Iklan

Dec 29, 2011

Penghujung Disember 2011

Bismillahirrahmanirrahim...



Alhamdulillah... tadi dah call Astro bagi menutupkan akaun Astro di rumah. Confirm tiada satu sen hutangpun dengan Astro, akaun akan ditamatkan tepat pada hari terakhir tahun ini. Elok sahaja minggu depan sekolah mulai dibuka, Aisya masuk darjah empat dan tiada lagi Astro Ceria untuk dia. Selesai satu hal. Oh, rupanya mudah sahaja nak potong Astro. Hanya melalui telefon, dan nanti dalam 90 hari selepas Astro tidak aktif lagi, jangan lupa hantar smart card ke cawangan Astro terdekat. Kalau tidak, kena penalti RM50.00. Haishh... ada jer kan.


Satu Januari, hari jadi Aisya ke 9. Hadiah harijadi belum difikirkan lagi. Jamuan harijadi, pun belum rancang apa-apa. Cuma terlintas nak buat cupcakes atau kek pelangi sahaja. Dah lama sungguh tak baking membaking ni. Semalam dalam duk sibuk siapkan tender report, sempat lagi menjenguk beberapa laman masak memasak. Itu yang dapat idea macam tu. Tapi hadiah, belum terlintas apa-apa di fikiran.


Harapan tahun baru, tiada. Sebab dah meletakkan harapan dan azam untuk awal tahun Hijrah 1433 yang lepas. Baru jer lagi pun. Ada beberapa perkara perlu diberi perubahan dan penekanan. Insyaallah. Cemburu melihat orang berubah menjadi lebih baik, aku juga hendak buat perubahan. Lagipun dunia dah dihujung hayat. Malam-malam kalau dengar angin kuat, campur hujan, ribut dan petir sabung menyabung, mesti aku duk terbayang tsunami, gempa bumi, dan kiamat. Astaghfirullahalazim...


2011, aku kenang yang baik-baik sahaja. Perkara-perkara kecil, tapi membuat hati terasa besar. Tak banyak, tetapi ada. Seperti memberi jalan kepada kereta yang hendak keluar dari simpang. Aku suka perasaannya bila mereka mengangkat tangan dan tersenyum. Terasa sangat dihargai walaupun perkara itu kecik sajer. Seperti melihat sambutan dan kemesraan tokmak dan tokki Aisya apabila membawa Aisya mengunjungi mereka, biarpun mereka sudah lama tidak menjenguk Aisya dan biarpun kami ke sana hanya 2, 3 kali sahaja setahun. Seperti melihat Aisya mengutip bekas air yang dibuang dijalanan oleh orang tidak bertanggungjawab ke dalam tong sampah. Tak banyak, tetapi ada.


2012, semoga aku lebih berlapang dada, berjiwa besar dan berhati mulia. :)

Dec 27, 2011

Kembali Bekerja

Bismillahirrahmanirrahim...

Orang bercuti, aku juga nak bercuti. Kononnya hujung tahun nak habiskan cuti tahunan yang masih berbaki. Tapi orang bercuti, pergi melancong sana sini, membeli belah itu ini. Aku bercuti, paling jauh ke Kota Bharu hari Khamis lepas, dan balik dengan sehelai baju Angry Bird betina untuk Aisya. Kesian ayah menunggu mempelam siam barang sekotak dua, sebutir makanan pun tidak aku beli.


Kenapa?


Aku rasa apa yang ada di Kota Bharu sama sahaja dengan apa yang ada di Kuala Terengganu. Pasar Siti Khadijah tidak dapat menandingi kehebatan Pasar Payang. Jadi, aku tak tahu nak beli apa untuk di bawa balik!!


Jumaat, selepas membeli barang-barang untuk kenduri akikah anak saudara (yang on the way balik dari KL) esok, aku merayap ke pantai Batu Buruk. Beli keropok, donut Big Boss dan bebola udang kemudian layan Aisya main layang-layang di pantai. Ramainya orang. Termasuk yang baru balik dari sembahyang Jumaat di masjid Ladang barangkali. Siap berbaju melayu berpuak-puak.


Sabtu, dari pagi ke petang bersiap-siap masak untuk akikah malam nanti. Jemputan sekitar 60 orang rasanya. Lauk gulai kambing, goreng kobis, sambal belacan dan pencuci mulutnya, tembikai. Untuk yang tak makan kambing, ayam sebanyak 5 ekor, digoreng dan masak merah. Yang tu aku buat. Special. Hehe...


Malam, sibuk di dapur menghidang sebab ayah nak sekurang-kurangnya 40 orang makan berhidang. Takut diaorang cabut sebab malas nak beratur tunggu giliran nak ambil makanan , sebagaimana kat sesetengah tempat. Ada buffet juga disediakan kat depan. Lepas majlis, berkemas serba sedikit. Ingatkan awal lagi, tup tup dah 12 lebih baru nak tidur. Letih yang amat.


Ahad, sambung ngemas-ngemas pinggang mangkuk.


Isnin, aku masih bercuti. Keluar basuh kereta kat carwash. Makan-makan kat luar. Pergi AVON beli-beli apa yang patut. Petang, rehat jer kat rumah. Terlena sekejap, pastu jaga sebab sejuk. Cuaca di Terengganu sangat sejuk, redup yang amat sepanjang hari. Tapi hujan hanya sekejap-sekejap dan renyai-renyai sahaja. Angin sekejap kencang, sekejap perlahan. Rumah sunyi sepi. Rupa-rupanya kesemua anak saudara Qasyrina, Qayyis, Adam, Asyraf (dalam buai), Aisya (atas kerusi panjang), lena bergelimpangan. Baby dalam bilik tidur celah ketiak mamanya.


Yer.. cuaca begini mengundang lena yang enak di siang hari.


Tapi hari ni, kerja. Sorang-sorang di pejabat mengadap komputer. :(

Dec 21, 2011

Kembali Menyibukkan Diri

Bismillahirrahmanirrahim...


Seminggu selepas membawa Aisya pusing-pusing Monument Park di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, aku bawa pula dia ke Muzium Losong. Dan aku berjanji pula untuk buat trip ke dua ke sana dalam hujung minggu ini, atau bila-bila sebelum buka sekolah nanti. Sebab, pada hari tu tak sempat pusing-pusing kesemua tempat pameran. Kebetulan mak ikut sebab kitaorang terus langsung dari membeli barangan dapur di Sabasun. Bila dah bawa mak, memang tak boleh berlama-lama sebab mak sibuk nak balik masak untuk ayah.

Aku akan bercerita tentang Muzim Losong nanti, lengkap dengan gambar. Sekarang tidak sempat sebab aku cuma mencuri secebis masa bagi menghilangkan pening mengadap excel dari tadi-tadi lagi. Ya.. hari yang sibuk yang dijangka-jangka telah tiba. Masa untuk membuat tender report. Tidak terlalu kelam kabut sekiranya diingatkan aku ada tempoh 10 hari untuk menyiapkannya, tapi memandangkan aku hendak bercuti pada esok hari dan isnin depan, maka aku perlu menyiapkan dulu serba-sedikit kerja ini.


Esok lusa, nak pergi berjalan-jalan lagi. Lepas tu nanti, anak-anak saudara pula balik. Sabtu ni, ada kenduri akikah untuk anak saudara paling kecik itu. Jumaat, dah rancang dengan mak kena pergi pasar borong beli macam-macam. Tuan punya badan (mama dan papa budak kecik) petang jumaat baru sampai dari KL. Esok aku nak bawa Aisya ke mana yer? Hmm....

Dec 18, 2011

Taman Tamadun Islam

Sebagaimana Batu Buruk yang banyak menyimpan kenangan pahit manis di usia awal 30-an, begitu juga dengan Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man. Tapi, kedua-duanya bukanlah kenangan orang bercinta di tepi pantai atau dalam taman, atau makan-makan bersuapan di B'eteng. Tidak. Kenangan yang aku maksudkan lebih kepada bidang kerja kerana di kedua-dua lokasi tersebut, ada projek pembinaan yang dijalan oleh syarikat yang paling lama aku bersama.

Pulau Wan Man sekarang, dah jadi Taman Tamadun Islam. Jalan yang aku lalui dulu-dulu untuk ke site, sudah di upgrade barangkali, melihat pada penghujung jalan yang sudah bertar. Aku yakin, dulu-dulu tempat itu memang berhantu sebagaimana aku dengar pekerja-pekerja di site dulu bercerita. Tapi sekarang, bila orang dah ramai yang berkunjung ke sana, dan B'eteng selalu menjadi tempat makan-makan orang dating, rasaku makhluk-makhluk itu semua dah mengalah dan berpindah ke tempat lain, hutan yang lain, rimba yang lain.

