Iklan

Oct 2, 2011

Oktober

Oktober datang lagi. Bersama mendung sepanjang hari, hujan petang ke senja dan beriringan guruh dan kilat sesekali. Persediaan awal untuk masuk ke musim tengkujuh. Kalau zaman kecil saya, orang-orang kampung mula sibuk mencari benih padi dan menenggala tanah. Tapi sekarang, musim Terengganu sibuk membuat persiapan Moonson Cup. Juga musim kerja di tapak bina berjalan perlahan hingga membatutkan lengkungan S di dalam laporan kemajuan kerja.


Oktober yang membawa hujan yang saya suka, biarpun belas pada kereta yang baru berkilat kotor kembali di jalanan ke sana ke mari. Tambah-tambah lagi kereta hitam itu. Cepat benar nampak kotornya. Macam jubah hitam ustazah dulu-dulu masa sekolah, cepat benar nampak kotor bercampuk habuk kapur putih. Masa tu, saya selalu berfikir kenapa perlu jubah itu berwarna hitam? Kenapa tak putih? Bukan ke putih warna suci? Kalaulah masa saya beli kereta dulu tu, dah ada warna putih, rasanya memang tak berganjak pendirianlah. Putih tetap indah dimata saya.


Sekolah tinggal sebulan lebih sahaja lagi sebelum cuti penggal akhir tahun, dan sebelum peperiksaan akhir penggal. Kasut sekolah Aisya dah berlubang. Baru-baru ini sebelah kiri sahaja, tup tup sebelah kanan berjangkit keluar ibu jari kaki. Kasut yang baru lagi dibeli sekitar awal tahun, bila dia bersungut kasut yang lagi satu (yang dibeli masa darjah dua) sudah ketat dan menyakitkan kaki. Kasihankan dia, hari ini aku beli sepasang kasut sekolah baru berharga rm19.90. Mujur kasut sekolah tak mahal mana. Sekitar rm30.00 ke bawah (atau belas-belas) dah dapat sepasang. Tak perlu beli yang mahal-mahal sebab kaki budak-budak cepat besar, nanti ketat.

Masalahnya, beg sekolah galas berwarna pink dia pun dah putus tali beberapa bulan lepas. Beg itu dibeli pun masa darjah dua. Puas jenuh saya pujuk dia supaya pakai dulu beg sekolah biru yang bertayar itu sehingga hujung tahun, mujur makan pujuk. Tup tup pula, baru-baru ini dia bagitau cikgu dah marah-marah dan siap bagi warning siapa-siapa yang bawa beg sekolah bertayar, cikgu akan rampas. Sebabnya budak-budak tu heret beg turun tangga sehingga sakit telinga orang yang berada tingkat bawah barangkali. Nak tak nak saya kena belikan dia juga beg sekolah (kaler merah jambu dan bergambar princess) baru tanpa menunggu tamat sekolah tahun ini. Beg sekolah adalah mahal berbanding kasut sekolah. Biasa harganya antara rm30.00 hingga rm50.00. Beg sekolah dia yang pertama berharga rm40.00 lebih kurang, pakai tak sampai setengah tahun dah rosak zip. Mujur semalam saya jumpa yang berharga rm20++. Tak adalah mahal sangat. Tapi tahulah ketahanannya bagaimana.


Ok, entri oktober dah menjadi cerita sekolah Aisya pula. Hehe...


Oktober, bulan menambah satu angka pada umur saya, yang biasanya saya tak sedarpun saya sudah sedemikian lama di muka bumi ini. Ya, persekitaran sangat menyumbang pada kesedaran itu. Kalau sudah berulang alik ke pejabat sahaja sehari-hari, bergaul juga hanya dengan orang yang sekian-sekian sahaja, mana hendak sedar pada waktu yang berlalu. Hanya sedar pada masa yang tertinggal.

Dan... kalaulah saya tahu berapa banyak sahaja masa lagi yang tertinggal untuk saya di muka bumi ini... kalaulah....

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...