atau nanas muda, yang dicicah cuka yang dicampur garam, gula, cili boh , sedikit belacan, dan isi ikan kembung rebus yang ditumbuk. Fuhhh... terliur sudah.


4. Makanan yang ada kuah atau sambal untuk dicicah seperti roti canai cicah kuah dalca, roti kosong cicah kuah sup kambing kat kedai mamak (aku rindu), ubi kayu rebus cicah sambal bilis, dan macam-macam lagi lah.


5. Sejak aku kenal makanan mamak tahun 1995 di Penang, adik aku selalu mengaitkan aku dengan Penang, mamak dan India setiap kali aku teringin masakan mamak. Empat tahun aku di sana memang aku jadi suka dengan nasi kandar (tapi tak nak kuah banyak2), laksa penang yang dicampur otak udang, char kuey teow, pasembor, dll. Paling aku rindu, char kuey teow dan pasembor. Mana boleh dapat di mana-mana, kecuali di sana sahaja. Kat kl pun susah nak dapat yang sedap. Kat terengganu ni, lagi la.

Haa.. satu yang langsung aku tak jumpa di mana2 selain kat Penang, lauk nasi kandar iaitu telur sotong yang di masak kuning-kuning tu. Tak tahu la nama apa masakannya. Tapi kalau aku makan nasi kandar aper ntah beli kat tepi jalan (mamak tu buka van dia sahaja kat tepi jalan tapi orang beratur punya la panjang!), mesti aku ambik lauk tu. Mujur aku tak gemuk masa tu walaupun asyik duk hentam kolesterol dan lemak manjang. Dah la mahal, RM3.00 tak kurang la. Masa tu tiga ringgit tu dah mahal dah. Dah la student lagi, duduk rumah sewa lagi.

Bila aku duk kl, aku jadi penggemar vadei dan roti nan. Bila duk terengganu, aku kena buat vadei sendiri. Roti nan ada kat mana2, tapi tak lagi sesedap kat kl atau Penang. Johor, lagi la hampeh! Lecturer aku pernah cakap (dia asal Penang), masakan mamak di Johor is the worst mamak's food.

6. Masa aku kecik-kecik dulu, masa mak berpantangkan adik bongsu aku, aku selalu join mak aku makan nasi kosong dengan ikan garam kunyit panggang dengan lada hitam yang ditumbuk dengan sedikit garam. Sedap!



Aku tak berapa boleh minum kopi 'o'... sebab rupanya yang gelap sangat!

Oct 5, 2011

Penamat Yang Paling Dibenci

Kalau menonton drama berepisod di tv samada astro, tv3 atau RTM, paling aku benci bila dah syok-syok setiap hari layan, pada hari episod terakhir ditayangkan, ada sahaja kerja lain yang perlu dibereskan diluar, atau aku terlupa sebab terlalu asyik layan member borak sambil makan minum di kedai makan. Balik-balik rumah, mak atau adik, atau Aisya sibuk cerita tentang episod terakhir tu. Arghhh... memang sangat kecewa! Baik tak payah tengok dari awal. Geramnya!!


Kalau drama bersiri itu pula, sedari awal sangat menarik jalan ceritanya. Hari-hari aku tengok, kalau boleh tak nak terlepas satu episod pun. Tup-tup di episod terakhir, semua orang mati. Lepas sorang, sorang. Macam cerita Kasih Alia baru-baru ni. Sangat mengecewakan. Kesudahan cerita seperti mereka sudah kehilangan idea untuk meneruskan cerita. Jadi satu persatu watak menghadapi kematian, tinggal Kasih dengan Nabil sahaja. Oh, mudahnya!!


Sama macam filem Nur Kasih The Movie, penamat cerita adalah sesuatu yang normal dalam kehidupan, menjadi tua dan menghadapi kematian. Hampir kesemua kehidupan adalah begitu, dan ianya adalah biasa. Bukanlah bererti saya nak mencari sesuatu yang tidak logik seperti Cicakman tu, tapi kekadang lebih seronok tengok pengakhiran yang jarang berlaku tapi memang wujud dalam kehidupan.


Itu kalau drama atau filem, bagaimana dengan novel?


Penamat yang paling dibenci ialah bila dah syok-syok baca dari first page, memang tengah layan sungguh-sungguh, air mata merembes sudah, senyum sorang-sorang pun sudah, tup tup, a few last pages is gone!! Arghhh.... Tensionnya!!!!!!!

Oct 4, 2011

Hanyut

Apa diharap kasihnya orang,
Pabila sudi kita ditatang,
Apa dikenang cintanya orang,
Kita cuma melukut digantang....


Hujan sedang lebat sungguh di luar sana. Gelapnya macam hujan itu akan berpanjangan membawa ke malam. Begitupun, ku sangka hujan hingga ke malam, rupanya sekejap sahaja dah reda. Ramalanku salah belaka. Cuma gelap masih gelap. Mungkin langit terpujuk sebentar. Bunyi guruh di sana masih memungkinkan langit menangis lagi.


Aku bukan hanyut dek banjir. Belum banjir lagi, dan moga dijauhkan musibah yang teruk-teruk. Sekarang sedang membaca novel Percayalah oleh Ruby Hazry. Novel yang tebal dipinjam di Perpustakaan Awam Kuala Terengganu 3 minggu lepas semasa kunjungan rutin setiap bulan.