Sebelum ni, sudah beberapa kali juga aku ke sana, tapi belum pernah lagi masuk ke monument park yang masuk kena bayar dan pada aku yang hanya lebih kurang 20 minit ke sana, terasa mahal pulak yuran masuk itu. Rasanya rm12 untuk dewasa dan rm6 untuk kanak-kanak. Dah rm18 campur rm5 sewa basikal, total rm23.00. Minyak kereta aku ke sana baru berapa ringgit jer. Hehehe...

Aku bawa Aisya ke sana on Friday last week, keesokan harinya selepas malamnya aku berkecik hati dengan mak. Disebabkan aku masih kononnya merajuk dengan mak, aku pergi hanya dengan Aisya. Tak ajakpun mak. Itupun aku berkejar nak balik sebab nak tengok finale Merlin Season 3 kat Astro jam 6 petang, padahal ada tayangan ulangan pada keesokannya. Rupa-rupanya juga, ramai orang luar yang berkunjung ke Monument Park itu. Mungkin hanya kami sahaja hari itu orang Terengganu yang berkunjung ke sana. Oh ya, selain basikal, ada perkhidmatan trem disediakan, dan juga bot untuk ke sekeliling pulau. Suatu hari nanti nak jugak aku bawa Aisya naik bot tu. Dia tak pernah naik bot.

Ok sekarang layan gambar. Dah panjang aku bercerita.

Salah satu masjid yang cantik dengan latar yang cantik juga, langit biru petang itu.



Aisya dengan basikal yang di sewa, kurang memuaskan hati kondisinya. Tempat duduk bergoyang-goyang, dan banyak part yang macam nak tercabut. Basikal yang besar untuk orang tua pula, tak ada.



Haa.. ini National Mosque. Ada pameran kat dalam, dan aku masuk untuk melihat-lihat. Ada dewan teater juga. Ini bangunan yang 'kitaorang' buat dulu.



Nampak macam asap masuk ke puncak bangunan itu, kan.


Banyak lagi gambar, aku tangkap dengan telefon jer sebab terlupa nak charge bateri kamera malam itu. Aku malas nak upload banyak-banyak. Kalau dalam Terengganu, jangan lupa ke sana yer. Berbaloi-baloi. :D

Kala Malam Bulan Mengambang


Awal malam itu, dalam pada aku tidak ada 'rasa' sejak akhir-akhir ini, aku terasa kecil hati, dengan mak. Kisahnya, tak perlu dipanjangkan disini. Tapi, pendapat aku, dalam menghormati orang tua, jangan sampai kita memendam terlalu banyak rasa. Binasa diri dan perhubungan akibatnya dikemudian hari. Adalah lebih bagus bersikap terbuka dan saling berbincang sekiranya ada apa-apa.


Dan malam itu aku bawa hati yang 'kecik' itu keluar merayap. Memandu malam selepas berbulan-bulan lamanya aku tidak keluar malam. Mujur dalam 'kecik hati' dan melayan perasaan itu, aku tidak kekok memandu.


Batu Buruk rupanya sangat meriah apabila malam. Manalah aku tahu sebab sudah lama sungguh aku tak keluar waktu malam. Ada dua kiosk yang aku tidak tahu sejak bila kewujudannya di situ, bertentangan dengan pintu masuk restoran A&W. Satu kiosk menjual air, dan satu lagi kiosk menjual donut ala-ala Big Apple, dengan nama Big Boss. Tapi, sungguh, pada aku rasanya lebih sedap dari donut Big Apple kerana rasanya yang elok-elok sahaja manisnya. Tidak manis melenting!


Ada ramai budak-budak 'pixie' mengayuh fixed bike berpuak-puak dimana-mana. Playground, penuh dengan budak-budak dan mak badak, opppsss.. bapak budak-budak. Ada disediakan perkhidmatan mengambil angin malam dengan kereta kuda, tapi aku tidak tahu berapa bayarannya untuk sekali naik. Ada juga motor kecik roda tiga yang disewakan kepada pengunjung, dan menderu-deru atas pasir pantai dalam cahaya lampu limpah. Meriah sungguh!


Tak lama aku disitu, aku sambung membawa hati lara pusing-pusing bandar. Akhirnya jam 10.30 malam, aku mengadap nasi goreng Thai dan mee goreng untuk Aisya di restoran Ananas di Batu Sembilan, yang jaraknya hanya lebih kurang 10-15 minit dari rumah. Pulang jam 11, mak ayah sudah tidur. Cik belum pulang.


Hati aku kecik sampai keesokkan harinya.

Dec 11, 2011

Antara 'bajet' dan 'budget'

Ada banyak sangat mahu bercerita, ada banyak sangat idea untuk berkongsi. Tetapi, taip.. taip.. taip... akhirnya tinggal dalam kotak draft sahaja. Macam tak menjadi jer. :(

Baca kisah budak-budak sekarang minat K-pop, kurangnya budi bahasa dan adab, macam-macam menerpa di fikiran. Berebut-rebut idea nak keluar, akhirnya satu aper pun tak ada.


Tapi baca salah satu komen kat blog yang dihebohkan itu, aku teringat kat Aisya yang sesekali bila bercerita tentang kawan-kawan sekolahnya, terkeluar perkataan 'bajet' dari mulut dia. Contoh ayat, 'dia bajet sangat!', dan aku pernah bertanya, 'bajet tu aper?'. Hahaha... nampak sangat aku dah tua, tak tahu perkembangan budak-budak dan k-pop2 ni!

Dan... aku ingat perkataan 'bajet' tu, dia dan kawan-kawan dia kat sekolah kat Terengganu ni sahaja yang guna, rupa-rupanya ianya adalah perkataan biasa di kalangan budak-budak sekarang. Dalam komen itulah buktinya. Dia ada guna perkataan tu. Hahahaha....


Serius aku tak jelas makna sebenar 'bajet' tu.. kalau 'budget' tahu la aku, lebih-lebih sekarang semua orang duk berebut borang bantuan rm500, yang dijanjikan dalam perbentangan budget 2012. Sebab aku tak faham maksud 'bajet' Aisya, jadi aku cakap dengan dia, aku tak suka dia guna perkataan tu.

'Ape bajet-bajet ni Dania, mama tak faham la. Tak payah guna la perkataan tu, macam busuk jer bunyinya.'

Hahahahaha....

Dec 7, 2011

Potong astro demi anak. Hehe..

Semalam dapat link ini yang dikongsikan di facebook. Sungguh, selama ini mana aku tahu yang kita boleh check keputusan peperiksaan anak kita secara online begini. Aku tercari-cari pula no. sijil lahir atau kad pengenalan Aisya. Aisya tak ada kad MyKid sebab dulu pernah aku nak pergi buat, staf kat JPN tu kata tak perlu buat sebab Aisya lahir tahun 2003. Lepas tu aku tak pergi dah walaupun aku rasa staf tu mungkin samada tak tahu atau saja tak nak layan, sebab orang lain elok jer pergi buat MyKid. Jadi, Aisya ada sijil lahir atau surat beranak sahaja, yang semestinya aku simpan sahaja kat rumah. Mujur kebetulan ada kad public library dia dalam purse aku. Ada no. kad pengenalan dia disitu.


So, inilah keputusan exam Aisya sepanjang tahun 2011. Tidaklah cemerlang, tetapi Alhamdulillah.



Sebenarnya untuk peperiksaan akhir tahun baru-baru ni, cikgunya tak sempat nak bagi dan isi buku laporan, malah kertas-kertas periksanya banyak yang tak dapat. Jadi aku tak tahu result semua subjeknya. Itupun cikgu cuma sempat bagitau kedudukan dalam kelas, dan jemputan untuk menghadiri hari penyampaian hadiah kecemerlangan.


Yang 28/85 tu adalah kedudukan dalam darjah. Bagus juga anak aku yer. Hehe..


Tahun depan darjah 4 iaitu tahap dua. Aku mula berkira-kira hendak potong Astro di rumah. Rancangan-rancangan di Astro ceria bukan sesuatu yang boleh membantu dia, lebih-lebih lagi kartunnya dalam bahasa melayu! Dah la mahal. Boleh jimat sikit, tambahan pulak bil elektrik kat rumah sejak lepas raya puasa lepas, asyik rm50 ke atas. Kat bahagian mana ntah yang makan api banyak sangat!

Nampaknya tahun depan kena tengok masterchef kat internet la pulak. :D

Dec 5, 2011

Tak Ada Perasaan

sudah hari ke enam disember tahun dua ribu sebelas, hari ke sepuluh bulan muharram. kerja tender menender selesai, siap sekali dengan anggaran tender. sekarang tunggu tender tutup sahaja untuk mengkelam kabutkan diri dengan laporan tender pula. itupun rasanya kekelam kabutan itu mungkin agak kurang sebab tender terpilih, bukan terbuka. kalau terbuka memang ada dua tiga puluh tender untuk di nilai. kalau terpilih, tak sampai sepuluh barangkali.

projek yang sedang dikendalikan, sudah kurang kerenahnya. banyak prosedur yang telah diselesaikan, dan hanya menunggu kelulusan untuk langkah seterusnya. kerja di tapak bina juga sudah hampir ke penghujungnya.

jadi, apa yang aku buat di pejabat? dua hari lepas, separuh hari dihabiskan memandu pergi balik ke paka, dan singgah di tapak bina bagai lalat menghurut nasi sahaja. sekejap sangat untuk satu perjalanan pergi balik selama hampir tiga jam setengah. petang, bersantai di pejabat sambil mengadap ntah haper-haper di komputer meja.

mukabuku? ah.. aku bukan kaki mukabuku. aku ngadap mukabuku sebab nak tengok gambar anak saudara yang dirindui sahaja. blog? semua aku baca, sehingga tak ada lagi yang aku nak baca. skype dan ym aku sepi. blog sendiri? entri baru? aku taip, aku padam. aku padam, aku taip. akhirnya aku tekan x.

bosan juga yer, hidup tanpa masalah ni. hahahaha....


err... aku dah hilang rasa barangkali.

Nov 27, 2011

November 2010 dan November 2011

November 2011, ramalan cuaca agak buruk dan negeri Terengganu dilanda banjir di mana-mana. Hujan lebat, dan kalaupun tidak hujan, mendung dan hari suram. Jadi, bagaimana mahu berjalan-jalan menghabiskan cuti di hujung tahun? Ke pantai semesti tidak mungkin kerana angin monsoon sudah bertiup agak kuat sejak beberapa hari yang lalu. Ke hulu, pun mustahil kerana banjir pun barangkali baru surut di sana. Jadi?

Tengah duk fikir-fikir mahu kemana petang ini membawa budak-budak bertuah tiga orang itu (Aisya dan dua orang sepupunya), belek-belek album jalan-jalan tahun lepas. Oh, rupa-rupanya baru November lepas aku bersama Aisya dan mak makan angin ke Johor! Aku ingatkan sudah bertahun yang lalu sebab rasa macam sudah lama ke sana. Cerita yang kononnya akan bersambung tetapi sampai ke sudah tiada sambungan itu, ada di sini dan di sini. T____T.

Asalnya aku merancang ke Kuala Lumpur kali ini, kebetulan cuti sekolah dan cuti Awal Muharram pula jatuh hari ini, ahad. Tetapi tiba-tiba kakak pula nak tinggalkan budak berdua itu di sini, pada mak, sebab dia kena menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur selama 4 hari. Rosak segala rancangan. Aku boleh sahaja pergi sendiri, tetapi kali ini rasa malas pula. Tambahan duit kurang sedikit hujung-hujung tahun ini, dan cuaca yang tidak menentu lagi. Akhirnya, terperap di rumah sahaja. Esok, aku ambil cuti, tetapi tidak tahu lagi hendak di isi masa dengan berbuat apa. Tengah duk lagi tempat-tempat yang boleh dituju dengan budak bertiga itu.


Gambar November 2010 bagi melepas rasa terkilan tak boleh pergi bercuti. T____T

Di Pekan yang aku rindu.


Rompin, berhenti solat zohor.


Mersing, masjid atas bukit itu dulu-dulu selalu menjadi tempat singgahan solat Asar.


Ok, itu sahaja dulu sebab mak dah ajak ke luar. Katanya, duduk di rumah sahaja kehulur hilir dalam rumah, tak jadi apa ni... Yer, mari kita jadi superman mak, keluar dari rumah menikmati cahaya matahari. Bye!

Nov 23, 2011

Banjir Oh Banjir

Melihat Aisya merenung ke luar tingkap di dapur, ke arah baruh yang sudah bertahun ditumbuhi rumput yang tingginya rata-rata sama tinggi dengan manusia, aku berkata, ' Rugi Dania tak dapat main air banjir macam masa mama kecik-kecik dulu'. Air yang banyak tetapi dilindungi rumput tinggi itu, nampak seperti tidak ada apa-apa. Tidak menarik dan tidak memberi keterujaan. Lantas Aisya hanya seharian di dalam rumah sahaja, sebentar-sebentar sahaja turun ke tanah apabila hujan reda. Itupun untuk membuang kebosanan dengan pusing-pusing kayuh basikal. Selebihnya hanya aktiviti indoor sahaja, seperti ajak nenek atau cik bermain batu seremban, timang-timang bulu tangkis dengan raket badminton, melukis gambar tv lengkap dengan rak tv, pasu dan gambar di dinding belakang tv, membaca majalah-majalah sayang muslim atau ujang (majalah lama tahun 1990-an yang masih aku simpan), tengok cik bermain game di pc, sesekali tengok movie, tidur (jarang sangat), sibuk-sibuk dengan nenek di dapur, kekadang teman tokki naik kereta tengok air di kampung orang atau ke pasar beli kuih, dan...hmm.. rasanya itu sahajalah aktiviti dia buat sementara ini.


Hujan di Kuala Terengganu tidak seteruk di Hulu Terengganu atau di mana-mana tempat yang sudah dilanda banjir. Sudah dua malam hujan yang luar biasa sangat lebatnya turun sekitar jam 1 hingga 2 pagi, hinggakan aku terjaga dari tidur dan terus tak dapat nak lelapkan mata lagi. Hingga hujan berhenti selepas sejam atau dua, baru aku lena semula. Malam tadi, hujan lebat sekejap sahaja sekitar jam 1 pagi. Siang, biasanya hujan sekejap-sekejap sahaja, tidak berpanjangan. Alhamdulillah.


Banjir adalah suatu malapetaka sebenarnya. Tapi hujan satu rahmat Tuhan. Yang dikatakan menjadi kerugian kepada Aisya adalah dia tidak dapat menikmati hujan sebagaimana yang dirasai oleh aku masa aku seusia dia berpuluh tahun dulu. Hujan yang lebat dengan baruh yang baru ditenggala, bersih dari rumput, dipenuhi air bagaikan tasik yang luas terbentang, adalah suatu kenikmatan yang sukar diucapkan dengan kata-kata. Memang tidak senang duduk kami di rumah bila sahaja hujan menderu lebat. Mandi hujan, ianya boleh dikatakan acara wajib setiap kali hujan lebat. Paling tidak pun, sekiranya air tidak banyak di baruh, laluan air tepi pagar dan bekas laluan motosikal di depan rumah yang bertubir agak tinggi menjadi tempat kami bermain perahu kertas. Kekadang bukan perahu yang meluncur, dengan kami-kami sekali meluncur. Seronok sungguh.

Itu sekitar tahun 80-an. Semasa aku dan abang yah masing-masing di sekolah rendah. Jarak umur antara kami 3 tahun sahaja. Kekadang aku terfikir, di mana adik aku yang berdua itu masa itu yer? Kenangan aku masa kanak-kanak lebih banyak melasakkan diri mengikut abang yah ke sana ke mari bermain bedil buluh, panjat pokok, panjat bukit, mancing ikan di baruh, panjat atas atap rumah, dan macam-macam. Kakak, dia perempuan sulung, banyak tanggungjawab menjaga adik yang bongsu (busu) dan menolong emak di dapur terletak dibahunya. Abang (sulung), dia sudah remaja waktu itu, dan berkawan dengan yang sebaya. 80-an, busu lahir tahun 81 manakala cik tahun 1979. Jadi budak berdua itu masih kecik waktu itu.