Percayalah
berjaya membawa aku hanyut ke dalam perasaan cinta terpendam antara Nur Atiqah dan Danial Wolfgang. Betapa sukarnya meluahkan perasaan kerana bimbang bertepuk sebelah tangan, mengakibatkan kedua-dua mereka menderita dalam diam. Padahal apa yang ada dalam diri Atiqah, turut dirasai oleh Danial. Cerita ini banyak bermain di Jerman, di sekitar universiti tempat pilihan Atiqah seorang pegawai kerajaan berasal dari Kota Bharu menyambung pelajarannya. Manakala Danial yang merupakan seniornya punya latar belakang keluarga yang sungguh menarik. Anak perkahwinan campur ini kurang dipedulikan si ayah sejak kematian ibunya, dan ini membuatkan dia berubah laku, tanpa sedar rupanya ada cerita rahsia disebalik perlakuan si ayah.


Sebenarnya aku belum habis baca lagi novel tebal ini. Tinggal sikit sahaja lagi, tapi kalau tidak difikirkan kena bangun awal untuk kerja, aku sanggup sahaja tidur jam 4 pagi bagi menamatkan novel itu. Sepanjang hari ini pun aku asyik teringat-ingat pada University of Stuttgart itu. Memang indah sungguh penyampaian Ruby Hazri. Dan.. rupa-rupanya pula novel Percayalah ini ada sambungannya, iaitu Percayalah... Akhirnya. Memang, novel Percayalah ini adalah novel lama, diterbitkan tahun 2003 rasanya. Aku pinjampun secara main capai sahaja di atas rak pemulangan buku. Ternyata ianya tidak sia-sia.


Untuk Percayalah..Akhirnya, aku akan order di kedai buku online sahaja bersama beberapa novel lain yang sudahpun beberapa hari dimasukkan dalam cart tapi tak bayar-bayar lagi. Nampaknya novel Ruby Hazri serasi dengan jiwa aku. Penyampaiannya mendalam sehingga bisa menitiskan air mata. Oh...

Oct 2, 2011

Oktober

Oktober datang lagi. Bersama mendung sepanjang hari, hujan petang ke senja dan beriringan guruh dan kilat sesekali. Persediaan awal untuk masuk ke musim tengkujuh. Kalau zaman kecil saya, orang-orang kampung mula sibuk mencari benih padi dan menenggala tanah. Tapi sekarang, musim Terengganu sibuk membuat persiapan Moonson Cup. Juga musim kerja di tapak bina berjalan perlahan hingga membatutkan lengkungan S di dalam laporan kemajuan kerja.


Oktober yang membawa hujan yang saya suka, biarpun belas pada kereta yang baru berkilat kotor kembali di jalanan ke sana ke mari. Tambah-tambah lagi kereta hitam itu. Cepat benar nampak kotornya. Macam jubah hitam ustazah dulu-dulu masa sekolah, cepat benar nampak kotor bercampuk habuk kapur putih. Masa tu, saya selalu berfikir kenapa perlu jubah itu berwarna hitam? Kenapa tak putih? Bukan ke putih warna suci? Kalaulah masa saya beli kereta dulu tu, dah ada warna putih, rasanya memang tak berganjak pendirianlah. Putih tetap indah dimata saya.


Sekolah tinggal sebulan lebih sahaja lagi sebelum cuti penggal akhir tahun, dan sebelum peperiksaan akhir penggal. Kasut sekolah Aisya dah berlubang. Baru-baru ini sebelah kiri sahaja, tup tup sebelah kanan berjangkit keluar ibu jari kaki. Kasut yang baru lagi dibeli sekitar awal tahun, bila dia bersungut kasut yang lagi satu (yang dibeli masa darjah dua) sudah ketat dan menyakitkan kaki. Kasihankan dia, hari ini aku beli sepasang kasut sekolah baru berharga rm19.90. Mujur kasut sekolah tak mahal mana. Sekitar rm30.00 ke bawah (atau belas-belas) dah dapat sepasang. Tak perlu beli yang mahal-mahal sebab kaki budak-budak cepat besar, nanti ketat.

Masalahnya, beg sekolah galas berwarna pink dia pun dah putus tali beberapa bulan lepas. Beg itu dibeli pun masa darjah dua. Puas jenuh saya pujuk dia supaya pakai dulu beg sekolah biru yang bertayar itu sehingga hujung tahun, mujur makan pujuk. Tup tup pula, baru-baru ini dia bagitau cikgu dah marah-marah dan siap bagi warning siapa-siapa yang bawa beg sekolah bertayar, cikgu akan rampas. Sebabnya budak-budak tu heret beg turun tangga sehingga sakit telinga orang yang berada tingkat bawah barangkali. Nak tak nak saya kena belikan dia juga beg sekolah (kaler merah jambu dan bergambar princess) baru tanpa menunggu tamat sekolah tahun ini. Beg sekolah adalah mahal berbanding kasut sekolah. Biasa harganya antara rm30.00 hingga rm50.00. Beg sekolah dia yang pertama berharga rm40.00 lebih kurang, pakai tak sampai setengah tahun dah rosak zip. Mujur semalam saya jumpa yang berharga rm20++. Tak adalah mahal sangat. Tapi tahulah ketahanannya bagaimana.


Ok, entri oktober dah menjadi cerita sekolah Aisya pula. Hehe...


Oktober, bulan menambah satu angka pada umur saya, yang biasanya saya tak sedarpun saya sudah sedemikian lama di muka bumi ini. Ya, persekitaran sangat menyumbang pada kesedaran itu. Kalau sudah berulang alik ke pejabat sahaja sehari-hari, bergaul juga hanya dengan orang yang sekian-sekian sahaja, mana hendak sedar pada waktu yang berlalu. Hanya sedar pada masa yang tertinggal.

Dan... kalaulah saya tahu berapa banyak sahaja masa lagi yang tertinggal untuk saya di muka bumi ini... kalaulah....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...