Menjadi budak-budak waktu itu, air naik adalah sesuatu yang ditunggu tanpa mempedulikan kerisauan mak ayah tentang banjir. Lagi pula, kampung aku memang tidak pernah dilanda banjir besar kecuali pada tahun 1986 rasanya dimana air naik sehingga tenggelam 2 anak tangga rumah. Masa tu ayah dah risau dan berkata sekiranya esok tenggelam anak tangga terakhir (ke-3) kita semua akan pindah ke Kg. Atas Tol (aku rasa sekolah rendah Atas Tol jadi pusat pemindahan banjir masa tu). Tapi alhamdulillah, esoknya air makin surut. Masa ini memang kami, budak-budak kampung berpesta sakan, tidak terkecuali aku yang perempuan. Tapi dengan pengawasan abang yah semestinya. Duduk atas pelampung tiub tayar lori sambil abang yah bawak ke tengah-tengah baruh. Wohh... seronok tidak terkata. Buat pulak rakit dibuat dari batang pisang. Zaman dulu, lintah tidak banyak seperti sekarang. Kalau air banyak, lagi lah lintah susah hendak berenang menghampiri. Dalam berani-berani aku, dengan lintah aku tetap kalah. Memang menjerit riuh sekampunglah bila lintah hinggap kat betis. Gelinya, Tuhan sahaja yang tahu. Pacat tak apa-apa. Malah aku salah seorang musuh ketat dia. Hahahaha....

Aku draft cerita ni dah beberapa hari dah.. baru siapkan hari ini. Ok, sekarang mari nyanyi beramai-ramai. Aisya hairan dengar aku nyanyi lagu ni. Dia tak pernah dengar. Hehehe...


Nov 22, 2011

SMS Hari Ini

Mr. Ntah Saper : tak cti ker? cti gi mana?

Me : cti? aper tu..
sebenarnya aku agak 'cti' tu untuk 'cuti' tapi memandangkan aku tak suka perkataan-perkataan yang terlalu dipendekkan sehingga nak faham pun susah, aku saje tanya sambil nak minta kepastian pada agakan aku tu.


Mr. Ntah Saper : cuti la yangg...

Me (sedikit rasa nak muntah) : ooooo... dah bagitau tadi kan, kat ofis ni. tak cuti la.

Mr. Ntah Saper : ari jumaat, sabtu.. tak cuti ker?

Me (senyum): ooo.. weekend. tak gi mana la. duduk rumah jer, kekadang keluar pun ke bandar, gi pantai jer ker, tak pun duk rumah jer, tengok movie, masak-masak, ngemas rumah, baca novel, basuh keta, sental bilik air, gi pasar, gi jogging, main badminton, gi spa, gi rumah tokwan, tengok masterchef, tidur, buat kek, cuba resepi baru, melukis, menulis, dan macam-macam la. Naper?


Senyap. Lama.


Mr. Ntah Saper : malam tak keluar ker?

Me : jarang.. kalau ada hal penting jer baru keluar.

Mr. Ntah Saper : bila bleh keluar ni yanggg? cium kangggg...

Me (darah sedikit menyirap!) : naper awak ni? tak kenal pun saya, tapi selamba sahaja cakap sayang la, cium la.. maaf la, saya tak suka.. macam kurang beradab la..


Senyap. Lama. Harap-harap tak ada lagi.


Aku tidak tahu kenapa susah sungguh 'Mr. Ntah Saper' tu nak faham. Aku berkias dengan hantar message panjang-panjang tu pun buat-buat tak paham. Dua malam lepas, selepas dia messaged 'cium kanggg' pun, aku dah reply 'ok.. tak per la yer.. bye'.. dia senyap sampai hari ini. Ingatkan dah faham dah. Last-last aku straight to the point ajer, kalau tak faham jugak, memang kepala biul la tu.

Ceritanya bermula bila tiba-tiba ada sms masuk ntah dari saper, dan kebetulan aku baik malam tu, nak layan sms. Sememangnya aku bukannya orang yang suka layan-layan sms sangat, apa-apa hal aku lebih suka call ajer. Jimat masa. Lagi-lagi kalau dah kat rumah, telefon pula dalam handbag tak dikeluarkan sejak balik dari pejabat, dan handbag pula dalam bilik. Tak ada hal, memang tak keluar la telefon tu. Duduk diam-diam kat situ sampai pagi esok kat pejabat. Kekadang kalau ada call masuk, aku tak layan pun, Aisya jer yang beria-ria berkejar ambik dan bagi kat aku.

Mula-mula macam biasalah, aku tanya siapa ni, dari mana dapat nombor aku, tinggal kat mana, kerja aper, umur berapa, dan bla..bla..bla. Selepas empat, lima sms, tiba-tiba dia menyelitkan perkataan 'sayang dan cium kanggg', dan aku terus sentap. Hey, come on la... kita tak pernah kenal pun okay. Baru sahaja hendak berkenalan. Bahasa tu, kawal la sikit. Bersopan la sikit.


Lainla kalau kita ni dah kenal lama, yang kau biasa cari aku bila susah, dan aku dengan selamba boleh kutuk kau, 'mu gitu ah, cari aku bila nok minta tolong jer.. masa senang, haram dok napok lubang hidung', dan kau pula dah sering berkata 'alaaa cayang, baby... tolong la kira menda alah ni.. kang anje upah kiss satu yer'.. dan aku pulak boleh balas, 'ok, tapi nak u kiss kat tapak kaki i, ok tak?'...


Itu contohnya la. Aku bukannya kejam sangat pun. Bukan juga terlalu cerewet. Tapi kekadang ada beberapa perkara yang aku rasa tidak logik, dan sukar untuk diterima. Contoh macam lelaki seperti 'Mr. Ntah Saper' tu lah. Dan aku pelik, apa sebenarnya yang lelaki seperti itu fikir yer. Bila dapat nombor telefon seorang perempuan, terus message dan panggil sayang????

Nov 17, 2011

UPSR 2011 - Terengganu terbaik

Semoga suatu hari nanti, Aisya juga antara yang terbaik itu.


Kenapa budak-budak Terengganu cerdik-cerdik belaka? Aku percaya ini antara sebabnya.

Kepok!

Percayalah, orang Terengganu di Terengganu, makan keropok hampir setiap waktu makan. Tak percaya, cuba pergi kedai-kedai makan di waktu pagi. Tengok orang disitu bersarapan dengan apa. Nasi lemak, nasi dagang, nasi minyak atau nasi kerabu kan. Tetapi mesti ada makanan sampingan, iaitu keropok! Samada keropok lekor atau keropok keping.


Bukankah bahan utama membuat keropok adalah ikan. Dan ikan pula kaya dengan protein dan omega yang dapat membantu perkembangan otak. Err.. untuk lebih perincian, sila Google yer. Aku cuma terfikir pasal ini bila baca blog Hanis Zalikha dulu-dulu, pasal exams & fish diet. Jadi aku rasa sebab rakyat Terengganu yang duduk di Terengganu sokmo makan keropok, maka kebarangkalian perkembangan otak menjadi lebih sihat adalah tinggi. Pagi makan keropok, petang keropok, malam-malam sambil tengok tv pun sedap.


Kedai menjual keropok pula, biasanya awal pagi dah buka dan lewat petang baru tutup. Kat kantin sekolah pula, rasanya memang tak sahlah kalau tak ada keropok. Aisya, hari tanpa keropok adalah mustahil bagi dia. Hahaha..


Bagaimanapun, ada keburukannya juga keropok ini, sebab ianya makanan bergoreng yang boleh menjejaskan kesihatan kalau terlebih makan dan akhir-akhir ini satu lagi masalah yang ketara adalah kebersihan tempat memproses ikan. Sudahlah begitu, terlalu banyak pula tempat membuat keropok sekarang yang wujud bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Masing-masing nak kaut keuntungan yang biasanya ketara bila musim cuti sekolah, tanpa mempedulikan lagi tentang lalat ke, ikan busuk ke, tempat yang kotor dan macam-macam la. Serius aku pernah makan keropok, dan hampir termakan lalat yang ada dalam keropok itu! Kalau lalat, boleh terasa.. kalau telur lalat? eeeiii....


Nov 16, 2011

Bila Bosan Hujan-Hujan

Puding roti 2 kaler dibuat masa bulan puasa yang lalu.



Pokok rambutan di belakang rumah, tengah masak merah masa ni.
(memang la bila masak, kalernya merah.. ishh)


Makaroni goreng berempah, campur sotong. Aku dengan Aisya jer makan, orang lain tak makan sebab diaorang tekak melayu. Tekak aku over skit, konon western. Cehh..



Buah katak puru di pokok dekat garaj kereta ayah. Sedap, aku suka sebab rasanya yang masam-masam manis. Bagus sebagai ubat darah tinggi.


Biskut sarang semut antara biskut raya yang paling aku suka. Yang ni aku buat sendiri syawal yang lalu.



Itu ajer. :D

Nov 15, 2011

Patah Seribu Hatiku



Sedap dengar lagu ni, tambah-tambah lagi masa hujan tengah turun lebat dan seolah takkan berhenti ini. Tambah sedap kalau dapat renung air hujan menitis di luar jendela atau pada cermin kereta. Tak payah makan, kenyang dalam syahdu. Hehe..

'Dua hari di hujung minggu, aku tak kemana, duduk di rumah sahaja. Tak buat apa. Tak ada sms masuk. Tak ada sesiapa sudi call. Aku nak ajak orang keluar, rasa segan sebab sepatutnya dia yang ajak aku keluar. Aku perempuan, dia lelaki. Begitulah kan? Rasa macam, hidup apakah ini? Kosong, sekosong-kosongnya.'

Seorang kawan meluahkan perasaannya beberapa hari yang lalu.


Aku senyum.

Sudah lama aku merasakannya kawan. Aku sudah lali. Nasihat aku, jangan isi kekosongan itu dengan lelaki. Lelaki ada kaki. Bila dia nak, dia cari. Bila dia tak nak, dia akan lari. Baik buang kaki dia... hahahaha.... Ok, aku berlawak sahaja. Jangan buat begitu, nanti masuk penjara.

Layan novel.
Menonton filem-filem lama dan baru.
Memasak.
Bersukan.
Menjahit manik.
Itu yang aku buat untuk isi kekosongan itu.


Tidak terisi jiwa, sekurang-kurangnya terisi masa. :)



Nov 14, 2011

Perancangan / Jadual Cuti Sekolah Aisya

1. Baca dan habiskan 4 buah buku cerita (minimum) dalam satu minggu. Setiap hari sabtu kami akan ke public library untuk meminjam dan memulangkan buku.

2. Ke Muzium Losong untuk melihat pameran arkeologi ke aper ntah, yang tamat penghujung Disember nanti. Kali terakhir dia ke muzium tu, masa dia kecil lagi, mungkin dia sudah lupa.

3. Ke mana-mana air terjun di sekitar Terengganu sekiranya cuaca sangat baik.

4. Mungkin akan ke KL menemani mama ke IKEA, hehe...

5. Bermain badminton dengan mama setiap petang sekiranya cuaca mengizinkan, atau kat dapur pun boleh macam sabtu lepas.. hahaha.. (dah beli seset 12 pieces shuttlecock, racket dah ada).

6. Nak beli watercolour and drawing block untuk dia melukis.

7. Kat mana yer, tempat yang menjadi tarikan di Terengganu ni? Kena google ni.. boleh bawak dia jalan-jalan.


6 minggu cuti sekolah, rasanya dah cukup banyak aktiviti untuk dia menghilangkan bosan dia. Ke pantai, of course bila cuaca mengizinkan, yang ni tidak perlu masuk dalam senarai sebab pantai cuma 10 minit jer dari rumah dan petang-petang kalau bosan dan tiada apa nak buat, boleh sahaja bawa dia ke pantai. Ok itu sahaja. Tengok perancangan tahun depan pula guaner.. hehe...

Nov 13, 2011

Memerang dan Kura-Kura

Gambar di ambil di sini.

Beberapa minggu yang lalu, sewaktu hujan turun agak lebat dan aku sedang memandu untuk mengambil Aisya di sekolah, aku ternampak memerang di tepi jalan selepas jambatan Kg. Tok Molor. Maaf, aku memang teruja sebab inilah pertama kali aku melihat memerang di situ sedangkan sedangkan sejak 2006 lagi, aku melalui jalan itu hampir setiap hari untuk ke pejabat, atau ke bandar, atau ke mana-mana sahaja dan tidak pernah melihat walau seekor memerangpun. Dua ekor memerang hitam berkilat sedang menunggu lalu lintas tenang untuk menyeberang barangkali. Sungguh comel. Malangnya ketika aku dalam perjalanan kembali ke pejabat beberapa minit kemudian, dengan niat dan harapan semoga memerang itu masih ada dan bolehlah aku mengambil gambar, ianya sudah tidak ada lagi disitu. Bukan main lagi aku memperlahankan kereta dan terjenguk-jenguk ke sekitar kawasan tu, kecewa sungguh.

Adik aku kata, memang biasanya kalau hari hujan memerang suka keluar bermain hujan dan melintas jalan. Dia selalu nampak di sekitar jambatan Kampung Titian Baru.

Sejak hari itu, setiap kali aku lalu disitu, memang mata aku akan sedikit meliar ke sekitar tepi jalan. Manalah tahu nasib baik ternampak lagi ia bermain disitu. Tetapi sehingga hari ini, nasib belum menyebelahi aku.




Tadi pula, ketika memandu untuk tujuan yang sama, iaitu mengambil Aisya di sekolah, aku ternampak pula seekor kura-kura sedang melintas jalan. Keterujaannya tidaklah seperti melihat memerang, sebab agak biasa jugaklah ada kura-kura yang tersesat ke sekitar rumah. Yang mengagumkan adalah, kura-kura ni kan, kita nampak sahaja betapa perlahannya dia bergerak dengan kakinya yang pendek, tetapi sekejap sahaja sudah sampai ke seberang jalan. Macam baru-baru ni bila ada kura-kura tersesat ke dalam longkang kecik antara dapur dengan stor, baru sahaja aku naik sekejap ke atas untuk mengambil kamera, ia dah lesap entah ke mana. Puas cari tak jumpa. Memang laju, sebab tu ada kisah arnab dan kura-kura yang berlumba tu.



Gambar dari sini.

Bercerita pasal kura-kura, dulu masa belajar di Pulau Pinang, aku dan housemates pernah membela seekor kura-kura kecik seperti di atas. Gambarnya pun masih ada, tapi aku malas nak scan. Aku masih ingat lagi, kitaorang siap bagi nama lagi kat kura-kura tu, aper ntah namanya.. totot ker.. tutut ker.. dah lupa dah. Lebih 10 tahun lepas tu. Sekali tu kura-kura tu hilang, tak tahu ke mana menghilang. Puas cari tak jumpa. Berbulan jugak la kitaorang sepi tanpa ia. Ingatkan dah mati, tak pun jatuh bangunan (rumah sewa kami tingkat 8 rasanya). Tup-tup jumpa bawah almari masa duk mengemas. Hahaha...

Masa kitaorang habis belajar, kami beramai-ramai melepaskan kura-kura tu dalam Tasik Harapan di USM. Entah hidup, entah dah mati kura-kura tu sekarang....

Nov 10, 2011

Andai Itu TakdirNya - Ulasan

Menamatkan novel bersampul hijau itu malam tadi, awal lagi lebih kurang jam 10.00 malam. Bulan mengambang penuh, dan langit terang tak berawan. Rumah sunyi sepi. Tiada lagi bunyi bising adik memanggil kak atau nia, atau suara baby menangis tidak selesa perut. Tidak kedengaran suara bising mama budak-budak itu menjerit melarang itu ini. Rupa-rupanya Aisya sudah tergolek lena depan tv, bertutupkan selimut adik. Mak di dapur, dan ayah awal-awal lagi sudah tidur di bilik. Adik saya sekeluarga dengan baby baru sudah pulang ke Kuala Lumpur, dan seisi rumah kembali ke keadaan asal seperti sebelum dua bulan lepas.

Andai Itu TakdirNya seperti gabungan anganan atau dongengan yang digubah menjadi suatu rantaian kehidupan. Saya rasa semua wanita pernah berangan mempunyai wajah yang rupawan dan jelita, yang dapat menarik minat ramai orang. Kemudiannya seorang jejaka tampan, anak orang kaya semestinya, yang sombong dan ego, akhirnya jatuh cinta dan tidak boleh hidup tanpanya. Menderita dan kecewa, yang ego dan sombong akhirnya menyesal , mendapat anak kembar, ada yang cemburu dan iri hati.. oh, terlalu banyak dongengan atau harapan yang digubah yang kononnya menjadi realiti dalam novel ini.

Bukan bererti novel-novel lain adalah cerita sebenar, tidak semestinya. Cuma saya lebih suka karya yang lebih dekat dengan realiti kehidupan, yang tidak semudah dan selaju cerita Andai Itu TakdirNya. Malah saya merasakan novel ini adalah gabungan idea-idea daripada banyak novel-novel lain yang pernah saya baca. Saya katakan gabungan kerana novel ini terlalu banyak cerita!

Aleya, digambarkan sebagai perempuan yang jelita dan ada tarikan (diulang acap kali betapa cantiknya dia!), anak orang kampung , belajar diseberang laut, ditangkap khalwat dengan Syed Azril, ex-classmate semasa belajar di oversea, anak orang kaya, semestinya tampan dan menjadi pujaan gadis-gadis, sombong dan ego tetapi dalam hati memuja dan mengagumi Aleya. Mereka dituduh berkhalwat gara-gara seorang pendengki. Maka bermulalah hidup Aleya yang penuh penderitaan, dipukul, diterajang. Dirogol suami sendiri dan dibuang ibarat sepah. Dia mengandung anak kembar, kembali kepada keluarga Azril kerana memikirkan nasib anak sekiranya dia mati akibat ketumbuhan dalam kepalanya. Azril yang kononnya telah berubah, bagaimanapun kembali menyinga, sekali lagi menghalau Aleya. Dan Aleya yang dibuang keluarga sendiri, akhirnya kembali ke kampung dengan kandungan, kembar sekali lagi. Akhirnya... Syed Azril kembali datang melutut and they lived happily ever after.

Begitulah. Novel yang ringkas, dan mudah. Oh ya, saya tidak baca semua pages. Saya lompat-lompat pages kerana hanya ingin tahu apa penghujungnya. Nampaknya air tangan Siti Rosmizah ini tidak sesuai dengan citarasa saya. Seperti yang saya katakan, ceritanya sangat laju, tiada bunga-bunga bahasa, dan terlalu banyak peristiwa.

Budak sekolah mungkin suka cerita begini, kerana seingat saya dulu, saya juga begitu. Suka berangan. Tetapi anganan saya lebih terbatas kerana saya banyak terdedah kepada buku-buku Hardy Boys, Alfred Hitchcock, Enid Blyton dan Nancy Drew, juga kepada cerita cinta remaja series Impian yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, dan biasanya jarang digambarkan heroin cantik dan jelita, cuma lebih kepada realiti di mana setiap orang mempunyai tarikan mereka tersendiri.

Oh ya.. saya masih sukakan novel penyiasatan dan pengembaraan!

Nov 8, 2011

Rasa Singkat Malamku Penangan 'Andai Itu Takdirnya'

Sabar dulu. Belum khatam pun lagi novel hijau itu aku telaah. Baru melancarkan bacaan malam tadi selepas maghrib. Berhenti sekejap melayan Aisya makan nasi, sementara aku mengadap semangkuk maggi perasa tomyam, sambil menonton tv kecil atas peti hijau di dapur, cerita Tihany. Adik dan anak-anaknya ke rumah tokki sebelah suaminya, jadi rumah memang tenang. Bersambung cerita Tihany ke minggu depan bila Azman (tunang Tihany yang disangka sudah mati) tiba-tiba muncul masa ibu tiri Tihany sedang bakar fail-fail dalam tong besi. Aku pula sambung menelaah novel hijau Siti Rosmizah, sampai keluar-keluar air mata.


Jam 12.40 aku berhenti. Semua orang sudah tidur. Aku tutup lampu dan cuba lelapkan mata. Sukar. Tapi aku kena tidur sebab esoknya kerja (hari ini).


Jalan ceritanya terlalu cepat. Laju. Jadi, baca pun seperti terkejar-kejar untuk cepat sampai ke penamatnya. Tiada banyak bunga-bunga bahasa. Tidak banyak cerita latar belakang. Eh.. nanti aku habiskan, aku bagi pendapat lengkap. :D

Nov 7, 2011

Penantian Yang Berakhir

Setelah seminggu menunggu, dengan rasa yang tidak sabar, akhirnya penantian berakhir pada hari Jumaat lepas. Hairan juga apabila van Pos sampai pada lewat pagi Jumaat itu, bukankah semua orang bercuti hari Jumaat di sini? Bila cuba beramah mesra dengan soalan yang tidak sepatutnya, dalam keadaan teruja menerima bungkusan agak berat, sebesar separuh kertas saiz A4, soalan berlalu bagaikan angin bercuit sipi telinga. Tiada jawapan, malahan ucapan terima kasih juga seperti tidak mendapat sambutan. Agaknya sipenghantar bungkusan itu moodnya kurang elok akibat terpaksa bekerja di hari Jumaat menghantar bungkusan saya semata. Dalam hatinya, janganlah harapnya dia menyumpah seranah saya kerana soalan bodoh saya tadi.


Keterujaan saya menerima buku-buku baru adalah lebih daripada dilambakkan pakaian baru. Sungguh. Untuk saya, shopping buku adalah lebih mudah daripada membeli pakaian. Sudah biasa saya pusing keliling satu shopping complex konon untuk membeli baju, tetapi pulang dengan tangan kosong. Lebih-lebih lagi sekitar tahun 1999 hingga 2003 ketika bekerja di kota metropolitan Kuala Lumpur. Tapi kalau masuk kedai buku, memang tidak akan keluar dengan tangan kosong. Sekurang-kurangnya sebuah majalah mesti dibimbit keluar. Ini juga sebab kenapa saya menghadkan diri daripada menjenguk lama-lama laman web pts, buku-online, dan lain-lain yang menyediakan perkhidmatan menjual buku secara online. Saya akan mudah terpengaruh dengan bermacam-macam buku nanti.

Ini kali kedua saya membeli buku daripada kedai-buku online ini. Yang pertama dulu ada ceritanya disini. Kali ini saya order buku-buku ini.


1. Andai Itu Takdirnya – Siti Rosmizah

Dulu, ketika setiap pagi menghantar dan menunggu Aisya mengaji di rumah ustaz yang isterinya mengajar mengaji budak-budak kampung, saya selalu membawa sebuah buku cerita yang akan saya baca sementara membunuh waktu menunggu. Saya hanya tersenyum pada ibu-ibu lain yang turut menunggu anak masing-masing bergilir diajar mengaji, yang sibuk bercerita macam-macam hal. Dan ada seorang ibu itu, yang memang ‘ramah’ menegur anaknya yang sangat nakal, memberitahu saya tentang buku ini. Katanya, dia menangis-nangis baca buku ini. Ceritanya sangat sedih. Sejak itu saya sudah berazam nak baca karya Siti Rosmizah ini, berlebih-lebih lagi bila melihat betapa novelnya menjadi buku terlaris. Walaupun sebenarnya saya tidak gemarkan buah tangan Buku Prima atau Alaf21, yang saya rasa banyak cerita-ceritanya yang tiada keasliannya, saya rasa tidak ada salahnya mencuba air tangan Siti Rosmizah ini.


Tapi, itulah, yang saya kesalkan sudah terjadi belum sempat menikmati dan tenggelam dalam sedu sedan ceritanya. Baru beberapa helaian dihadap, helaian itu sudah hampir-hampir tertanggal dari buku. Bila ditilik-tilik, didapati kualitinya memang rendah. Gamnya tidak setebal buku JS atau NB Kara. Patutlah mudah sangat tercabut helaiannya, lebih-lebih lagi di awal-awal mukasurat. Ini buku pertama yang akan saya baca kerana sungguh-sungguh saya ingin mencari keistimewaan novel terlaris ini. Nanti saya ceritanya apakah hasilnya.


2. Menunggu Kereta Api – Norhayati Berahim

Kononnya saya sudah agak jemu dengan penyampaian NB dalam setiap novelnya yang hampir sama walaupun jalan ceritanya menarik. Dan ini antara sebab saya mencuba karya Siti Rosmizah. Tetapi saya tidak dapat menolak rasa ingin tahu saya apabila membaca sinopsis air tangan terbaru Norhayati Berahim ini.


3. Percaya Akhirnya – Ruby Hazri

Saya sudah ceritakan di sini, tentang kenapa saya perlu membaca novel ini. Sekiranya karya ini tidak mengecewakan saya, saya pasti selepas ini Ruby Hazri akan menjadi salah seorang pengarang kegemaran saya, seperti Norhayati Berahim. Ada sebuah novelnya yang sudahpun menjadi target saya selepas ini.


Sudah pasal buku, bagaimana raya korban tahun ini? Semalam saya hanya duduk rumah sehari suntuk selepas memasak nasi minyak dengan ayam masak merah di awal pagi. Hari ini juga nampaknya tidak ke mana-mana. Cuaca hari ini seperti semalam, mendung menanti hujan yang tidak turun-turun. Esok mulai kerja dan saya perlu membuah kek untuk jamuan kelas Aisya lusa. Jumpa lagi nanti.

Nov 1, 2011

Ketawa Itu Ubat Terbaik Merawat Duka

Kadangkala masa kita berduka atau moody, kita perlukan seseorang yang boleh buat kita gelak dan menceriakan hari kita. Sebagaimana kita juga memerlukan a shoulder to cry on atau teman berkongsi cerita. Lepas nangis-nangis keluar air mata darah semua, hingus-hingusan, dan tisu habis berkotak, kalau ada orang buat lawak, mesti kita gelak, kan. Sambil-sambil kesat sisa air mata, kita gelak sama sambil cuba cover malu sebab dah nangis sakan. Hehe..


Citarasa kita mungkin berbeza, tapi di sini saya kongsikan antara link ke blog yang pernah membuatkan saya gelak sakan. Dan video juga dari Youtube yang pernah saya terjumpa. Saya tak cari sangat sebenarnya, tetapi kekadang saya terjumpa dikongsikan di mana-mana. Ada juga yang memang saya dah subscribe seperti IniAnwarHadi dan yang sepertinya di Youtube.

Hari ini videoklip ini telah berjaya membuat saya gelak sampai keluar airmata. Dah lama tak ketawa sakan camni. Memang melegakan perasaan. Saya tengok kat blog OhBulan. Sesekali layan jugak blog tu tengok gambar artis kahwin perabih duit ribu riban.


Blog Hazrey, wartawan tu.. memang ada kat google reader saya. Bacalah entri dia yang lama-lama, antaranya yang ini. Memang kelakar tahap gaban. Banyak lagi entri dia yang sinis, pedas, tegas, dan kelakar juga. Err... pada saya la kan. Untuk ketawa, kita perlu buka minda. Jangan menyempitkan minda berfikir di satu cabang sahaja. Jangan pula serius sangat. Dalam banyak keadaan pun, jika kita serius sangat, kita tak dapat berfikir dengan tenang. Itu yang kadangkala tengah2 meeting pun, ada yang sempat buat lawak. Ianya meredakan ketegangan.

Bila Zulfikar bercerita tentang zaman kecilnya dalam blog Rasa Hati, jangan lepaskan peluang untuk ketawakan dia. Hahahaha... Memang sangat menghiburkan.




Oh, dulu-dulu saya suka bergelak ketawa tengok sitcom Gulligan's Island. Tapi sekarang tak ada dah sitcom lama itu ditayangkan kat tv. Banyak sitcom dulu-dulu yang sangat kelakar dan menghiburkan. Kalau sitcom melayu, layan Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Ok la, sempat menaip entri sekejap selepas tracking parcel buku-buku yang dipesan. Apesal lambat sangat nih? Tudung yang saya order tu, cepat pulak sampainya.. ishh..

Oct 31, 2011

Ben Starr Yang Cute



Sungguh, malam tadi rasa macam nak nangis jer tengok Ben Starr kena eliminate. Memang dah tahupun saper juara MasterChef US musim ke-2 ni, dari blog biras yang awal-awal lagi nonton kat YouTube. Geram jugak seposen sebab kat astro tak tayang lagi, dia dah pecah lobang uar-uarkan saper juaranya. Eh.. sesuai ke guna pecah lobang kat ayat tu? Tak per, abaikan..

Dari awal kemunculannya lagi, dia ada tarikan tersendiri. Dari topi corak bunga-bunga atau buah-buah, pengakuan setiap kali dia menggelabah masak tak jadi, banyak cakap pada masa-masa tertentu, dan kadang kala lucu orangnya. Ben Starr antara peserta yang sangat baik, tidak mengutuk dan mencela peserta lain, baik dengan semua orang, tidak berdengki dan berdendam. At least, itulah yang saya nampak.



Sememangnya sebab MasterChef US 2 ini ada orang seperti Christian yang sentiasa angkuh dan memandang rendah peserta lain, Suzy (she looked like host program Icip-icip) yang suka menyalahkan dan menunjukkan muka tidak puas hatinya, dan Jennifer yang nampaknya lebih berterus terang tidak sukakan Christian.

Gordon Ramsay pun kalau boleh nak tengok Ben Starr jadi juara, yer la.. walaupun ada beberapa hidangan Ben yang tak menjadi. Dia kiss pipi Ben malam tadi. Hahahaha...

Oklah, nak sambung kerja. Bai.



Oct 20, 2011

Sebulan Sekali - Perpustakaan Awam Kuala Terengganu

Beberapa hari yang lepas, saya sudah menaip secara bersungguh-sungguh cerita yang ingin saya kongsikan ini. Dah cukup panjang dah saya taip. Biasalah... waktu kerja, curi-curi menaip cerita apabila bosan atau sudah penat melihat microsoft excel menaip Summary of Tender. Jadinya memang tidak menumpukan perhatian sangat untuk menekan save now, untuk preview atau apa-apa sahaja. Sekadar taip semata-mata. Tup-tup bila nak close tab, tekan save now macam hang plak. Ingatkan dah automatic save, tapi bila buka semula langsung tak ada apa yang ditaip. Hampeh sungguh!


Memandangkan saya rasa cerita ini menarik untuk dikongsi, maka saya nak bercerita lagi sekali di sini, tapi dalam versi pendek dan cepat. Hehe..

Sejak beberapa bulan yang lepas, aktiviti wajib saya anak beranak (saya dengan Aisya ajer pun) adalah mengunjungi Perpustakaan Awam Kuala Terengganu yang terletak sebelah kiri jalan nak naik ke Jambatan Sultan Mahmud. Kunjungan berulang kerana, dah pinjam buku, maka kena hantar. Alang-alang hantar, pinjam lagi. Begitulah seterusnya.

Satu kad boleh pinjam 4 buku. Maksimum tempoh pinjaman adalah 4 minggu. Jadi biasanya hari sabtu awal bulan, samada saya atau Aisya akan menyandang beg besar free gift masa beli Ribena, yang mengandungi 8 buah buku. Berjalan dari parking area samada tempat parkir atau kawasan padang berumput sebelah tu sekiranya tempat parkir penuh. Ya, tempat parkir kereta tidak banyak, untuk sebuah bangunan sebesar bangunan public library itu. Ada beberapa petak tempat parkir bas, yang biasanya kereta sahaja yang diletakkan disitu dan tempat parkir motor yang sentiasa penuh pada hari Sabtu.

Melalui tepi bangunan yang ada bangku tempat duduk, yang biasanya diduduki oleh remaja-remaja yang saya agak dalam persekolahan menengah. Satu yang saya suka buat bila ke library ialah melihat gelagat remaja-remaja ini dengan fesyen mereka yang macam-macam. Kalah kita yang berkerja dan bergaji tiap-tiap bulan ni! Dengan legging atau high waist skirt, baju yang macam-macam, paling hebat tang tudung la... Dengan segala macam kerongsang juntai-juntai panjang-panjang, dipin atas atau tepi kepala dan bawah dagu, lilitan shawl itu pula segala jenis lilitan boleh kita jumpa. Baru-baru ini saya menemani Aisya ke tandas, 3 orang anak remaja dengan fesyen-fesyen 'up-to-date kononnya' itu sedang sibuk menilik cermin, membetulkan selendang barangkali. Masa kami keluar, mereka masih lagi duk menilik diri. Aduhhh... apa nak jadi dengan budak-budak sekarang.


Kalau dah namanya library memang la kena bercerita tentang buku kan. Sayang seribu kali sayang, library sebegitu besar tetapi buku tidak sebanyak mana. Kalau ke tingkat dua (buku-buku kategori dewasa), kawasan luas, tetapi rak buku dah la tidak banyak, buku atas rak pula kebanyakkan jika disusun betul-betul separuh penuh sahaja untuk setiap barisan rak. Dulu-dulu saya jenguk juga ke rak-rak mengikut kategori itu, tapi kemudiannya saya belajar sesuatu yang baru. Rak buku-buku yang dipulangkan adalah tidak kurang menariknya apabila masa yang diperuntukkan tidak lama. Biasanya saya disitu sahaja, memilih buku dan menggunakan perkhidmatan self service untuk meminjam buku. Yang itu saya suka, sangat mudah dan cepat.


Kalaulah ada lebih banyak buku macam di library-library universiti, kan best. Aduhhh.. rindunya saya pada Perpustakaan USM, Minden dan Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ), UTM, Skudai.



Ok, kita akhiri entri dengan sebuah lagu lama. Lagu dulu-dulu masa kononnya tengah bercinta. Masa muda. Lagu best, tapi bercinta masa itu, tidak best. :(




Bunga kenanga semerbak mewangi
Pokok selasih tumbuh setaman
Bukan hendak terkenangkan memori
Kekadang sahaja ianya mengundang...

Oct 19, 2011

Risau

Last sunday masa tengah-tengah bersiap ke sekolah, Aisya mengadu sakit perut. Aku cakap, tahan dulu, kita solat subuh dulu sekejap sahaja. Lepas solat, dia berkejar ke bilik air. Keluar dari bilik air, dia mengadu lagi, sakit perut sangat, dan rasa nak muntah. Aku agak ni mesti food poisoning. Ada tersilap makan apa-apa yang tidak sesuai dengan perut kot malam tadi.


Dia ke bilik air sekali lagi, kemudiannya keluar dan merengkok atas tikar di dapur. Aku duduk sebelah dia, sapu minyak kat belakang dan perut, dan dada. Tapi tak lama baring, dia bangun ke bilik air, katanya rasa nak muntah. Aku menurut, dia duduk atas bangku kecil plastik hijau, aku gosok-gosok belakang dia. Tak keluar-keluar jugak muntahnya. Lama. Dia tak nak keluar sebab takut muntah. Aku pujuk, cakap muntah dalam besen ajer. Aku sediakan besen besar, letak carikkan suratkhabar. Lama. Tak muntah-muntah. Aku pujuk dia minum air. Minum sikit. Masa tu awal pagi, memang dia tak makan apa-apa pun lagi. Tubuh dia dah panas. Aku ambil ubat demam dalam peti sejuk, biskut sekeping. Puas pujuk, dia makan separuh biskut tu.


Baru sahaja aku suapkan ubat demam dan sakit perut (kembung / angin), tak sempat ubat-ubat cecair tu sampai ke dalam perut, dia muntah. Banyak. Lama. Air dan cairan sahaja yang keluar. Habis keluar, dia macam segar bugar. Sihat sahaja. Aku bagi semula ubat-ubat tadi. Dia bangun, naik menonton tv. Nak ke sekolah pun dah lewat dah.


Petang aku balik kerja, aku tengok dia merengkok depan tv tengok kartun. Berselimut. Tubuh dia panas. Rupa-rupanya dia demam. Padahal tadi mak cakap, dia okay sahaja walaupun beberapa kali juga dia cirit birit. Dia muntah lagi sekali awal malam tu. Aku jarang kepalanya dengan air daun bunga raya, dan bagi dia ubat. Dia tertidur. Lewat malam, tubuh dia tak lagi panas. Esoknya, dia elok sahaja pergi sekolah.


Tapi.. hari isnin tu, masa aku balik kerja aku tengok dia melepek atas tilam depan tv. Selasa pun sama. Tadi juga. Dia tidak selincah biasa bermain dengan adik. Kurang bercakap. Bila sepupu-sepupu dia datang, baru dia keluar bermain.


Aku cuba slow talk dengan dia, bertanya kenapa dia banyak diam dan apa yang dia fikirkan. Ada cikgu sekolah marah dia ke. Ada kawan-kawan ganggu dia ke. Tapi semua tidak belaka. Risau aku tengok keadaannya. Biasanya dia tidak begitu. Risau sungguh ni. Itu dia dah tidur, tadi lagi jam 9.30 malam. Risau ni, risau.

Oct 18, 2011

Rajinnya awak!

'Rajinnya awak pergi ambil anak kat sekolah!'


Ok, sesuai atau tidak perkataan rajin digunakan disitu? Kalau diikutkan ayat yang perlu Aisya buat dalam buku latihan bahasa melayu tahun 3nya, memang boleh ajer. Tak ada salahnya ayat itu.

Tapi, kalau diikutkan realiti kehidupan, orang yang dikatakan rajin itu boleh menjawab pulak, 'Habis tu, takkan nak biarkan anak kat sekolah?' atau 'Dah tu, awak nak tolong pergi ambil ker?'.


Maaf, pada pendapat saya, dalam hal sebegitu, perkataan RAJIN itu sangat tidak sesuai. Tidak peduli samada ayat itu ditujukan pada seorang lelaki atau perempuan. Bilamana ianya adalah sesuatu yang kita kena buat, mesti buat, kalau tak buat maka dosa, malapetaka, atau makan pasir, makanya itu adalah tanggungjawab.


Waktu kerja, lepas discssion dengan engineer, ada meeting perubahan kerja, pastu kontraktor plak datang untuk bincang pasal claim kerja-kerja tambahan. Ada tender yang perlu disiapkan dalam tempoh terdekat, ada site meeting lagi. Dan kalau tak buat semua tu, takkan nak suruh boss pulak siapkan. Dah tu, takkan hari-hari awak nak cakap, 'Rajinnya awak!'


Kebetulan plak ayah sekarang jarak tempat kerjanya lebih jauh dari jarak pejabat saya dengan rumah dan sekolah Aisya. Sah-sahlah saya yang kena ambik Aisya balik dari sekolah, setiap 5 hari seminggu. Oleh itu kekadang bila kebetulan saya belum makan, tengah lapar tahap gaban, jadi sebelum pergi ambil Aisya kat sekolah, tak salah singgah dulu kedai beli nasi ayam 4 bungkus. Kenapa 4, sebab dah kat rumah ada adik dan tokwan. Mak tak makan nasi ayam. Dah tu, takkan itu pun awak nak cakap 'Rajinnya awak!'


Tak sesuai la, dan saya kurang boleh terima sikit cakap-cakap yang macam tak ada idea nak cakap apa ni.


Kalau saya sedang baking kek, atau menjahit manik, atau membaca majalah, pada hujung minggu saya.. maka sesuailah dengan 'Rajinnya awak!'.

Atau apabila hujan lebat, saya mengambil kesempatan mencuci kereta, menyental bilik air sebelum mandi, mencuci pinggan mangkuk sebelum tidur, maka bolehlah awak cakap, 'Rajinnya awak!'...

Sebab apa yang saya buat itu memang memerlukan kerajinan semata, kalau tak nak buat tak aper, tak berdosanya, tak juga kena maki. Paling-paling tidak pun layan sahajalah kepuasan hati diri sendiri.



Betul tak? Betul tak?

Oct 13, 2011

Semangat Tergugat Pada Hari Kejadian

Pagi ini, tekan sahaja butang power kat radio dalam kereta jam lapan lima belas minit pagi, suara pertama yang berkumandang ialah Pansha Ungu mendendangkan lagu Tercipta Untukku yang ada featuring Rossa tu. Kemudiannya mengikut senarai, lagu-lagu yang menyusul adalah Tanpa Kekasihku dan Teruskanlah oleh Agnes Monica, Tegar daripada Rossa, Entah dendangan Afghan, dan seterusnya sehingga aku sampai parkir kereta di hadapan pejabat.


Sudahlah malam tadi aku tidak berapa lena tidur, terganggu oleh cahaya lampu mainan Aisya yang sekejap sekejap menyala sendiri dalam gelap walaupun setelah beberapa kali aku bangun menutup suis mainan itu. Akhirnya aku letak sahaja mainan itu ditempat yang terlindung dari pandangan mata.


Kemudian tidurku diganggu pula mimpi yang pelik, seorang lelaki yang entah siapa-siapa tidak ketahuan apa yang diinginkan, tetapi mengganggu hidup aku, menyebabkan aku menangis tersedu-sedu, aku lari tak ada arah tuju. Jumpa pulak dengan seorang yang aku rasa boleh bergantung harap, tetapi tiba-tiba dia hilang tak sempat di tangkap. Bila aku cari Aisya tak jumpa, aku seolah-olah berkata, 'Ishh.. tak nak lah terus berada dalam mimpi ni'.. Terus aku terjaga dari tidur.


Jaga aku, tapi mimpi itu masih dalam minda. Biasanya kalau begitu, aku jadi kurang bersemangat. Tambah kurang mood bila ditabur lagu-lagu mendayu itu. :(


Sepanjang hari minda aku masih dapat membayangkan mimpi yang tidak enak itu.


Mood aku teruk sungguh hari ini..


P/s : Terima kasih 'kamu' yang bisa menyelitkan sedikit senyuman pada hari muramku ini. ;)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...